Tuesday 12 February 2013

Balairaya baharu untuk perkampungan Orang Asli Kedaik Asal, Rompin

… selain Pegawai Daerah Rompin diarah buat anggaran kos bagi pembinaan jambatan baharu merentangi Sungai Gayung, yang jika di bawah RM1 juta, akan guna peruntukan Menteri Besar.

SERAH BANTUAN BANJIR... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diiringi Dato' Maznah, sedang menyampaikan bantuan banjir kepada mereka yang berkenaan.  


BALAIRAYA, KAMPUNG KEDAIK ASAL, ROMPIN – Dua (2) permintaan besar oleh penduduk perkampungan Orang Asli berpenghuni kira-kira 400 orang ini ditunai dan dipertimbangkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada lawatan luar jadualnya ke sini petang Selasa, 12 Februari.

Permintaan pertama ialah mengenai pembinaan balairaya baharu menggantikan balairaya sedia ada binaan papan dan berbumbing ‘zink’ ini yang agak usang, yang dibina sejak kira-kira 49 tahun lepas, pada tahun 1964.

Permintaan kedua ialah jambatan baharu menggantikan yang ada – yang sering dibanjiri pada musim tengkujuh dan tidak boleh dilalui untuk menyeberangi Sungai Gayung ke kampung ini dari jalan utama Bandar Muadzam Shah – Leban Chondong semasa lawatan luar jadual Menteri Besar.

“Segera, serta-merta Dato’ D.O, buat balairaya Kampung Kedaik Asal ini, buat baharu,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan 30-minitnya pada perjumpaan sempena lawatan luar jadualnya itu, yang menerima tepukan hadirin dalam kalangan Orang Asli yang hadir.

“Kita buat (bina balairaya baharu tersebut) pakai kipas, tak payah ‘air-cond’, pakai kipas. Kita buat dinding tapi nak jaga elok-elok – nak bersewangpun boleh, nak menaripun boleh.

SMBUTAN MESRA ANAK-ANAK ORANG ASLI... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersalaman dengan anak-anak Orang Asli yang menyambut ketibaannya di perkarangan balairaya pada petang Selasa itu. 

Yang turut kelihatan dalam foto ini mengiringi Dato' Sri DiRaja Adnan ialah Encik Adnan (kanan, berbaju putih) yang dalam ucapannya telah turut menyentuh soal merajuk yang kemudian dijawab-balas secara bijaksana oleh Menteri Besar sendiri.    


‘ORANG MERAJUK SELALU RUGI’

“Buatlah malam-malam, mungkin tempat berbincang, tempat bermesyuarat, anak-anak mungkin boleh belajar. Kita atur elok-elok,” katanya pada lawatan yang turut disertai Pegawai Daerah, Dato’ Ahmad Fuad Syed Taha.

Yang turut mengiringi lawatan ini sambil menyampaikan bantuan banjir kepada mereka  berkenaan ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Maznah Mazlan yang juga wakil rakyat kawasan ini (BN – Muadzam Shah); dan Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sahfri Ab.Aziz, yang juga wakil rakyat (BN – Ibam).

“(Permintaan untuk) jambatan tu, ha ini bukan janji. Kita tengok dulu. Saya dah khabar Dato’ D.O, buat ‘estimate’ berapa? Kalau RM1 juta ke bawah, ‘confirm’ kita buat selepas pilihanraya,” katanya dan menambah, akan meminta peruntukan dari Kerajaan Persekutuan jika melebihinya (RM1 juta).

Menurutnya, tidak perlulah untuk ‘merajuk-merajuk’ ataupun ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’ hanya kerana permintaan yang dibuat sebelum ini tidak ditunaikan oleh pihak-pihak berkenaan.    

“Biarlah merajuk bersebab. Seluang laut ke tengah lautpun pergi akhirnya balik ke tepi (pantai) juga. Sebab nenek saya khabar, orang merajuk selalu rugi,” katanya yang merujuk kepada ucapan Ketua UMNO cawangan kampung ini sebelum itu, Encik Adnan Bogi yang turut membangkitkan soal merajuk.  

BARISAN NASIONAL (BN) TETAP TERPAHAT DI HATI... Selain bendera BN yang dipasang di muka pintu/anak tangga ke balairaya ini, turut dipasang ialah bendera UMNO pada laluan masuk ke balairaya ini. Jelas buktikan, waima apapun - merajuk atau tidak, BN dan UMNO tetap di hati.  


YANG DAHULU, DIDAHULUKAN

Mengambil kesempatan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh mengenai peranan sesebuah Kerajaan termasuklah ahli parlimen dan wakil rakyat, serta jabatan-jabatan Kerajaan yang menjadi jentera pelaksana kepada projek-projek yang Kerajaan luluskan.

“Dalam pada itu pula, masyarakat macam kita ni (masyarakat Orang Asli), kita mintalah. Balairaya dah lama, (kita) minta. Jambatan setiap kali (dinaiki air lalu) banjir, kita minta. Lepas itu, jalan rosak, kita minta.

