Tuesday, 27 December 2016

Harapan baharu buat Cameron Highlands.

 
… namun, sikap dan disiplin petani perlu diperbetulkan manakala NGO perlu turut memainkan peranannya, bukan sekadar mencari kesalahan

 
NOTA EDITOR;

Berikut ialah antara artikel yang dipetik daripada Khabar Pahang edisi cetak – Bil 24 Tahun 18, Tahun 2016, yang sedang dalam proses penerbitan/percetakan dan dijangka siap untuk edaran yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Negeri pada Januari, 2017.

Sama-samalah kita memanfaatinya.   

DATO' A RAHMAN HAMZAH...
 

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Harapan baharu buat Cameron Highlands – inilah yang boleh dikatakan tentang kawasan tanahtinggi ini berdasarkan kepada Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030;
 
Dan yang lebih penting, tentang pelaksanaan serta juga tindak-balas positif masyarakat setempat terhadapnya termasuklah mempunyai sikap dan disiplin yang betul terutamanya oleh para petani serta badan-badan bukan Kerajaan (NGO) di sana.
 
Inilah intipati yang dapat digarap menerusi temubual dengan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato’ A Rahman Hamzah pada Sabtu, 27 Ogos di Bilik Mesyuarat, Kelab Golf Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Cameron Highlands.
 
“Inilah perkara (mengenai sikap dan disiplin para petani) yang perlu mengambil masa lah,” kata Dato’ A Rahman, kemudian terus menyebut tentang NGO di sana dengan mempersoalkan peranan mereka.
 
“NGO ini, minta maaflah, macam dia lebih nak mencari kesalahan… Ia bukan nak berganding bahu mencari (jalan penyelesaian). Ok, (isu) sampah sarap dalam sungai - ia akan kata (sebab) ‘JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) tak cuci’. Apa Jabatan Alam Sekitar buat?’
 
KEHIJAUAN YANG MENDAMAIKAN... Disebalik banyak perkara negatif yang gemar diperkatakan, masih tidak dapat menafikan tentang sebahagian besar kawasan tanahtinggi ini yang masih terpelihara alam sekitarnya sepertimana terserlah pada foto ini. 
 
 
PATI TIDAK PEDULIKAN APA YANG TERJADI
 
“Tapi, ia tak pernah kata (nasihati masyarakat setempat), ‘Eh, janganlah buang sampah dalam sungai’. Ia tak pernah khabar (beritahu mereka), ‘Eh, kenapa kita kena buang sampah dalam sungai? Kenapa kita lepaskan sisa racun ke dalam sungai?” beliau menempelak.
 
Yang menambah-burukkan lagi ialah apabila para petani menggaji pekerja dalam kalangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang tidak megambil kisah tentang tindakannya yang memudaratkan alam sekitar.
 
“Pendatang asing ini, ini bukan negara dia, bukan tanahair dia. Dia apa peduli, janji siap kerja. Ini – plastik, baja, campak ke mana? Campak ke sungai sahajalah. Tauke kebun bayar gaji dia tapi, sungai kotor ke, dia peduli apa,” kata Dato’ A Rahman lagi.
 
“Kenapa tauke tu tak boleh atur (supaya) pekerja yang menjaga kebunnya secara sempurna, kita tengok kebun diapun sangat cantik; tetapi, aktiviti membuang sampah (secara teratur) tak dapat diterapkan kepada mereka?” beliau mempersoalkan.
 
Berikut disiarkan sebahagian lagi kandungan hasil daripada temubual petang Sabtu itu, yang disiarkan secara ‘verbatim’. Ia ekoran soalan-soalan yang dikemukakan tentang pencerobohan tanah, kedatangan pelancong, dakwaan rasuah terhadap kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah;
 
SUNGAI YANG KEMBALI BERSIH...
 
 
TIADA LAGI PENCEROBOHAN BAHARU
 
Sehinggalah kepada hal-hal mengenai pengenalan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) Elektronik (E-LPS) yang mana Cameron Highlands ialah daerah pertama dilaksanakan sebagai projek perintis.
 
