Wednesday, 21 September 2016

Serikkah pengusaha dan operator bauksit ekoran tempoh moratorium?

 
MENCUCI TAYAR LORI PENGANGKUT BAUKSIT... Memadaikah, demi memastikan lori-lori ini bersih sebelum dibenarkan membuat perjalanan ke Pelabuhan Kuantan untuk pengeksportan?  

 
NOTA EDITOR;

Berikut disiarkan artikel mengenai aktiviti bauksit di Kuantan khususnya dalam melihat tentang pengajaran yang mungkin telahpun disedari dan diterima oleh para pengusaha dan operatornya, lalu diharap dapat bertindak positif untuk tidak lagi mengulangi laku-gelagat yang tidak baik yang telah mereka amalkan sebelum ini.

Artikel ini ditulis berikutan keputusan terbaru Kerajaan Pusat yang menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah mengumumkan untuk melanjutkan lagi tempoh moratorium yang sepatutnya berakhir 14 September, tetapi dilanjutkan hingga ke 31 Disember 2016 – perlanjutan kali keempat.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Sudahkah para pengusaha dan operator bauksit di Kuantan berasa serik ekoran penguatkuasaan tempoh moratorium yang menghalang mereka bergiat aktif dalam aktiviti khususnya perlombongan bahan mineral itu?

Kepada Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, beliau percaya tempoh moratorium yang dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan itu seharusnya menjadi pengajaran berguna kepada semua yang terlibat.

Lalu beliau berharap, mereka akan bersikap lebih bertanggungjawab dengan akur kepada segala peraturan yang ditetap dan ditambak-baikkan, demi menyaksikan aktiviti bauksit tidak lagi mencemar dan menjejaskan kehidupan berkualiti penduduk sekitar.

Ini setelah lebih empat (4) kali pertemuan Dato' Sri DiRaja Adnan dengan mereka – sebelum tempoh moratorium dikenakan lagi; memberi ingatan dan amaran serta mencadangkan langkah-langkah agar mereka sentiasa bertanggungjawab, atau bersedia menghadapi tindakan tegas Kerajaan khususnya Kerajaan Persekutuan.

Akhirnya, kerana kedegilan masing-masing hingga menyaksikan segala kekalutan dalam aktiviti pengeluaran dan pengangkutan bahan mineral itu semakin menjadi-jadi, Kerajaan Persekutuanpun bertindak dengan langkah tegasnya – memperkenalkan tempoh moratorium.

AMARAN UNTUK LANJUTKAN LAGI HINGGA ENAM BULAN, JIKA…

Maka ditetapkan dalam tempoh moratorium ini, tiada sebarang aktiviti perlombongan bahan mineral itu dibenarkan melainkan kerja-kerja pengangkutan dari kawasan simpanan ‘stockpile’ sedia ada, serta pengeksportannya – itupun dengan memperolehi Permit Kelulusan (AP) Khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE).

Tempoh moratorium itu kini dipanjangkan kepada kira-kira 11-setengah (11 ½) bulan, dengan tempoh perlanjutan terbaru antara 15 September dan 31 Disember sepertimana diumumkan oleh Menteri NRE, Dato' Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini.

Tempoh itu bermula dengan yang pertama selama tiga (3) bulan antara 15 Januari dan 14 April; kedua, lagi tiga (3) bulan antara 15 April dan 14 Julai; ketiga, selama dua (2) bulan antara 15 Julai dan 14 September; dan terkini, dilanjutkan kali keempat selama tiga setengah (3 ½) bulan (antara 15 September dan 31 Disember).

Dan, Dato' Sri Wan Junaidi turut memberi amaran betapa pelanjutan seterusnya akan lebih panjang, selama enam (6) bulan pula, jika Kerajaan belum juga puas hati dengan kerja-kerja yang sepatutnya dilaksanakan.

