Saturday, 7 January 2017

Pak Nawi – penternak lebah madu yang tidak mahu lokek ilmu



NOTA EDITOR

Berikut ialah lagi antara artikel yang dipetik daripada Khabar Pahang edisi cetak – Bil 24 Tahun 18, Tahun 2016, yang sedang dalam proses penerbitan/percetakan dan dijangka siap untuk edaran yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Negeri pada bulan Januari ini.

Sama-samalah kita memanfaatinya.

PAK NAWI DAN PENULIS, DENGAN ANTARA PRODUK-PRODUK MADU LEBAHNYA... Selain yang diperagakan, produk-produk keluaran Taman Lebah Pahang juga meliputi madu lebah dalam botol 700 gram, 280 gram dan 70 gram. Juga dikeluarkan dalam ‘sachet’, ‘stick’ serta dalam ‘lip balm’ dan sabun.   


KM 16.5, JALAN PEKAN-NENASI, PEKAN – Pengalaman pahit akhir tahun 2013 dan awal tahun 2014 – kawasan ternakan lebahnya dibanjiri hingga merosakkan kesemuanya, kemudian kawasan tanah gambut yang sama dijilat api; telah memberi pengajaran berguna buat penternak lebah madu itu, Pak Nawi.

Bahawa, beliau tidak boleh terlalu lokek dengan ilmu yang dimilikinya tentang penternakan serangga itu sebaliknya, perlu dikongsi bersama dengan yang lain agar turut sama berjaya dalam penternakan tersebut.

“Habis lebah-lebah saya mati akibat banjir, 100 haif (kotak) semuanya, dengan anggaran kerugian kira-kira RM450,000 termasuk jangkaan hasil yang madunya sepatutnya saya kumpul dan jual, dua hari sahaja selepas hari kejadian.

“Oleh sebab yakin boleh bangkit balik, saya tempah lagi 200 haif sebagai ganti dan mahu kembali menternaknya di tapak yang sama ketika itu, atas tanah Kerajaan seluas suku ekar dekat sini.

“Tapi, dua bulan sahaja selepas banjir, tapak sama terbakar pula. Mujur yang ditempah (200 haif) belum sempat tiba. Masa itulah, saya ‘tersandar’ dan bertanya diri sendiri – Apa salah saya hingga bertimpa-timpa dilanda bencana?

BERKONGSI, LANGSUNG TIDAK LOKEK ILMU... Selepas memberi pengajaran di tapak, ilmu yang ada pada Pak Nawi dikongsi lagi pada sesi taklimat dalam pondok khas yang turut memperagakan produk-produknya.


KACUKAN LEBAH TEMPATAN DAN AUSTRALIA

“Baharu saya sedar, ia mungkin kerana saya terlalu kedekut dengan ilmu menternak lebah yang saya dapat daripada pakar lebah dari negara China. Biarlah saya dan keluarga saya sahaja yang tahu tentang ilmu penternakan ini. 

“Rupa-rupanya, itulah salah saya yang Allah hendak tunjukkan. Selepas itulah, saya bertekad untuk berkongsi ilmu ini dengan sesiapa sahaja. Peluang saya dapat secara menyewa atas tanah Kerajaan seluas 50 ekar di sini, mahu saya jayakannya,” kata Pak Nawi.

Sementelah pula tahun lepas, beliau menerima secara percuma, 30 haif lebah baka Apis Mellifera dari Australia sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang beliau berupaya kacukkannya dengan ratu lebah tempatan miliknya.
  
Pak Nawi atau nama sebenarnya Encik Mat Nawi Deraman, ialah Pengerusi Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif, Bee Park (Pahang) Sdn Bhd. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kunjungan penulis ke Taman Lebah Pahang di sini petang Khamis, 15 Disember.

Ekoran itulah kini, Pak Nawi lebih terbuka lalu bersedia menerima kunjungan bakal-bakal penternak seluruh negara khususnya dalam kalangan belia, untuk mempelajari ilmu yang ada padanya.

DERETAN BANGSAL BERATAP NIPAH... Dengan bangsal-bangsal terbuka, beratapkan daun nipah; ia mewujudkan suhu dan suasana sesuai bagi lebah baka kacukan tempatan dan Apis Mellifera dari Australia, yang terdapat dalam haif (Eng; hive) atau kotak-kotak di bawah bangsal ini.

