Sunday 25 September 2016

Menteri Besar sertai jemaah tunaikan solat jenazah

… ke atas jenazah dua beranak yang terlibat dalam kemalangan menyaksikan Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016

MENUNAIKAN SOLAT JENAZAH... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan menyertai kira-kira 600 jemaah dalam menunaikan solat jenazah buat kedua-dua Allahyarham Izwan dan Nur Zulaikha.   
 

MASJID TENGKU AMPUAN AFZAN, INDERA MAHKOTA 2, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah menyertai jemaah menunaikan solat jenazah ke atas dua (2) beranak yang terlibat dalam kemalangan menyaksikan Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 pada sebelah pagi di Jalan SUKPA, Taman Bandar, dekat sini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan tiba di perkarangan masjid ini kira-kira 9 malam, Ahad, 25 September, kemudian menyertai kira-kira 600 jemaah menunaikan solat tersebut pada kira-kira 10 malam.

Encik Izwan Isa, 39 – penyelia di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Gebeng, dan anaknya Nur Zulaikha, 5, meninggal dunia apabila sebuah go-kart terbabas dan merempuh ke arah mereka ketika sedang menonton perlumbaan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Terdahulu – seperti yang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) melaporkan, jenazah kedua-dua beranak itu dimandi dan dikafan selepas tiba di sini lewat petang, setelah selesai proses bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di bandar Kuantan.

Jenazah kedua-dua beranak itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi yang berdekatan, pada kira-kira 11.10 malam, disaksikan hampir 200 anggota keluarga dan kenalan.

ISTERI ARWAH YANG CEDERA DIBENAR PULANG

Isteri Allahyarham Izwan, Puan Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Danial, 7, yang turut menyaksikan perlumbaan itu, telah tercedera dan dirawat di HTAA yang sama.

Dan setakat petang tadi, menurut laporan berita yang sama, hanya Puan Siti Suhaiza – guru di Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota dekat sini, telah dibenarkan pulang. – BERNAMA/Khabar