Monday, 10 December 2012

Imam sebagai Agen Transformasi/Perubahan

… mengenai peranan luas seorang Imam sebagaimana kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan pada Multaqa Guru Takmir, Guru KAFA dan Imam Seluruh Pahang anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

MAJLIS BANK ISLAM DI HOTEL LIMA BINTANG... Bersesuaian dengan statusnya sebagai antara bank yang terkemuka di negara ini, apatah pula dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat kira-kira RM281.5 juta untuk tempoh awal tahun ini sahaja; maka wajarlah Majlis Penyerahan Bantuan Rumah ini diadakan di sini.

Hadirin yang termasuk Menteri Besar kelihatan, sedang menyaksikan tayangan video yang memaparkan beberapa buah rumah yang telah dibina atau dibaikpulih di bawah program CSR Bank Islam ini.  


DEWAN KOLEJ ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH (KIPSAS), KUANTAN – Peranan Imam sewajarnya bukan setakat mengimami solat berjemaah atau mengajar hal-hal keagamaan kepada kariah atau ahli masyarakat setempat.

Peranan itu mesti diperluaskan hingga mencakupi sebagai Agen Transformasi! Inilah yang dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan luar teks 29-minitnya pada Multaqa Guru Takmir, Guru KAFA dan Imam Seluruh Negeri Pahang anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pagi Isnin, 10 Disember, di sini.

Antara yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej Jen (B) Dato’ Sri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Mustafa Abdul Rahman; Mufti Negeri, Sahibus Samahah, Dato’ Abdul Rahman Osman; dan, Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Mohd Ghazali Abdul Aziz.

Mengulas lanjut pada persidangan media kemudian kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “Bila saya kata Imam sebagai Agen Perubahan, ini bermaksud Imam itu sendiri sebagai orang yang dihormati dalam kampung, boleh memainkan peranan bukan setakat menjadi Imam atau menjadi guru ugama sahaja.

“Tapi sepatutnya boleh mengumpulkan dan memberikan kuliah kepada ahli-ahli masyarakat supaya mereka bersatu-padu. Mungkin dalam pada memberi ceramah itu, Imam boleh menggalakkan anggota-anggota masyarakat menumpukan beberapa perkara tertentu.

‘JIKA BERLADANG, JADILAH PELADANG YANG BERJAYA’

“Contohnya, memberikan tumpuan kepada pelajaran anak-anak, kemudian itu, (menyarankan ahli-ahli masyarakat) bekerja kuat dalam membangunkan ekonomi masing-masing.

“Kalau ibarat mereka (ahli masyarakat itu) berladang, jadilah (mereka) peladang yang berjaya. Ha… ini sepatutnya Imam boleh terapkan (dalam kuliah-kuliah dan ceramah mereka)”.  

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga menyarankan agar Imam juga mesti menunjukkan bahawa agama Islam yang dianuti, bukanlah setakat mengerjakan amal-ibadat seharian semata-mata sebaliknya merangkumi segala aspek kehidupan.

“Oleh sebab itu, saya berpendapat, kalau Imam betul-betul mainkan peranannya, insya-Allah, masyarakat kampung boleh bersatu-padu, dan mereka boleh maju-jaya. Dengan syarat Imam main peranan sebab Imam ini golongan yang dihormati,” katanya lagi.

Kehadiran Menteri Besar ke majlis ini tentunya dihargai oleh urusetia serta juga para peserta Multaqa ini sementelah beliau terpaksa mengorbankan kehadirannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang sedang berlangsung (antara Isnin, 3 Disember dan Selasa, 11 Disember).

CSR BANK ISLAM DI PAHANG BERNILAI RM568,000

Pada pagi Isnin, 10 Disember itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan perlu segera ‘berkejar’ ke sini setelah hadir pada sesi soal-jawab dan sesudah persidangan Dewah Undangan Negeri berhenti rehat pada kira-kira 10.30 pagi.

Dan, selepas Majlis Multaqa ini pula, Menteri Besar perlu pula ‘berkejar’ ke Hotel Zenith di pusat bandar, bagi menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Rumah Bank Islam Negeri Pahang.

Majlis anjuran Bank Islam ini – satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), ialah mengenai penyerahan bantuan bernilai kira-kira RM568,000 bagi membina dan membaikpulih 23 rumah milik golongan miskin di negeri ini.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar bank berkenaan, Dato’ Wan Ismail Wan Yusuf, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah diberi penghormatan menyampaikan secara simbolik, bantuan berkenaan kepada mereka yang terlibat.    

Dalam ucapan luar teks 8-minitnya, Menteri Besar antara lain memuji usaha CSR Bank Islam – yang meraih keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM281.5 juta bagi separuh tahun kewangan pertama tahun ini; lalu berharap, banyak lagi dapat dilakukannya pada masa-masa akan datang. – Khabar     

Sunday, 9 December 2012

'Head turner, eye catcher'; serta perkhidmatan yang menyelesakan


… hasil pengalaman setengah hari menaiki bas RapidKuantan pada hujung minggu

RAMAINYA... Penumpang lebih selesa berada di bahagian depan bas, tidak di bahagian belakang yang perlu naiki dua (2) anak tangga untuk berada di atasnya. Foto ini dirakam di 'seat' paling belakang yang perlu naiki dua (2) anak tangga lagi. 

Namun, perjalanan dalam bas berhawa dingin dengan tempat duduk serta alat pegang atas kepala yang modern; membuatkan penumpang terasa senang dengannya. 
  

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – ‘Head turner, eye catcher’; serta perkhidmatan yang menyelesakan bagi penumpang/penggunanya.

Inilah yang dapat dikatakan mengenai perkhidmatan bas bandar RapidKuantan kelolaan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB), setelah berpengalaman setengah hari menaikinya pada Ahad, 9 Disember.

Penulis katakan ‘head turner, eye catcher’ ialah kerana, sepanjang laluan bas-bas ini, orangramai tidak dapat tidak, akan pasti menoleh untuk melihat sambil bas-bas 10-meter panjang ini, melepasi mereka.

