Saturday 23 February 2013

"Ini tempat kita hidup, ini tempat kita mati," kata Menteri Besar

mengingatkan pentingnya memelihara perpaduan antara pelbagai kaum dalam negara milik kita bersama.    

REKOD KEBANGSAAN... Sama-sama bergaya dengan sijil Malaysia Book of Records dengan penerima angpau paling ramai - 5,241 orang dalam satu majlis. 
  

TOKONG TOW MOO KEONG, JALAN HAJI JUNID, KUANTAN“Ini tempat kita hidup, ini tempat kita mati,” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengingatkan pentingnya rakyat pelbagai kaum memelihara perpaduan dalam negara milik kita bersama.

Kata-kata ini dilafazkan pada penghujung ucapan luar teks 21-minitnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Warga emas petang Sabtu, 23 Februari di sini, yang benar-benar terkesan hingga kelihatan ada hadirin yang dalam kalangan wargatua, agak syahdu dengannya.

Menurutnya, segala usaha Kerajaan dalam membangunkan negara ini demi kesejahteraan rakyat, adalah terhasil ekoran adanya perpaduan antara kaum hingga membolehkan Kerajaan mampu merangka dan menjayakan pelbagai program yang memanfaatkan rakyat juga.

“Ini semua (segala dasar, program dan projek pembangunan) kita buat,” katanya, “… untuk tolong sama orangramai. Kasilah tahu anak, cucu. Sebab mereka tak dak tahu ini hal. Mereka besar tengok Malaysia sudah ini macam.

“Dia orang (anak-cucu atau generasi baharu) tak dak tahu macam mana kita kerja kuat mahu bikin ini negara ini macam (sekarang, dengan pelbagai pembangunan yang dimanfaati rakyat,” katanya .

SUMBANGAN DIBERI, TANDA KASIH & INGATAN KERAJAAN NEGERI...  


PASTIKAN SEMUA ADA TEMPAT DALAM MALAYSIA

“Itu sebab yang mustahak kita mesti tengok, mesti pastikan, anak-cucu, budak kecil-kecil punya, dalam perut semua kira; dia ada tempat (atau dapat hidup sejahtera) dalam Malaysia.

“Saya mana boleh balik Indonesia lagi. Ini Dato’ Hazmi mana boleh balik India lagi. Ini tuan-tuan, puan-puan semua, mana boleh balik China lagi, tak boleh. Ini tempat kita hidup, ini tempat kita mati,” tegasnya.

“Yang penting tuan-tuan dan puan-puan, kasi tahu sama anak-anak, kasi tahu sama cucu bagaimana kita sama-sama boleh duduk ini Malaysia. Kasi tahu sama anak-anak, cucu-cucu, ini negara kita punya. Kita mesti jaga ini negara. Kita boleh jaga kalau Melayu, Cina, India boleh hidup, boleh duduk baik-baik.

“Ini negeri, ini negara boleh aman kalau Melayu, Cina, India tak dak gaduh. Sudah berapa lama kita duduk ini negara Malaysia kita aman, sebab kita tak dak gaduh. Dulu ada sikit kacau. Jepun mari. Komunis kacau. Konfrantasi sama Indonesiapun kacau.

“Tapi semua ini kita boleh selesai, kita boleh atasi sebab Melayu, Cina, India bersatu-padu,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

BERSATU KITA (PELBAGAI KAUM) TEGUH... Wargatua dalam kalangan pelbagai kaum turut hadir pada majlis petang Sabtu ini. 


BANYAK, SIKIT TAK PENTING. YANG PENTING INGATAN

Mengenai majlis petang Sabtu ini katanya, beliau tidak teragak-agak untuk hadir serta memberi sokongan khususnya dalam bentuk penyampaian ‘angpau’ yang Kerajaan peruntukkan kepada 5,241 wargatua di daerah Kuantan ini.

Nilai ‘angpau’ ini ialah RM1,000 seorang kepada yang berusia 100 tahun ke atas; RM500 seorang kepada yang antara 90 dan 99 tahun; RM250 kepada yang antara 80 dan 89 tahun; serta, RM100 kepada yang berusia 79 tahun dan ke bawah.

“Dan, Kerajaan suka hati mahu kasi sikit angpau. Banyak, sikit angpau tak dak penting. Yang mustahak, itu tanda Kerajaan ingat sama orang lama, orang tua,” kata Menteri Besar lagi.

Beliau turut memberikan analogi yang menggambarkan betapa pentingnya keikhlasan dalam satu-satu usaha yang dilakukan, yang tentunya lebih baik daripada dilakukan tanpanya.

“Yang mustahak, ingat itu penting. Kalau laki kasi bini kereta besarpun tapi laki tak dak ingat sama bini tak dak guna.

SYAHDU DENGAN UNGKAPAN 'INI TEMPAT KITA HIDUP, INI TEMPAT KITA MATI'...


‘KITA MESTI MAHU MATI SIHAT’

“Kalau isteri di rumah masak murah punya barang tapi banyak sedap, dia ingat sama kita; itu lagi baik. Anggaplah ini ingatan dari Kerajaan. Orang Melayu ada cakap, kalau barang banyak, kita boleh dapat banyak. Kalau barang sikit, kita mesti makan sikit-sikit,” katanya.

Pada akhir ucapannya, Menteri Besar mengingatkan wargatua agar dapat terus menjagai kesihatan masing-masing  dan jika meninggal duniapun kelak, “kita mesti mahu mati sihat”.

“MB cakap, kalau matipun mesti mahu sihat. Tapi kita boleh fikir, orang sihat mana boleh mati! MB cakap, kita jaga kesihatan, kalau sampai punya masa kita pergi (meninggal dunia), kita pergi. Tapi sebelum kita pergi, kita jaga kita punya kesihatan,” katanya.

Antara yang turut hadir ialah tuanrumah – Pengerusi, Tokong Tow Moo Keong, Dato’ Ng Chong Kwang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; ahli Parlimen, Dato’ Abdul Manan Ismail (BN – Paya Bdesar); wakil rakyat-wakil rakyat Dato’ Chang Hong Seong (BN – Teruntum) dan Dato’ Phang Tsu Ming (BN – Semambu);  serta Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Nurhayad Ahmad.

Pada majlis yang sama juga, pihak penganjur dianugerahkan sijil Malaysia Book of Records atas kejayaan mengumpulkan jumlah penerima angpau yang paling ramai (5,241 orang) dalam satu majlis. – Khabar