“… yang mana
kecintaan Baginda kepada sukan melampaui apa juga jenis sukan sekalipun.
“Oleh itulah, patik amat bersyukur dikurniakan seorang Pemerintah Berjiwa Rakyat sepertimana Baginda. Dengannya – secara langsung ataupun tidak; rakyat-jelata Baginda daripada pelbagai latar kaum dan kerjaya, dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni” – Dato’ Sri Wan Rosdy.
PERSEMBAHAN UCAPANNYA... Berlatar-belakangkan skrin besar yang menayangkan 'live' KDYMM Pemangku Raja sedang memberi tepukan kepadanya.
HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR – Minat mendalam KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin ASl-Mustafa Billah Shah terhadap sukan – apa jenis sekalipun; turut menjadi faktor merapatkan hubungan Baginda dengan rakyat-jelata, kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Malah
katanya, Baginda tidak pernah terlepas untuk bercemar duli bersama-sama rakyat
mengambil bahagian dalam pelbagai jenis sukan, tidak kira sama ada sukan
berkenaan adalah sukan kegemaran Baginda, mahupun yang tidak.
“Dalam hal ini boleh patik katakan betapa, Baginda ialah ‘a true blue sporting person’ yang mana kecintaan Baginda kepada sukan melampaui apa juga jenis sukan sekalipun,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.
“Oleh itulah, patik amat bersyukur dikurniakan seorang Pemerintah Berjiwa Rakyat sepertimana Baginda. Dengannya – secara langsung ataupun tidak; rakyat-jelata Baginda daripada pelbagai latar kaum dan kerjaya, dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya lagi.
Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian dalam persembahan ucapan sempena pelancaran Buku Biografi Sukan ‘Al-Sultan Abdullah – Raja Sukan Berjiwa Rakyat’ petang Isnin, 28 September di sini.
Buku 195-halaman diterbitkan oleh Majlis Sukan Pahang (MSP) yang di bawah Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri diketuai Pengerusi, Dato’ Sri Johari Hussein.
MENYEMPURNAKAN PELANCARAN... KDYMM Pemangku Raja sedang menekap tangan Baginda ke bola kristal tanda sempurnalah pelancaran buku biografi sukan 'Al-Sultan Abdullah - Raja Sukan Berjiwa Rakyat'.
Berikut disiarkan sepenuhnya teks ucapan tersebut –
PERSEMBAHAN UCAPAN
YAB MENTERI BESAR PAHANG
MAJLIS PELANCARAN BUKU BIOGRAFI SUKAN
‘AL-SULTAN ABDULLAH; RAJA SUKAN BERJIWA RAKYAT’
HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR
28 SEPTEMBER 2020 (ISNIN). 2.30 PETANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Menghadap,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik, Mohon Diampun
01) Dengan segala takzimnya, patik mewakili Kerajaan Negeri menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, kerana perkenan Kebawah Duli Tuanku bercemar duli, berangkat ke majlis pada petang ini.
02) Majlis ini ialah berkenaan Pelancaran Buku Biografi Sukan - ‘Al-Sultan Abdullah ; Raja Sukan Berjiwa Rakyat’, yang bakal Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempurnakan, sebentar lagi.
03) Pada kesempatan ini juga, patik memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, agar mengurniakan kembali kesihatan dan kesembuhan segera ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mengalami kegeringan dan menerima rawatan di Institut Jantung Negara dalam tempoh seminggu yang telah berlalu ini.
04) Patik turut mendoakan moga-moga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, terus-menerus memperolehi keafiatan, begitulah juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, serta Keluarga DiRaja, In Sya Allah.
DI MEJA SANTAPAN...
Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik, Mohon Diampun.
05) Sesungguhnya patik amat berbesar hati dan teruja berada pada majlis petang ini, yang berkenaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri ‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, khususnya penglibatan Baginda dalam bidang kesukanan.
06) Bahawa pihak penerbit terutamanya penganjur, Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri memilih tajuk buku sebagai ‘Al-Sultan Abdullah; Raja Sukan Berjiwa Berjiwa Rakyat’, adalah kepada patik, amat bertepatan sekali.
07) Sepertimana hamba rakyat sekalian sedia maklum, minat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Abdullah dalam sukan sebenarnya adalah sejak kecil lagi, dengan tumpuan kepada sukan-sukan seperti bola sepak, hoki dan sepak raga jaring.
08) Memasuki alam persekolahan di Sekolah Rendah St Thomas, Kuantan, kemahiran Baginda dalam sukan bolasepak misalnya, telah membawa Baginda bukan sahaja tersenarai dalam kesebelasan pasukan sekolah, tetapi diiktiraf pemain terbaiknya.
09) Susulan itu, Baginda terpilih mewakili pasukan negeri bawah umur 15-tahun.
10) Bermain di posisi ‘midfield’, ‘skill’ dan kawalan bola yang kemas di atas padang menjadikan Baginda dikenali sebagai seorang ‘tactician’ dan ‘maestro’ yang berkaliber.
11) Dan Baginda sentiasa sahaja dipuji dengan kata-kata memberangsangkan sepertimana didedahkan oleh beberapa pacal rakan baik Baginda sendiri.
12) Kepada mereka, Baginda merupakan ‘midfielder’ yang mempunyai aura dan ‘skill’ tersendiri, selain seorang yang tenang, tidak beremosi, serta sentiasa menyuntik kata-kata semangat kepada mereka untuk bermain bersungguh-sungguh.