Terdapat 500 haif kesemuanya yang setiap satu menempatkan kira-kira 15,000 ekor lebah yang dapat mengeluarkan madu sehingga 10 kilogram sebulan. Dan menurut pasaran semasa, harga madu bagi satu (1) kilogram sahaja ialah RM150! 


500 HAIF DENGAN 7.5 JUTA LEBAH

Malah, selang setengah jam selepas ketibaan penulis, Pak Nawi terima panggilan disusuli kedatangan kira-kira lapan (8) anak muda dari Lanchang, yang mahu mempelajari selok-belok menternak lebah daripadanya.

Di atas tapak seluas 50 ekar ini, Pak Nawi dirikan bangsal-bangsal terbuka, beratap nipah yang selesa dan menyejukkan, yang di sinilah ditempatkan 500 haif dengan setiap haif mempunyai kira-kira 15,000 lebah atau kira-kira 7.5 juta lebah kesemuanya.

Di persekitarannya ialah kawasan hutan seluas 5,000 ekar ditumbuhi secara liar dan subur, pokok-pokok ‘Acacia Mangium’ yang menjadi sumber ‘nectar’ yang sedia banyak buat lebah-lebahnya.

Dan lebah-lebah ini menurut Pak Nawi, boleh sahaja mudah untuk keluar daripada haif-haif di sini dan terbang dalam radius tiga (3) km, untuk mendapatkan sumber makanan ‘nectar’ tersebut. 

Setelah memperolehi ‘nectar’ ini dan dalam penerbangan kembali ke haif-haif, campuran antara ‘nectar’ dengan ‘Amylase Enzyme’ yang sedia terdapat dalam badan lebahlah, yang menghasilkan madu.

MADU ASLI YANG TERHASIL... Lebah baka kacukan tempatan dan Australia ini juga tidak datangkan ancaman gigitan kepada manusia sepertimana penulis buktikan dengan menekan jari ke sarang/bingkai tanpa gangguan, lalu mengalir keluarlah madu asli.


‘NECTAR’ DARIPADA SATU SUMBER SAHAJA

“Yang bagusnya tentang lebah-lebah ini ialah; madu akan dipindahkan daripada lebah pertama hinggalah lebah keempat, baharulah madu berkenaan diluahkan pada bingkai-bingkai dalam haif.

“Ini bermakna, berlaku empat kali saringan sebelum madu yang benar-benar tulen dan berkhasiat diperolehi pada bingkai-bingkai dalam haif-haif berkenaan,” kata Pak Nawi lagi.

Oleh kerana lebah-lebah ini memperolehi ‘nectar’ daripada satu sumber sahaja (mono-flora) yakni daripada batang-batang daun pokok Acacia Mangium, maka rasa dan khasiat madunya sama sahaja (tidak demikian jika diperolehi daripada pelbagai sumber (multi-flora).

Memang hakikat bahawa jangka hayat lebah-lebah ini – ‘lebah pekerja’, tidaklah lama cuma dalam tempoh 40 hari. Tetapi, ‘ratu lebah’ boleh hidup sehingga lima (5) tahun yang setiap seekor boleh menghasilkan sehingga 3,500 telur sehari dengan 30 peratus daripadanya berjaya menetas lalu jadilah ‘lebah pekerja’.

Dengan itulah, bekalan ‘lebah pekerja’ sentiasa ada lalu aktif menghasilkan madu yang diperlukan dan menurut Pak Nawi, jangkaan dalam sebulan ialah, lebah-lebah ini mampu  menghasilkan kira-kira 10 kg madu untuk setiap haif.

POKOK ACACIA MANGIUM... Inilah pokok Acacia Mangium yang terdapat dengan banyaknya di tapak 50 ekar Taman Lebah Pahang ini, malah di kawasan lebih luas kira-kira 5,000 ekar disekelilingnya.

Daripada batang daun pokok inilah, lebah-lebah Pak Nawi akan keluar dari haif setiap hari untuk memperolehi sumber ‘nectar’ yang dengan adunan ‘Amalis Enzyme’ dalam tubuh lebahlah maka terhasilnya madu. 


SATU HAIF, SATU ‘RATU LEBAH’ SAHAJA

Menurut harga pasaran semasa, setiap kg madu ialah kira-kira RM150. Dengan 10 kg madu yang dihasilkan sebulan untuk setiap haif, dikalikan dengan 500 haif; tidakkah hasilnya begitu lumayan sungguhpun setelah ditolak kos yang tidak sampai 10 peratus?