“Daripada segi pencerobohan tanah kita nampak, ia terkawal. Pencerobohan baharu boleh dikatakan tiada. Cuma yang ada sikit, yang masih teroka semula sungguhpun sudah dibuat operasi.
 
“Pendatang asing (PATI) sungguhpun dikatakan sudah berkurangan tapi apabila sahaja ada operasi, masih lagi ada, masih ada kena tangkap. Kalau siasat 10 orang, ada sangkut satu (1), siasat 30 orang, ada sangkut tiga (3), empat (4) orang. So, pedatang asing ini dia datang, cuba dan cuba”.
 
“Berkaitan dengan pelancongan ini (tiada kesan)… Sebab, setiap hujung minggu kita dapati Tanah Rata, Brinchang, Kia Farm – daripada segi lalulintas; sibuk, sesak. Keluhan orang ramai ialah berkaitan kesesakan lalulintas dan juga kekurangan tempat letak kereta.
 
“Jadi, bagi pihak berkuasa pula, dilemma. Orang datang nak melancong, nak selesa tapi yalah, ada kesukaran. Kesukaran daripada segi nak beli-belah di pasar malam Brinchang, bagaimana nak letak kereta.
 
LALULINTAS DAN BANGUNAN-BANGUNAN DI PEKAN KECIL TANAH RATA... Kesesakan jalan ini adalah perkara biasa terutamanya pada cuti-cuti perayaan ataupun cuti rehat hujung minggu.
 
 
JARAK PENDEK, AMBIL MASA BERJAM-JAM
 
“Perjalanan dari Tanah Rata ke Brinchang, Brinchang ke Kia Farm kadang-kadang mengambil masa yang tak munasabahlah lamanya. Kadang-kadang jarak dua-tiga km, 45 minit. Jarak tujuh (7) km berjam-jam jadinya”.
 
Mengenai kawasan yang dicerobohi haram serta tindakan ke atasnya, katanya; “Kita ada ‘data base’ untuk tindakan kita (memusnahkan struktur dan tanaman di atas tanah yang dicerobohi secara haram) ada 5,580 ekar. Kita sudah mengambil tindakan lebih daripada 85 ‘percent’. Kita ada ‘balance 15 percent’ belum ambil tindakan.
 
“Pencerobohan (ada dua jenis); yang berdasarkan sindiket dan (mempunyai) kemampuan kewangan yang besar.
 
“(Yang satu lagi ialah), banyak pula pencerobohan yang berlaku akibat daripada memang dia mencari rezeki tapi, oleh kerana Kerajaan Pahang telah membekukan permohonan LPS, jadi dia hendak tak hendak, ceroboh.
 
“Jadi sekarang ini, ada dua pertimbangan. Pertimbangan bahawa, jenis yang bersindiket, yang menggunakan modal besar ini, satu tindakan lain yang tegas yang sangat serius kena buat.

RUMAH BATU UNTUK MASYARAKAT ORANG ASLI KITA... Yang membuktikan Kerajaan - Persekutuan mahupun Negeri; tidak pernah meminggirkan kaum minority sepertimana Orang Asli. 
 
 
ADA PULA YANG AMBIL KESEMPATAN NAK DAPATKAN LPS
 
“Tetapi kepada pekebun-pekebun kecil, petani-petani kecil yang orang kata bergantung hidup kepada kebun tadi secara tradisi, turun-temurun – ha yang itu ada pertimbangan lainlah sepertimana yang selalu dijelaskan oleh YAB Menteri Besar.
 
“YAB Menteri Besar selalu kata, Kerajaan Negeri akan memikirkan keputusan yang sesuai dan perlu kepada keadaan”.
 
“Fail dia (untuk pemberian LPS kepada petani-petani kecil) kita sedang proses. Cuma, yalah, dalam kita memproses fail, ada juga orang yang mengambil kesempatan pula. Kita kata, orang yang betul-betul susah sebab kebun dia dimusnah (yang perlu diproses/bantu).
 
“Tapi, ada pula kumpulan-kumpulan yang mengambil kesempatan - mohon sama, merayu sama (untuk mendapatkan tanah di bawah LPS). Itu yang memerlukan kita masa untuk menapis supaya kita dapat membela orang yang betul”.
 