Menyelesakan pula ialah kerana, bas-basnya baharu, berhawa dingin dan pula, punat locengnya untuk ditekan penumpang bagi berhenti-turun di satu-satu hentian tepi jalan, adalah di lokasi yang mudah dicapai.

Sungguhpun begitu, dalam aspek ketepatan waktu dan laluan serta gelagat pemandu, masih perlu diperbaiki agar perkhidmatan bas bandar yang baharu ini, akan dapat meningkatkan ataupun mengekalkan keghairahan orangramai menggunakannya.

BERTAMBAH RAMAI, BERMULA KAMPUS UMP KE TERMINAL MAKMUR... Semakin ramai penumpang apabila bas melalui kampus UMP. Benar sangatlah permintaan Menteri Besar supaya 'route' sebegini diutamakan.  


AMBIL KESEMPATAN TAMBANG PERCUMA

Sementelah pula, mereka yang menaikinya ketika ini ialah yang mengambil kesempatan daripada tawaran tambang percuma sebulan antara 1 dan 31 Disember nanti. Apakah sambutan yang sama selepas berakhirnya tempoh itu kelak?

Berikut penulis rentetkan perjalanan setengah hari penulis dengan bas RapidKuantan ini;

7.06 pagi; Berjalan keluar tiga-beranak ke hentian bas berdekatan di Jalan Sultan Abdullah, berdepan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang yang di seberang jalan.

7.11 pagi; Tiba di hentian berkenaan. Sambil menunggu, sempat meninjau pondok hentian yang sedia terbina oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sejak sebelum perkhidmatan RapidKuantan wujud lagi. Ulasannya – menghampakan.

Persekitaran semak dengan daun-daun kering, tin minuman serta kulit-kulit durian! Tidak dapat duduk tetap di bangku simen yang disediakan sebab nyamuk halus lima-enam ekor asyik menghurungi badan khususnya lengan. Terpaksa bangun, mundar-mandir berjalan-jalan.

PEMANDU YANG AMBIL-KISAH... Selain meminta yang golongan lelaki berpindah ke bahagian belakang bas, pemandu yang ambil kisah ini (berbaju oren) turut meminta mereka terutamanya warga asing yang tidak kisahkan tempat duduk yang diutamakan kepada golongan ibu dan cacat anggota; supaya mencari tempat duduk lain agar tempat tersebut diduduki oleh mereka yang sewajarnya.  


TUNGGU LEBIH 30-MINIT

Oleh kerana penulis difahamkan, pengguna tidak akan menunggu lebih daripada 15 minit bagi menaiki sesebuah bas, jangkaan penulis ialah, bas akan tiba ke hentian ini paling lewat, 7.26 pagi (7.11 pagi + 15 minit). Namun tidak. Apabila melepasi tempoh tersebut, penulis mulai resah apatah lagi dengan hurungan nyamuk-nyamuk halus.

7.43 pagi; Selepas menunggu kira-kira 32 minit, baharulah bas Laluan 300 Kompleks Mahkamah (Kuantan) – POLISAS (Semambu) tiba. (Kompleks Mahkamah Kuantan terletak di Indera Mahkota 14 yang terpisah dengan Indera Mahkota 5 ini oleh Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan Kuantan).

Ketika menaiki bas ini, cuma ada seorang penumpang di dalamnya. Perjalanan ini sungguh selesa .

7.53 pagi; Oleh kerana hari ini hari minggu agaknya, perjalanan adalah lancar, tiada kesesakan khususnya pada persimpangan Jalan Bukit Ubi yang dilalui, dengan Jalan Bukit Bay-route. Maka, 10 minit sahaja, sudahpun sampai di Terminal Makmur di Platform 2.

Sesampainya sahaja, terus ke Plantform 1 bersebelahan, hendak mengambil perjalanan ke Gambang menerusi Laluan 100 Terminal Makmur – Gambang (hujungnya ialah di Kolej Matrikulasi).

TIKET, YANG JIKA TIDAK LAGI PERCUMA KELAK, HARGANYA CUMA RM2... 


BAS TERASA TERSENTAP-SENTAP

7.56 pagi; Berlepaslah menuju ke Gambang, melalui Jalan Bukit Sekilau-Jalan Lim Hoe Lek-Jalan Bukit Ubi-Jalan Mahkota-Jalan Kuantan-Gambang. Laluan ini turut memasuki Perkampungan Sungai Isap, Bukit Rangin dan Permatang Badak, sebelum keluar semula ke Jalan Kuantan-Gambang melepasi persimpangan berlampu isyarat bersebelahan Masjid Hidayah.

Sungguhpun selesa, ulasan negatif ialah, pemanduan agak kasar dan dibawa agak laju. Apabila menghampiri lampu isyarat untuk berhenti, bas terasa tersentap-sentap mungkin juga kerana sistem brek yang masih baharu, yang belum mahir lagi pemandu dengannya.

Satu lagi ulasan negatif penulis ialah tindakan pemandu yang agak memeranjatkan. Di hentian Jalan Sungai Isap Damai 7, pemandu boleh menghentikan bas seketika semata-mata untuk membeli kuih-muih yang dijual di warung tepi jalan berkenaan! Jam penulis menunjukkan, beliau menghabiskan masa dua (2) minit untuk itu. Bukanlah sangat fasal dua (2) minit itu tetapi lebih kerana ‘tidak manis’nya gelagat sebegitu.
  
9.02 pagi; Setelah kira-kira 66-minit (atau sejam, enam (6) minit) perjalanan, termasuk memasuki kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP), sampailah di luar pintu masuk Kolej Matrikulasi Gambang.

Ketika ini, penulis yang tidak bersarapan pagi lagi, mulai terasa lapar dan kepala mula berdenyut-denyut. Ketika inilah juga, penulis segera menyedari betapa, mungkin betullah juga pemandu bas ini yang berhenti seketika membeli kuih-muihnya tadi.    

BAHAGIAN KHAS UNTUK ORANG KELAINAN UPAYA (OKU)... Foto ini dirakam di atas bas Laluan '300 POLISAS' yang agak lengang dalam perjalanan kira-kira 7.43 pagi itu. Lihat cantiknya dan kemasnya peralatan. Semoga ia kekal khususnya tiada tangan-tangan gatal yang akan membikin tulisan-tulisan 'graffitti' padanya. 
  

