Monday 2 January 2017

Seluas 2.07 juta hektar atau 57.5 peratus negeri Pahang masih berhutan!


… atau, kira-kira seluas negeri Perak, 2.10 juta hektar.

‘Bukti bahawa Pahang mampu pelihara hutannya disebalik perlu penuhi tuntutan pembangunan yang pesat’

 
NOTA EDITOR

Berikut ialah lagi antara artikel yang dipetik daripada Khabar Pahang edisi cetak – Bil 24 Tahun 18, Tahun 2016, yang sedang dalam proses penerbitan/percetakan dan dijangka siap untuk edaran yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Negeri pada bulan Januari ini.

Sama-samalah kita memanfaatinya.

ADUNAN YANG MENDAMAIKAN - HUTAN MENGHIJAU DAN SUMBER AIR... Ini merupakan pandangan biasa yang masih terdapat dalam hutan kita yang kekal terpelihara. Foto ini ialah foto fail yang dirakam di Taman Negara, Jerantut.


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Negeri Pahang dilimpahi sumber air yang banyak dengan – jumlah hujan tahunan yang tinggi, hutan hujan yang luas, simpanan air bumi serta tasik-tasik yang menyimpan dan menakung air, serta disaliri oleh sungai-sungai yang banyak.

Dengan keluasan negeri kira-kira 3.59 juta hektar, 2.07 hektar atau 57.5 peratus daripadanya atau kira-kira seluas negeri Perak (berkeluasan kira-kira 2.10 juta hektar); masih diliputi hutan.

Daripada 2.07 juta hektar ini, 1.56 juta hektar merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK); 400,000 hektar ialah rizab Taman Negara, suaka hidupan liar dan burung; manakala, 100,000 hektar lagi, Tanah Kerajaan berhutan.

Ini menunjukkan negeri Pahang berupaya mengekalkan khazanah hijau ini yang begitu luas iaitu melebihi 50 peratus daripada keluasan tanah negeri, sungguhpun perlu menghadapi tuntutan arus pembangunan yang pesat.

Selain itu, terdapat 2,059 batang sungai sepanjang 11,960 KM, selain tasik-tasik yang utama seperti Tasik Chini di Pekan; Tasik Bera di Bera, dan Tasik Paya Bungor di Kuantan.

CABARAN-CABARAN YANG PERLU DIHADAPI, DITANGANI

Dengan pembangunan yang pesat; masalah banjir, kemarau, pencemaran dan kesan perubahan iklim ialah antara isu-isu yang sering melanda sumber air termasuk di negeri ini. 

Begitu juga dengan kawasan tadahan air yang semakin terjejas, permintaan bekalan air yang terus meningkat, terputusnya bekalan air, pencemaran sungai yang menjadi sumber bekalan air selain sungai-sungai semakin cetek akibat hakisan tanah dan pemendapan hingga menjejaskan muka sauk ke loji-loji bekalan air;

Yang diburukkan pula oleh sikap sesetengah masyarakat, pemaju dan pengusaha industri yang tergamak menjadikan sungai-sungai sebagai tempat buangan sisa-sisa yang mencemarkan sungai. 

Ini semua menjadi cabaran yang perlu dihadapi dan ditangani bersama melalui keperluan pengurusan sumber air yang cekap dan berkesan, terutama sekali keperluan terhadap pemuliharaan kawasan tadahan air, sungai-sungai atau badan-badan air yang ada di negeri ini.

Purata hujan tahunan bagi negeri ini ialah 2,470 mm. Dengan keluasan hutan 57.5 peratus daripada keluasan negeri, mempunyai bilangan sungai yang banyak – 2,059 batang sungai yang telah diwartakan yang mengalir di serata pelosok negeri; telah menjadi sumber utama bekalan air penduduk serta kegiatan ekonominya.

KAWASAN TADAHAN SUNGAI PAHANG LIBATKAN 9 DAERAH

Malah, Sungai Pahang yang sepanjang 459 KM merupakan sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia  meliputi kawasan tadahan seluas 29,300 KM persegi, bermuarakan di Pekan.

Kawasan tadahan Sungai Pahang yang luas ini melibatkan sembilan (9) daerah termasuk sebahagiannya mengalir dari Cameron Highlands (hanya daerah Kuantan dan Rompin sahaja yang tidak diliputi oleh kawasan tadahan Sungai Pahang).

Sungai-sungai ini adalah punca sumber bekalan air mentah yang utama untuk kegunaan penduduk negeri ini yang membolehkan 76 loji rawatan air untuk bekalan air bersih dapat diwujudkan di seluruh negeri.

Empangan Cereh, Kuantan; Empangan Pontian dan Empangan Anak Endau, Rompin; merupakan  kawasan takungan air yang penting sebagai  simpanan tetap yang membantu ketika musim kemarau.

Pahang juga mempunyai kawasan tasik semulajadi yang luas seperti Tasik Chini, Tasik Bera, dan Tasik Paya Bungor serta tanah bencah (atau kawasan paya) yang juga berperanan untuk menakung air.

SIMPANAN AIR BUMI SEHINGGA 2,000 JUTA METER PADU!

