Monday, 21 November 2016

Bajet Negeri 2017, bajet lebihan ke-14 sejak 1992



... dengan jangkaan hasil, RM739.28 juta berbanding jangkaan perbelanjaan, RM738.06 juta atau lebihan RM1.22 juta

Fokus kepada empat (4) bidang utama – Perumahan, Pendidikan, Kebajikan, dan, Menerokai Sumber Baharu untuk menjana hasil pendapatan negeri.   

AKSI BERSAHAJA... Sudah tentu ada sesuatu yang melucukan sehinggakan kelihatan wajah-wajah riang pada Dato' Sri DiRaja Adnan serta barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
 

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membentangkan bajet lebihan ke-14 (sejak 1992) bagi Bajet Negeri 2017 pada Persidangan Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-13 pagi Isnin, 21 November di sini.

Dengan jangkaan hasil kira-kira RM739.28 juta berbanding  jangkaan perbelanjaan kira-kira RM738.06 juta; menjadikan bajet lebihan kali ini kira-kira RM1.22 juta.Bajet ini juga menyediakan peruntukan pembangunan kira-kira RM194.83 juta ringgit.

Dalam ucapan kira-kira 47-minit, beliau turut menyebut tentang fokus Kerajaan Negeri ke arah melaksanakannya iaitu dalam empat (4) bidang utama -  Perumahan, Pendidikan, Kebajikan, serta, Meneroka Sumber-sumber Baharu Untuk Menjana Hasil Pendapatan Negeri.

Berkaitan dengan bidang utama keempat menurutnya, Kerajaan Negeri akan menubuhkan sebuah 'Special Purpose Vehicle' (SPV) yang beliau sendiri akan mengetuainya, untuk usaha-usaha penerokaan sumber-sumber baharu tersebut. 
 
Mengenai jangkaan hasil RM739.28 juta ringgit katanya, ia diperolehi daripada kutipan hasil tanah dan galian kira-kira RM343.18 juta; hasil perhutanan kira-kira RM100 juta; hasil air kira-kira RM5.5juta; geran bakal daripada Kerajaan Persekutuan kira-kira RM105.3 juta; dan, hasil-hasil lain kira-kira RM185.3 juta.

Tentang jangkaan perbelanjaan kira-kira RM738.06juta pula katanya, RM545.32 juta adalah batas perbelanjaan jabatan; RM23.14 juta ialah bagi pelaksanaan dasar-dasar baharu seperti emolumen dan kenaikan gaji penjawat awam berdasarkan pekeliling-pekeliling terbaharu; dan, RM169.6juta untuk bajet ‘one-off’.

MENGAMINKAN DOA SEBELUM PERSIDANGAN BERMULA... 


PRESTASI YANG MENYAMAI PRESTASI KDNK NEGARA

Tentang jangkaan perbelanjaan kira-kira RM738.06juta pula katanya, RM545.32 juta adalah batas perbelanjaan jabatan; RM23.14 juta ialah bagi pelaksanaan dasar-dasar baharu seperti emolumen dan kenaikan gaji penjawat awam berdasarkan pekeliling-pekeliling terbaharu; dan, RM169.6juta untuk bajet ‘one-off’

Bajet ‘one-off’ ini ialah seperti bayaran tunggakan pencen dan pencen terbitan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri; bayaran gaji dan elaun kepada kakitangan kontrak; pembelian harta modal untuk peralatan kerja dan perabut pejabat;

Caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan; bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan; serta, perbelanjaan lain seperti hospitaliti dan tuntutan insurans.

Pada Tahun 2014 kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mencatatkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Pahang pada enam (6) peratus berasaskan harga malar 2010.

Ini adalah bersamaan dengan prestasi KDNK Negara yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang sangat kukuh dengan kadar pengangguran yang rendah serta inflasi yang terkawal di negeri ini.

SUASANA DAMAI DALAM DEWAN YANG MULIA... 
 

YANG BERMATLAMATKAN KEMAKMURAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT
 
“Prestasi ini disokong oleh pelaksanaan pelbagai projek dan program transformasi yang dilaksanakan. Bagi tahun 2014, negeri Pahang telah berjaya menarik pelabur-pelabur asing dan tempatan dengan nilai pelaburan sebanyak RM9.5 bilion.

Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang mula dilaksanakan pada tahun 2016 yang merupakan rancangan pembangunan lima (5) tahun terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020, akan mengukuhkan lagi komitmen Kerajaan untuk mencapai pertumbuhan yang bermatlamatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menjelang tahun depan pula katanya, Pahang akan terus mencatatkan prestasi KDNK kira-kira 5.7 peratus setahun berasaskan harga malar 2010 sehingga tahun 2020, dengan mengambilkira pertumbuhan ekonomi negara yang dijangkakan berkembang antara lima (5) dan enam (6) peratus setahun.

“Bagi meningkatkan pendapatan per kapita dan pendapatan isi rumah serta kesejahteraan rakyat di negeri Pahang,” katanya lagi, “Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan dan perhatian terhadap usaha-usaha peningkatan inovasi dan produktiviti dalam  RMK-11”.

Pada awal ucapannya, beliau ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang telah membentangkan Bajet Negara 2017 pada 21 Oktober lepas yang bertemakan ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’.

MESRA BERSAMA KETUA JABATAN... Inilah suasana ceria Dato' Sri DiRaja Adnan bersama-sama beberapa ketua jabatan ketika menunggu bermulanya persidangan pagi Isnin ini. 

Mereka ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Roslan Harun (membelakangi); serta, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato' Nazri Abu Bakar, dan, Pengarah, Jabatan Kerjaraya (JKR) Negeri, Dato' Ir Abdul Jalil Mohamad (bersongkok). 
 


USAHA UNTUK TERUS JAMIN PERPADUAN 

Bajet Negara 2017 itu memperuntukkan RM260.8 ribu juta yang daripadanya, RM214.8 ribu juta ialah perbelanjaan mengurus, dan, RM46,000 juta bagi perbelanjaan pembangunan termasuk simpanan luar jangka kira-kira RM2,000 juta.

Beliau seterusnya menyatakan penghargaan Kerajaan Negeri kepada Perdana Menteri yang telah meluluskan pembinaan Akademi Bolasepak Fasa II di Gambang dekat sini dengan peruntukan RM50 juta;

Pelaksanaan projek East Coast Rail Line (ECRL) bernilai RM55,000 juta menghubungkan Lembah Klang ke negeri-negeri Pantai Timur sepanjang 600 kilometer yang melalui Pelabuhan Klang,  Gombak, Mentakab, Kuantan dan berakhir di Tumpat, Kelantan.  

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga berkata betapa Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menjamin perpaduan dan mensejahterakan rakyat menerusi penyediaan rumah mampu milik, pembangunan Orang Asli, meningkatkan taraf kesihatan rakyat, pembangunan infrastruktur luar Bandar, pembangunan projek bekalan air, dan, pengembangan ugama Islam.

Selain itu ialah usaha-usaha untuk merancakkan sector pelancongan; menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi penggalakan kemasukan pelaburan, pembangunan usahawan serta melipat-gandakan usaha dan hasil sektor pertanian.

Menjamin pembangunan sosial dan modal insan dengan menggembleng belia berwawasan dan pembangunan sukan negeri. – Khabar