… serta pesanan sentiasa waspada dan berhati-hati kepada semua – Menteri Besar
UCAPAN TAKZIAH MENTERI BESAR...
kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa belas-ehsannya serta ucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa banjir khususnya yang membabitkan kematian.
Sambil itu beliau berpesan agar rakyat terutamanya di kawasan-kawasan dilanda banjir di negeri ini, supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati bagi mengelakkkan kemalangan apatah lagi membabitkan ajal.
“Saya turut berasa sedih dan ucapkan takziah kepada keluarga mangsa khususnya yang ajal akibat banjir.
“Kepada penduduk di kawasan-kawasan terbabit banjir, saya harap dapat sentiasa waspada dan hati-hati agar kemalangan tidak berlaku terutamanya yang menyebabkan ajal, kematian,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy dalam kenyataan media hari ini.
Menurut rekod sehingga kini, banjir besar yang melanda 10 daripada 11 daerah negeri ini (kecuali Cameron Highlands) dan bermula Sabtu, 2 Januari, telah meragut lima (5) nyawa.
ZIARAH, GERAK-KERJA BANTUAN PEMBERSIHAN PASCA-BANJIR... Sepertimana lebih 10,000 sukarelawan negeri ini termasuk dalam kalangan Ahli-ahli UMNO Bahagian-bahagian serta sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puterinya terlibat dalam usaha membantu semasa banjir; begitulah dilakukan dalam tempoh pasca-banjir dengan antara lain tolong membersihkan kawasan-kawasan dan rumah rakyat yang terkesan bencana tersebut. Kelihatan dalam foto ini, Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato' Sri Shahaniza Shamsuddin, terlibat dalam gerak-kerja bantuan pasca-banjir tersebut.
HANYUT AIR DERAS DAN TERGELINCIR
Mangsa pertama ditemukan ialah Allahyarham Zulkarnain Hitam, 58, susulan kejadian malam Ahad, 3 Januari, dihanyutkan air di Sungai Puas, Kampung Gintong, Jerantut dan dilaporkan lemas awal pagi Isnin, 4 Januari.
Anak lelakinya, Allahyarham Ukai Iskandar, 23, yang turut terbabit kejadian sama, hanya ditemukan kira-kira tiga (3) hari kemudian pada pagi Rabu, 6 Januari. Dua (2) anaknya yang turut terbabit – Umar Iskandar, 15, dan Usyair Iskandar, 13, terselamat.
Allahyarham Mohd Roslihisamsudin Suliman @ Atan, 43, pula ditemukan lemas setelah tergelincir di Sungai Maranggis, Kampung Bak-Bak, Maran pada kejadian Selasa, 5 Januari semasa terlibat dalam oparesi mambantu penduduk setempat menghadapi banjir.
Allahyarhamah Rozi Umar, 52, pula ditemukan lemas pagi Selasa, 5 Januari di Sungai Jelai berhampiran jambatan gantung Kampung Bertang, Sungai Koyan, Lipis setelah bot dinaiki terbalik sebelum dibawa arus pada kejadian sehari sebelumnya, Isnin, 4 Januari.
Anak perempuannya, Zakirah, 19, yang turut bersama ketika kejadian, belum ditemukan. Suami Allahyarhamah Rozi – Encik Ahmad Husin Mad Aris, 52, dan seorang lagi anak perempuan, Nur Aina, 21, yang turut bersama ketika kejadian, terselamat.
LAGI GERAK-KERJA PASCA-BANJIR... Seorang lagi Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Abdul Rahim Muda kelihatan sedang meninjau keadaan longkang sebagai sebahagian daripada tinjauannya berkaitan struktur tanah dan bangunan di Taman Perumahan Gambang Damai yang di bawah Dewan Negeri kawasan Lepar dan beliau ialah juga wakil rakyatnya (BN - Lepar). Dilaporkan, dua (2) buah rumah berkembar tidak berpenghuni semasa kejadian di taman perumahan ini telah runtuh hingga ranap, beberapa hari lepas.SKUAD SAYANG PERGERAKAN WANITA UMNO 'IN ACTION' DI LAPANGAN...
AL-FATIHAH
Mangsa kelima, Allahyarham Isyraf Mohamad, 41, pula menemui ajal pada kejadian Selasa, 5 Januari, setelah terkena renjatan elektrik akibat memegang tiang besi semasa meninjau keadaan banjir di hadapan rumahnya di Kampung Paya Kechik, Temerloh.
Dibacakan surah Al-Fatihah kepada Allahyarham/Allahyarhamah kelima-limanya, sambil sama-sama kita mendoakan semoga bencana banjir yang menimpa bumi Pahang akan kembali reda dan pulih sepenuhnya, dalam masa terdekat, insyaAllah. – Khabar