Dalam pada itupun, negeri ini mempunyai simpanan air bumi yang belum diterokai sepenuhnya. Potensi luahan air bumi yang boleh dikeluarkan dianggarkan 2,000 juta meter padu sedangkan penggunaannya setakat ini, hanya dua (2) juta meter padu atau 0.1 peratus daripada potensi sebenar.

Oleh itulah, potensi penggunaan air bumi untuk mencapai sasaran 20 peratus daripada potensi sedia ada, perlu dipertingkatkan dengan membina lebih banyak telaga tiub sebagai bekalan air tambahan. 

Pembinaan telaga tiub ini akan dapat membantu masalah kekurangan bekalan air bersih seperti di perkampungan terpencil dan di pulau-pulau. Malah, ketika musim kemarau, peranan telaga tiub ini dapat membantu membekalkan air bersih kepada penduduk terlibat.   

Berdasarkan Kajian Sumber Air Negara 2011, keperluan permintaan air di negeri ini  dianggarkan 1,121 juta meter padu atau 6.4 peratus daripada permintaan negara dengan pertanian merupakan pengguna tertinggi - 46 peratus; diikuti untuk kegunaan domestik dan industri, 33 peratus; ternakan, satu (1) peratus; dan perikanan, 20 peratus.

Diunjurkan bahawa, permintaan air pada tahun 2050 akan meningkat kepada 1,333 juta meter padu atau 18.9 peratus.

PAHANG PUNYAI LEBIHAN AIR YANG TINGGI

Ini menunjukan bahawa keperluan kelestarian sumber air dalam tempoh 35 tahun akan datang perlu diperkukuhkan, seiring dengan peningkatan permintaan yang berterusan dalam semua sektor sejajar dengan arus pembangunan yang pesat.

Berasaskan curahan  hujan tahunan di negeri Pahang, ia pada 2,470 mm setahun yang daripadanya, cuma 165 mm (atau, 6.4 peratus) dapat ditakung melalui antara lainnya empangan dan kolam.  

Daripada 165 mm curahan hujan yang ditakung ini pula, hanya 12.2 peratus digunakan untuk keperluan permintaan domestik serta industry, manakala 87.8 peratus lagi adalah lebihan.

Yang menandakan bahawa Pahang mempunyai lebihan air yang tinggi berbanding kadar permintaannya. Jikalah 87.8 peratus lebihan air ini dapat dieksploitasikan sebaik-baiknya, maka ia berupaya menjana pendapatan negeri.

Dan ini jelas menunjukkan bahawa langkah Kerajaan Negeri untuk membekal sumber air mentah yang berlebihan ke negeri lain bukan sahaja dapat membantu menangani masalah kekurangan air di negeri-negeri berkenaan malah, menjadi sumber pendapatan tambahannya pula.

MASALAH SUNGAI CETEK

Memang telah lama disedari bahawa kecetekan paras air beberapa sungai semakin ketara seperti di beberapa lokasi Sungai Pahang serta anak-anak sungainya.

Kecetekan paras air sungai ini bukan sahaja memberi kesan langsung kepada aktiviti ekonomi penduduk seperti nelayan sungai/ternakan ikar sangkar, malah telah menjejaskan operasi ‘intake’ loji air.

Pada tahun ini (2016) sahaja, tiga (3) loji rawatan air terganggu bekalan airnya iaitu di Chini - gangguan berterusan selama 30 hari; di Lubuk Kawah – secara ‘on and off’ selama enam (6) bulan; dan, di Jelai, yang berterusan selama 14 hari.

Tidak dinafikan betapa Kerajaan Negeri amat komited dan akan terus berusaha ke arah mengukuhkan lagi pengurusan kelestarian sumber air negeri demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

Antara langkah-langkah yang telah dikenal pasti serta usaha diambil untuk menjayakannya ialah; pemuliharaan sumber kawasan hutan sementelah hutan berfungsi bukan sahaja sebagai kawasan tadahan bagi sumber bekalan air;

LANGKAH-LANGKAH MELESTARIKAN PENGURUSAN SUMBER AIR

Tetapi juga bertindak sebagai kaedah semula jadi bagi kawalan banjir, hakisan tanah, sumber makanan, sumber pengekalan perubahan suhu dunia dan sumber kepelbagaian biologi dan genetik.

Kerajaan Negeri juga akan memperkukuhkan lagi enakmen air sediada yakni Enakmen Sumber Air Negeri Pahang 2007, termasuk melalui cadangan Rang Undang-undang Sumber Air oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE).

Kerajaan Negeri juga akan mempergiat penguatkuasaan dan memperketatkan peraturan-peraturan ke atas aktiviti-aktiviti yang memberi kesan langsung terhadap kerosakan dan pencemaran sumber air seperti pencerobohan kawasan tadahan air, pencerobohan rizab sungai, pembuangan sisa-sisa toksik dan kotoran ke dalam sungai.

Selain itu, usaha memantapkan lagi kaedah mesra alam dalam  projek-projek pembangunan, serta, meningkatkan kesedaran masyarakat secara berterusan terhadap kepentingan penjagaan sumber air akan ditingkatkan.

Menerusi langkah-langkah dan usaha-usaha ini diharap, sumber air di negeri ini akan terus kekal kelestariannya demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat-jelatalah juga. – Khabar