Saturday, 11 July 2015

Kesemua 34 MOL berkaitan bauksit akan terbatal pada 31 Julai!


“Sudah empat (4) kali tindakan kita ambil – 1, 2, 3 dan sampai pada tindakan ke-4, dan dengan titah nasihat Tuanku Tengku Mahkota, yang ke-5; kita (harap) dapat kurangkan masalah ini,” kata Menteri Besar.

Tindakan ke-4 yang dilihat lebih keras ini dicapai setelah pertemuan kali ke-4 Menteri Besar dengan kesemua pengusaha-pengusaha bauksit tersebut pada Rabu, 8 Julai di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur.

Keputusan keras lain yang diambil, termasuk ke atas pengusaha sah -- yang memiliki Lesen Melombong Tuanpunya (PML: Proprietary Mining License) dan, Lesen Melombong (ML: Mining License) keluaran Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri ialah;

# akan ada jadual pengangkutan; hanya antara 8 pagi dan 12 tengah hari, serta, 2 petang dan 4 petang sahaja.   

# tiada pengangkutan bauksit dibenarkan dalam tempoh tiga (3) hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidil Fitri ini.

Disamping amaran yang telah beliau diberikan kepada pengusaha-pengusaha bauksit ini betapa;

“… saya beritahu mereka, kalau rakyat ‘complaint’, kalau orang hantar memorandum sebagainya, maka jangan terkejut kalau Kerajaan Persekutuan pula haramkan pengeksportan bauksit sebagaiman Kerajaan Indonesia haramkan. 

MENANYA KHABAR... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang mendengar penjelasan seorang penduduk di situ mengenai hal penyakit yang dialaminya. Di sebelah kiri (berbaju Melayu biru) ialah Dato' Azhar. 


PERKARANGAN MASJID SULTAN HJ AHMAD SHAH, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Membatalkan kesemua 34 Lesen Melombong Bijih (MOL) berkaitan bauksit yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri, berkuatkuasa 31 Julai ini.

Selain ketetapan – yang turut meliputi pengusaha bauksit yang mempunyai Lesen Melombong Tuanpunya (PML) dan Lesen Melombong (ML) yang dikeluarkan oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) iaitu;

Akan ada jadual pengangkutan harian yang ‘rigid’ untuk bahan mineral itu, termasuk melibatkan laluan jalan arah ke Pelabuhan Kuantan, iaitu antara 8 pagi dan 12 tengah hari, serta, antara 2 petang dan 4 petang sahaja.

Sempena Hari Raya Aidil Fitri yang dijangka pada Jumaat, 18 Julai; tiada pengangkutan bahan tersebut dibenarkan dalam tempoh tiga (3) hari sebelum dan selepasnya.

Ketetapan-ketetapan terbaharu yang dilihat lebih keras ini, diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Berbuka Puasa beliau bersama-sama penduduk Dewan Undangan Negeri Pelangai yang diwakilinya, petang Sabtu, 11 Julai, di sini.

SUMBANGAN DUIT RAYA KEPADA YANG MEMERLUKAN... 

… DENGAN TITAH NASIHAT TUANKU TENGKU MAHKOTA

“Sudah empat (4) kali tindakan kita ambil – 1, 2, 3 dan sampai pada tindakan ke-4, dan dengan titah nasihat Tuanku Tengku Mahkota, yang ke-5; kita (harap) dapat kurangkan masalah ini,” kata tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Tindakan ke-4 yang dilihat lebih keras ini dicapai setelah pertemuan kali ke-4lah juga  Menteri Besar dengan kesemua pengusaha-pengusaha bauksit tersebut pada Rabu, 8 Julai lepas di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur.

Dua hari selepas itu, pada Jumaat, 10 Julai, KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang ditemui wartawan sempena majlis rasmi di Istana Abdulaziz, telah turut menitahkan tentang gejala bauksit yang sama sambil meminta Kerajaan Negeri bertegas mengenainya.     

Mengenai MOL yang dikeluarkan oleh JMG, Dato’ Sri DiRaja Adnan menjelaskan betapa ia lesen bagi membenarkan pemegangnya untuk membeli bahan-bahan mineral bauksit tersebut daripada mana-mana pihak yang menjualnya.

“MOL yang Kerajaan Negeri keluarkan, empat (4). Kemudian saya semak dengan Jabatan Mineral dan Geosains, rupa-rupanya (dah) jadi 34. Yang 30 lagi itu ialah pembahruan. Ada yang (pemegang MOL yang) lama itu, minta membaharui, pihak JMG meluluskan. Sekarang ini ada 34.

LAGI SUMBANGAN DUIT RAYA, TERMASUK KEPADA KANAK-KANAK INI... 

TEMPOH PEMBATALAN DICEPATKAN SEBULAN

“Kita bercadang untuk menamatkan semua MOL ini (pada) 31 Ogos. Tapi, oleh sebab keadaan terlampau mendesak, hari Rabu yang lepas (8 Julai), kita telah ambil kesimpulan, telah ambil keputusan, akan kita batalkan semua MOL pada 31 Julai,” katanya.

