Thursday 20 April 2017

Orang miskin terus Kerajaan bantu

… sempena kehadiran Perdana Menteri merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017

KECERIAAN DALAM ZIARAHI MEREKA YANG MEMERLUKAN... Dato' Sri Mohd Najib dan isteri, Datin Sri Rosmah serta Dato' Sri DiRaja Adnan  kelihatan bersahaja, duduk di atas tangga batu rumah papan, menziarahi seorang daripada penerima sumbangan di bawah program Jom Bantu Rakyat Parlimen Temerloh di Kampung Padang Kerbau. 


MASJID BAHARU TEMERLOH – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang berada di bandar Temerloh sempena merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 pagi Khamis, 20 April; 

Turut meluangkan masa ke masjid baharu ini untuk menunaikan solat Zohor serta menyampaikan bantuan kepada 2,795 orang dalam kalangan kurang berkemampuan daerah ini. 

Bantuan tersebut - bantuan bulanan Kerajaan Persekutuan, keseluruhannya bernilai RM10.269 juta yang disampaikan kepada 1,229 warga emas, 608 kanak-kanak, 508 pekerja cacat anggota, dan, 447 orang kurang upaya (OKU).

Perdana Menteri kemudian turut menyampaikan bantuan elaun sara hidup bernilai RM252,000 kepada 105 nelayan darat daerah ini, selain me­nyampaikan sumbangan RM14,700 kepada 49 mangsa ribut di Taman Murni, Lanchang, yang mengalami bencana tersebut Jumaat lepas (14 April). 

Beliau juga menyampaikan bantuan berupa barangan, kepada 300 ahli Persatuan Pesara Kerajaan, Persatuan Pesara Polis dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

HADIAH SEBUAH KERETA BUAT PEMENANG...


PRORAM JOM BANTU RAKYAT 

Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan; yang turut hadir pada majlis ringkas tetapi bermakna ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh. 

Selepas majlis di sini, Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Sri Rosmah Mansor, telah menghadiri Program Jom Bantu Rakyat Parlimen Temerloh yang diadakan di dua buah kampung dekat sini – Kampung Tengguh dan Kampung Padang Kerbau di sini.

Ketika merasmikan MSAM 2017 tersebut sebelum itu di Dataran Temerloh, BERNAMA melaporkan betapa Dato’ Sri Mohd Najib – dalam ucapannya, telah menyatakan kebanggaannya terhadap pencapaian Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak penubuhannya tahun 1981 hingga kini. 

Kejayaan itu bukan setakat berjaya meningkatan taraf ekonomi Bumiputera menerusi pelbagai program dan produk saham amanah yang diperkenalkan, malah telah menebus maruah negara. 

Ini menurutnya terbukti apabila syarikat-syarikat gergasi dan ternama antarabangsa yang dahulunya milik ‘negara’ yang menjajah Malaysia katanya, berjaya ‘dibawa pulang’ melalui strategi yang tepat dan kebijaksanaan mereka yang menerajui PNB.

SUNGGUH CERIA TATKALA SAMPAIKAN UCAPANNYA...


‘DAWN RAID’

“Kita tahu PNB melalui strategi peristiwa ‘Dawn Raid’ yang kita lakukan untuk membawa balik Guthrie ke Malaysia; berjaya menjadikan badan-badan korporat milik orang asing kini  menjadi milik rakyat Malaysia.

“Inilah pada saya telah membuka minda kita bahawa kita memang boleh melakukan pembaharuan dan penstrukturan semula ekonomi negara. Hari ini, PNB mengendalikan lebih 200 syarikat terbesar dalam negara,” katanya. 

Sebagai latar belakang, peristiwa ‘Dawn Raid’ atau serbuan waktu Subuh, merupakan kejayaan negara membawa balik syarikat perladangan terkemuka negara – Kumpulan Guthrie Bhd (Guthrie) dari London pada September 1981, dan diserahkan kepada PNB yang ketika itu baharu sahaja ditubuhkan.

Dato’ Sri Mohd Najib juga berkata PNB menerusi syarikat kumpulan, Sime Darby Berhad, berjaya membuktikan pencapaiannya dalam sektor perladangan dengan memiliki kira-kira 350,000 hektar di negara ini, selain kira-kira 280,000 hektar di Indonesia, dan, kira-kira 220,000 hektar di Liberia. 

“PNB dilihat sebagai sebuah institusi dan instrumen untuk mencapai matlamat serta objektif Dasar  Ekonomi Baharu (DEB) dan selepas itu kita dapat lihat bagaimana PNB berjaya dari setapak ke setapak sehinggalah hari saya anggap ia sebagai sebuah insitusi yang begitu unggul dan dibanggakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. 

Selain Datin Sri Rosmah dan Dato’ Sri DiRaja Adnan; antara yang turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, dan, Presiden/Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Dato’ Abdul Rahman Ahmad.

HADIRIN DAN HADIRAT SEKELIAN... Tekun mendengar apa yang Perdana Menteri katakana, pada majlis perasmian di Dewan Tun Razak. – Khabar