Thursday 15 May 2014

Cekap, berkesan dan melangkaui jadual dan jangkaan!



13,257 unit kini dalam pelaksanaan atau 88 peratus daripada sasaran membina 15,000 unit rumah mampu milik di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang bagi tempoh lima tahun antara 2014 – 2018.

Kejayaan ini hanya kira-kira setahun selepas dijanjikan serta terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13, pada Mei tahun lepas.   

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 12-MINITNYA... Mentor kepada PR1MA Negeri Pahang sedang menyampaikan ucapannya. 


TAPAK PR1MA NEGERI, KM 23, JALAN KUANTAN-GAMBANG – Cekap, berkesan serta melangkaui jadual dan jangkaan.

Inilah yang boleh dikatakan mengenai projek pembinaan rumah mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang – yang di dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri berjanji membina 15,000 unit dalam tempoh lima tahun antara tahun 2014 dan 2018.       

Namun, hanya dalam tempoh setahun selepas PRU ke-13 itu, sebanyak 13,257 unit atau kira-kira 88 peratus daripada sasaran 15,000 unit, telahpun bermula serta dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Pelaksanaan PR1MA Negeri Pahang ini pula meliputi ke hampir setiap 11 daerah di negeri ini, di atas 29 tapak dengan keluasan tanah keseluruhannya kira-kira 669 hektar atau 1,651 ekar.   

Satu daripada 29 tapak itu ialah di sini, berkeluasan kira-kira 22.1 hektar atau 54.6 ekar, dengan sasaran pembinaan 308 unit.

MENYEMPURNAKAN GIMIK PERASMIAN... 


MENTERI BESAR SELAKU JUGA MENTOR PR1MA NEGERI PAHANG

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob – mentor kepada PR1MA Negeri Pahang ini –  dengan setiap unit ditetapkan pada harga jualan RM150,000; telah hadir merasmikannya pagi Khamis, 15 Mei. 

Belum cukup dengan penjelasan yang diberikan dalam ucapan luar teks 12-minitnya, Dato’ Sri Adnan telah diminta mengulasnya lebih lanjut pada persidangan media kemudian.

“… semasa PRU-13, Barisan Nasional telah menjanjikan bahawa kalau dipilih lagi oleh rakyat, kita akan membina 15,000 unit rumah mampu milik untuk tempoh lima tahun, 2014 – 2018.

“Rupa-rupanya, dalam tempoh setahun ini, kita telah (mula) membina 13,000 (unit). Bermakna, ‘target’ (usaha mencapai sasaran 15,000 unit) itu berjalan (dengan baik). Mungkin lima-enam bulan lagi, tercapailah ‘target’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan ramuan di sebalik kejayaan tersebut yang menurutnya, disandarkan kepada pendekatan ‘menang-menang’ – baik kepada Kerajaan Negeri, pemaju yang dilantik mahupun kepada rakyat kelak.    

MENGAMATI MODEL... Selain Dato' Wan Rosdy (kiri sekali), ialah Pengarah Urusan, Dinamik Budimas Sdn Bhd, Encik Kamaruzaman Ab Koris (kanan sekali). 


PROSEDUR BIROKRASI DIRINGKASKAN

“Kerajaan mempermudahkan segala proses birokrasi, termasuk (dengan) mengenakan premium yang sangat rendah (terhadap pemaju, yang mengusahakan tanah Kerajaan bagi pembinaan unit-unit PR1MA Negeri Pahang ini) maka pihak pemaju dapat jimat kosnya,” katanya.

Dengan adanya prosedur birokrasi yang diringkaskan katanya, kerja-kerja sebenar di atas tapak dapat berjalan lancar dan segera, yang seterusnya menyumbang kepada kadar yang cepat dalam dalam kerja-kerja pelaksanaan PR1MA Negeri Pahang ini.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri sedia menawarkan kadar premium yang sangat rendah atau ‘nominal’ kepada pemaju yang ingin melaksanakan PR1MA Negeri Pahang di atas kawasan yang tidak sesuai seperti berpaya, yang memerlukan kerja-kerja penambakan tanah.

Kerajaan Negeri katanya, sedar betapa kos bagi penambakan tanah sahaja adalah besar iaitu kira-kira RM1.5 juta bagi kerja-kerja penambakan setebal semeter untuk keluasan tanah kira-kira 4.05 hektar atau 10 ekar sahaja.

