Sunday, 13 August 2017

Akur!


… tegas Menteri Besar ekoran laporan terbaharu, SPRM mahu menyita lebih 10 juta tan bauksit dalam menangani gejala tersebut di negeri ini.

“Walau apapun, SPRM mempunyai sebab, alasan-alasan tertentu setelah dapat maklumat dan mereka telahpun tentukan; untuk mengatasi masalah ini, hanya ini sahaja cara yang boleh dibuat.

“Dan kita kena akur. Kita kena akur,” tegasnya lagi.

BERTEMU MEDIA... Sungguhpun diajukan soalan mirip 'slant' yang negatif tentang pejabat PTG Negeri; Dato' Sri DiRaja Adnan tetap 'cool' sambil mematahkan 'slant' berkenaan. 
  

BUKIT GAMBANG RESORT CITY, GAMBANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini meminta semua pihak supaya akur kepada keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyita lebih 10 juta tan metrik stok simpanan bauksit yang terdapat di sekitar daerah Kuantan ini.

“Walau apapun, SPRM mempunyai sebab, alasan-alasan tertentu setelah dapat maklumat dan mereka telahpun tentukan; untuk mengatasi masalah ini, hanya ini sahaja cara yang boleh dibuat.

“Dan kita kena akur. Kita kena akur,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan kepada wartawan yang menemuinya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pergerakan Pemuda UMNO Pahang pada petang Ahad, 13 Ogos di sini.

Kata-kata Menteri Besar itu sebagai reaksi kepada pertanyaan wartawan tentang kenyataan akhbar oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Azam Baki semalam, mengenai langkah untuk melaksanakan penyitaan tersebut.

Langkah itu bertujuan untuk menghalang bahan bauksit dibawa keluar dari tempat penyimpanannya bagi tujuan perniagaan, dan ia akan meliputi seluruh stok simpanan sama ada yang berada di atas Tanah Kerajaan mahupun persendirian.

SEMANGAT TINGGI PENTAS UTAMA...

‘BOLA BUKAN LAGI BERADA DI KAKI SAYA’

Dato’ Azam dilaporkan berkata betapa penyiataan itu perlu demi membantu SPRM menjalankan siasatan terhadap isu perlombongan haram bauksit yang telah terbongkar sebelum ini.

Beliau turut dilaporkan berkata, SPRM telah berbincang dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) serta mencadangkan kementerian tersebut mengkaji semula pengeluaran Permit Kelulusan (AP) kepada pengusaha-pengusaha bauksit.

Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengulangi betapa; “Saya selalu beritahu bahawa, bauksit ini sejak moratorium dikenakan, adalah di luar kawalan saya.

“Maknanya, bola bukan lagi berada di kaki saya, bukan berada di ‘kaki’ Kerajaan Negeri – itu maksud saya. Bola sekarang ini berada di ‘kaki’ Kerajaan Persekutuan, di ‘kaki’ Kementerian.

“Biarlah Kementerian yang uruskan”.

SANTAI SAMBIL SAMPAIKAN UCAPAN LUAR TEKSNYA...

‘SLANT’ NEGATIF

Beliau juga ditanya tentang Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang yang belum lagi menganjurkan majlis melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) anjuran SPRM, untuk pegawai dan kakitangannya.

“IBR ini baru… Kerajaan Negeripun baru (lafaz dan) ‘sign’. Saya tak salahkan siapa-siapa. Saya berharap, dengan ditandatangani IBR oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini, semua agensipun akan mengikuti,” katanya lagi.

Menyedari ‘slant’ negatif daripada soalan berkenaan ekoran penahanan beberapa pegawai PTG yang berkaitan gejala bauksit baru-baru ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan meminta agar; “Janganlah ‘relate’kan PTG tak sign IBR dengan kes tangkapan… tak ada kena-mengena”.

Mengenai majlis petang Ahad ini, beliau memuji langkah Pergerakan Pemuda UMNO Pahang menubuh dan melancarkan Jentera Plihanraya mereka yang menurutnya petanda baik bahawa jentera berkenaan sudah ada.

“… walau apapun kita menjangkakan, mereka (Jentera Pilihanraya ini) akan menjalankan tugas selepas ini nanti – dari masa ke semasa, sehinggalah pilihanraya,” katanya lagi.

IKRAR TAAT SETIA PEMUDA TERHADAP KEPEMIPINAN PRESIDEN PARTI DAN PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI...

ANTARA YANG TURUT HADIR

Yang turut hadir pada majlis penuh bersemangat yang dihadiri lebih 1,700 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Negeri ini ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Johari Husein dan Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Abdul Rahman Mohamad; dan,

wakil-wakil rakyat – Dato’ Mohd Sohaimi Mat Shah (BN – Sungai Lembing), Dato’ Suhami Jusoh (BN – Lepar) dan Dato’ Mohd Zaili Besar (BN – Pandan), serta, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri, Encik Mohd Shahar Abdullah.

DALAM PAKAIAN BAJU-T MERAH PENUH BERSEMANGAT...  – Khabar