Perlanjutan demi perlanjutan ini ialah kerana kegagalan memenuhi sasaran utama tempoh moratorium ini iaitu - melupuskan kesemua simpanan (stockpile) yang terdapat di kesemua 11 kawasan di sekitar daerah ini yang jumlah terkini, seperti yang disebut oleh Dato' Sri Wan Junaidi, ialah 4.13 juta tan metrik.

HARGA BAUKSIT JATUH MAKA KURANG MINAT JUAL/EKSPORT?

Pelupusan ialah secara pengeksportan ke negeri China yang setakat ini, 38 Permit Kelulusan (AP) Khas telahpun Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) keluarkan bagi maksud tersebut.

Dengan setiap satu (AP Khas itu) boleh mengeksport hingga 100,000 tan metrik maka 38 AP Khas sebenarnya boleh melupus dan mengeksport sehingga 3.8 juta metrik tan. Namun, ia tidak terjadi begitu.

“Disebalik semua itu, hanya 1.27 juta tan metrik telah dieksport menerusi Pelabuhan Kuantan dan Kemaman. Para operator masih menyimpannya di kawasan-kawasan ‘stockpile’ di Felda Bukit Goh, Sungai Ular dan Gebeng,” Dato' Sri Wan Junaidi dilaporkan berkata.

Mungkinkah kerana harga pasaran bauksit yang jatuh – sehingga kira-kira AS24 dolar setan metrik sekarang (daripada kira-kira AS40 dolar setan metrik semasa waktu puncak tahun 2014) menyebabkan pengusaha dan operator kurang berminat untuk menjual/mengeksportnya ketika ini?

Apapun alasannya, pengusaha dan operator bauksit mestilah bertindak segera kerana masa tidak lagi menyebelahi mereka. Menurut sumber-sumber, pengimport China semakin hilang kepercayaan untuk mendapat bekalan bahan mineral itu secara konsisten dari sini.   

BERSEDIA UNTUK ALAMI ‘NATURAL DEATH’

“Seluruh industri bauksit mungkin akan terhenti jika nanti, pengimport China beralih kepada pasaran baharu pula untuk mendapatkan bekalan mereka secara lebih konsisten bagi menampung keperluan industri pengeluaran aluminium mereka.

“Jika ini berlaku – ‘natural death’ buat industri bauksit yang pastinya dialu-alukan oleh penduduk Kuantan; tetapi, satu bencana kepada para pengusaha dan operator serta ribuan lagi tenaga kerja yang bergantung terhadapnya,” menurut sumber-sumber itu.

Beberapa pengusaha dan operator bauksit sendiri mengakui, memang mereka serik dengan segala masalah yang menimpa terutamanya dengan tempoh moratorium apatah lagi Kerajaan membuat lanjutan demi lanjutan kepadanya.

Dalam pada itu, ada pula yang berpandangan betapa semasa keadaan yang sukar dan menyerikkan inilah, Kerajaan boleh mengenal pasti secara langsung akan pengusaha dan operator bauksit yang sebenar, yang mahu akur terhadap segala peraturan yang Kerajaan tetapkan.  

Ekoran itulah, satu senarai Prosedur Operasi Piawai (SOP) telahpun dibincang dan diputuskan dalam beberapa bengkel kendalian Kerajaan Negeri - diurusetiakan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri, dengan turut melibatkan pengusaha dan operator lombong dan pengangkutan.

SENARAI SOP TELAH KERAJAAN NEGERI SERAH KEPADA NRE

Senarai SOP berkenaan menurut seorang pegawai PTG, telahpun diserahkan kepada NRE yang kini menunggu untuk dibawa dan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet Kerajaan Persekutuan sebelum dipersetuju seterusnya dikuatkuasakan.

Menurut pegawai yang sama, beberapa perkara yang disarankan dalam SOP itu bagaimanapun telahpun dilaksanakan oleh pengusaha dan operator berkenaan khususnya yang mempunyai AP Khas, yang terlibat dengan pengangkutan dan pengekesportan bahan tersebut ketika ini.       

