Sunday 22 December 2013

'Good publicity, bad publicity'


Cardiff City, sebuah kelab bolasepak Liga Perdana Inggeris milik usahawan kita dengan tertera Visit Malaysia pada jersi pasukan, adalah satu kebanggaan kepada kita, tapi;

Apabila dilanda kontroversi melibatkan pemilik di satu pihak, dengan pengurus dan penyokong di pihak lain hingga turut mengheret nama negara; adalah sesuatu yang menyedihkan.   

BANGGA, TAPI... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) melibatkan Cardiff City FC – sebuah kelab bolasepak milik usahawan terkemuka kita, Tan Sri Vincent Tan, menentang gergasi Liverpool FC petang Sabtu, 21 Disember di Stadium Anfield, Liverpool, England, tidaklah mengecewakan.

Sungguhpun Cardiff City tewas 1-3, tetapi persembahan pasukan – pertama kali beraksi dalam liga terkemuka dunia dalam tempoh 51 tahun dengan yang terakhir berada di Divisyen Dua hingga promosinya pada musim ini; tetap menghiburkan.

Dan, membanggakan; dengan terpampangnya perkataan-perkataan Visit Malaysia pada bahagian dada setiap jersi biru yang dipakai oleh kesebelasan pemain pasukan yang juga dikenali sebagai ‘Bluebirds’ ini.

Yang tidak menghiburkan dan kurang membanggakan bagaimanapun, ialah cemuhan oleh para penyokong pasukan tersebut terhadap pemiliknya dengan perkataan-perkataan pada ‘banner’ seperti ‘Tan Out’ dan ‘We want our club back’ yang turut dilihat oleh jutaan penonton yang menyaksikan perlawanan tersebut menerusi siaran langsung ke seluruh dunia.

Dan penyokong-penyokog ini juga turut menyanyikan-nyanyikan lagu yang antara lain dilaporkan mencemuh Tan Sri Vincent yang juga kedengaran ‘Malaysia’ pada hujungnya, telah sedikit-sebanyak turut mengheret dan memalitkan nama negara ke dalamnya.

TAUKE BERJAYA... Tan Sri Vincent Tan, sepertimana dirakamkan pada petang perlawanan pasukan miliknya menentang Liverpool, petang Sabtu itu. 


ADA BERJAYA HILLS DI BUKIT TINGGI

Gejala ini berlaku ekoran konflik yang melanda antara ‘tauke’ kepada konglomerat Berjaya Corporation Bhd – yang di Pahang ini, ialah juga pemilik kepada beberapa hartanah seperti Bukit Tinggi Resort di Bukit Tinggi, Bentong (yang secara diam-diam telah ditukar kepada Berjaya Hills), dan Berjaya Megamall dekat sini; dengan pengurus pasukan, Malky Mackay.

Konflik ini tercetus ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurus berbangsa Scot itu, meminta wang tambahan bagi mendapatkan khidmat pemain baharu menjelang tempoh ‘transfer window’ Januari depan.         

Tan Sri Vincent dilaporkan tidak berpuas hati kerana Malky dikatakan telahpun berbelanja lebih daripada sepatutnya untuk musim ini. lalu membayangkan untuk memecat atau meminta Malky meletak jawatan, yang tidak mendapat sokongan daripada penyokong setia pasukan tersebut.

Dengan episod pertelingkahan ini, tentu ia akan memberikan kesan kepada hasrat murni Kerajaan kita menerusi Kementerian Pelancongan, melabur dalam ‘kit sponsorship deal’ dengan Cardiff yang membolehkan Visit Malaysia terpancar pada jersi pasukan tersebut.      

Dalam jawapannya di Parlimen baru-baru ini, Menteri Pelancongan Dato’ Sri Nazri Aziz telah menyebut tentang perjanjian pembiayaan ini dibuat demi mempromosikan negara sementelahan siaran langsung EPL diikuti oleh khalayak dunia kira-kira 720 juta orang!

MR MALKY MACKAY...Melawan tauke, namun penyokong di belakangnya. 


PEMBIAYAAN KIRA-KIRA £7.35 JUTA

Dato’ Sri Nazri juga dilaporkan berkata, pembiayaan itu melibatkan kira-kira £7.35 juta atau kira-kira RM39.7 juta tetapi Kementeriannya menyumbang kurang separuh daripada nilai tersebut yang menerusinya juga, Kementeriannya dibenarkan menganjurkan pameran untuk Tahun Melawat Malaysia 2014 dalam stadium Cardiff serta memaparkan logonya di sana untuk sepanjang musim 2013/2014 ini.  

Adalah diharapkan, kemelut yang melanda antara Tan Sri Vincent dengan pengurus serta penyokongnya, dapat diselesaikan secara baik agar pasukan Cardiff dapat terus beraksi dengan cemerlang hingga tercapailah hendaknya hasrat kita mempromosikan negara menerusinya. – Khabar