Wednesday, 31 January 2018

Kempen #UndiRosak – Usaha hendak mensabotaj BN


“Sebenarnya, ini satu cara untuk mereka sabotaj. Sebab mereka takut – walaupun mereka kata orang muda belum tentu menyokong Barisan Nasional, tetapi ramai juga (orang muda) yang menyokong…,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan

BAYI 5-BULAN DALAM DUKUNGAN... Sambil mendukung bayi - Adik Muhammad Fahim Zayyan, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang membetulkan kedudukan ayah Adik ini - Insp Mohd Zulkefli Ariffin, sebelum sesi berfoto. 

Yang turut kelihatan ialah Dato' Roslan, serta Ibu kepada Adik Muhammad Fahim Zayyan, Puan Nur Halawati Mat Zaki. 

Sempena lawatan kerja seharian ke Markas Briged Tenggara ini, Dato' Sri DiRaja Adnan turut meluangkan masa menziarahi Adik Muhammad Fahim Zayyan, 5-bulan, yang menghidap penyakit jantung berlubang. Sambil itu, bantuan kewangan turut dihulurkan kepada keluarga ini. 


DEWAN SRI KELISA 1, MARKAS BRIGED TENGGARA, PASUKAN GERAKAN AM (PGA), BUKIT GALING, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyifatkan kempen #UndiRosak ialah satu cara oleh pihak yang mengusahakannya, untuk mensabotaj Barisan Nasional (BN).

“Sebenarnya, ini satu cara untuk mereka sabotaj. Sebab mereka takut – walaupun mereka kata orang muda belum tentu menyokong Barisan Nasional, tetapi ramai juga (orang muda) yang menyokong…

“Dengan membuat kempen rosakkan undi ini, mereka berharap sokongan kepada Barisan Nasional akan merosot. Ini menunjukkan bahawa mereka (pembangkang terutamanya) tidak yakin dengan kekuatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan wartawan yang menemuinya pada akhir lawatan kerja seharian beliau ke Markas Briged Tenggara PGA ini, petang Rabu, 31 Januari di sini.  

“Yang penting kepada UMNO dan Barisan (Nasional),” katanya, “… jangan peduli kelemahan orang, pertelingkahan orang lain (sebaliknya) kita kuatkan jentera kita. Wakil rakyat teruskan kerja wakil rakyat mereka sampai habis.


ISTERI KEPADA PRA YANG SAKIT JUGA DIJENGAHI... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mencatatkan sesuatu tentang pesakit ini - Puan Yaumai @ Yaumi Othman, 53 - isteri kepada Pekerja Rendah Am (PRA) di Markas ini, Encik Halim Ali. 

Puan Yaumai mengalami sakit saraf. Yang turut kelihatan selain Dato' Roslan ialah Dato' Mazlan (menunduk). 

                                                                                                                     
YANG PENTING, KITA BEKERJA

“Begitu juga (UMNO) Bahagian – teruskan kerja-kerja untuk membantu masyarakat seperti pasukan yang pergi ke kampung-kampung memberikan bantuan. Ini (perlu di)teruskan. Jangan pedulilah pembangkang.

“Yang pentingnya kita bekerja. Apa orang cakap, cakaplah,” katanya yang juga Pengerusi BN Negeri dan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Mengulas tentang kunjungan ke kawasan-kawawan luar bandar misalnya, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, bantuan barangan keperluan harian kepada mereka yang memerlukan hendaklah yang berpatutan.

“Janganlah bawa (sekadar) sekampit kecil garam, gula, beras (hanya) dua (2) kg, tak payahlah. Bawa (barangan keperluan harian itu hendaklah jumlahnya untuk) kita tolong orang, tolong berbalaoi,” katanya.

“(Yang ber)makna; bila kita tolong (orang yang memerlukan itu), dia (orang yang ditolong itu) boleh gunakan seminggu-dua barang makanan tu. Jangan setakat untuk kita hendak tunjuk sahaja, tak boleh…,” katanya lagi.  

MENURUNI TANGGA KUARTERS... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Roslan, yang turut kelihatan menyusul di belakang setelah selesai menziarahi penghuni di kuarters ini ialah Dato' Indera Mustaffar Kamal dan Dato' Abdul Rahim (kedua-duanya berbaju biru).  


MESEJ PENTING

“Jadi apa yang penting sekarang ini,” katanya dan menambah, “… Barisan (Nasional), UMNO bekerja dengan ikhlas, tunjukkan kita komited untuk menolong orang. Kalau orangramai suka kita, makna mereka suka parti kita (maka) parti kita boleh menang dengan mudah”.

