Thursday 1 August 2013

"Janganlah lari dari pegangan kita - berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah," saran-tegas Dato' Sri DiRaja Adnan


 dan umat Islam di negeri dan negara ini juga disaran tidak lari daripada Mazhab Shafie, yang tergolong dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.  


DALAM UCAPAN RINGKAS TETAPI PADATNYA...
 
PERKARANGAN, MASJID SULTAN HJ AHMAD SHAH, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar umat Islam di negeri dan negara ini, terus berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Selain menyarankan agar mereka tidak lari daripada Mazhab Shafie, iaitu satu daripada empat Mazhab yang tergolong dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.  

Saranan-saranan ini dibuatnya dalam pada negara dan umat Islam, sedang dilanda isu tentang berleluasanya Syiah – ajaran yang telah diisytiharkan sebagai sesat oleh pihak berkuasa agama negara ini.   

“… ancaman kepada ugama Islam kita sekarang ini banyak, berbagai-bagai. Oleh sebab itu saya berharap, kita janganlah lari dari pegangan kita, berpegang kepada al-Quran dan sunnah rasulullah.

“Dan jangan lari dari mazhab kita, mazhab (dalam kalangan) Ahli Sunnah Wal Jamaah, salah satu darinya ialah Mazhab Shafie,” saran Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan ringkas 7-minit pada Majlis Berbuka Puasa dan Kesyukuran, petang Khamis, 1 Ogos bersamaan 23 Ramadan, di sini.

SUMBANGAN KEPADA YANG MEMERLUKAN...
 
CARA SEMBAHYANGPUN LAIN  

Menurutnya, beliau difahamkan betapa ‘ramai juga’ umat Islam di negara ini yang terjebak dengan ajaran sesat itu.

“Saya telah menengok salah satu klip video menunjukkan bagaimana mereka bersembahyang. Lain sangat daripada orang. Lain sangat daripada kita. Ingatlah itu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara yang sama pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri DiRaja Adnan meminta umat Islam agar tidak mengamalkan apa-apa perkara atau perbuatan yang tidak disebut di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Kalau lain dari al-Quran, lain dari hadith Rasulullah; tidak ada sebut dalam Quran, tidak sebut dalam Hadith sesuatu perbuatan itu, jangan ikut. InsyaAllah, kita akan selamat.

“Dan, ini juga pesan Rasulullah dalam haji selamat tinggal, haji wida’ Rasulullah. Makna, selagi kita pegang kepada dua ini iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah, kita tidak akan tersesat,” tegasnya.

HADIRIN MEMENUHI MAJLIS... Inilah khayalak yang hadir pada petang Khamis.

 
AGUNG-AGUNGKAN GURU-GURU LEBIH DARIPADA RASULULLAH

Sejak turun-temurun pula katanya, umat Islam di negeri dan negara ini, berpegang kepada Mazhab Syafie yang dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang oleh kerana itulah juga katanya;

“Kita tak dapat ‘reconcile’ dalam kepala otak kita, bagaimana ada orang boleh menerima ajaran selain ini – Orang yang mengagung-agungkan guru-guru lebih daripada Rasulullah”.

Beliau menjelaskan betapa mengagung-agungkan dan memberi penghormatan kepada sesama manusia, adalah dua (2) perkara yang berbeza.  

“Kepada Raja kita, cara hormatnya macam mana. Kepada ketua kita, cara hormatnya macam mana. Kepada ibubapa kita, cara hormatnya macam mana. Kepada guru-guru kita, cara hormatnya macam mana. Itu penghormatan, lain (dengan mengagung-agungkan).

“Yang masalahnya ialah mengikut kata-kata daripada guru-guru, cikgu-cikgu (hingga mengagung-agungkan mereka) yang tidak berpandu kepada Quran dan Sunnah Rasulullah. Ini kitapun pelik,” katanya lagi.
   
                                   
TAWA SEORANG PEMIMPIN SEBELUM MULAKAN PERSIDANGAN MEDIA...

 
PENDIDIKAN TENTANG AJARAN AGAMA DIPERLUASKAN

Menurutnya, mereka yang tersesat, mungkin berhujah bersandarkan hadith-hadith tertentu tetapi hadithpun ada banyak kategori – yang sahih, yang lemah, yang palsu, dan yang bohong.

“Jadi kita, jangan larilah dari pegangan datuk-nenek kita yang berpegang kepada Mazhab Shafie, Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kalau tidak, kita sesat, na’uzubillah,” tegasnya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya memberitahu, pada mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Malayu Pahang (MUIP) yang dipengerusikan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang baru-baru ini, ada berbincang mengenai isu berkenaan serta mengambil beberapa keputusan.

“Dalam (mesyuarat) Majlis tersebut, kita ada tokoh-tokoh ugama – Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, Prof  Dato’ Mokhtar Shafie, Dato’ Dr Munir Yaakob; kita berbincang.

“Dan antara langkah-langkah yang akan diambil ialah langkah-langkah untuk memberi pendidikan kepada umat Islam dan mengkaji undang-undang sedia ada, dan (berkaitan usaha-usaha) penguatkuasaan,” katanya.

Antara yang turut hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Kesyukuran ini ialah Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor; dan Pengurus Besar, Divisyen Kemasyarakatan, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Encik Zulkifli Yaacob. – Khabar