Thursday 5 December 2013

KDYMM Sultan Pahang puas hati dengan layanan terhadap mangsa-mangsa banjir




… hasil tinjauan Baginda diiringi YAM Tengku Muda Pahang serta Menteri Besar, ke pusat pemindahan banjir dan kawasan terbabit banjir di Kuantan.

SIKAP AMBIL BERATNYA BAGINDA... KDYMM Sultan Pahang sedang menitah-tanyakan sesuatu kepada seorang ibu muda yang sedang memangku anaknya. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Muhammad Safian.   


DEWAN BOLA KERANJANG, SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CHUNG CHING, KUANTAN – KDYYMM Sultan Pahang menzahirkan kepuasan hati Baginda dengan layanan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri terhadap mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di sini.

Titah Baginda, mangsa-mangsa banjir yang seramai 4,000 orang di pusat pemindahan ini, telah diberikan makanan secukupnya – pada sebelah pagi, tengah hari dan malam, selain makanan dimasak di sini juga.

Bagi kesemua kira-kira 23,000 mangsa banjir di negeri ini termasuk di daerah-daerah seperti Rompin, Pekan, Maran dan Jerantut titah Baginda lagi, apa juga tindakan yang patut diambil telahpun dilaksanakan.   

Pun begitu, seperti memahami ketidak selesaan mangsa-mangsa berkenaan yang terpaksa tinggal sementara di pusat pemindahan ini dalam keadaan yang tentunya tidak begitu menyelesakan, Baginda bertitah agar mereka dapat bersabar.

“… buat sementara waktu, saya nasihatkan mangsa-mangsa banjir ini bersabar dulu. Berdoalah ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya dapat balik ke rumah masing-masing dalam masa yang terdekat.

LAGI TANDA SIKAP AMBIL BERAT KDYMM TUANKU... 


DOA AGAR CUACA BERTAMBAH BAIK

“Saya harap, saya sendiri berdoa, (agar) cuaca akan bertambah baik dari masa ke semasa,” titah-nasihat Baginda ketika ditemui wartawan selepas melawat mangsa-mangsa banjir di sini pada pagi Khamis, 5 Disember.

Yang turut mengiringi Baginda ialah anakanda, YAM Tengku Muda Pahang, serta Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Sebelum ke pusat pemindahan banjir ini, Baginda telah berangkat ke Bilik Gerakan, Tingkat 7, Blok B, Wisma Sri Pahang bagi dipersembahkan taklimat mengenai kejadian banjir pada keseluruhannya di negeri ini.

Dalam pada bersedih dengan kejadian yang menimpa khususnya yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir, Baginda menitahkan penghargaan Baginda terhadap jentera Kerajaan yang telah bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa banjir ini.    

Mengenai kejadian di Sungai Isap Jaya dekat sini yang melibatkan dua (2) beranak – Encik Jamali Ali, 51, dan anaknya, Megat Muhamad Nazli, 17, yang dilaporkan hilang selepas bot jenis gentian kaca yang mereka naiki terbalik akibat arus deras, Baginda menzahirkan kedukacitaan dan kesedihan Baginda.

KITA FAHAMI KETIDAK SELESAAN MEREKA... 




NAIKI BOT BOMBA

“Perkara-perkara macam ini yang tak diduga berlaku, menyedihkan kita semua,” titah Baginda.

Selepas pusat pemindahan di sini, Baginda dan rombongan kemudian ke Perkampungan Sungai Isap dan melawati kawasan-kawasan yang terjejas teruk di dalamnya, dengan menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – Khabar