LEGA DAPAT DUDUK DALAM BERHAWA DINGIN

Penulis tiga-beranakpun turun dari bas ini. Menunggu di tepi longkang berhampiran, bersedia untuk berpindah ke satu lagi bas yang sedia menunggu. Masih lagi bas Laluan 100 tetapi Gambang – Terminal Makmur.

Ketika menunggu, badan penulis sekali lagi dihurung nyamuk-nyamuk halus – cuma seekor-dua, tidak sebanyak di hentian bas di Indera Mahkota 5 tadi.

9.11 pagi; Pintu bas Laluan 100 Gambang – Terminal Makmur dibuka, maka naiklah kami ke dalamnya. Lega apabila pemandu turut menghidupkan enjin dan memasang penghawa dingin. Pun begitu, ada seekor nyamuk halus turut mengekori penulis dan berada di atas bas yang sama, kemudian hilang entah ke mana.  

9.17 pagi; Berlepaslah kami dari Kolej Matrikulasi Gambang ini, menuju ke Terminal Makmur, sekali lagi melalui Pekan Gambang – kampus UMP, semula ke Jalan Kuantan-Gambang, melepasi Taman TAS dan sesampainya berhampiran Permatang Badak/Perkampungan Sungai Isap, tidak pula bas ini memasukinya.

Yang nyata dalam perjalanan ini ialah, penumpang semakin ramai berbanding tadi. Yang ramai menaikinya ialah dalam kalangan pelajar Kolej Matrikulasi serta UMP, serta juga ‘nyonya, amoi dan ba’ dari pekan Gambang.

JANGANLAH ABAIKAN KEBERSIHAN... Kita faham dan turut bersetuju dengan maksud di sebalik ABAI ini - Asalkan Bukan ... diikuti dengan nama pemimpin utama parti pembangkang itu. 

Namun, ini tidaklah bermakna kita turut harus mengabaikan aspek kebersihan di tempat awam seperti di hentian bas berdepan SMK Tengku Panglima Perang ini. 

Sama-samalah kita menyalahkan diri - orangramai yang tidak kisahkan aspek kebersihan, pihak berkuasa tempatan pula tidak menyelenggara dengan baik dengan setidak-tidaknyapun, adakan tong sampah di sini.
   

BENAR SANGATLAH PERMINTAAN MENTERI BESAR

Dalam hal ini, benar sangatlah permintaan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob kepada SPNB mengenai keperluan untuk memberi perkhidmatan kepada laluan-laluan serta destinasi-destnasi ini.

10.31 pagi; Hanya selepas 74-minit (atau, sejam 14-minit), bas inipun tiba di Terminal Makmur. Berbanding dengan perjalanan ke Gambang tadi, dengan turut memasuki Perkampungan Sungai Isap-Bukit Rangin-Permatang Badak yang mengambil masa 66-minit; perjalanan ke Terminal Makmur ini tentulah agak lewat. Namun pemanduannya lancar serta ‘steady’, tidak seperti yang beli kuih-muih tadi.  

Setibanya di Terminal Makmur, yang segera dicari ialah restoran mamak di seberang sana berhampiran kompleks membeli-belah East Coast Mall. Maka puaslah penulis makan nasi briyani ayam goreng bersama-sama teh ais dan teh tarik. Oleh kerana kepala berdenyut, diambil dua (2) biji ‘panadol’, 40 sen sebiji, bersama-sama air.

11.20 pagi; Kembali ke Terminal Makmur, kali ini arah-tujunya ialah ke Teluk Chempedak. Ke platform 2, maka tunggulah ketibaan bas yang sepatutnya tertera pada Sistem Penerangan Awam (Public Information System), ‘200 Teluk Chempedak’.   

11.45 pagi; Tibalah bas Laluan 200 Teluk Chempedak berkenaan. Ramai juga yang hendak menaikinya seolah-olah berebut-rebut kecil. Dan, berlepaslah dengan melalui Jalan Bukit Sekilau-Jalan Lim Hoe Lek-Jalan Tun Ismail melepasi Kompleks Membeli-belah Megamall;

DI SINILAH TERBUANG, KESEDARAN SIVIK KITA... Prasarana kelas pertama, mentaliti kelas ketiga? 


15-MINIT PERJALANAN PULANG

Kemudian belok ke kanan mengambil Jalan Beserah, ke kiri memasuki Jalan Teluk Sisek, seterusnya, dari persimpangan berhampiran pasaraya Pantai Selamat, belok kiri memasuki Kubang Buaya, melepasi IKIP Advanced Skills Centre (IASC) dan Maktab rendah Sains Mara (MRSM)-Jalan Dato’ Bahaman berhampiran Medan Tok Sira-Jalan Tengku Muhamad, seterusnya ke Teluk Chempedak.

12.17 tengah hari;  Tibalah di Teluk Chempedak. Dari sini, turun dan menaiki bas yang sama yang akan kembali semula perjalanannya ke Terminal Makmur. Selain tempatan, yang ramai menaiki bas kali ini secara berkumpulan ialah warga asing yang penulis percaya, pekerja-pekerja Bangladesh yang dalam pakaian santai, bercuti-rehatlah agaknya.   

12.20 tengah hari; Bas Laluan 200 Teluk Chempedak-Terminal Makmurpun bertolak kembali, dengan mengambil laluan yang sama sepertimana ia tiba ke sini tadi.  

12.52 tengah hari; Kira-kira sentengah jam kemudian, tibalah di Terminal Makmur.   

1.05 petang; Mengambil semula bas Laluan 300 Kompleks Mahkamah, maka berlepaslah untuk perjalanan pulang.

1.20 petang; Dan kira-kira 15-minit, tibalah di hentian depan SMK Tengku Panglima Perang, Jalan Sultan Abdullah turun lalu berjalan kaki 5-minit untuk sampai ke kediaman penulis di sini. – Khabar           


Sederhana tapi meriah, perasmian Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-16 Pahang 2012


# Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob merasmikannya, yang turut disertai oleh isteri bekas Perdana Menteri selaku Penaung, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah.