Beliau seterusnya mendedahkan betapa dengan usaha Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak baru-baru ini – yang menerima kunjungan Menteri Pertahanan Perancis pada sebelah pagi, telah mendorong kepada kenyataan yang Menteri itu keluarkan kemudian tentang Perancis tidak akan memulaukan pengeksportan minyak sawit Malaysia ke sana.

Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini, telah membuat keputusan untuk mengenakan larangan pengimporatan minyak sawit ke pasaran negara-negara Eropah itu menjelang tahun 2021.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Perancis itu – Puan Florence Parly, telah dilaporkan berkata betapa negaranya tidak akan mendiskriminasi minyak sawit dan, sungguhpun sebagai antara negara pengasas EU, Perancis mempunyai pendiriannya tersendiri berhubung isu tersebut.

“Orang tak tahu apa yang Perdana Menteri buat, apa yang telah Perdana Menteri sampaikan kepada Menteri Pertahanan Perancis, mesej yang penting (pada pertemuan sebelah pagi itu).

BERFOTO KUMPULAN... Sempena lawatan kerja ini, mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) turut diadakan di sini dan sesi foto berkumpulan ini adalah sebagai tanda kenang-kenangan. 


KESAN BESAR KEPADA 680,000 PEKEBUN KECIL KELAPA SAWIT

“(Pada sebelah) petang itu kita lihat, keluar (‘crawling news’ dalam stesen televisyen tempatan dengan laporan berita) ‘Perancis tidak akan boikot minyak sawit’,” katanya lagi.

Dan usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri serta kenyataan positif yang Menteri Pertahanan Perancis tersebut katanya, boleh memberi kesan serta faedah besar kepada para pekebun kecil termasuk peneroka Felda di negara ini khususnya yang menanam kelapa sawit.

Menurut statistik, terdapat kira-kira 680,000 pekebun kecil kelapa sawit di negara ini yang jika dikalikan dengan empat (4) orang ahli keluarga bagi setiap seorang pekebun kecil tersebut bermakna, kira-kira 2.72 juta orang yang bergantung nafkah kepada industri kelapa sawit ini.

Jumlah peneroka Felda di negara ini pula ialah 112,635 orang yang daripadanya, 90,511 orang atau 80.36 peratus ialah peneroka tanaman kelapa sawit manakala bakinya, 22,124 orang atau cuma 19.64 peratus ialah peneroka tanaman getah.

Bilangan peneroka Felda di Pahang pula ialah 43,123 orang yang daripadanya, 40,500 orang atau 93.92 peratus ialah peneroka tanaman kelapa sawit manakala bakinya, 2,623 atau sekadar 6.08 peratus ialah peneroka tanaman getah.

PENEGASAN, DALAM UCAPAN LUAR TEKS 40-MINITNYA... Yang dalam ucapan inilah juga, beliau mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk Markas Briged Tenggara ini, yang turut melibatkan ketiga-tiga batalion - 7, 8 dan 9; di bawahnya.   


SELIDIK DULU, JANGAN TERUS PERCAYA 

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga diminta mengulas tentang berita-berita palsu yang sering disalurkan menerusi media sosial dan menurutnya, rakyat tidak harus terperangkap dengan mereka yang hanya gemar untuk mensensasikan satu-satu perkara.

“Yang penting,” tegasnya, rakyat mestilah, “… kena guna akal, otak dan fikiran – baca, selidik dulu, jangan terus percaya… Nanti esok, (apabila) kita buat keputusan berdasarkan kepada pembohongan, kita akan menyesal”.

Mengenai lawatan kerja ke Markas Briged Tenggara ini katanya, ia merupakan gerak kerja berterusannya yang sebelum inipun, beliau telahpun melakukan lawatan kerja yang sama ke sini serta ke tempat-tempat lain termasuk ke Stesen Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan Markas 4 Briged Mekanis dekat sini.

Selain Komander, Markas Briged Tenggara PGA, Dato  Roslan Ahmad; antara yang turut hadir pada lawatan kerja ini ialah kesemua Ahli Exco Kerajaan Negeri; Ketua Polis Negeri, Dato’ Rosli Ab Rahman;

serta, Setiausaha, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Abdul Rahim Abas; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid; dan Timbalannya, Dato’ Mazlan Mat Rashid. 


HADIRIN SEKELIAN... Yang turut kelihatan ialah Dato' Dr Johan Mat Sah - doktor perubatan klinik swasta yang juga Pengerusi, Biro Kesihatan, Kebajikan dan NGO, UMNO Bahagian Indera Mahkota (berbaju merah). 


BERTEMU MEDIA... Sungguhpun kesuntukan masa, Dato' Sri DiRaja Adnan masih mahu meluangkan masa untuk berinteraksi dengan media sambil menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.  – Khabar