Monday, 3 August 2015

Hampir 90 peratus peneroka Felda di Pahang sudah terima suratan hakmilik tanah!


… pencapaian lebih tinggi daripada tidak sampai 80 peratus, di seluruh negara.

Tahun 2015 sahaja, 1,609 peneroka menerimanya, termasuk hari ini, 763 peneroka.

“Saya telah nyatakan tadi akan pandangan jauh Kerajaan dari dahulu sampai sekarang, bagaimana Felda dibuka untuk memberikan tapak ekonomi kepada rakyat Malaysia.

“Dan kita jangan lupa – Raja, negeri, rakyat negeri Pahang (yang telah) berkorban untuk mereka yang datang dari negeri-negeri lain. Mereka datang dari seluruh negara, kita anggap mereka sebagai saudara (dan) kita menerima mereka dengan tangan terbuka” kata Menteri Besar.

POSE UNTUK KAMERA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan suratan hakmilik tanah kepada seorang daripada peneroka. 

Yang turut kelihatan ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Norol Azali Sulaiman yang juga wakil rakyat negeri (BN - Guai); tuanrumah yang juga wakil rakyat negeri (BN - Kemayan), Dato' Mohd Fadzil Osman (dua dari kiri); serta, wakil peneroka, Encik Mansor Hashim (kiri sekali). 


KOMPLEKS RAKAN MUDA, BERA – Diam tak diam, sudah hampir 90 peratus daripada keseluruhan 43,124 peneroka di Pahang telah menerima suratan hakmilik tanah masing-masing – pencapaian lebih tinggi daripada tidak sampai 80 peratus di seluruh negara.

Sehingga akhir tahun lepas (2014), jumlah peneroka yang telah menerima suratan hakmilik tanah tersebut ialah 36,875 orang atau 85.5 peratus daripada keseluruhan jumlah peneroka di negeri ini.  

Ini berbanding dengan statistik kebangsaan yang, daripada keseluruhan 112,635 peneroka di seluruh negara, hanya 89,504 peneroka telah menerima suratan hakmilik tanah atau kira-kira 79.5 peratus sahaja.

Dan tahun 2015 hingga setakat ini, 1,609 peneroka telah menerima suratan hakmilik tanah masing-masing, termasuklah 763 orang dari Rancangan Tanah Felda-Rancangan Tanah Felda Rentam, Mengkuang, serta Tembangau 1dan 2.

Mereka menerimanya pada Majlis Penyampaian yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada pagi Isnin, 3 Ogos, di sini, yang kemudian diminta mengulas mengenainya, pada persidangan media.   

LAGI YANG MENERIMA DARIPADA MENTERI BESAR...

TERIMA DENGAN TANGAN TERBUKA

“Saya telah nyatakan tadi akan pandangan jauh Kerajaan dari dahulu sampai sekarang, bagaimana Felda dibuka untuk memberikan tapak ekonomi kepada rakyat Malaysia,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Dan, kita jangan lupa – Raja, negeri, rakyat negeri Pahang (yang telah) berkorban untuk mereka yang datang dari negeri-negeri lain. Mereka datang dari seluruh negara, kita anggap mereka sebagai saudara (dan) kita menerima mereka dengan tangan terbuka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan para peneroka tentang betapa suratan hakmilik tanah itu tidak boleh dipindah milik kecuali kepada ‘waris qadim’ seperti isteri/suami dan anak.

Dan pula katanya, Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan jika peneroka berhasrat menyandarkan suratan hakmilik tersebut kepada pihak bank bagi mendapatkan kemudahan pinjaman untuk memulakan perniagaan.  

Kepada soalan seorang wartawan tentang adakah apa-apa halangan bagi seseorang peneroka untuk memperolehi suratan hakmilik tanah tersebut, tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan;

CERIA DAN MENGGAMATKAN DEWAN... Tertarik dengan ucapan lancar dan bersahaja wakil peneroka - Encik Mansor Hashim khususnya pada bahagian beliau menceritakan detik mem'bidan'kan kelahiran anak kerana isterinya enggan melahirkan di hospital berdekatan yang di luar sempadan Pahang; Dato' Sri DiRaja Adnan telah menghampirinya sambil menanyakan lanjut hal berkenaan hingga menggamatkan seluruh Dewan.  

PASTIKAN PERATURAN DAN KEPUTUSAN TENTANG BAUKSIT DIPATUHI

“Barang siapa yang telah menyelesaikan bayaran kembali mereka, kita akan keluarkan geran (suratan hakmilik tanah). Masalah selama ini ialah kerana, bayaran kembali tidak selesai dan kalau selesaipun bayaran kembali, kerja-kerja ukur halus atas tanah susah.”

Beliau juga ditanya tentang perkembangan terkini mengenai gejala industri bauksit khususnya tentang ketegasan Kerajaan Negeri membatalkan 34 Lesen Melombong Bijih (MOL) yang berkuatkuasa pada Sabtu, 1 Ogos lepas.

Dalam perjalanan ke sini tadi, katanya, beliau masih dapat melihat banyak lori pengangkut bauksit ‘berkeliaran’ di atas jalan lalu segera menelefon Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menanganinya.    

“Saya telah ‘call’ SS untuk (beliau) buat sikit taklimat kepada pihak berkenaan – Polis, JPJ, SPAD; supaya pastikan peraturan dan keputusan kita (tentang pelbagai syarat termasuk pembatalan MOL ke atas 34 pengusaha terbabit) dipatuhi,” katanya.
                 
Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengulas mengenai isu nasional seperti 1MDB yang menurutnya, ia ditimbulkan dengan sengaja kerana ada ‘pihak-pihak luar negeri’ yang cuba melakukan ‘financial warfare’ atau ‘regime change’ terhadap negara ini.

HADIRIN DALAM KALANGAN 763 PENEROKA DARI RANCANGAN TANAH FELDA-RANCANGAN TANAH FELDA RENTAM, MENGKUANG, SERTA, TEMBANGAU 1 DAN 2 SEKELIAN...


TIADA HALANGAN JEMPUT TIMBALAN PRESIDEN

Pada persidangan media sama, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, turut ditanya mengenai kemungkinan ada arahan dalam urusan jemputan kepada Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bagi Bahagian-bahagian UMNO di negeri ini.

“Saya selaku Pengerusi Perhubungan, dan mendapat panduan daripada YAB Presiden dan YAB Timbalan Presiden; kita tidak menghalang sesiapa untuk menjemput Tan Sri Muhyiddin dan juga Dato’ Sri Shafie Apdal.

“Tapi, terpulanglah kepada Ketua Bahagian masing-masing. Kita tidak mengenakan sebarang syarat. Kita di Pahang ini sangat liberal. Hanya hal-hal tertentu kita kena bincangkan, kena buat keputusan.

“Tapi kalau menjemput merasmi Bahagian, dan sebagai semua-semua tu, kita tidak halang.

“Bahkan, kita galakkan supaya ramai ahli-ahli MKT dijemput. Saya sendiri mengatakan, tak perlu menjemput saya untuk merasmikan UMNO Bahagian masing-masing sebab elok kita beri peluang kepada ahli-ahli MKT, rakan-rakan yang lain datang untuk mereka merasmikan dan memberikan pandangan masing-masing,” katanya. – Khabar