Friday 6 November 2020

Bermulanya projek RM11.7 juta pembinaan jalan 15.4 KM Pos Betau-Pos Lenjang

Projek ini sebenarnya, telah diluluskan sebelum PRU ke-14 lagi tetapi ianya tidak dapat diteruskan apabila Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu, membatalkan projek ini dan kemudiannya diteruskan (kembali, di bawah Kerajaan Perikatan Nasional sekarang),” kata Menteri Besar. 

MENURUNKAN TANDA TANGANNYA... Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah kedua-dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan -- Dato' Sri Norul Azali Sulaiman dan Dato' Abdul Aziz Kiram. 


PERKARANGAN SURAU, POS BETAU, LIPIS – Hari ini, bermulalah projek RM11.7 juta bagi pembinaan jalan sepanjang 15.4 KM menghubungkan Pos Betau di sini, dengan Pos Lenjang dengan majlis pelaksanaannya disempurnakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Projek ini sebenarnya, telah diluluskan sebelum PRU Ke-14 lagi tetapi ianya tidak dapat diteruskan apabila Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu, membatalkan projek ini dan kemudiannya diteruskan (kembali, di bawah Kerajaan Perikatan Nasional sekarang).

“Saya amat bersyukur kerana dapat dilaksanakan, dan ucapkan terima kasih saya kepada pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang, kerana dapat mengurus dan memastikan kerja-kerja ini dapat dimulakan pada hari ini,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Beliau yang juga wakil rakyat kawasan setempat (BN – Jelai) berkata demikian pada persidangan media sempena majlis tersebut pagi Jumaat, 6 November di perkarangan surau ini.

Bermula hari ini katanya, projek ini dijangka siap dalam masa satu setengah tahun atau 18 bulan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 4,000 penduduk dari 14 perkampungan Orang Asli di persekitaran.  

DIBERIKAN PENERANGAN OLEH PENGARAH JKR NEGERI YANG BAHARU...

HARAP SIAP IKUT JADUAL

“Kita berharap, JKR memastikan projek ini dapat siap mengikut jadual sebab penduduk di sini dah tunggu lama sangat dah untuk jalan ini,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

Menurut maklumat yang disediakan untuk wartawan, kontraktor dilantik bagi menjayakan projek ini ialah Persada Jitu Sdn Bhd yang beralamat di Lot PT 1497, Tingkat Atas, Jalan Tok Adis, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu.

Jalan sepanjang 15.4 KM ini, akan turut melibatkan tiga (3) jambatan iaitu sebuah (1) yang diganti baharu manakala dua (2) lagi, diperbaiki. Tarikh milik tapak ialah pada 16 Oktober lepas, seterusnya kerja-kerja dimulakan dengan tarikh jangka siap pada 14 April  2022.

Sepertimana disebut oleh Dato’ Sri Wan Rosdy, projek pembinaan jalan kampung Orang Asli dari Pos Betau ke Pos Lenjang ini telah diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak pada 29 Ogos 2016.

Projek ini kemudian ditangguhkan berikutan perubahan Kerajaan Persekutuan selepas PRU Ke-14. Namun pada 22 Januari 2019, Kementerian Kewangan telah bersetuju supaya projek ini diteruskan dengan menggunakan peruntukan yang telah dululuskan sebelum ini.

UCAPAN 'OFF-THE-CUFF' 18-MINITNYA, SAMBIL MENGUKIR SENYUMAN...

INISIATIF DATO’ SRI WAN ROSDY

Inisiatif bagi mengadakan projek ini ialah daripada Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri, yang ketika itu ialah juga Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Dengan pelaksanaan projek ini akan memberi kemudahan kepada lebih 4,000 orang penduduk Orang Asli terlibat, yang ketika ini, hanya menggunakan jalan balak sebagai jalan perhubungan, menjadi semakin buruk semasa musim tengkujuh  

Justifikasi lain kepada keperluan jalan ini ialah – tiada jalan perhubungan yang baik menghubungkan kampung-kampung Orang Asli di Pos Lenjang, dengan jalan utama; kesukaran penduduk mendapatkan kemudahan kesihatan di Klinik Kesihatan terdekat iaitu Klinik Kesihatan Pos Betau.

Pelajar terpaksa tinggal di asrama kerana sukar berulang alik ke sekolah setiap hari; dan, guru dan petugas kesihatan tidak dapat keluar atau masuk ke kampung-kampung di Pos Lenjang terutamanya sewaktu musim tengkujuh.

Dengan adanya kemudahan jalan ini, pelbagai pembangunan dan kemudahan boleh dibawa kepada masyarakat di Pos Lenjang, yang pastinya akan mengubah kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan ini.

MENINJAU KE TAPAK KEBAKARAN 3-PINTU KEDAI LAMA DI PEKAN BENTA, PADA MALAM SEBELUMNYA... Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang juga wakil rakyat kawasan setempat (BN - Benta), Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak sedang menerangkan sesuatu kepada Menteri Besar mengenai kebakaran tersebut yang Alhamdulillah, tidak melibatkan kehilangan nyawa.

PANJANG JALAN DI PAHANG BOLEH KE MOSCOW PERGI-BALIK

Menurut maklumat yang sama, sehingga kini (setakat 21 Oktober 2020), keseluruhan jumlah panjang jalan di Pahang yang di bawah senggaraan JKR Pahang ialah kira-kira 15,099.524 KM, yang terdiri daripada –

Jalan Persekutuan, sepanjang 3,693.58 KM; Jalan Negeri, sepanjang 2,711.945 KM; dan, Jalan Kampung, sepanjang 8,693.999 KM dan ini tidak termasuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 yang di bawah senggaraan Anih Bhd, sepanjang 174 KM dan berTOL; menghubungkan Karak hingga ke Jabor.

Jumlah keseluruhan panjangnya jalan di Pahang dengan itu ialah hampir menyamai perjalanan darat pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Moscow di Rusia, yang sepanjang kira-kira 8,122 KM.

“Tentu kita patut bersyukur dengan angka-angka ini. Apatah pula, jalan merupakan satu kaedah komunikasi berkesan dalam menyambung dan mendekatkan perjalanan antara lokasi, serta juga menggiatkan lagi aspek ‘mobility’ atau pergerakan rakyat negeri ini termasuk bagi manfaat masyarakat Orang Asli sekalian,” demikian menurut maklumat itu lagi. 

SISA KEMUSNAHAN, KEBAKARAN... Yang menurut Menteri Besar kepada wartawan, Kerajaan Negeri akan turut membantu apa yang sewajarnya. – Khabar