Thursday, 6 April 2017

Laporkan tanah kosong di rancangan tanah-rancangan tanah Felda untuk dijadikan tapak rumah generasi kedua



DALAM UCAPAN BERSAHAJA, 18-MINITNYA...


DEWAN SEMAI BAKTI, RANCANGAN TANAH FELDA SUNGAI KOYAN 03, LIPIS – Pengurusan rancangan tanah-rancangan tanah Felda di seluruh negeri diminta mengemukakan laporan tentang kekosongan tanah untuk dipertimbang bagi dijadikan tapak rumah generasi kedua.

Ketika membuat saranan ini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mahukan pihak pengurusan berkenaan mengemukakan laporan tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Abu Bakar Harun untuk tindakan susulan.

“Kita memang memberi tumpuan kepada perumahan untuk generasui kedua Felda. Lama sangat perkara ini (berlarutan),” katanya pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Surat Tawaran Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) tengah hari Selasa, 4 April di sini.

“Kita bincang dan baru-baru ini kita dapat satu cara mempercepatkan permohonan.

“Di Pahang ini, Dato’ Bakar mempengerusikan Jawatankuasa Fastrack – bukan tunggu fail naik ke atas tapi kita pergi ke bawah tengok, panggil pihak-pihak berkenaan kemudian terus di bawa ke (Mesyuarat) Exco untuk buat keputusan,” katanya.

CERIA, SEMUANYA DALAM SUASANA PENUH KECERIAAN... Tak tahulah apa yang diperkatakan oleh Menteri Besar dengan kumpulan anak muda generasi kedua ini sehingga semuanya kelihatan ceria dan gembira. 

Yang turut kelihatan ialah Tan Sri Shahrir.
 

KERATONG 05 JADI MODEL KELULUSAN TAPAK DIPERCEPATKAN

Baru-baru ini menurutnya, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan sebidang tanah kosong di Rancangan Tanah Felda Keratong 05, Rompin sebagai tapak rumah seluas 5,000 kaki persegi sebuah untuk 125 anak muda generasi kedua di situ.

Kejayaan di sana menurutnya, boleh dijadikan model untuk diikuti khususnya dalam urusan kelulusan yang dipercepatkan di tempat-tempat lain dalam rancangan tanah-rancangan tanah Felda di negeri ini.

“(Soal untuk mengadakan) perumahan generasi kedua Felda ini masalah utamanya tanah, tapak. Tapi, kita dah ada model di (Rancangan Tanah Felda) Keratong (5) . Di situ, saya telah melancarkan tapak perumahan ini (daripada asalnya tanah kosong) kawasan lebihan kelapa sawit.

“Ini kita akan kenal pastilah, di setiap kawasan (Rancangan Tanah) Felda; tempat mana yang boleh kita buatkan tapak perumahan, kita akan buat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Yang turut hadir pada majlis tengah hari Selasa ini ialah Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad. Begitu juga Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga wakil rakyat setempat (BN – Jelai);

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Abu Bakar serta, Dato’ Shahniza Shamsuddin dan Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pemangku Ketua Pengarah Felda, Dato’ Abdul Ghani Ali; Pegawai Daerah Lipis, Dato’ A.Rahman Hamzah; serta, Pengarah Besar, Felda Wilayah Mempaga, Encik Mohd Zulkifli Mohd Naam. 

MENEMUI MEDIA... – Khabar