Monday 28 June 2021

Sangka buruk tak ubah hakikat penjagaan baik hutan Pahang

ARTIKEL SAMA TERSIAR DALAM HALAMAN 18 AKHBAR SINAR HARIAN TERBITAN SELASA, 29 JUN 2021...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Ibarat ‘air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan’ atau ‘missing the forest for the trees’. Inilah bidalan yang boleh dirujukkan kepada segelintir pihak yang gemar memberikan gambaran buruk tentang aspek penjagaan hutan di Pahang.

Di sebalik itu, ia masih tidak dapat menidakkan hakikat Pahang ialah antara negeri terbaik memelihara hutan sepertimana diperakui oleh Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) khususnya mesyuarat pada Mac 2019.

Sepertimana kita ketahui, Pahang ialah negeri terbesar di Semenanjung Malaysia berkeluasan 3.6 juta hektar atau bersamaan keluasan gabungan tiga (3) negeri iaitu Kelantan (1.5 juta hektar), Terengganu (1.3 juta hektar) dan Selangor (793,000 hektar).

Pada mesyuarat MPFN tersebut telah dimaklumkan, Pahang ialah penyumbang terbesar kawasan berhutan atau ‘forested area’ dalam kalangan negeri-negeri Semenanjung Malaysia, dengan keluasan 2.057 juta hektar atau 57.2 peratus daripada keluasan negeri ini.

Daripada 2.057 juta hektar kawasan berhutan ini, 551,528 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan atau Kawasan Tadahan Air yang langsung tidak boleh di‘sentuh’ apatah lagi bagi kerja-kerja pembalakan.

KAWASAN TADAHAN AIR PAHANG LEBIH 5 X SAIZ PULAU PINANG

Kawasan seluas 2.057 juta hektar ini hanya kecil sikit daripada negeri Perak iaitu negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia, berkeluasan 2.1 juta hektar manakala 551,528 hektar pula ialah lebih lima (5) kali ganda saiz Pulau Pinang yang berkeluasan kira-kira 103,104 hektar.

Usaha penjagaan hutan ini pula turut meliputi kawasan tanahtinggi seperti Cameron Highlands yang pada 9 Oktober 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bersetuju mewartakan kawasan hutan seluas 2,289.62 hektar sebagai Hutan Taman Negeri di sana.

Ini menjadikannya Hutan Taman Negeri kedua terbesar di negeri ini selepas Hutan Simpan Taman Negeri Rompin yang berkeluasan kira-kira 31,797 hektar, yang diwartakan sejak tahun 2000.

Demi memelihara hidupan liar pula, Kerajaan Negeri meluluskan kawasan kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi melindungi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

Keputusan ‘mesra-alam’ dan ‘mesra-hidupan liar’ ini dibuat pada mesyuarat MMK Negeri pada 27 November 2019 dan telah menerima sambutan baik termasuk dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

HUTAN TERPELIHARA SEBAB AMALAN PENGURUSAN HUTAN SECARA BERKEKALAN @ SUSTAINABLE FOREST MANAGEMENT

Dalam pada itu pun, diam tak diam; Kerajaan Negeri telah pun mewartakan kira-kira 1.55 juta hektar di seluruh negeri ini sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), menjadikan Pahang negeri mempunyai kawasan HSK terluas di Semenanjung Malaysia.

Ini adalah hakikat yang tidak boleh disangkalkan dan angka ini (1.55 juta hektar) kekal stabil sungguhpun setiap tahun tidak dinafikan, sumber hutan masih menjadi punca pendapatan hasil negeri.

Kestabilan ini disebabkan Kerajaan Negeri mempraktikkan pengurusan hutan secara berkekalan atau ‘sustainable forest management’ yang menerusinya, kawalan ke atas hasil hutan dilaksanakan bagi menjamin agar kawasan hutan tetap terpelihara.   

Di kawasan hutan yang boleh dibalak sekalipun, ia sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC), yang mengeluarkan ‘Malaysia Criteria and Indicators For Forest Management Certification’ (MC&I).

Adalah membanggakan sejak tahun 2002 lagi, Pahang terus kekal menerima persijilan ini dan terkini, susulan pengauditan bermula 25 Februari hingga 2 Mac 2019, sijil MC&I ini dilanjutkan untuk tempoh lima (5) tahun lagi bermula 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2024, membuktikan tentang baiknya pengurusan hutan di negeri ini. 

AKUR KEPADA CATUAN TEBANGAN TAHUNAN (CTT) MAJLIS TANAH NEGARA TETAPKAN

Dan Kerajaan Negeri turut berbangga kerana Pahang masih akur serta tidak melakukan pembalakan melebihi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang dibenar dan ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara (MTN).

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11, 2016 – 2020) misalnya, CTT yang ditetapkan ialah seluas 13,687 hektar namun untuk tahun 2019 sahaja, luas kawasan yang dibalak masih jauh daripada yang ditetapkan iaitu cuma 10,313 hektar. 

Dalam pada itupun, Kerajaan Negeri tidaklah berada dalam ‘denial mode’ terutamanya mengenai gejala penerokaan haram ke atas tanah dan kawasan hutannya yang menyumbang kepada persepsi negatif oleh segelintir pihak.

Oleh itulah, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil maklum dan segera melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas apa sahaja laporan yang diterima berkaitan penerokaan atau pencerobohan tanah mahupun hutan secara haram di negeri ini.

Usaha dan kejayaan Kerajaan Negeri menangani dan mengatasi masalah penerokaan tanah haram di Cameron Highlands khususnya di Sungai Ichat baru-baru ini misalnya, sememangnya menjadi ‘model’ kepada usaha-usaha Kerajaan Negeri seterusnya dalam menangani gejala tersebut.

KETEGASAN DAN ‘POLITICAL WILL’ MENTERI BESAR

Inilah yang diharap dapat membuka mata pihak-pihak berkenaan. Kejayaan ini ialah kerana ketegasan dan ‘political will’ yang tinggi Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan isu penerokaan tanah haram di kawasan tanahtinggi itu malah di tempat-tempat lain sekali pun, akan dapat ditangani dan diselesaikan dengan jaya.

Dan inilah juga mesej yang hendak disampaikan oleh kepemimpinan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sejak menerajui Pahang pada 15 Mei 2018, yang dengan ketegasan secara beristiqamahlah juga diharapkan hutan di negeri Pahang akan terus terpelihara. – Khabar