# Sukan Paralimpiad Malaysia ke-16 antara 9 dan 14 Disember ini ialah yang terbesar dalam sejarah penganjurannya, melibatkan 2,537 atlit dan pegawai dari 15 kontinjen negeri.

# OKU di Pahang bertuah ekoran keputusan Kerajaan Negeri naikkan bantuan kebajikan bulanan daripada RM70 ke RM300 berkuatkuasa 1 Januari lepas (2012), kata pengacara majlis yang juga seorang OKU, Cik Ras Adiba Radzi.

MERASMIKAN... Bersama-sama Tun Jeanne (berskaf di kepala) serta isteri, Datin Sri Junaini Kassim dan Dato' Wan Adnan (terselindung), Dato' Sri DiRaja Adnan menekap tangan ke bola kristal tanda merasmikan Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-16 Pahang 2012 ini. 


STADIUM TERTUTUP SUKPA, BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob merasmikan Sukan Paralimpiad ke-16 Pahang 2012 yang menyaksikan penyertaan atlit dan pegawai terbesar dalam sejarah penganjurannya – 2,537 orang dari 15 kontinjen negeri!

Majlis perasmian yang turut disertai oleh isteri bekas Perdana Menteri, Tun Jeanne Abdullah selaku Penaung, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dianjurkan secara sederhana tetapi meriah, berlangsung pada petang Ahad, 9 Disember, di sini.

Antara yang turut hadir ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi, Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Wan Adnan Wan Mamat;

serta, wakil kepada Menteri Besar Perlis, Encik Jamil Saad; wakil kepada Ketua Menteri Sarawak, Dato’ Fatimah Abdullah, wakil kepada Ketua Menteri Sarawak; dan, Presiden MPM, Dato’ Zainal Abu Zarin.

Dalam ucapan perasmian luar teks 12-minitnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyatakan penghargaannya atas kesudian Tun Jeanne hadir pada petang hari minggu ini.

MENGHARAP PADA KONTINJEN KITA... Wakil rakyat, Dato' Zaili Besar (BN - Panching) yang mengetuai kontinjen 270-atlit negeri kita, sedang menyilakan seorang daripada atlit untuk bersama-samanya di barisan depan semasa mengabil tempat selepas melakukan perbarisan lintas-hormat. 


ANGKAT TABIK DAN TOPI KEPADA ATLIT PARALIMPIAD

“Saya juga mengalu-alukan kesemua yang hadir, termasuklah Presiden dan ahli-ahli exco Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan yang lebih-lebh lagi, saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengalu-alukan kehadiran saudari-saudari peserta-peserta Sukan Paralimpiad Malaysia kali ini,” katanya disusuli tepukan.

“… saya angkat tabik dan angkat topi, memberikan pengharaan yang setinggi-tingginya kepada semua atlit yang dapat mengambil bahagian kali ini,” Menteri Besar lagi yang sederap itu diberikan tepukan.    

Sambil itu, beliau juga berterima kasih atas kepercayaan Kerajaan Persekutuan memilih Pahang sebagai tuanrumah Sukan Paralimpiad ini, lanjutan daripada penganjuran Sukan Malaysia XV Pahang 2012 Julai lepas.

Seterusnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan memuji Dato’ Wan Adnan yang atas kepimpinan dan kerja-kerasnya, berjaya memastikan Sukan Paralimpiad Malaysia ke-16 Pahang 2012 ini dianjur dan dilaksanakan.

“Kita akan terus membantu golongan Orang Kelainan Upaya di Pahang. Sebagai contoh, kita telahpun menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri, daripada RM70 kepada RM300,” katanya yang disambut tepukan sekali lagi.

SERAH-MENYERAH OBOR KEJOHANAN... 


NAIK BANTUAN KEPADA RM300, JUMLAH OKU TURUT NAIK KEPADA 4,300 ORANG

“Kalau dahulunya, Kerajaan Negeri memberi bantuan (bulanan) RM70, Kerajaan Persekutuan, (bantuan bulanan) RM300; tetapi mulai 1 Januari 2012, bantuan kebajikan masyarakat ini telah kita naikkan dari RM70 (sebulan) kepada RM300 (sebulan).

“Bermakna di negeri Pahang, tidak akan ada lagi orang yang menerima bantuan kurang daripada RM300 (sebulan),” katanya sambil menambah betapa dengan kenaikan tersebut, berlaku juga pertambahan bilangan yang menuntutnya sungguhpun boleh dipertikaikan kelayakan mereka.

Sebelum ini, pertama kali Dato’ Sri DiRaja Adnan menyebut tentang kenaikan empat (4) kali ganda itu ialah semasa merasmikan Sambutan Hari OKU peringkat negeri pada pagi Selasa, 13 Mac lepas di Temerloh.

Ketika itu, jumlah keseluruhan OKU yang dikira layak untuk menerimanya ialah 4,000 orang sepertimana yang dimaklumkan oleh Pengarah, JKM Negeri, Dato’ Shamsiah Hussin kepada Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Namun kini, jumlah itu bertambah kepada 4,300 orang. Ini bermakna, tambahan lagi RM989,000 atau hamper RM1 juta (RM230 X 4,300 orang) atau keseluruhannya kira-kira RM1.29 juta sebulan (RM300 X 4,300 orang) yang perlu Kerajaan Negeri peruntukkan bagi maksud pembayaran bantuan kebajikan ini.

OKU RAKAM RAKAN-RAKAN ATLIT OKU NEGERINYA... Inilah aksi seorang OKU (cacat tangan, dengan kudung kedua-dua belah tangannya) yang juga atlit acara 'petanque, merakamkan saat-saat bersejarah perarakan masuk kontinjen negerinya - Perlis. Dan negeri 'Singa Utara' itu bakal menjadi hos bagi sukan yang juga, juga Sukan Malaysia bagi edisi tahun 2014 kelak. 


‘ARREARS’ SUDAH DIBAYAR DALAM DUA PERINGKAT

Oleh kerana tarikh berkuatkuasanya dikebelakangkan kepada 1 Januari (2012) sepertimana kata Menteri Besar itu, maka golongan ini dibayar tunggakan (arrears) yang dikira sejak tarikh itu juga.

