Tuesday 1 November 2016

Satu lagi jambatan rentasi Sungai Kuantan terus ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur


KDYTM Tengku Mahkota sempurnakan majlis pecah tanah pembinaan projek jambatan bernilai RM180 juta ini

KDYTM TENGKU MAHKOTA SEDANG MENGENDALIKAN JENGKAUT... 

PUSAT EKUESTRIAN, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – KDYTM Tengku Mahkota Pahang petang Selasa, 1 November, telah berkenan mencemar duli, menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan jambatan baharu bernilai RM180 juta merentasi Sungai Kuantan, dekat sini.

Pembinaan jambatan baharu ini bermula dengan pembinaan jalan dari persimpangan Jalan Tanah Putih/Jalan Pintasan Bukit Setongkol berhampiran Pasaraya Giant, melalui sebahagian Jalan Sri Kemunting 2 seterusnya merentasi Sungai Kuantan dan berakhir di Jalan Tanjung Lumpur berdepanan Bandar Putra.

Menurut maklumat yang disediakan, projek ini melibatkan kawasan tanah paya bakau di sebelah Tanjung Lumpur ini, selain pembangunan sediada di Jalan Sri Kemunting 2 dan kawasan lapang dekat sana.  

Antara skop kerja yang akan dilaksanakan ialah – membina jalan empat (4) lorong berkembar dari Jalan Tanjung Lumpur ke persimpangan Jalan Tanah Putih/JalanPintasan Bukit Setongkol yang sepanjang 2.5 KM merangkumi jalan baharu sepanjang 1.29 KM;

Menaiktaraf jalan sediada sepanjang 480 meter; membina jambatan baharu sepanjang 430 meter merentasi Sungai Kuantan; membina satu persimpangan lampu isyarat baharu di Jalan Tanjung Lumpur;

PANDU-TUJU KE TAPAK... Dengan KDYTM Tengku Mahkota di sisi, Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang memandu 'buggy' untuk menuju ke tapak pecah tanah berkenaan.  

JANGKA SIAP DALAM DUA TAHUN, PADA OGOS 2018

Dan, menaiktaraf satu persimpangan-T di Jalan Tanah Putih/Jalan Pintasan Bukit Setongkol yang sedia ada, kepada persimpangan lampu isyarat.

Keseluruhan projek Kerajaan Persekutuan bernilai RM180 juta ini dijangka mengambil masa selama dua (2) tahun untuk dilaksanakan dan dijadualkan siap untuk kegunaan pada Ogos 2018.

Tidak dinafikan, Tanjung Lumpur yang dulunya hanyalah sebuah perkampungan nelayan, kini mula berkembang sebagai satu perbandaran yang terancang. Dengan adanya jambatan baharu ini yang berdekatan pula Pasaraya Mega Aeon yang akan turut dibina, akan menggalakkan perkembangannya. 
Dalam titah ucapan bagi menyempurnakan majlis pecah tanah petang Selasa ini, KDYTM Tengku Mahkota Pahang telah antara lain turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan;

Yang di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang banyak memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur di negeri ini, termasuklah pembinaan jambatan baharu ini.

SESI FOTO BERKUMPULAN, BUAT KENANG-KENANGAN... 

DULU NAIK DUA FERI

“Tahun 1960-an dahulu, rakyat Pekan terpaksa menaiki dua (2) buah feri untuk ke bandar Pekan dan saya sendiri pernah merasai pengalaman tersebut semasa mengikuti Ayahanda, Sultan Ahmad Shah, sebelum berpindah ke Kuantan.

“Kini, banyak nikmat pembangunan telah dirasai oleh rakyat dan dengan pembinaan jambatan baharu ini saya yakin, limpahan ekonomi akan dapat dirasai oleh penduduk," titah Baginda sepertimana Bernama melaporkan.

Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah mengiringi Baginda. Antara yang turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; 

Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; dan, Pengerusi, Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) – pemaju projek ini, Raja Tan Sri Aman Raja Ahmad. – Khabar