Friday, 2 February 2018

Cadangan naikkan tempoh larangan pindah-milik tanah individu daripada lima (5) tahun kepada 10 tahun

… bagi mengelak berleluasa amalan pindah-milik tanah yang merugikan bangsa dan negara pada jangka panjang.

“… memang ini (pemilikan tanah) satu cara Kerajaan memberi dia orang ini sikit-sebanyak peluang – mungkin mereka (hendak) jual tanah itu (bagi mendapat sumber kewangan) untuk berniaga.

“Jual tanah itu untuk hantar anak ke universiti. Jual tanah untuk beli saham ASB yang pulangannya lebih cepat dan lebih lumayan daripada menunggu hendak menanam tanaman atas tanah itu (kemudian baharu mendapat pulangan kewangan).

“Kita faham juga tapi, kena ‘check’ (sekat/berwaspada) sikit, jangan terlampau berleluasa sehinggakan hasrat Kerajaan untuk menolong rakyat itu sendiri tidak tercapai, itu sahaja. Bukan niat buruk (atau) dengki, tidak…” kata Menteri Besar.

MENGUTAMAKAN, YANG KURANG UPAYA... Dato' Sri DiRaja Adnan menanyakan sesuatu kepada seorang penerima yang kurang upaya ini. Antara yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Abu Bakar (kiri sekali). 


PERKARANGAN, DEWAN UTAMA, BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN NEGERI, BESERAH, KUANTAN –  Kerajaan Negeri bercadang menaikkan tempoh larangan pindah-milik tanah individu daripada lima (5) tahun ketika ini kepada 10 tahun, demi mengelak berleluasanya amalan tersebut.

Yang dengan berleluasanya ia dibimbangi akan merugikan bangsa – khususnya dalam kalangan pemilik-pemilik tanah asal, serta negara keseluruhannya dalam jangkamasa panjang.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengumumkan cadangan ini dalam ucapan luar teks 33-minit pada Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah kepada 311 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Tebing Tinggi, Beserah petang Jumaat, 2 Februari di sini.

Beliau yang ditemui wartawan kemudian, telah diminta mengulas lanjut mengenai cadangan bersifat ‘pre-emptive’ ini yang menurutnya, perlu dibuat ekoran pengalamannya betapa;

“… dalam melaksanakan tugas untuk memberi keizinan pindah-milik yang dijalankan kuasa oleh Menteri Besar saya dapati; kadang-kadang, (rakyat yang) dapat (hakmilik) tanah bulan 1 (tapi) bulan 2 dah mohon untuk jual.

BERMESRA DENGAN SEORANG LAGI PENERIMA... 


SETIAP HARI, ADA SAHAJA PERMOHONAN UNTUK PINDAH-MILIK

“Minggu lepas dalam (Mesyuarat) Exco (Kerajaan Negeri), kita telah timbulkan sikit perkara ini dan kita mungkin kenakan syarat – 10 tahun, bukan lima (5) tahun. Bila dapat (hakmilik) tanah ini, 10 tahun dia tak boleh buat urusan jual-beli. Pinjaman bank boleh (dengan memajak tanah berkenaan), dengan kebenaran”.

Seriuskah masalah ini hingga memerlukan Kerajaan Negeri bercadang melanjutkan tempoh larangan pindah-milik tersebut?, tanya susulan daripada wartawan Bernama kepada Dato’ Sri DiRaja Adnan .

“Hari-hari, bukan sebulan sekali. Tanyalah Dato’ Pentadbir Tanah Daerah. Permohonan itu (untuk pindah-milik tanah diterima) hari-hari. Permohonan itu hari-hari… Itu sebabnya MB risau sikit. Hari-hari, bukannya sebulan sekali, hari-hari. Memang seriuslah,” tegasnya.

Beliau seterusnya berkata, “… memang ini (pemilikan tanah oleh rakyat) satu cara Kerajaan memberi dia orang ini sikit-sebanyak peluang – mungkin mereka (hendak) jual tanah itu (bagi mendapat sumber kewangan) untuk berniaga.

“Jual tanah itu untuk hantar anak ke universiti. Jual tanah untuk beli saham ASB yang pulangannya lebih cepat dan lebih lumayan daripada menunggu hendak menanam tanaman atas tanah itu (kemudian baharu mendapat pulangan kewangan).

HADIRIN, HADIRAT... Inilah sebahagian daripada 311 penerima suratan hakmilik pada majlis petang Jumaat.