“Ha… itu tugas kita (masyarakat) untuk meminta. (Peranan) wakil rakyat, tugas Kerajaan, pegawai-pegawai Kerajaan (ialah) mengirakannya, menyelaraskannya. Mana patut dulu, mana patut kemudian.

“Kerajaan pula, bukan bila sebut Kerajaan, duit dia banyak sangat... Duit sampai tak berhabis, tidak… Kena pula atur dulu – mana patut dapat dulu, mana patut dapat kemudian. Ha ini yang kita ada rancangan setiap lima tahun tu.

“Tak bolehlah minta, kita bagi semua,” katanya lalu memberikan analogi seorang ayah yang tidak mungkin dapat tunaikan permintaan oleh kesemua anaknya sekaligus, melainkan secara yang sewajarnya.

BALAIRAYA YANG AKAN DIPERBESAR DAN DIPERBAHARUKAN... Setelah 49 tahun berjasa, maka sampailah masanya masyarakat Orang Asli Kedaik Asal memiliki balairaya baharu yang lebih selesa kemudahannya. 


PELUANG BAIK UNTUK JUMPA ORANG ASLI KEDAIK ASAL

“Kita dengan anakpun tak boleh minta, bagi semua. Anak ini minta kasut, anak ini nak stokin. Anak ini nak seluar. Duit tak cukup. Jadi kita tengok; kasut anak boleh lagi, tak payah ganti. Awak (pula, anak yang lain yang kasutnya) koyak, boleh ganti,” katanya.

Pada awal ucapannya, beliau telah memberi latar belakang kepada lawatan luar jadualnya ke sini – perjalanan 144 km dari Kuantan melalui Bandar Muadzam Shah termasuk secara ‘off-road’ kira-kira setengah jam merentasi jalan ladang milik Far East Holdings Bhd – syarikat yang diapungkan di Bursa Malaysia majoriti sahamnya milik Kerajaan Negeri.

Pada bulan puasa yang lepas (Julai/Ogos 2012) katanya, beliau dijemput oleh Adnan untuk melakukan lawatan ke kampung ini dan beliau ketika itu bersetuju jika mempunyai masa yang terluang.   

Hanya petang semalam katanya, beliau telah maklumkan semula kepada Adnan mengenai keputusannya untuk datang dengan membawa bantuan makanan untuk mangsa banjir yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri.  

“Saya berasa sukacita kerana ini peluang yang baik untuk saya berjumpa dengan Orang Asli, terutama di Kedaik. (Sebelum inipun) saya berjumpa juga dengan Orang Asli dari Cameron dan juga Orang Asli dari Temerloh;

BARANGAN BANTUAN UNTUK DIAGIH-AGIHKAN...


MASALAH ORANG ASLI DI MANAPUN, HAMPIR SAMA

“Banyak masalah yang telah dikeluarkan (disuarakan) dan hampir sama (sahaja masalah tersebut) – (yang berkaitan dengan) soal tanah, soal balairaya, soal jambatan,” katanya.

Kata-kata beliau seterusnya dilihat begitu menyentuh perasaan Orang Asli yang hadir apabila dengan bersahaja menyebut; “Datang saya ini janganlah anggap Menteri Besar datang. Anggap saudara Tuan-tuan dan Puan-puan datang.

“Maknanya, macam Orang Asli juga datang. Saya tengok muka-hidung sayapun macam muka-hidung Tuan-tuan dan Puan-puan juga. Kalau tengok kulit saya, kulit Tuan-tuan dan Puan-puanpun lagi cerah daripada saya.

“Jadi, anggap kita ini macam saudara. Sebab, apapun keturunan kita, apapun ugama kita; susah Orang Asli, susah orang lain. Bukan bermakna (jika) Orang Asli susah, orang Melayu dia sedap sahaja, tidak… serupa sahaja (susah tersebut).  

“Kita ini manusia yang Allah Taala jadikan sama – ada tulang empat kerat, ada mulut, ada mata, telinga. Boleh bercakap, boleh mengenengahkan masalah. Tapi nasiblah kadang-kadang, awak senang sikit, kawan payah sangat. Awak susah, kawan senang sikit. Itu biasa,” katanya lagi.

MB PANDU SENDIRI TINJAU MASALAH

Dalam pada itu, Dato’ Sri DiRaja menegur sikap ibubapa yang membiarkan anak-anak mereka berhenti daripada meneruskan pengajian di sekolah lalu meminta mereka menghantar semula anak-anak tersebut ke sekolah yang dengan pelajaran, dapat menjamin masa depan yang lebih baik untuk mereka juga.

Sempena lawatan luar jadual itu juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah memandu sendiri kendaraan pacuan empat-roda meninjau sekitar laluan ke jambatan yang dibanjiri dan tenggelam tersebut, serta sebuah lombong berdekatan yang kerja-kerja pengorekannya telah menghakis tebing lalu mengancam kawasan pertempatan Orang Asli di kampung ini. – Khabar