Thursday 15 October 2015

Tun Razak Business Park sebagai pemangkin bagi majukan lagi Bandar Tun Abdul Razak



“Saya harapkan kawasan ini akan bertambah maju sebab ia boleh menjadi ‘impetus’, ‘catalyst’ untuk memajukan lagi (kawasan ini). Di sekeling tempat ini juga esok, ia akan maju juga,” kata Menteri Besar.

'HEAVY DUTY' @ TUGAS BERAT... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengendalikan jentera berat ini, bagi menyempurnakan pecah tanah projek bernilai RM100 juta ini. Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Wan Salman (kanan sekali) dan Dato' Mohd Nasir (dua dari kanan).


TAPAK PROJEK TUN RAZAK BUSINESS PARK, BANDAR TUN ABDUL RAZAK, JENGKA, MARAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini menzahirkan harapan agar kewujudan Tun Razak Business Park dapat menyumbang sebagai pemangkin yang dapat memajukan lagi Bandar Tun Abdul Razak ini.

“Saya harapkan kawasan ini akan bertambah maju sebab ia (Tun Razak Business Park) boleh menjadi ‘impetus’, ‘catalyst’ untuk memajukan lagi (kawasan ini). Di sekeling tempat ini juga esok, ia akan maju juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan media, sebagai mengulas lanjut hal yang sama diutarakan dalam ucapan luar teks 25-minitnya sempena Majlis Pecah Tanah Tun Razak Business Park pada pagi Khamis, 15 Oktober di sini.

“Ini kita mulakan dengan Tun Razak Business Park. Lepas tu esok, mungkin ada tempat yang boleh kita majukan dengan perumahan dan nanti, akan ada kawasan yang boleh dimajukan sebagai pusat pelancongan.

“Selain daripada kita telah mempunyai institusi pengajian tinggi yang ada – Kolej Matrikulasi Teknikal selain daripada UiTM (Kampus Khazanah Alam),” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

MAKA, SEMPURNALAH... 


PENDUDUK BANDAR TUN ABDUL RAZAK CUMA 24,000 ORANG

Beliau turut menyingkap – disebalik kawasan Segitiga Jengka mempunyai 25 Rancangan Tanah Felda dengan penduduk keseluruhannya kira-kira 77,000 orang tetapi, penduduk Bandar Tun Abdul Razak atau dikenali Bandar Jengka Pusat sebelumnya – hanyalah seramai 24,000 orang.

Yang bermakna, Bandar Tun Abdul Razak masih mempunyai potensi luas untuk menampung kehadiran penduduk yang lebih ramai, yang dengan itu boleh turut membantu untuk menjanakan lagi aktiviti ekonomi di sini.

Betapa katanya, kegiatan ekonomi turut bergantung kepada jumlah penduduk sepertimana Republik Rakyat China yang mempunyai kira-kira 1,300 juta penduduk yang menerusinya, menjamin pasaran tempatan yang turut meluas.

Sehinggakan syarikat-syarikat perniagaan di neger itu katanya, boleh sahaja bergantung kepada pasaran tempatan semata-mata namun tetap membuat keuntungan yang diharapkan serta maju.

“Itu sebab satu masa dulu, Kerajaan (Persekutuan) mencadangkan 70 juta penduduk (Malaysia) dalam tempoh 30 tahun. Di sini (Bandar Tun Abdul Razak), begitu(lah) juga,” katanya.

GAYANYA, DALAM UCAPAN LUAR TEKS 25-MINIT... Selain bercakap tentang projek Tun Razak Business Park serta manfaatnya kepada keseluruhan pembangunan Bandar Tun Abdul Razak; Dato' Sri DiRaja Adnan masih meneruskan penjelasannya mengenai isu nasional semasa terutamanya 1MDB.

Betapa beliau sarankan rakyat agar tidak mempercayai fitnah mengenainya yang cuma mahu mencalar serta memburuk-burukkan kepimpinan negara yang diketuai Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak.    

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Syed Ibrahim; dan, Dato' Mohd Roslan (sedikit terlindung, kiri sekali). 
 

KOS SEKARANG, RM100 JUTA; TAPI GDV NANTI, RM160 JUTA

Mengenai projek Tun Razak Business Park di atas tapak tanah 22-ekar milik Mentiga Corporation Bhd (yang sebelum itu dibeli dari Majlis Daerah Maran) katanya, ia dibangunkan menerusi kerjasama tiga pihak –

Anak syarikat Mentiga Corporation Bhd - Mentiga Development and Construction Sdn Bhd sebagai rakan usahasama; Top Land Resources Sdn Bhd selaku pemaju; dan, Dama Property Sdn Bhd menjadi perunding pemasaran eksklusifnya.

Beliau berharap, kerjasama ini dapat berjalan lancar seterusnya dapat menyiapkan keseluruhan projek Tun Razak Business Park ini dalam tempoh kira-kira dua-setengah tahun pada pertengahan tahun 2018.

Menurut maklumat yang diperolehi, keseluruhan projek Tun Razak Business Park ini memakan kos kira-kira RM100 juta, yang apabila siap sepenuhnya, dijangka melonjak kepada RM160 juta dalam bentuk Nilai Pembangunan Kasar (GDV).

Di atas tapak tanah seluas 22-ekar ini, akan dibina 181 unit yang kesemunya kedai 2-tingkat, berkeluasan lantai antara 2,048 kaki persegi dan 6,932 kaki persegi dengan tawaran harga antara RM678,000 dan RM2.79 juta.

TAK JEMU-JEMU MELAYANI MEDIA... Selain Dato' Mohd Nasir; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Shahaniza dan Dato' Ahmad Fuad (berbaju batik).
 

MEDAN SELERA BERKONSEP ‘ALFRESCO’

Selain itu, pihak pemaju akan mewujudkan dua (2) taman rekreasi; sebuah dewan; sebuah surau; dan, sebuah medan selera menghadap sungai, berkonsepkan ‘alfresco’ atau tidak berbumbung. 

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Khamis ini ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Dato’ Shahaniza Shamsuddin; wakil rakyat-wakil rakyat negeri, Dato’ Wan Salman Wan Ismail (BN – Jengka);

Encik Mohamad Ariffin Awang Ismail (BN – Chenor); Puan Norhidayah Shahaimi (BN – Luit); Pengarah Pembangunan Negeri, Dato’ Mohd Roslan Harun; Pegawai Daerah Maran, Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha; dan, Pengarah Urusan, Mentiga Corporation Bhd, Dato’ Mohd Nasir Putih. – Khabar