Monday 5 May 2014

Tumpukan juga kepada aspek pengkomersilan



... selain dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, saran Menteri Besar kepada kepimpinan dan tenaga pengajar Universiti Malaysia Pahang (UMP)

ANUGERAH BUAT CENDEKIA... 


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan kepimpinan dan tenaga pengajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) bukan setakat melibatkan diri dalam kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D), tetapi juga dalam pengkomersilan hasil-hasil kerja berkenaan.

Ia supaya apa juga usaha yang dilakukan oleh universiti tersebut katanya, dapat turut dimanfaati oleh masyarakat lalu menyumbang kepada pembangunan negara pada keseluruhannya.

“Dalam hubungan ini, UMP bukan sahaja mesti terlibat dalam ‘research and development’, tetapi juga dalam ‘commercialization’. Ini sangat penting,” katanya mewakili KDYTM Tengku Mahkota Pahang pada Malam Anugerah Cendekia Bitara 2013, Isnin, 5 Mei di sini.

KDYTM Tengku Mahkota Pahang ialah juga Canselor UMP.

Dalam ucapan luar teks 13-minit selepas ucapan Naib Canaselor universiti ini, Prof Dato’ Dr Daeng Nasir Ibrahim kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, beliau kagum dengan pencapaian UMP sepertimana yang telah disebutkan oleh Naib Canselor itu.

UMP LAHIRKAN BUKAN SETAKAT PENGAJAR TETAPI PENYELIDIK

“Saya berasa sangat bangga kerana UMP telah melahirkan bukan setakat tenaga pengajar tetapi lebih daripada itu ialah penyelidik-penyelidik. Penyelidik-penyelidik ini penting untuk pembangunan negarapada masa akan datang.

“Lebih-lebih lagi UMP terletak di Kuantan dan di Kuantan ini terdapat kawsasan perindustrian yang besar iaitu di Gebeng dan Gambang, termasuk di Pekan.

“Secara tidak langsung kewujudan universiti ini boleh diselarikan dengan adanya kawasan perindustrian ini dan sudah pasti saya percaya, hasil penyelidikan akan dapat kita ‘commercialised’kan dan dapat digunakan oleh pihak syariklat-syarikat yang mempunyai kilang masing-masing di kawasan perundustrian ini,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya menyingkap sejarah terutamanya pada zaman revolusi perindustrian apabila didapati betapa kekuatan sesebuah negara yang bukan sangat terletak kepada banyak-sikit sumber aslinya, tetapi kepada tenaga manusianya.

“… yang dengan sendirinya mewujudkan apa yang dikatakan sebagai ‘brain power’ dan sikit-sebanyak ada ‘imagination’, ada ‘creativity’ dan juga ‘innovation’; yang dengan sendirinya akan melahirkan hasil penyelidikan, melahirkan barangan tambah nilai.

PENTINGNYA MODAL INSAN

“Dan secara tidak langsung kita dapat lihat, walaupun sesebuah negara itu tidak mempunyai hasil bumi, tetapi mempunyai tenaga manusia atau disebutkan sebagai modal insan, yang punyai kekuatan otak , akal pemikiran;

“… boleh mereka cipta dan akhirnya boleh meng‘commercialized’kan penyelidikan mereka, akhirnya negara yang mempunyai modal insan yang sedemikian akan menguasai dunia sepenuhnya,” katanya.

Beliau seterusnya menyarankan agar UMP turut melaksanakan ‘Public Relations Exercise’ yang sepatutnya agar hasil-hasil penyelidikannya khususnya yang luar biasa, dapat diuar-uarkan kepada umum.    

Kerajaan Negeri katanya, akan terus memberikan sokongan kepada universiti ini dan pula, apa yang boleh ia pertimbangkan demi pembangunan dan kejayaannya, akan diberi pertimbangan yang sewajarnya.

“Saya ucap tahniah kepada tokoh-tokoh dan ‘lecturer’ yang telah dapat Anugerah Cendekia Bitara tahun ini. Semoga hasil penyelidikan ini dapat dimanfaatkan secara keseluruhan,” katanya.

Selain Prof Dato’ Dr Daeng Nasir, yang turut hadir pada malam menghargai warga kerja UMP ini – dengan 69 pemenang bagi pelbagai kategori; ialah Pengerusi. Lembaga Pengarahnya, Dato’ Hilmey Mohd Taib. – Khabar