Dan ini, sepertimana janji-janji Kerajaan yang sentiasa ditepati, telah dibayar dalam dua (2) peringkat iaitu sebelum bulan puasa, Julai lepas dan menjelang Hari Raya Aidil Fitri, sebulan selepasnya.  

'RAKAN-RAKAN OKU SAYA'... Inilah kata-kata oleh Pengacara Majlis pada petang Ahad itu, bekas personaliti TV3, Cik Ras Adiba Radzi yang lumpuh kedua-dua kakinya. Kata-kata ini diungkapkannya pada permulaan majlis, mengalu-alukan kehadiran semua.

Selepas menyila kemudian mendengar ucapan luar teks 12-minit Dato' Sri DiRaja Adnan, yang diulasnya ialah mengenai kenaikan bantuan kebajikan bulanan bagi OKU yang menurutnya, bertuahlah para OKU di negeri ini. – Khabar

Thursday, 6 December 2012

Presiden parti mesti diberi hak buat keputusan muktamad

 dan ahli parti mesti patuh sebab beliau mempunyai rangkaian maklumat yang luas maka boleh buat keputusan yang tepat tentang ‘winnable candidates’, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

PATUHI ARAHAN PEMIMPIN... Diapit oleh kepimpinan UMNO Bahagian Kuantan - Dato' Wan Adnan yang juga Ketua (ke kanan Dato' Sri DiRaja Adnan); Dato' Hamid yang juga Timbalan Ketua (berbaju oren); Dato' Shafik Fauzan yang juga Naib Ketua (ke sebelah kanan Dato' Hamid); dan, Tengku Dato' Zulkifli yang juga Bendahari (kanan sekali); Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memberikan persidangan medianya yang banyak menyentuh mengenai politik khususnya berkaitan pemilihan calon untuk bertanding pada pilihanraya umum kelak, yang dijadualkan pada tahun depan selewat-lewatnya 28 April 2013. 


PADANG MPK 4, JALAN KEMUNTING, KUANTAN – Kepimpinan serta ahli parti UMNO diminta menghormati dan memberi hak membuat keputusan muktamad tentang calon pada pilihanraya umum akan datang kepada Presiden, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.

Ia kerana, Presiden parti yang juga Perdana Menteri, mempunyai rangkaian maklumat yang luas yang menerusinya, membolehkan beliau membuat keputusan tepat tentang calon khususnya yang boleh menang (winnable).

“… apa juga, Presiden parti mesti diberi (hak membuat) keputusan muktamad, sebab Presiden parti mempunyai rangkaian maklumat (yang luas). (Yang dengan itu) Presiden parti boleh buat keputusan yang tepat.

“Dan, seperti kata Presiden parti, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, ‘kita akan pilih ‘winnable’ candidates’, calon boleh menang (maka, akurlah),” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenainya pada persidangan media sempena Majlis Berkhatan, Bertindik dan Kenduri Rakyat 2012 lewat pagi Khamis, 6 Disember, di sini.
DIRENJIS-RENJIS, DIPILIS... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang merenjis air ke arah para peserta majlis berkhatan, disambut riang-gembira oleh semua.


SUNGGUHPUN SEPENGGAL TAPI TAK ‘WINNABLE’…

Mengulas lanjut tentang calon boleh menang, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “Pada saya, ‘winnable candidates’ ini – kalau sudah 10 penggal dia ‘winnable’ (sebagai calon kemudian kekal menjadi wakil rakyat), orang lain tak ‘winnable’… biarlah dia bertanding lagi (pada pilihanraya kali ini).

“Kalau misalannya dia tak ‘winnable’ (pada pilihanraya umum kali ini) walaupun (baharu) sepenggal (sebagai wakil rakyat), tak payahlah dia bertanding lagi. Bagi orang yang ‘winnable’,” katanya.

Sewajarnya kepimpinan dan ahli parti yang diberikan jawatan-jawatan seperti Menteri Kabinet, Menteri Besar negeri-negeri, ahli-ahli Exco Kerajaan-kerajaan Negeri ataupun wakil rakyat biasa kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, menerima apa sahaja keputusan Presiden itu.

Lalu beliau mengingatkan mereka tentang ucapan penggulungan Presiden pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu, 1 Disember lepas, yang merujuk kepada ahli-ahli parti seperti Cikgu Seman Deros, yang setia dan berjuang untuk parti tetapi tidakpun diberi apa-apa jawatan.

“Dia jadi guru sampai sudah (hingga pencen). Orang lain, ada (yang dilantik menjadi) ahli Majlis Daerahlah, wakil rakyatlah. Maknanya, kalau kita menganggap politik ini sebagai satu landasan untuk kita berjuang, kedudukan kita dalam parti (atau Kerajaan) itu tidak penting, tidak mustahak.


DITEPUNGILAH TAWAR... Peserta majlis berkhatan yang dirai bak pengantin, mempelai.


TUNGGU MASA NAK PAKAI 'BOOT' MANA DARIPADA 3-4 PASANG

“Tinggal lagi kalau dipilih oleh parti, ha, itu satu tanggungjawab. Kalau parti tak pilih kita, parti (akan) pilih orang lain. Kalau parti tak pilih orang lain, parti pilih kita (dan) kita jalankan tugas,” katanya.

“(Kalau) sampai masa pula, parti tak pilih kita (lagi, sesudah dipilih menduduki satu-satu jawatan), kita anggaplah sebagaimana sebelum kita dipilih (dahulu). (Maka) parti akan berjalan lancar,” kata Menteri Besar itu lagi.

Kepada soalan tentang senarai nama-nama calon yang Badan Perhubungan Negeri cadangkan, katanya, senarai pertama telah lama dihantarnya ke Ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

“Ibarat main bolalah… ‘boot’ dah simpan dah tiga-empat pasang. Tinggal lagi, ‘boot’ mana nak pakai sahaja, nak ambil,” katanya dan menambah agar kiasan yang diberikannya ini, dapat difahami dalam perspektifnya.

Beliau seterusnya menjawab tidak kepada soalan sama ada, ada dalam kalangan wakil-wakil rakyat di negeri ini yang telah menemuinya dan menyatakan kesediaan untuk tidak dicalonkan pada pilihanraya kali ini.