Dato’ A Rahman juga menyebut tentang soal keberanian luar biasa, penceroboh-penceroboh ini. “Keberanian orang yang ceroboh tu, dia sangat berani. Tapi, apa faktor dia menjadi berani tu tak dapat nak dikesan. Tiba-tiba dia berani. Kalau tengok di merata-rata – ‘reserve’ jalan, ‘reserve’ sungai, banyak digunakan. Sepatutnya kawasan-kawasan itu disimpan sebagai ‘reserve’.

LADANG DI LERENG BUKIT... Ini memang hakikat bahawa, kerana tamak dan kedegilan, cerun yang curam juga diterokai untuk melakukan tanaman secara komersil yang tentunya merosakkan alam sekitar serta membahayakan.
 
TAK KELUAR LAGI PERMIT TOLAK TANAH, SUNGAIPUN JERNIH
 
“Persoalan sekarang, bagi kita, kita kata kita simpan sebagai ‘reserve’. Bagi dia, tanah kenapa tidak digunakan. Ha itu satu, (menjawab soal) kenapa dia ceroboh. Bila dia ceroboh, ha ini satu (lagi masalah) pula, apabila dia gunakan buruh-buruh asing”.
 
“Alhamdulillah, memang dah jernih. Sungai-sungai sudah jernih. Sebabnya, kita sudah tak keluarkan permit menolak tanah. Kalau dulu, dia orang minta - minta, lulus. Tapi sekarang kita kata, betul-betul sangat perlu baru lulus.
 
“Tapi bila kita kata sangat perlu baru lulus, diapun macam tak minta. Jadi boleh perhatilah, sungai-sungai ini kebanyakan sudah bersih”.
 
Mengenai dakwaan rasuah dalam kalangan penjawat awam katanya; “Fasal rasuah tak rasuah ini, saya tak berani nak bagi ulasan yang tepatlah sebab, rasuah ini apabila… Saya selalu juga sarankan dengan masyarakat yang mengadu kata ada rasuah, saya kata, rasuah ini perlu dilaporkan.
 
“Kempen SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ada, dan kesalahannya sebenarnya (ialah ke atas) pemberi dan penerima. Yang ini yang jadi masalahnya. Kalau dia sudah beri, dia takkan lapor kalau yang menerima itu bersetuju.
 
DAKWAAN RASUAH LEBIH KEPADA ‘HEARSAY’
 
“Jadi, yang mengatakan ada rasuah, tak ada rasuah ni, ia ‘hearsay’ sahaja. Dia dengar-dengar cerita. Kalau dia ‘report’pun, bukti tak kukuh.  
 
“Beginilah. Cakap berlapisnya – kalau tak ada angin, pokok taklah beriya bergoyangnya. Tapi orang kata, sedang mana anginnya menyebabkan pokok bergoyang? Kalau angin kuat sangat, pokokpun tumbang kan?
 
“Mungkin ada, mungkin tidak. (Soalnya ialah) pembuktiannya. Benda-benda ini nak tuduh, sebab ini melibatkan maruah orang. Bila ada pembuktian, ha macam saya sendiri selaku Ketua Jabatan, (bila) selagi tak ada bukti, tak ada laporan; saya kata, kakitangan saya memang mematuhi peraturan berdasarkan jawatan yang dia sandanglah.
 
“Saya selalu beritahu, kalau betul-betul kakitangan Kerajaan minta (rasuah), buatlah (laporan). Buat perangkappun boleh. Tak ada masalah. (Tapi) tak ada pula berlaku. Benda ini susah nak diulaslah”.
 
Berkaitan dengan E-LPS, “E-LPS memang dimulakan di daerah Cameron Highlands oleh kerana nak jadikannya sebagai ‘pilot’ sebab, semua masalah yang boleh timbul akibat LPS boleh dikesan di Cameron Highlands.
 
E-LPS DAPAT PERCEPATKAN PROSES, ELAK PENYELEWENGAN
 
“Misalnya, kenapa lewat, kenapa tak itu, kenapa tak ini. Jadi, memang kalau E-LPS itu digunakan sepenuhnya memang ia dapat membantu dalam mempercepatkan proses.
 
