Wednesday 7 May 2014

Hari ini, 40 tahun lepas

… sempena 40 tahun pemerintahan KDYMM Sultan Pahang Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, selepas kemangkatan Paduka Ayahanda pada hari ini, 40 tahun lepas.

SIRAM AIR KE MAKAM PADUKA AYAHANDA... Dalam Makam DiRaja ini juga ialah makam-makam Paduka Bonda, Tengku Ampuan Besar Pahang, Raja Hajah Fatimah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, serta, Paduka Isteri, Tengku Ampuan Pahang, Tengku Hajah Afzan Ibni Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad; yang turut Baginda sirami.

MAKAM DIRAJA, PEKAN – Pada hari ini, 40 tahun lepas, KDYMM Sultan Pahang Sultan Hj Ahmad Shah Al-Mustain Billah dalam titisan airmata kesedihan telah menitahkan, “Beta dengan rasa dukacita, dengan ini memberi keizinan menjalankan Istiadat Pemakaman Almarhum Ayahanda Beta”.

Ini setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang V pada 7 Mei, 1974 oleh Paduka Adinda, Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Ibrahim yang bertindak selaku Ketua Istiadat.

Paduka Ayahanda, Sultan Abu Bakar Ri ‘ayatuddin Al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah Shah telah mangkat pada hari yang sama, dalam usia 70 tahun (1907 – 1974) selepas memerintah negeri selama 42 tahun sejak 1932.

Dari tarikh pemasyhuran itu, berlangsunglah pemerintahan sepanjang empat dekad KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, yang dengan keizinan Allah SWT juga, dapatlah negeri ini dibangunkan dengan penuh makmur dan rakyat-jelata Baginda dapat hidup dengan sejahtera.

Dan inilah juga yang telah merapatkan hubungan antara Baginda dengan rakyat-jelata Baginda, yang dimungkinkan pula dengan hubungan mesra dan langsung Baginda dengan pentadbiran negeri di bawah Kerajaan yang ada.

MEMBACA YASIN... Baginda Sultan Pahang dengan DYMM Sultanah Pahang dan KDYTM Tengku Mahkota Pahang di sisi. 
 

HARI HOL KE-40 ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR

Selain KDYMM Sultan Pahang Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, sebagai Sultan Pahang V selepas Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah (1932 – 1974), Sultan Pahang IV;

Kesultanan Pahang turut melibatkan Almarhum Paduka Nenda-nenda – Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah (1917 – 1932), Sultan Pahang III; dan, Sultan Mahmud (1914 – 1917), Sultan Pahang II; serta, Almarhum Paduka Moyang, Sultan Ahmad Al-Mu‘adzam Shah (1882 – 1912), Sultan Pahang I.

Maka hari ini juga, Rabu, 7 Mei, genaplah Hari Hol ke-40 Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah yang sempena itu, diadakan Majlis Tahlil dan Ziarah Makam di sini.

KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah diiringi DYMM Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom telah berkenan berangkat, begitu juga dengan Paduka Anakanda, KDYTM Tengku Mahkota Pahang serta Paduka Anakanda yang lain serta kerabat-kerabat DiRaja.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; begitu juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail serta Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, wakil rakyat-wakil rakyat Parlimen dan Negeri, dak ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

BAGINDA TUANKU DI MAKAM PADUKA BONDA...

BAGINDA TUANKU DI MAKAM PADUKA ISTERI TERCINTA, ALMARHUM TENGKU AMPUAN PAHANG...

BAGINDA TENGKU MAHKOTA DI MAKAM PADUKA BONDA BAGINDA...

MENTERI BESAR DI MAKAM ALMARHUM TENGKU AMPUAN PAHANG...
                           
BERSALAMAN... Sebelum berangkat pulang.
KEBERANGATAN PULANG... KDYMM Sultan Pahang diiringi DYMM Sultanah Pahang serta Menteri Besar menyusul di belakang, sedang bersedia untuk berangkat pulang selepas menyempurnakan Majlis Tahlil dan Ziarah Makam yang ringkas tetapi penuh barakah ini. – Khabar