MERIAH DIBAWA BERARAK... Inilah sebahagian daripada 459 orang yang hendak dikhatan, dan 102 orang yang hendak ditindik, dibawa berarak ke tempat majlis di Padang MPK 4, lewat pagi Khamis itu.


KADANG-KADANG CAKAP LURUS TAK BERBALOI

“… dalam keadaan sekarang kalau misalannya Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN atau wakil rakyat) termasuk saya, kita beritahu Perdana Menteri, ‘… kita ingin berundurlah dari (menjadi) ADUN ni.’

“(Sedangkan) orang melobi (untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat di kawasan-kawasan berkenaan) ramai ni. Ramai melobi ni. Tapi oleh sebab kita khabar begitu (untuk berundur), (dan) mungkin kita boleh menang (lagi jika dicalonkan semula), ‘out’… (akibat daripada kerja-kerja melobi tersebut).

“Maknanya, jika cakap lurus tu kadang-kadang tidak berbaloi. Yang menunggu sahaja ni ramai. Oleh sebab itu, kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti . Dari dulu sampai sekarangpun, (sepatutnya ialah, jika) ‘awak (dipilih) bertanding, bertanding(lah). (Jika) tidak, tak pa…’

“Yang kita tak mahu ni, ‘Awak tak bertanding,’ (Mereka) terus marah, terus sabotaj parti. Kita kena ingat, orang ni walaupun seorang, dia ada pengikut dia juga. Walaupun tak kuat, dia (masih) ada pengikut dia. Ha, itu (akan menyebabkan) rosak parti,” katanya lagi.

Mengenai program lewat pagi Khamis itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata, majlis sebegini elok diadakan yang secara tidak langsung, turut dapat mengeratkan hubungan sesama Melayu serta dengan yang bukan Melayu.


SERONOK DISIRAMI AIR SEMBURAN BOMBA...  


ASPEK PSIKOLOGI DISEBALIK MAJLIS BERKHATAN  

Menurutnya, “… dari sudut psikologi – mereka ni diraikan supaya mereka hilang ketakutan, hilang rasa takut untuk berkhatan (dan bertindik). Bila diarak sebagai pengantin, diarak sebagai mempelai, mereka dapat bunga telur, ditepung tawar;

"Mereka dengan sendiri lupa yang mereka itu akan berkhatan (atau bertindik). Sedar-sedar dah sakit sahaja, sikit. Dan, ia juga dapat menghilangkan propaganda selama ini yang orang katakana, berkhatan ni teruk, parah , sakit – sebenarnya tidak”.

Seramai 459 anak-anak lelaki berusia antara 10 dan 13 tahun, menyertai majlis berkhatan tersebut, manakala lagi 102 anak-anak perempuan, bertindik. Mereka ditepung-tawarkan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri sebelum disirami pancutan air oleh pasukan Bomba.

Antara yang turut hadir ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Adnan Wan Mamat dan Dato’ Shafik Fauzan Sharif; Dato’ Abdul Hamid Nazahar yang mewakili Kelab Putera 1Malaysia;

Yang Dipertua, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang, Dato’ Setia Perkasa Tengku Dato’ Zulkifli Tengku Ahmad yang juga Pengerusi Bersama majlis ini dengan Encik Wan Solihi Wan Hasan; Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato' Sufian Awang yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan; serta, Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara (JPN) negeri, Puan Fairojibanu Zainal Abidin. – Khabar  


       


Wednesday, 5 December 2012

Bajet Negeri 2013 ialah bajet surplus/lebihan dijangka ke-7 sejak 1999!!!



kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Bajet Negeri 2013 dengan surplus/lebihan RM25.06 juta, ialah bajet surplus/lebihan yang dijangka ketujuh sejak tahun 1999.

Inipun tidak termasuk Bajet Negeri 2012 yang pada pembentangannya pada tahun lepas (2011), merupakan bajet surplus/lebihan cuma kira-kira RM1.11 juta iaitu anggaran hasil RM509.93 juta berbanding anggaran perbelanjaan, RM508.83 juta.

Akaun bagi Bajet Negeri 2012 ini hanya akan tutup pada akhir tahun ini (2012).   

Selain Bajet Negeri 2013, bajet negeri untuk tahun-tahun 2007, 2006, 2005, 2004, 2003, dan 2002 merupakan juga bajet surplus/lebihan. Tahun 2007 surplus/lebihannya ialah RM18.13 juta (kutipan hasil sebenar, RM441.04 juta berbanding perbelanjaan sebenar, RM422.91 juta);

Tahun 2006 ialah RM72.17 juta (kutipan hasil sebenar, RM435.67 juta berbanding perbelanjaan sebenar, RM363.51 juta); tahun 2005 ialah RM72.73 juta (kutipan hasil sebenar, RM485.70 juta berbanding perbelanjaan sebenar, RM412.98 juta);

SELAIN ITU IALAH EMPAT (4) BAJET DEFISIT, TIGA (3) BAJET BERIMBANG

Tahun 2004 ialah RM95.63 juta (kutipan hasil sebenar, RM486.04 juta berbanding perbelanjaan sebenar, RM390.42 juta); tahun 2003 ialah RM79.49 juta (kutipan hasil sebenar, RM420.62 juta berbanding perbelanjaan sebenar, RM341.12 juta); dan, tahun 2002 ialah RM7.22 juta (kutipan hasil sebenar, RM357.19 juta berbanding perbelanjaan sebenar, RM349.97 juta).

Selain daripada itu ialah empat (4) bajet defisit dan tiga (3) bajet berimbang. Keempat-empat bajet defisit tersebut ialah pada tahun-tahun 2011, 2010, 2009 dan 2008. Tahun 2011, defisitnya ialah RM11.68 juta (perbelanjaan sebenar sebanyak, RM613.20 juta melebihi kutipan hasil sebenar, RM601.53 juta);

Tahun 2010, defisitnya ialah RM51.81 juta (perbelanjaan sebenar, RM578.01 juta melebihi kutipan hasil sebenar, RM526.19 juta); tahun 2009, defisit RM42.27 juta (perbelanjaan sebenar, RM534.41 juta melebihi kutipan hasil sebenar, RM492.14 juta); dan 2008, defisit RM27.12 juta (perbelanjaan sebenar, RM508.97 juta melebihi kutipan hasil sebenar, RM481.84 juta). – Khabar

Penghargaan dan sanjungan buat Tun Dr Mahahir

… sempena kehadiran bekas Perdana Menteri itu ke Majlis Bicara Tokoh di Kemasul, Dewan Undangan Negeri kawasan Pelangai yang berwakil rakyatkan Dato’ Sri DiRaja Adnan.