“Sebab, urusan LPS ini prosesnya berulang-ulang. Bila dah lulus - tahun ini lulus, tahun depan kena ‘renew’. Tahun depan lagi kena ‘renew’, tahun depan lagi kena ‘renew’. Lepas tahun keempat lulus, tahun kelima kena pula mohon semula.
 
“Benda tu sentiasa berulang-ulang. Jadi, bila dia berulang itu dan kita buat secara ‘manual’, kita kena uruskan satu-satu (maka lambat).
 
“Tapi kalau melalui komputer (E-LPS), dia jalan sahajalah. Ia akan mempercepatkan sahaja. Dan mungkin (juga dari segi) penyemakan. Sebab, kita ‘computerise’kan hingga kepada pelan. Pelan-pelanpun kita ‘digitalise’kan.
 
“So, selepas ini, tak ada sudah kisah - pelan boleh alih, pelan berubah bentuk, tak ada. Sebab, kita mulakan daripada jual, lulus, - semua pakai pelan yang sama. Kita kena ucapkan tahniahlah kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) kerana memilih Cameron Highlands”.
 
E-LPS SEPENUHNYA BERMULA TAHUN 2017
 
“Tapi setakat ini, kita belum gunakan sepenuhnya sebab kita tengah (sedang) kutip data. Daripada segi ‘target’nya, kita akan cuba tahun depan (2017) sepenuhnya. Kita akan hentikan pemprosesan secara manual, terus guna E-LPS.
 
“Sebab kemampuannya (E-LPS) memang sangat tinggi. Boleh buat surat makluman penerimaan, surat memberitahu kelulusan, surat penolakan – semua boleh dijana melalui sistem itu sahaja”.
 
“Daripada segi pelan itulah. Pelan tadi apabila kita ‘digitalise’kan, dan pelan kita sekarang ini, kita bandingkan dengan imej (satelit). So selepas ini, imej ini kita akan sentiasa minta daripada Agensi Remote Sensing Negara. 

“Bila gambar (imej) itu datang, kita boleh ‘overlay’ dengan pelan maka kita boleh nampak (keadaan sebenar atas tanah). Kita sekarang sudah tak payah hantar orang ke ‘on the ground’.
 
Katakan sebagai contohnya, dia (kawasan yang) empat segi tepat (yang ada pada) pelan. Tapi, kalau kita dapat gambar (imej satelit), ia tiba-tiba jadi empat segi bujur; ha, ‘something wrong’ dah berlaku di situ.
 
SUHU HINGGA CECAH 14 DARJAH SELSIUS PADA MALAM
 
“Kalau dulu kan kita selalu khabar, (alasan-alasan diberikan tentang kenderaan) ‘land rover’ rosak, bukit curamlah apa semua. Sekarang, apa (lagi hendak dialasankan tentang) curamnya… gambar (imej) satelit yang ia putar dunia berapa kali sehari?”
 
Beliau juga berkata betapa, “Ekoran daripada kejadian (tahun) 2014, membawa kesan yang amat positiflah kepada kemajuan Camerons – semua pihak baik Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, bertindak untuk memastikan…
 
“Camerons ini (kehebatannya) ialah suhunya. Apabila kita kata pembangunan dikawal, pencerobohan tanah dikawal; kemungkinan besar suhu diapun kita dapat – satu keadaan yang sentiasa macam sekarang, purata 18 (darjah selsius).
 
“Kita pernah sampai, malam-malam, 14 (darjah selsius), siang-siangpun 22 (darjah selsius). Maknanya, sejuk itu selesa… Nak pakai kemejapun sedap, kalau nak bergaya nak pakai ‘coat’, nak pakai jaketpun, macam orang tak hairanlah.
 
“Di sini maknanya, cuacanya selesa, sedap. Dan itupun sebab pelancong datangpun…” – Khabar

 

# Dato’ A Rahman telah berpindah-kerja ke Lipis pada jawatan yang sama, berkuatkuasa 17 Oktober.