CARI LAGI KAWASAN BAHARU UNTUK BANYAKKAN LAGI RTK, RTP

“Kita faham juga tapi, kena ‘check’ (sekat/berwaspada) sikit, jangan terlampau berleluasa sehinggakan hasrat Kerajaan untuk menolong rakyat itu sendiri tidak tercapai, itu sahaja. Bukan niat buruk (atau) dengki, tidak…”.

Dalam pada itupun katanya, beliau telahpun mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri supaya mencari kawasan tanah baharu untuk pengwujudan lebih banyak RTK dan juga Rancangan Pembesaran Kampung (RPK).

Arahan itu dibuat ekoran kerisauannya kemungkinan peluang rakyat memiliki tanah khususnya sebagai tapak rumah pada masa depan menjadi semakin kurang jika usaha mencari kawasan baharu tidak dilakukan.

“Sebab kita banyak gunakan tanah untuk industri dan juga pertanian. Maka wajar kalau kita adakan sekarang ini, lebih banyak lagi kawasan-kawasan yang dikhususkan untuk RPK dan RTK,” katanya.

Beliau juga ditanyakan oleh wartawan Utusan Malaysia tentang dakwaan demi dakwaan oleh puak-puak pembangkang tentang kononnya Kerajaan telah mencemarkan kedaulatan negara dengan antara lain, menjual tanah miliknya kepada pelabur Negara China terutamanya di kawasan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng, dekat sini.

DIF-DIF KEHORMAT... Dalam kalangan pemimpin setempat. 


MALAYSIA MASIH ADA KUASA KAWALAN

“Tak, kita tak jual tanah… Orang tak faham; model kita lain sikit. Kita ada Special Purpose Vehicle (SPV) dan kedua-dua buah negara – Malaysia dan China, ada kepentingan tetapi daripada segi kawalan itu masih Malaysia.

“Malaysia masih ada (kuasa) kawalan. Jangan risau, jangan risau. Sebab, bukan boleh dibawa MCKIP ke Negara China sana. Ianya (MCKIP) tetap di sini.

“Dan orang kata MCKIP tak boleh dimasuki oleh sesiapa, ini tak betul, tak betul… Memanglah kawasan kilang (Alliance Steel Sdn Bhd (ASSB) – pelabur terbesar dalam MCKIP) tak boleh orang luar kilang masuk tak tentu arah.

“Tapi kita boleh melawat, kita boleh tengok. Dan ianya masih dikawal majoritinya oleh pihak yang pegang kepentingan bagi pihak Malaysia dalam JV itu sendiri, usaha ‘joint venture’ itu,” tegasnya lagi.

Sebagai rekod, MCKIP yang dirasmikan pada 5 Februari 2013, mengandungi tiga (3) kawasan yang terpisah-pisah meliputi MCKIP 1 seluas 485.6 hektar (1,200 ekar); MCKIP 2 seluas 404.7 hektar (1,000 ekar); dan, MCKIP 3 seluas 323.7 hektar (800 ekar).

GAYA ORANG MUDA... Dengan berbaju kemeja yang 'slim fit', ternyata kelihatan gaya orang muda pada pemimpin nombor 1 negeri kita. 


KETUA UMNO BAHAGIAN INDERA MAHKOTA SEBAGAI TUANRUMAH

Ia dimiliki bersama oleh pelabur-pelabur daripada kedua-dua negara, menerusi pecahan 51:49 dengan majoritinya, 51 peratus milik Malaysia-China Kuantan Pahang Holdings Sdn Bhd yang dikongsi pemilikannya pula oleh Kerajaan Negeri sendiri, serta konglomerat tempatan – IJM Land Bhd dan Sime Darby Property Bhd.

Manakala 49 peratus lagi oleh Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd – syarikat gergasi Negara China milik Kerajaan Guangxi Autonomous Region.

ASSB pula yang apabila siap kilangnya dijangka mengeluarkan kira-kira 3.5 juta tan keluli setahun; ialah syarikat usahasama antara Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd yang sama, dan Guangxi ShenLong Metallurgical Co Ltd.

Antara yang turut hadir pada Majlis Penyampaian Hakmilik Tanah RTK Tebing Tinggi petang Jumaat ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Sri Abu Bakar Harun yang juga Wakil Kerajaan Negeri bagi kawasan Parlimen Indera Mahkota; Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Zaliza Zulkipli; dan, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid. 


BERPERSIDANGAN MEDIA... Sekali lagi, oleh sikap 'mesra-media'nya, permintaan wartawan untuk menemu bualnya tidak dihampakan. Yang turut kelihatan ialah Dato' Zaliza (kanan sekali). – Khabar