Monday 10 December 2012

Imam sebagai Agen Transformasi/Perubahan

… mengenai peranan luas seorang Imam sebagaimana kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan pada Multaqa Guru Takmir, Guru KAFA dan Imam Seluruh Pahang anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

MAJLIS BANK ISLAM DI HOTEL LIMA BINTANG... Bersesuaian dengan statusnya sebagai antara bank yang terkemuka di negara ini, apatah pula dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat kira-kira RM281.5 juta untuk tempoh awal tahun ini sahaja; maka wajarlah Majlis Penyerahan Bantuan Rumah ini diadakan di sini.

Hadirin yang termasuk Menteri Besar kelihatan, sedang menyaksikan tayangan video yang memaparkan beberapa buah rumah yang telah dibina atau dibaikpulih di bawah program CSR Bank Islam ini.  


DEWAN KOLEJ ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH (KIPSAS), KUANTAN – Peranan Imam sewajarnya bukan setakat mengimami solat berjemaah atau mengajar hal-hal keagamaan kepada kariah atau ahli masyarakat setempat.

Peranan itu mesti diperluaskan hingga mencakupi sebagai Agen Transformasi! Inilah yang dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan luar teks 29-minitnya pada Multaqa Guru Takmir, Guru KAFA dan Imam Seluruh Negeri Pahang anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pagi Isnin, 10 Disember, di sini.

Antara yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej Jen (B) Dato’ Sri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Mustafa Abdul Rahman; Mufti Negeri, Sahibus Samahah, Dato’ Abdul Rahman Osman; dan, Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Mohd Ghazali Abdul Aziz.

Mengulas lanjut pada persidangan media kemudian kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “Bila saya kata Imam sebagai Agen Perubahan, ini bermaksud Imam itu sendiri sebagai orang yang dihormati dalam kampung, boleh memainkan peranan bukan setakat menjadi Imam atau menjadi guru ugama sahaja.

“Tapi sepatutnya boleh mengumpulkan dan memberikan kuliah kepada ahli-ahli masyarakat supaya mereka bersatu-padu. Mungkin dalam pada memberi ceramah itu, Imam boleh menggalakkan anggota-anggota masyarakat menumpukan beberapa perkara tertentu.

‘JIKA BERLADANG, JADILAH PELADANG YANG BERJAYA’

“Contohnya, memberikan tumpuan kepada pelajaran anak-anak, kemudian itu, (menyarankan ahli-ahli masyarakat) bekerja kuat dalam membangunkan ekonomi masing-masing.

“Kalau ibarat mereka (ahli masyarakat itu) berladang, jadilah (mereka) peladang yang berjaya. Ha… ini sepatutnya Imam boleh terapkan (dalam kuliah-kuliah dan ceramah mereka)”.  

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga menyarankan agar Imam juga mesti menunjukkan bahawa agama Islam yang dianuti, bukanlah setakat mengerjakan amal-ibadat seharian semata-mata sebaliknya merangkumi segala aspek kehidupan.

“Oleh sebab itu, saya berpendapat, kalau Imam betul-betul mainkan peranannya, insya-Allah, masyarakat kampung boleh bersatu-padu, dan mereka boleh maju-jaya. Dengan syarat Imam main peranan sebab Imam ini golongan yang dihormati,” katanya lagi.

Kehadiran Menteri Besar ke majlis ini tentunya dihargai oleh urusetia serta juga para peserta Multaqa ini sementelah beliau terpaksa mengorbankan kehadirannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang sedang berlangsung (antara Isnin, 3 Disember dan Selasa, 11 Disember).

CSR BANK ISLAM DI PAHANG BERNILAI RM568,000

Pada pagi Isnin, 10 Disember itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan perlu segera ‘berkejar’ ke sini setelah hadir pada sesi soal-jawab dan sesudah persidangan Dewah Undangan Negeri berhenti rehat pada kira-kira 10.30 pagi.

Dan, selepas Majlis Multaqa ini pula, Menteri Besar perlu pula ‘berkejar’ ke Hotel Zenith di pusat bandar, bagi menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Rumah Bank Islam Negeri Pahang.

Majlis anjuran Bank Islam ini – satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), ialah mengenai penyerahan bantuan bernilai kira-kira RM568,000 bagi membina dan membaikpulih 23 rumah milik golongan miskin di negeri ini.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar bank berkenaan, Dato’ Wan Ismail Wan Yusuf, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah diberi penghormatan menyampaikan secara simbolik, bantuan berkenaan kepada mereka yang terlibat.    

Dalam ucapan luar teks 8-minitnya, Menteri Besar antara lain memuji usaha CSR Bank Islam – yang meraih keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM281.5 juta bagi separuh tahun kewangan pertama tahun ini; lalu berharap, banyak lagi dapat dilakukannya pada masa-masa akan datang. – Khabar