Tuesday 3 April 2018

Sudah 38,178 orang, atau 88.53 peratus peneroka Felda di Pahang terima suratan hakmilik tanah

… bersamaan nilai tanah antara RM35,529 juta (RM35.529 billion) dan RM44,411 juta (RM44.411 billion) yang telah Kerajaan Negeri serahkan kepada para peneroka!

SELAIN SAMPAIKAN GERAN, KESIHATAN PENEROKA JUGA DIAMBIL KISAH... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menanyakan sesuatu kepada peneroka sambil Dato' Dr Ahmad Shukri memerhatikan. 
  

DEWAN SEMAI BAKTI, RANCANGAN TANAH FELDA LEPAR UTARA 03, PULAU TAWAR, JERANTUT – Sudah 38,178 orang atau 88.53 peratus daripada keseluruhan 43,126 peneroka Rancangan Tanah Felda di Pahang yang menerima suratan hakmilik tanah masing-masing sehingga kini.

Dengan jangkaan keluasan kira-kira 179,726 hektar (daripada keseluruhan 203,011 hektar) diperolehi oleh 38,178 peneroka ini, dan dengan anggaran konservatif harga semasa tanah-tanah pertanian ini pada purata antara RM80,000 dan RM100,000 bagi setiap 0.405 hektar (1 ekar);

Bermakna, nilai keseluruhan tanah yang telah Kerajaan Negeri serahkan dalam bentuk penyampaian suratan hakmilik tanah-suratan hakmilik tanah kepada peneroka-peneroka ini ialah antara RM35,529 juta (RM35.529 billion) dan RM44,411 juta (RM44.411 billion)!

(179,726 hektar adalah bersamaan dengan 444,113 ekar X RM80,000 seekar = RM35,529,040,000@ RM35,529 juta @ RM35.529 billion; 

Dan, 444,113 ekar X RM100,000 seekar = RM44,411,300,000 @ RM44,411 juta @ RM44.411 billion).

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ada menyebut tentang angka-angka ini (tidak termasuk tentang nilaian tanah) dalam ucapan luar teks 30-minitnya pada Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah kepada 210 peneroka pagi Selasa, 3 April di Rancangan Tanah Felda Lepar Utara 03 ini.

GIGIH MENYAMPAIKAN... Inilah Menteri Besar kita yang sanggup menyampaikan sendiri kesemua 210 suratan hakmilik tanah kepada kesemua peneroka yang hadir. Yang turut kelihatan ialah Encik Hasrin (dua dari kiri). 


CUMA KURANG 5,000 PENEROKA PAHANG BELUM TERIMA GERAN 

Dan beliau diminta mengulanginya pada persidangan media yang diadakan kemudian.

Menurutnya, jumlah Rancangan Tanah Felda di negeri ialah 115 buah atau 36.3 peratus daripada 317 buah seluruh Malaysia. Manakala peneroka di Pahang pula seramai 43,126 orang atau 38.3 peratus daripada 112,638 orang di seluruh negara.

Jumlah keluasan Rancangan Tanah Felda di negeri ini pula katanya, ialah 203,011 hektar atau 38.41 peratus daripada jumlah keluasan seluruh negara, iaitu 528,486.06 hektar.

“Daripada 43,126 peneroka di 115 Rancangan Tanah Felda yang melibatkan keluasan 203,011 hektar di Pahang ini;

“(Seramai) 38,178 peneroka atau 88.53 peratus telah menerima suratan hakmilik tanah masing-masing. Yang belum lagi hanyalah seramai 4,948 peneroka ataupun 11.47 peratus yang belum menerimanya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

BERSAMA PENEROKA INDIA... 


UKUR HALUS BAGI TENTUKAN KETEPATAN TANAH MILIK SIAPA

Adapun baki 4,948 peneroka yang belum menerima suratan hakmilik tanah katanya, ialah kerana sama ada mereka belum menjelaskan hutang – Bayaran Kembali (BK) atau kerja-kerja ukur tanah oleh Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan, yang sedang diproses.