13) Dalam sukan polo pula, Baginda juga terserlah kehebatannya sehingga Baginda terpilih mengetuai pasukan polo Malaysia ke Sukan SEA Ke-12 Tahun 1983, di Singapura.
14) Hasil ‘captaincy’ dan semangat kesukanan Baginda, pasukan Malaysia berjaya meraih pingat emas dalam acara polo, yang pertama kali dipertandingkan pada sukan rantau Asia Tenggara ini.
'POSE' BUAT KENANG-KENANGAN... Baginda bersama-sama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang turut hadir, begitu juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Salehuddin Ishak.
Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik, Mohon Diampun.
15) Sepertimana hebatnya ‘skill’ sebagai pemain, begitulah juga dalam aspek kepemimpinan sukan, dan patik, rakyat-jelata sekalian telahpun ketahui betapa Baginda juga merupakan pemimpin sukan bukan sahaja bagi peringkat negeri dan negara, malah antarabangsa.
16) Di negeri Pahang sendiri, Baginda masih mengetuai Akademi Hoki Pahang dan Kelab Polo DiRaja Pahang.
17) Manakala di persada sukan antarabangsa, Baginda memegang jawatan tinggi dalam badan-badan sukan seperti Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Hoki Asia (AHC).
18) Tidak menghairankanlah apabila berlakunya pemilihan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada Januari 2019; sebuah akhbar negara jiran telah melaporkan mengenainya di bawah tajuk besar – ‘Sports-loving Sultan picked as Malaysian King…’.
19) Sudah tentu patik pacal-pacal sekalian turut terharu dan berbangga apabila pada November 2019 pula, atas sumbangan dan ketokohan Baginda kepada kemajuan bolasepak rantau Asia, Baginda telah dianugerahi ‘AFC Diamond of Asia’.
20) Dan reaksi Baginda kepada penganugerahan ini amat menyentuh hati, sepertimana Baginda dilaporkan bertitah dan patik terjemahkan –
“Bolasepak sudah ada dalam darah saya sejak saya kanak-kanak, dan adalah satu keistimewaan untuk menjadi sebahagian daripada senarai penerima yang termasuk beberapa personaliti dan legenda hebat dalam bolasepak Asia.
“Tambahan pula, saya sangat gembira untuk meneruskan warisan Ayahanda saya yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan bolasepak Malaysia dan Asia. Baginda ialah sumber inspirasi saya dan kepada Bagindalah saya dedikasikan anugerah ini”.
21) Daripada segi peribadi, Baginda ada menitah-sebut kepada sebuah akhbar tempatan betapa, Baginda sebenarnya seorang pendiam, namun sukan telah membentuk karakter Baginda sepertimana sekarang.
“Memang saya pendiam, tetapi apabila saya terlibat dengan bolasepak, saya jadi banyak bercakap pula dan bolasepak telah membina karakter saya,” demikian titah Baginda seperti dilaporkan.
22) Mengenai hal-hal sampingan tentang bolasepak, mungkin ramai yang menyangka Baginda ialah penyokong kelab-kelab bolasepak ternama Inggeris seperti Liverpool mahupun Manchester United, tetapi tidak.
23) Baginda rupa-rupanya ialah peminat tegar – dulu, kini dan selamanya; kepada kelab bolasepak Arsenal atau ‘The Gunners’, sungguhpun ada usaha untuk mempengaruhi Baginda bagi beralih menyokong kelab lain.
24) Setakat petang Ahad, 27 September 2020, ‘The Gunners’ bimbingan Pengurus kelahiran Sepanyol, Mikel Arteta, menduduki selesa pada tangga ketiga dengan enam (6) mata penuh daripada dua (2) perlawanan Liga Perdana Inggeris musim 2020/2021 yang baru bermula.
Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik, Mohon Diampun.
25) Dengan minat mendalam Baginda terhadap sukan, turut menjadi faktor yang merapatkan Baginda dengan rakyat-jelata.
26) Malah, Baginda tidak pernah terlepas untuk bercemar duli bersama-sama rakyat mengambil bahagian dalam pelbagai jenis sukan, sama ada sukan berkenaan adalah sukan kegemaran Baginda, mahupun yang tidak.
27) Dalam hal ini boleh patik katakan betapa, Baginda ialah ‘a true blue sporting person’ yang mana kecintaan Baginda kepada sukan melampaui apa juga jenis sukan sekalipun.
28) Oleh itulah, patik amat bersyukur dikurniakan seorang Pemerintah Berjiwa Rakyat sepertimana Baginda. Dengannya – secara langsung ataupun tidak; rakyat-jelata Baginda daripada pelbagai latar kaum dan kerjaya, dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.
29) Patik doakan semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan kesihatan yang terbaik dan melanjutkan usia Baginda serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan seluruh ahli Keluarga DiRaja, In Sya Allah.
Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik, Mohon Diampun
30) Sekianlah sahaja persembahan ucapan Patik yang tidak sepertinya ini.
31) Patik mewakili pacal-pacal sekalian mohon ampun dan maaf ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau apa-apa keterlanjuran tutur-kata dalam persembahan ucapan patik ini.
32) Patik berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala, moga-moga dikurniakan taufik hidayah, sihat-wal‘afiat ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri ‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
33) Turut patik doakan moga-moga dipelihara dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wata‘ala ke sisi Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
34) Juga patik doakan moga-moga terpelihara dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala ke atas Yang Amat Mulia Paduka-paduka Anakanda Putera dan Puteri, Cucunda dan kerabat, para pemimpin, alim ulama’, muslimin dan muslimat, Amin, Ya Rabbal Alamin.
Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik, Mohon Diampun
‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’. – Khabar