Monday 4 January 2021

Lebih 10,000 sukarelawan Pahang bantu mangsa banjir

… bantuan ialah semasa dan pasca-banjir, demi meringankan beban mangsa, kata Menteri Besar

 

KEBERANGKATAN KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG KE PPS TERBABIT SEMASA ZIARAH-TINJAU KE KAWASAN-KAWASAN DILANDA BANJIR SEHARI-SUNTUK DI RAUB, ISNIN, 4 JANUARI... Selain Menteri Besar, yang turut kelihatan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak.

    

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Lebih 10,000 sukarelawan telah digerakkan di seluruh Pahang bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan bencana tersebut ketika ini, kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.  

Sukarelawan ini katanya, ialah dalam kalangan ahli-ahli badan-badan bukan Kerajaan (NGO) seperti Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Majlis Pembangunan Wanita Negeri Pahang (MPWNP), Sukarelawan Tunas Warisan (STW), serta ahli-ahli UMNO Bahagian-Bahagian termasuk ketiga-tiga sayapnya – Wanita, Pemuda dan Puteri.

Begitu juga yang lain seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) dan Jawatankuasa Pembangunan Orang Asli (JPOA). 

Bantuan menurutnya, termasuk bekerjasama dengan jabatan dan agensi penyelamat dalam memindahkan mangsa-mangsa banjir ke Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan, serta menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian.

“Sejak banjir melanda negeri ini dua (2) hari lepas, lebih 10,000 sukarelawan kita di negeri ini telah digerakkan dan setakat ini, saya berpuas hati dengan usaha-usaha ini.

“Dengan ini dapat meringankan lagi usaha yang dilaksanakan oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan terlibat di bawah penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah-daerah berkenaan,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy dalam satu kenyataan media hari ini.

BANTUAN AIR BOTOL UNTUK HANTARAN KEPADA MANGSA BANJIR... 


USAHA BANTUAN DIPERTINGKATKAN

“Saya juga telah arahkan agar usaha-usaha bantuan ini dapat dipertingkatkan demi memastikan rakyat yang terkesan bencana banjir yang agak luar biasa terjadinya kali ini, dapat dibantu sehabis baiknya termasuk dalam tempoh pasca-banjir kelak, In Sya Allah,” katanya lagi.     

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan tentang keperluan untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapkan bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 semasa musim bencana ini.

Setakat 8.30 pagi Selasa, 5 Januari 2021, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri melaporkan, 10 daerah di negeri ini terbabit banjir kecuali Cameron Highlands. Jumlah PPS dibuka ialah 243 buah, menempatkan 4,406 keluarga atau 17,156 mangsa. 

LAGI BANTUAN OLEH SUKARELAWAN KITA DALAM KALANGAN AHLI-AHLI UMNO... – Khabar