“Bila hutang dah bayar pula, kerumitan daripada segi ukur-mengukur. Ukur-mengukur ini, ukur biasa tak apa (tapi) ini ukur halus. Ukur halus ini nak tentukan tanah Mat mana? Tanah Abu mana? Tanah Zoi mana? Tanah Ah Kow mana? Tanah Maniam mana?

“Nak ukur halus supaya tidak ada perselisihan kemudian. Itu ukur halus, lambat, makan masa sikit,” beliau menjelaskan.

Ketika ditanya tentang pencapaian Pahang – 88.53 peratus, yang melebihi pencapaian peringkat nasional, 87.12 peratus katanya; “Saya malas nak kira begitu. Maknanya ‘figures’nya itulah yang saya bagi”.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya mengenai hal politik yang termasuklah tentang kemungkinan Barisan Nasional (BN) memperolehi majoriti dua-pertiga (2/3) dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 nanti.

SESI BERGAMBAR KUMPULAN... Demi jelata, Dato' Sri DiRaja Adnan bersahaja menerima pelawaan mereka untuk bergambar kenang-kenangan. 


BN BOLEH DAPAT 2/3 JIKA SEMUA PARTI ‘DELIVER’

“Kalau UMNO boleh menang sebagaimana dijangka kerusinya, dan kalau MCA boleh ‘deliver’, MIC boleh ‘deliver’; insyaAllah, boleh dua-pertiga (2/3) walaupun apa orang bercakap.

“Yang akan membuat kita tak dapat dua-pertiga (2/3) kalau ada parti-parti kita, parti komponen termasuk UMNO, yang tak dapat nak ‘deliver’ bagi memenuhi matlamat itu. Tapi dengan pemilihan calon yang tepat, saya yakin kita boleh (dapat) dua pertiga (2/3),” katanya lagi.

Beliau turut berkata betapa 1MDB disebut-sebut sebagai satu isu utama sedangkan ada kajian menunjukkan betapa ia (isu 1MDB) tersenarai sebagai ‘nombor yang terakhir menjadi perhatian’ oleh rakyat.

“Orang sekarang bercakap tentang kos sara hidup dan Kerajaan telah buat banyak benda – selain daripada BR1M sebagainya, ini jualan seminggu sekali, jualan murah. Kerajaan akan teruskan sehingga selepas Pilihanrayapun.

“Saya jumpa pembeli baik India, baik Cina, baik Melayu; semua mengatakan harga sangat murah. Ayam, RM7.20 jadi RM5. Murah sangat. Itu sahaja.

PENEROKA SERTA ISTERI DAN SUAMI MASING-MASING... Hari yang penuh bersejarah buat mereka. 


‘PUBLIC CORPORATION’

“Kalau Kerajaan seperti yang kita buat sekarang ini, memberikan perhatian sebagai contohnya jualan murah mingguan itu, pemberian BR1M – kalau boleh naikkan sikit lagi; rakyat tak marah,” katanya lagi.

Beliau seterusnya berkata, menurut undang-undang pentadbiran negara yang diwarisi daripada Kerajaan Inggeris, Kerajaan tidak boleh berniaga sebaliknya hanya menyelaras, memudah-carakan pernigaan dan kemudian, mengutip cukai atas keuntungan perniagaan-perniagaan tersebut.

“Kalau Kerajaan berniaga, Kerajaan monopoli semua – kalau di Pahang kata contohnya, ada bijih timah, Kerajaan berniaga; ada bijih besi, Kerajaan berniaga; apa hal dengan peniaga-peniaga yang tulen?

“Itu sebab kita bagi lesen (kemudian) kita kutip cukai sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, dalam 30 tahun dan 40 tahun lepas katanya, ada perkembangan lain apabila Kerajaan mewujudkan ‘public corporation’ atau badan-badan berkanun seperti Perbadanan Nasional (PERNAS) dan Petroliam Nasional (PETRONAS), yang dimulakan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.  