MENGHARGAI KEHADIRAN TUN DR MAHATHIR... Tun Dr Mahathir diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan, sedang bersalaman dengan hadirin yang memenuhi setiap ruang dalam dewan serbaguna yang baharu dan modern ini, pada majlis pagi Rabu itu. 


DEWAN SERBAGUNA, RANCANGAN TANAH FELDA KEMASUL, BENTONG – Kehadirannya ke sini adalah diharap dan dinanti-nantikan. Apabila ia berlaku, hanya penghargaan dan sanjungan diberikan kepadanya – Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri keempat itu tiba dan berada di sini pagi Rabu, 5 Disember, memenuhi jemputan ke Majlis Bicara Tokoh anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Felda, dengan sokongan Kerajaan Negeri.

Jika sambutan hangat dengan kehadiran ramai peneroka dan ahli-ahli koperasi ke sini melambangkan sanjungan dan penghargaan tinggi itu, apatah pula dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Dan beliau yang juga wakil rakyat kawasan ini (BN – Pelangai), sanggup ‘terbang’ ke sini dalam pada Dewan Undangan Negeri masih bersidang, membahaskan usul ucapan Bajet Negeri 2013 – bajet lebihan RM25.06 juta; yang dibentangkannya pagi semalam, Selasa, 4 Disember.

“Saya mengucapkan penghargaan yang sangat tinggi kepada YABhg Tun, yang saya dan Tuan-tuan dan Puan-puan semua kasihi, kerana disebalik jadual yang sibuk, walaupun telah bersara sebagai Perdana Menteri, tetapi jadual Tun nampaknya lebih sibuk…” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan memulakan ucapan.

UCAPAN DISUSULI DIALOG SATU SETENGAH JAMNYA... Tun Dr Mahathir sedang menjawab soalan yang dikemukakan semasa sesi dialog, sambil Dato' Sri DiRaja Adnan yang secara spontan bertindak sebagai pemudahcara (moderator), serta yang lain, memerhatikan. 
  

TUN LANTIK DATO’ SRI DIRAJA ADNAN SEBAGAI MENTERI BESAR

“Dengan takdir Allah, YABhg Tun pada masa itu Perdana Menteri, melantik saya sebagai Menteri Besar. Sebagai Menteri Besar ini, bukannya kita anggap satu kedudukan yang istimewa tetapi lebih teruk lagi, untuk memberikan khidmat bakti kepada rakyat.

“Saya tidak boleh lupa dan tidak akan tinggalkan Tun. Walau sesibuk manapun kalau Tun datang, Insya-Allah, saya akan cuba cari masa untuk bersama-sama,” katanya lagi disusuli tepukan oleh para hadirin yang membanjiri dewan modern ini.

Kepada mereka yang hadir pula, Dato’ Sri DiRaja Adnan percaya, mereka ‘bersusah-payah’ berbuat demikian ialah semata-mata untuk mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir.

“Kerana Tun,” katanya, “… ialah seorang tokoh yang mempunyai banyak pandangan, idea, tetapi saya perhatikan, sejak berdekatan sedikit dengan YABhg Tun sejak dahulu, Tun seorang ahli fkir dan seorang yang memerhati dan pasti nampak perkara-perkara yang orang lain tidak nampak. Itu keistimewaan Tun,” disusuli tepukan hadirin sekali lagi.

“Tun seorang yang cepat dan cekap. Orang putih kata ‘witty’. Tadi saya beritahu Tun, 'Tun kena terus berceramah’. Tun kata, ‘Tengoklah… Lepas-lepas ini esok nak kena
tidur sahaja’. Saya kata pada Tun, ‘Kalau tidur Tun, cepat sakit’. Tapi Tun cepat jawab,
‘Tak tahulah… sakit dulu ke, tidur dulu, mana tahu, tak tahulah…’” diikuti ketawa oleh
hadirin lagi.


ANAK ARWAH, AYAHNYA AHLI UMNO... Encik Mohd Farid Abdul Rahman, 20-an, sedang
menanyakan tentang 'murtad' yang telah dihukumkan oleh sebuah parti pembangkang terhadap
UMNO lalu mendapat jawapan tepat daripada Tun Dr Mahathir.

KIRIM BUAH MESTA KEPADA TUN

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian mengisahkan bagaimana beliau telah mengirim 60 biji buah
mesta atau manggis kepada Tun Dr Mahathir setelah beliau diberikan 90 biji buah tersebut oleh
rakannya.  
Apabila menemui Tun Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung UMNO minggu lepas katanya,
beliau ada bertanyakan kepada Tun Dr Mahathir mengenai kirimannya lalu diakui penerimaan
tersebut. 

“Saya cakap kat Tun lagi, ‘Saya ambil 30 biji, bagi (kepada) Tun 60 biji’. ‘Macam
mana pula?’ (tanya Tun Dr Mahathir). Rupanya, kira-kira Tun lagi cepat. Saya cepat
ubah, ‘Kawan saya beri 90 biji, saya bagi (kepada) Tun 60, tinggal saya 30’. Baru betul,”
katanya yang sederap itu juga membuatkan hadirin ketawa.  

“Kita biasa lihat satu perkara dari satu sudut. Orang yang berfikir sikit tengok satu
perkara dari dua-tiga sudut. Tapi Tun lebih dari itu. (Beliau melihat satu perkara itu
dari) lima-enam sudut.

“Kita berharap Tun akan berikan pandangan kepada kita di Felda Kemasul ini. Saya
berasa sangat berbangga Tun datang ke Pahang. Bukan ke Pahang sahaja, ke Bentong.
Bukan ke Bentong sahaja, ke Pelangai. Bukan ke Pelangai sahaja, (ke) Felda Kemasul,
kawasan pilihanraya yang saya menjadi wakil rakyat,” katanya.