Antaranya ialah memastikan di setiap kawasan simpanan perlu ada ‘washing bay’ yang sempurna, yang memastikan tayar-tayar lori pengangkut bahan itu benar-benar bersih sebelum mengambil perjalanan untuk ke Pelabuhan Kuantan untuk eksport.

Begitu juga daripada segi lori pengangkutannya yang menurut SOP itu, tidak boleh lagi menggunakan lori berbadan kayu, sebaliknya berbadan besi yang lebih kukuh pembuatannya bagi menampung muatan bauksit tersebut.

Disamping itu, had laju turut dikenakan – mesti tidak melebihi 80 KM sejam. Laluan juga ditetapkan – dari kawasan Bukit Goh dan sekitarnya, memasuki Jalan Pintasan Kuantan kemudian melencong ke Jalan Pintasan Gebeng yang melalui Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), ke Pelabuhan Kuantan.

BAYAR DULU RM8 SETAN METRIK, SEBELUM EKSPORT

Begitu juga dengan bayaran khas yang Kerajaan Negeri kenakan yang telah dinaikkan daripada RM4 setiap tan metrik kepada RM8 setiap tan metrik, berkuatkuasa sejak 1 Januari lepas, yang mesti pula dibayar sebelum pengeksportan lagi dan bukan selepasnya sepertimana amalan lama.

“Cadangan asal untuk membina satu laluan alternatif sepanjang 5 KM merentasi kawasan hutan simpan yang sensitf di belakang sebuah politeknik, telah dibatalkan akibat kos yang tinggi dan pula pencemaran alam sekitar di sana.

“Begitu juga dengan cadangan asal untuk mewujudkan cuma satu (1) kawasan simpanan yang akan menyebabkan berlaku monopoli oleh pengusaha/operator kawasan itu. Kini, tiga-empat kawasan simpanan itu yang akan diiktiraf,” menurut pegawai berkenaan lagi.

Ini dengan sendiri menjawab dakwaan pembangkang kononnya masalah mengenai bauksit yang berlarutan sekarang sebahagiannya kerana kegagalan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan dua perkara tersebut.  

Dalam pada menyatakan serik dengan tempoh moratorium sekarang, masih ada juga laporan tentang aktiviti perlombongan (yang sepatutnya haram dalam tempoh itu) terus dilakukan secara sembunyi-sembunyi pada waktu malam.

MASIH WUJUD UGUT-MENGUGUT, GUNA KHIDMAT TONTO?

Oleh itulah disyaki, ia menjadi punca kepada simpanan di kawasan ‘stockpile’ yang  meningkat pula dan tidak hairanlah dengan angka 4.13 juta tan metrik yang masih terkumpul di kawasan-kawasan tersebut sepertimana yang Dato' Sri Wan Junaidi sebutkan.

Sedangkan, kalau menurut rekod pada bulan April lepas, jumlah terkumpul kesemuanya ialah kira-kira 3.62 juta tan metrik yang seharusnya berkurangan lagi sekarang, bukan bertambah! 

Sudahlah masih melakukan secara haram, apabila diserbu pegawai penguatkuasa, masih lagi wujud gejala pegawai-pegawai ini ditakut-takutkan oleh sama ada pihak tonto yang diupah atau pihak operator sendiri.

“Inilah kekangan-kekangan yang masih dihadapi oleh pihak penguatkuasa sungguhpun tidak sebesar sebelumnya,” kata pegawai berkenaan lagi, memberi gambaran tentang terdapat segelintir operator yang masih dengan sikap lama mereka.

Persoalannya; jika sudah serik seperti yang diakui beberapa pengusaha dan operator, sejauh manakah keserikan itu hingga dapat meyakinkan Kerajaan betapa aktiviti bauksit – perlombongan, pengangkutan dan pengeksportan, boleh dibenarkan kembali beroperasi seperti biasa? – Khabar