Menerusi langkah Kerajaan Negeri mengenakan kadar sangat rendah atau ‘nominal’ itu menurutnya, akan membolehkan pemaju untuk turut membangunkan tanah-tanah yang tidak sesuai berkenaan dengan projek perumahan untuk rakyat.  

HADIRIN PAGI KHAMIS... 


TAHNIAH MB BUAT PEMAJU

Mengenai PR1MA Negeri Pahang di KM23 ini, Menteri Besar ucapkan tahniah kepada pihak pemaju – Dinamik Budimas Sdn Bhd, yang telah berjaya menyiapkan beberapa unit daripada yang disasarkan.

“Saya datang tengok, rupa-rupanya mereka telah buat satu kerja yang sangat baik. ‘Workmanship’ bagus, ‘finishing’pun baik, kerana ada pengawasan semasa pekerja bekerja,” kata-kata pujiannya.

Di sini, beberapa unit telahpun siap sepenuhnya, dan dijangka 100 unit pertamanya akan siap menjelang November 2015; manakala selebihnya, lagi 208 unit, dijangka bermula tahun depan dan siap pada tahun 2018.

Mengenai kemudahan pinjaman kepada bakal pembeli katanya, Kerajaan Negeri akan meminta pihak pemaju sebagai juga pelanggan bank yang dihormati, supaya membantu mempermudahkan pinjaman tersebut kepada mereka.

Kepada soalan mengenai tindak-balas rakyat atau bakal pembeli terhadap PR1MA Negeri Pahang ini katanya, “Ohh… tak menang tangan. Terlebih borang daripada rumah (jumlah yang ditawarkan)”.

'WORKMANSHIP' SERTA 'FINISHING' YANG BAIK... Inilah gambaran luar, unit rumah PR1MA Negeri Pahang di KM23, Jalan Kuantan-Gambang ini. 
 

BAGI YANG PENDAPATAN BULANAN TAK LEBIH RM5,000

Menurut maklumat yang diperolehi pada majlis pagi Khamis ini, PR1MA Negeri Pahang ditawarkan hanya kepada rakyat Malaysia dengan keutamaan kepada ‘rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang’;

Yang jumlah pendapatan seisi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan; keutamaan kepada yang berumur 40 tahun ke bawah; dan, yang telah menetap di negeri ini secara terus-menerus selama tidak kurang daripada lima (5) tahun.

Antara spesifikasi setiap unit rumah ini pula ialah, berkeluasan minimum binaan rumah kira-kira 1,000 kaki persegi; bersaiz tanah minimum 40 kaki X 70 kaki; rumah jenis berkembar atau sesebuah (di Cameron Highlands ialah ‘apartment’);

Mempunyai tiga (3) bilikm tidur, dua (2) bilik air; keluasan minimum bilik tidur utama ialah 12 kaki X 14 kaki; rangka atap jenis ‘spandeck’/‘metal deck’; dengan harga jualan setiap unit, RM150,000 (kecuali di Cameron Highlands).

Yang turut hadir pada majlis ringkas tetapi bermakna ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Perbandaran dan Perumahan Negeri, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail; serta Ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Norol Azali Sulaiman dan Dato’ Mohd Johari Hussein;

SETIAP SOALAN, ADA JAWAPAN... Menteri Besar yang mesra-media, sedang dalam persidangan media, melayani setiap soalan yang ditujukan kepadanya. Dato' Sri DiRaja Adnan diapit kanan dan kirinya oleh Dato' Wan Rosdy dan Dato' Roslan. 
 

AHLI PARLIMEN PAYA BESAR TURUT HADIR

Ahli Parlimen kawasan Paya Besar, Dato’ Abdul Manan Ismail dan wakil rakyat-wakil rakyat negeri, Dato’ Mohd Suhaimi Jusoh (BN – Lepar), Dato’ Suhami Mohd Shah (Bn – Sungai Lembing) dan, Dato’ Mohd Zailia Besar (BN – Panching);

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulki-fly Osman; Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-Pen), Dato’ Roslan Harun; Pengarah Pembangunan Negeri (SDO), Dato’ Mahadiah Mohamad; dan, Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad. – Khabar