KEKAL IKON DAN IDOLA KITA... Tun Dr Mahathir sedang menurunkan tandatangan ke atas
bukunya atas permintaan peminatnya yang setia.

LANGKAH-LANGKAH TUN HADAPI KRISIS KEWANGAN

Menurutnya, semasa krisis kewangan dunia tahun-tahun 1997, 1998 dan 1999,  Tun Dr Mahathir
ketika itu Perdana Menteri, telah mengambil beberapa langkah termasuk menambat (pegged)
mata wang ringgit Malaysia pada kadar RM3.50 untuk US1 dolar.

Langkah-langkah ini menerima kritikan di peringkat antarabangsa termasuklah yang utama,
daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika itu tetapi kini katanya, adalah sebaliknya,
dengan mengakui betapa langkah-langkah tersebut tepat .

“Itulah letak, hebatnya Tun. Dan kehebatan ini buka kerana apa, kerana Tun ada
kemahuan untuk menambah ilmu pengetahuan. Tun membaca, mendengar taklimat dan
lebih dari itu, Tun berani. Tun berani buat keputusan. Kita negara kecil. Kita negara
kecil nak bersaing dengan negara besar, kuasa-kuasa besar,” katanya.

Selaku Menteri Besar kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, beliau mempelajari banyak perkara 
khususnya yang berkaitan dengan hal-hal ekonomi dan korporat, menerusi pembacaannya ke atas
buku-buku serta artikel-artikel tulisan Tun Dr Mahathir.

Hasil pembacaan tersebut kemudian berbincang dengan rakan-rakan yang arif mengenai perkara-
perkara berkenaan katanya, telah dapat membimbing beliau dalam mengendalikan hal-hal
berkaitan ekonomi dalam negeri.


BERSARAPAN DI RUMAH PENEROKA... Adat orang menerima tetamu, apatah yang besar
sepertimana Tun Dr Mahathir dan Dato' Sri DiRaja Adnan; tuanrumah, Encik Razali Baharudin
(kiri, duduk di lantai) telah menjamukan sarapan pagi. Antara yang turut kelihatan ialah Encik
Mohd Jaafar (kiri) dan Encik Shuib (bersongkok). 

JAYA KURANGKAN HUTANG PKNP KEPADA RM550 JUTA

“PKNP yang terpaksa, sepatutnya berhutang RM3 billion (RM3,000 juta, ekoran
beberapa langkah diambil untuk menangani krisis kewangan tahun-tahun 1997, 1998,
1999), dengan panduan buku Tun sebagainya kita baca, jatuh semula sehingga hanya
berhutang RM550 juta.

“… dan tahun ini, hutang itupun telah selesai. Keuntungan PKNP (diikuti tepukan
hadirin). Keuntungan PKNP yang rata-rata RM25 hingga RM30 juta setahun (yang
terpaksa dikorbankan untuk membayar hutang tersebut secara ansuran), mulai
tahun depan boleh digunakan untuk PKNP dan rakyat negeri Pahang insya-Allah,”
katanya, disusuli tepukan lagi.

“Kenapa ianya berlaku? Bukan salah Menteri Besar yang terdahulu, bukan salah
Menteri Besar sekarang. Tapi salah-kira oleh pihak-pihak tertentu yang tidak
payah saya sebutkan.

“Ini semua adalah hasil daripada percaturan yang mungkin kurang tepat. Tapi oleh
sebab kita ada pakatan kita, sanggup menimba ilmu pengetahuan dan saya
terhutang budi dengan Tun, dapat kita keluar dari kemelut ini,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan mengakhiri ucapan 12-minitnya dengan  mendoakan
agar Tun Dr Mahathir berserta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dapat terus
sihat, dipanjangkan umur supaya dapat Tun Dr Mahathir terus memberikan pandangan
dan buah fikirannya kepada umum.


NO 366, JALAN BUNGA ANGGERIK, FELDA KEMASUL... Inilah bahagian depan/luar rumah
Encik Razali yang dalam ucapan 48-minit Tun Dr Mahathir selepas itu, menyebut, "Rumah dia
(Encik Razali) cantik sekali. Tak serupa pondok yang Kerajaan buat dulu".

UCAPAN DAN DIALOG SELAMA 1 ½ JAM  

Beliau kemudian menyilakan Tun Dr Mahahir memberikan ucapan, disusuli dialog yang
disertai oleh sembilan orang yang menanyakan pelbagai soalan daripada kesihatan, hinggalah
kepada isu-isu politik termasuk berkenaan dengan dakwaan murtad ke atas UMNO oleh
parti pambangkang.

Ucapan serta dialog Tun Dr Mahathir berlangsung kira-kira sejam setengah bermula
10.47 pagi, berakhir pada 12.19 tengah hari, diikuti makan tengah hari sebelum Tun Dr
Mahathir berlepas pulang.

Antara yang turut hadir ialah Ketua Polis Negeri, Dato’ Shahiruddin Abdul Ghani; Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; wakil Pengerusi Eksekutif, SKM, Encik Mohd Jaafar bin Muhayat;

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato’ Zaini Salleh; Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato’ Norazmi Jaafar; Pengarah SKM Pahang, Encik Mohd Zawawi Mahmud;

Pengurus Besar, Felda Wilayah Mempaga, Encik Jahaya Zainal; serta tuanrumah, Pengerusi, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Kemasul, Encik Shuib Chin.

'SMOOTH & SOFT LANDING'... Dato' Sri DiRaja Adnan - dengan lesen SPL (Student's Pilot License), lebih 500 jam penerbangan; telah menerbang-pandu helikopter jenis AS 365 N3 Dauphin buatan syarikat Eurocopter, Perancis ini dengan kelajuan 140 knots (259 km sejam) dan ketinggian 762 meter (2,500 kaki) dari Rumah Negeri, Kuantan dan mendarat di Padang Awam, Felda Kemasul ini pada pagi Rabu itu. 

Kelihatan, beliau baharu hendak keluar dari tempat duduk pemandu helikopter berkenaan disambut Encik Shuib (berpayung). – Khabar