Tuesday, 14 July 2015

Damainya... tanpa lori bauksit!



Berkesannya arahan Menteri Besar, melarang lori mengangkut bauksit beroperasi dalam tempoh tiga (3) hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidil Fitri.

'LINE CLEAR'... Pemanduan yang penuh kedamaian. Mana lori pengangkut bauksit? Foto ini dirakam menerusi telefon bimbit penulis, pada pagi Rabu, 15 Julai - sedang menghampiri Kawasan Perindustrian Gebeng berdekatan simpang Pejabat SIRIM Bhd cawangan timur.    


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Damainya memandu atas laluan Indera Mahkota ke Kawasan Perindustruian Gebeng menerusi Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan Kuantan; tanpa kehadiran lori pengangkut bauksit!

Ini dapat benar-benar dirasai dalam tempoh sehari-dua ini, ekoran arahan larangan beroperasi lori berkenaan oleh Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, tiga (3) hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidil Fitri.

Hari Raya Aidil Fitri tahun ini dijangka jatuh pada Jumaat, 17 Julai – dengan Hari Kelepasan Am diberikan pada hari tersebut serta Sabtu, 18 Julai, disusuli cuti mingguan pada Ahad, 19 Julai.

Yang bermakna, tempoh larangan itu ialah antara Selasa, 14 Julai dan Rabu, 22 Julai. Lori-lori ini akan dibenarkan kembali beroperasi pada Khamis, 23 Julai.

Sejak awal tahun ini, setiap hari, penulis menggunakan laluan Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan Kuantan kerana menghantar pada pagi, dan mengambil pada petang; isteri yang dipindah kerja di kawasan perindustrian berkenaan.

KEMALANGAN BABITKAN LORI PENGANGKUT BAUKSIT...  Inilah foto kemalangan membabitkan lori pengangkut bauksit, petang Jumaat, 10 Julai hingga menyebabkan perjalanan pulang 24 KM penulis petang berkenaan dari Kawasan Perindustrian Gebeng - biasanya 20-minit; menjangkau hingga hampir 2-jam!
 

PERSAINGAN ANTARA ‘KANCIL’ DAN ‘GAJAH’

Setiap hari jugalah penulis terpaksa menempuhi ketidak selesaan, ‘bersaing’ dengan lori-lori pengangkut bauksit yang pelbagai jenis – ada yang panjang, yang tidak; yang kayu, yang besi – bermuatan, sarat dengan bahan-bahan mentah bauksit yang kemerah-merahan.  

‘Persaingan’ itu pula seumpama, antara ‘kancil’ dan dengan ‘gajah’, dengan lagak sang ‘gajah’ pula persis pembuli besar, bukan ia peduli akan hal ehwal si‘kancil’ asalkan ia dapat cepat mencapai matlamat keuntungannya.

Senarionya begitu berbeza sekali dalam sehari-dua ini. Selain kedamaian, pemanduan ketika dalam tempoh ini, seolah-olah terjamin 100 peratus keselamatan diri; tanpa bimbangkan ancaman lori-lori pengangkut bauksit.
    
Oleh itulah, arahan yang Menteri  Besar keluarkan ini amat bertepatan sekali – sungguhpun penulis dapati (di laluan antara Indera Mahkota-persimpangan Kawasan Perindustrian Gebeng), tiada pula pegawai penguatkuasa yang berada di sepanjang laluan, untuk memastikan pematuhan larangan ini.

Dengan pelbagai lagi peraturan yang diperkenal dan diperketatkan, sepertimana yang turut diumumkan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan, Sabtu lepas; penulis yakin, gejala buruk daripada keseluruhan usaha perlombongan dan pengangkutan bauksit di daerah ini, dapat dibataskan. – Khabar