Friday 9 August 2013

Ziarah kubur Bapak

KUBUR BAPAK... Menziarahi kubur ayah yang penulis panggil Bapak, ialah antara yang penulis sekeluarga lakukan pada hari kedua, Hari Raya Aidil Fitri 1434 Hijrah pagi Jumaat, 9 Ogos di tanah perkuburan bersebelahan Masjid Al-Khariah, Kampung Kepayang Fairpark, Ipoh, Perak.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Bapak, yang meninggal dunia pagi Ahad, 17 Julai 1973 ketika masih bertugas sebagai 'Leading Officer' di Balai Bomba Butterworth, Pulau Pinang, akibat lemah jantung. Ketika itu - kira-kira 40 tahun lepas, penulis masih belajar tahap 'standard 6' di St Mark's Primary School, Butterworth berGuru Besarkan Mr Robert David.

Jenazah Bapak telah dibawa dengan van Bomba dari Butterworth dan dikebumikan pada lewat petang Ahad itu juga di tanah perkuburan yang sebahagian besar dihuni oleh jenazah mereka dalam kalangan keluarga Dukot, yang berketurunan Mandailing dari Padang, Sumatera, Indonesia.

Ziarahan penulis kali ini pada pagi Jumaat mendapati, masjid baharu yang agak lama tergendala pembinaannya, telah siap dan mula digunakan (seperti kelihatan di bahagian belakang foto ini) lalu Masjid Al-Khariah asal ditinggalkan dengan pintu-pintunya kelihatan dikunci-manggakan.

'MAI PEKENA NASI KANDAQ'... Hari kedua juga menyaksikan penulis sekeluarga membuat perjalanan dari Kampung Tersusun, Batu 8, Hulu Kinta, Perak, untuk menziarahi keluarga ayah mertua pula di Kampung Petani, Penanti, Butterworth, Pulau Pinang.

Sesampainya sahaja ke Butterworth kira-kira jam 3 petang - setelah menempuhi kesesakan jalanraya di Lebuhraya Utara-Selatan khususnya, kira-kira lima (5) kilometer dari persimpangan Bukit Tambun; yang pertama dilakukan ialah menjengah ke restoran nasi kandar 24 jam terkemuka ini di Jalan Chain Ferry, untuk 'pekena' nasi kandar. - Khabar