Tuesday 3 December 2013

Turunan hujan 400 mm dalam satu (1) hari, bersamaan turunan hujan untuk setengah bulan!


… antara penyumbang utama kepada masalah banjir di Pahang, yang melibatkan lima (5) daerah, 1,152 keluarga atau 7,702 mangsa setakat 4 petang, Selasa, 3 Disember


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Pahang Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini berkata, antara penyumbang utama kepada masalah banjir di negeri ini sekarang ialah ekoran turunan hujan yang banyak dalam tempoh sehari.

Hujan pula menurutnya, turun secara berterusan sejak Ahad, 1 Disember, hinggalah ke hari ini, Selasa, 3 Disember, dan dijangka beterusan selama dua (2) hari lagi hinggalah ke hari Khamis, 5 Disember nanti.

Beliau yang ditemui wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKN) petang Selasa, 3 Disember di sini berkata, ini sepertimana dilaporkan oleh pegawai dari Jabatan Meteorologi Malaysia pada mesyuarat khas tersebut.

“Kita dimaklumkan, turunan hujan untuk sehari sahaja sebanyak 400 mm, yang bersamaan dengan turunan hujan (pada hari-hari biasa) hingga setengah bulan,” katanya pada persidangan media itu.

Ekoran itulah serta diburukkan dengan masalah saliran serta juga sikap penduduk yang gemar membuang sampah-sarap ke dalam longkang dan sungai katanya, banjir telah sekali lagi berlaku.

KERJA-KERJA ‘PRE-EMPTIVE’ MPK ELAK BANJIR LEBIH BURUK

Itupun katanya, disebalik langkah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di bandar ini khususnya, yang telah menubuhkan skuad khas bagi memantau serta membersihkan mana-mana longkang dan sungai yang didapati mengandungi sampah sarap tersebut.

“Jika tidak kerana kerja-kerja MPK yang telah dilaksanakan sebelum daripada kejadian ini, banjir di Kuantan mungkin lebih teruk lagi,” katanya, sambil menyebut betapa Kerajaan Negeri akan meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan ke arah usaha menggiatkan lagi kerja-kerja sebegitu.

Mengenai peruntukan RM50 juta sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pada hujung tahun lepas, demi menangani serta mengatasi masalah banjir katanya, sebahagian tertentu daripada peruntukan tersebut telahpun dibelanjakan untuk kerja-kerja berkenaan.

Antaranya ialah dalam pembinaan benteng pada bahagian-bahagian tertentu di tebing Sungai Kuantan terutamanya berhampiran kawasan Tanah Putih dekat sini. “Sudah bina tinggi tetapi masih tidak memadai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri yang telah berkomunikasi dengannya serta menunjukkan sikap mengambil berat beliau mengenai kejadian banjir ini.

MASALAH RAKYAT HADAPI BANJIR DAPAT PERHATIAN BERAT KERAJAAN  

“KDYTM Tengku Mahkota juga ada sms kepada saya mengenai hal yang sama. Baginda juga ada melakukan lawatan (ke tempat-tempat dilanda banjir).

“Ini menunjukkan masalah banjir yang ditempuhi oleh rakyat di negeri ini sentiasa mendapat perhatian dan Kerajaan akan berusaha untuk memberi bantuan kepada mereka,” katanya lagi.

Beliau yang pernah diserang jangkitan kuman yang berkaitan tanah dan lumpur hingga dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, seterusnya mengingatkan ibubapa supaya menjagai keselamatan anak-anak khususnya dengan tidak membiarkan anak-anak mereka leka meredah air banjir.

Beliau seterusnya berharap agar rakyat tidak terpengaruh dengan khabar-khabar angin termasuklah kononnya banjir di Kuantan ini berlaku ekoran pintu air di Sungai Kobat dekat sini, dibuka bagi melepaskan lebihan air di sana.

Menurutnya, apa yang berlaku ialah pintu itu kekal tutup namun air lebihan yang tertakung, telah melimpah keluar daripada paras tertinggi pintu air tersebut hingga membanjiri kawasan sekitar.    
‘TEETHING PROBLEM’ SEGERA DIATASI

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya akur betapa pada peringkat awal, berlaku beberapa kelemahan atau disebutnya, ‘teething problem’ termasuklah dalam soal pembekalan makanan ke pusat-pusat pemindahan banjir tetapi, ini telah dapat diatasi dengan segera.  

Pada awal pertemuan dengan wartawan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyebut betapa lima (5) daerah terlibat banjir kali ini iaitu Rompin, Pekan, Kuantan, Maran dan Jerantut.

“Dan setakat ini, setakat pukul 4 (petang) tadi, 51 pusat pemindahan telahpun dibuka dan ianya melibatkan 1,152 keluarga dan 7,702 mangsa. Yang banyak sekali adalah di Rompin – ada sembilan (9) pusat pemindahan tapi keluarganya 863, jumlah mangsa, 3,303,” katanya. – Khabar