Permintaan untuk madu ini pula adalah sentiasa tinggi yang menurut Pak Nawi, bagi menampung keperluan cuma 25 peratus penduduk daerah Pekan sahaja memerlukan hingga 10 tan atau 10,000 kg sebulan!

Daripada segi penjagaan menurutnya, ia boleh dilakukan sekali sahaja sehari – sama ada pada sebelah pagi atau petang, dengan antara lain memeriksa agar tidak ada lebih daripada seekor ‘ratu lebah’ bagi setiap satu haif.

Yang dibimbangi ialah; jika ada dua (2) ‘ratu lebah’, ia akan bergaduh sesama sendiri sehinggalah yang menang kekal manakala yang kalah, akan terbang meninggalkan haif berkenaan bersama-sama pengikut dalam kalangan ‘lebah pekerja’nya sendiri.

Selain itu menurutnya, tiga (3) musuh utama lebah-lebah ini perlu diawasi dan ditangani dengan berkesan – tebuan, yang gemar menyerang dan mencuri madu daripada ‘lebah pekerja’, burung penghijrah dikenali ‘bee hunter’ atau ‘berek-berek’, dan, kutu.

PRODUK-PRODUK KELUARAN TAMAN LEBAH PAHANG... Daripada sudut pembotolan dan pembungkusan bagaimanapun, perlu dibawa ke sebuah kilang di Negeri Sembilan untuk melakukannya yang tentunya dengan kenaan kos tertentu.

Maka keperluan kepada kemudahan-kemudahan berkenaan - bagi proses pembotolan dan pembungkusan, sudah tentunya ada dan menurut Pak Nawi, beliau sedang ikhtiar dan usahakan.   


MAMPU BANTU PERBAIKI HIDUP GOLONGAN MEMERLUKAN

“Apapun, kami ada kaedah bagi menangani musuh-musuh utama ini. Kalau tebuan, kami hanya perlu tangkap seekor hidup-hidup, calitkan sejenis racun pada bahagian kepala dan ekornya.

“Selepas itu dilepaskan dan tebuan ini akan segera kembali ke sarangnya di luar kawasan ini yang menerusi sentuhan, boleh menyebabkan seluruh koloni sarang tebuan berkenaan, mati,” kata Pak Nawi.

Oleh kerana segala perkara positif tentang penternakan lebah madu inilah – dan bahawa madu menurut Pak Nawi, tidak mudah rosak atau mempunyai ‘expiry date’; beliau galakkan penternakan madu diperluaskan lagi.

Malah, beliau menyarankan agar satu program khusus mengenainya diwujudkan bagi membantu golongan-golongan yang memerlukan sepertimana mereka yang tersenarai di bawah sistem bank data kemiskinan nasional atau ‘eKasih’. .

“Daripada menyaksikan mereka (yang di bawah senarai eKasih) hanya memperolehi bantuan bulanan RM300, apa kata kita libatkan mereka dalam penternakan lebah madu ini,” saran Pak Nawi.

GLC NEGERI BOLEH BANTU TAJA 

Paling tidakpun katanya, setiap peserta diberi amanah untuk memelihara dan menjagai lima (5) haif setiap seorang dengan kos cuma RM10,000 yang boleh dibiayai/ditaja  oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri seperti Yayasan Pahang.

Tempoh tiga (3) bulan pertama menurutnya, ialah proses awal penternakan hinggalah pada bulan keempat apabila peserta mula menuai hasil secara konsisten dengan anggaran pulangan kira-kira RM7,500 sebulan! (atau, 5 haif X 10 kg madu satu haif X RM150 satu kg madu).

“Mungkin sukar untuk percayai apa yang saya kata ini tetapi, berilah peluang untuk saya buktikan,” kata Pak Nawi yang kerana kepakarannya, dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai antara tenaga pengajar utama dalam penternakan lebah.

Idea Pak Nawi tidak terhenti di situ sahaja. Malah, kerana mahu berkongsi dan tidak mahu lagi lokek ilmu, tekadnya bukan sahaja untuk terus mengajar malah mahu melahirkan hingga seramai 500 Agropreneur Muda dalam penternakan lebah pada tahun depan (2017).

Dengan ilmu dan kegigihannya, dibuktikan pula dengan kewujudan Taman Lebah Pahang dengan pengeluaran madu yang memberangsangkan ini, adalah dipercayai Pak Nawi akan terus mengecap kejayaan seperti yang diidamkan. – Khabar