MENGHADAPI P.C... 


BADAN BERKANUNPUN TAK BOLEH MONOPOLI SEMUA

“… ditubuhkan ‘public corporation’, badan berkanun; separuh Kerajaan, separuh berniaga. Bila ia ditadbirkan, ikut cara Kerajaan. Bila ia menjalankan urusan perniagaan, mesti buat macam Chong, Lim.

“Tapi, itupun, badan berkanun tak boleh memonopoli semua. Apa hal orang berniaga?

“Kita ada PERNAS – mengedar barang; kita ada FAMA – memasarkan barang; kita ada PETRONAS; sekarang kita ada MOF Incorporated; di Pahang ada PKNP, PKPP, kita SS Incorporated; contoh. Ini semua badan-badan berkanun.

“Tapi kita tak dengar kalau ada orang minta untuk membuat ‘development’, kita tolak. Tak. Yang bina rumah PR1MA (Negeri Pahang) yang banyak ialah pihak swasta. Bukan PSK. Ini contoh,” katanya lagi.

Oleh kerana asasnya tidak boleh berniagalah apa lagi mewujudkan saingan terhadap peniaga-peniaga tempatan katanya, Kerajaan Persektuan mengambil-alih Terengganu Investment Agency (TIA) dan menjadikannya sebagai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

TUJUAN TAK USIK PELUANG PERNIAGAAN TEMPATAN

“Kita (Kerajaan Persekutuan) bercadang, kita ‘inject’, suntik modal (maka) dia (1MDB) pergilah berniaga ke luar negeri tak kiralah buat (perniagaan) apa – gas ke, minyak ke, kontrak apa ke, mungkin kewangan ke, berniaga duit ke, dia buatlah.

“Sebab kita kena ingat; kalau untung RM1 di sini, RM1. Tapi kalau US1 dolar Amerika, jadi RM4. Satu (1) Paun di England jadi RM5 (di sini). Makna, dalam tempoh yang singkat, 1MDB boleh  bawa duit yang banyak. Dalam masa singkat, berbilion-bilion.

“Itu tujuan Kerajaan, tak mengusik peluang-peluang perniagaan ataupun tak mengusik   pihak swasta di sini. Tapi, belum sempat 1MDB menjalankan perniagaan, orang dah cakap macam-macam – rasuahlah, ‘corrupt’lah, apalah.

“Jadi orang nak berniaga dengan 1MDB di luar negeripun takut. ‘Eh apa hal ini? Kalau di sana orang cakap fasal 1MDB ini buruk, kita yang tak tahu hujung-pangkal nak berniaga ker?” Itu sahaja puncanya,” katanya lagi.

Kepada soalan tentang bakal calon yang BN Negeri akan kemukakan bagi menghadapi PRU-14 ini katanya, “Itu saya tak boleh cakap. Yang menentukan, PM. Perdana Menteri menggunakan satu kaedah yang agak ‘fool proof’ juga, mantap.

JANGAN MARAH JIKA TAK DAPAT JADI CALON

“Makna, kalau tak dapat jadi calon… Beginilah, kalau dapat jadi calon, terima kasih ke pucuk pimpinan; tak dapat jadi calon, jangan marah saya. Tak payah terima kasih kepada saya, kalau dapat jadi calon”.

Selain Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Sri Abu Bakar Haruan; yang turut hadir pada majlis pagi Selasa ini ialah wakil rakyat setempat, Dato’ Dr Ahmad Shukri Ismail (BN – Pulau Tawar);

Wakil rakyat-wakil rakyat – Dato’ Sri Wan Amizan Wan Razak (BN – Tahan) dan Dato’ Lau Lee (BN – Damak); serta, Pegawai Daerah Jerantut, Tengku Asmaliza Ku Lah; dan Pengurus Besar Felda Wilayah Kuantan, Encik Hasrin Ismail. – Khabar