Sepatutnya kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, pemegang MOL hendaklah mengerjakan pengeluaran bahan mineral bauksit itu di atas tanah kepunyaannya tetapi tidak. Sebaliknya, menggunakan lesen itu untuk sekadar membeli bahan tersebut termasuk dari kawasan yang diusahakan secara haram.

Beliau turut menyatakan betapa pada pertemuan beliau dengan pengusaha-pengusaha bauksit pada 8 Julai itu, mereka telah diberi amaran tentang kemungkinan Kerajaan Persekutuan mengharamkan terus pengeksportan bauksit sepertimana yang diputuskan oleh Kerajaan Republik Indonesia.     

“… saya beritahu mereka, kalau rakyat ‘complaint’, kalau orang hantar memorandum sebagainya, maka jangan terkejut kalau Kerajaan Persekutuan pula haramkan pengeksportan bauksit sebagaimana Kerajaan Indonesia haramkan.

“Saya dapat ‘feedback’, mereka nampaknya sedang berusaha untuk membersihkan jalan sebagainya… Sebab, lori yang keluar tu, macam lori tepung, menggangu orang lain, jalan semua merah,” katanya lagi.

SEMBANG-SEMBANG DENGAN MEDIA... Sungguhpun sudah berakhir persidangan media, Dato' Sri DiRaja Adnan - seorang lagi pemimpin yang mesra-media, melapangkan masa untuk bersembang-sembang dengan mereka. 

Antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Ketua Biro Bernama Pahang, Cik Shamsiah Mohamed (empat dari kiri); dan, Ketua Biro Berita Harian Pahang, Encik Abdul Razak Raaf (berkopiah hitam, tiga dari kanan). 

OPERASI BERSEPADU 24-JAM DIKETUAI PTG

Pada awal persidangan media, beliau menyebut mengenai betapa operasi bersepadu melibatkan pejabat PTG, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) dan RELA, telah dan masih dijalankan namun masih tidak menemui matlamatnya.

“Kita buat juga (kerja-kerja penguatkuasaan), 24 jam. Sampai ada seorang SO yang bekerja di pejabat PTG meninggal dunia. (Beliau) balik dari kerja penguatkuasaan (yang) mempunyai rumah di Pekan, ‘accident’ hamba Allah (itu). (Semoga) Allah Taala mencucuri rahmat ke atas rohnya,” katanya.

Beliau seterusnya mengakui betapa terdapat banyak kawasan yang menjadi tapak pengeluaran bauksit secara harap namun tumpuan lebih di Bukit Goh yang termasuklah ada para peneroka di situ yang memohon kepada Kerajaan Negeri untuk menjual tanah mereka kepada pengusaha-pengusaha bahan mineral tersebut.

“(Ada) peneroka Felda juga nak jual tanah dia tapi saya sekat. Sebab, kalau kita benarkan peneroka Felda ini jual tanah dia, seluruh (Rancangan Tanah) Felda Bukit Goh itu akan jadi lombong bauksit,” katanya.

Beliau tidak menafikan betapa tindakan-tindakan tegas Kerajaan Negeri ini akan menyebabkan ada pihak yang masih marah terhadapnya, terutamanya mereka yang mengusahakan secara haram.

KERAJAAN NEGERI JAGAI KEPENTINGAN UMUM

“Tapi Kerajaan (Negeri) akan (terus) menjaga masalah umum, kepentingan umum,” katanya.

“Saya telah ambil tindakan empat (4) kali. Cara lembut, cara lembut. Tapi, Rabu lepas (8 Julai), memang saya betul keras. Dan Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas titah nasihat Tuanku Tengku Mahkota,” katanya lagi.

Penulis difahamkan bahawa, selain MOL yang dikeluarkan oleh JMG, PTG pula ada mengeluarkan PML dan ML yang turut dipegang oleh mereka yang mengusahakan bahan mineral bauksit ini.

Bilangan pemegang kedua-dua PML dan ML yang berkaitan bauksit  ketika ini ialah 11. Dengan kedua-dua lesen ini, pemegang-pemegangnya dibenarkan untuk mengusahakan sendiri pengeluaran bauksit di atas tanahnya sendiri, serta mengangkut dan mengeksportnya.

Maka, selepas 31 Julai ini, tumpuan tentunya menjurus kepada kelompok pengusaha bauksit yang semakin kecil ini dan diharap mereka akan lebih atau terus bertanggungjawab dalam pengusaha hasilan bahan-bahan mentah tersebut.

Antara yang turut hadir pada Majlis Berbuka Puasa petang Sabtu ini ialah Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; dan, penceramah jemputan yang juga Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Badlishah Mohd Alauddin; serta, lebih 2,000 penduduk setempat. – Khabar