Wednesday 16 June 2021

Berbelanja, jangan sampai boros; berjimat jangan sampai kedekut

… pedoman pengurusan kewangan negeri oleh Menteri Besar yang berjaya – hasil negeri kukuh, dapat di‘pulang’kan kembali kepada rakyat jelata dalam pelbagai bentuk bantuan kebajikan 

ARTIKEL SAMA TERSIAR PADA HALAMAN 14 AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN KHAMIS, 17 JUN 2021...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – ‘Berbelanja, jangan sampai boros. Berjimat, jangan sampai kedekut”. Inilah pedoman bagi pengurusan kewangan Kerajaan Pahang di bawah Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pedoman ini terbukti berjaya antaranya, berlaku penambahbaikan kepada prestasi kewangan negeri, dan kejayaan mengurangkan beban hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

Dengan ini, ada lebihan wang yang sebahagian tertentu di‘pulang’kan kembali secara terus kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif bantuan demi meringankan beban mereka khususnya dalam mengharungi tempoh sukar akibat penularan serta langkah-langkah membendungi wabak pandemik COVID-19 ketika ini.

Terkini ialah pengumuman tentang peruntukan RM17.1 juta di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 secara bersasar Fasa 1 dan 2, bagi menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disusuli ‘total lockdown’ seluruh negara.

Yang membanggakan tentang prestasi kewangan negeri ini ialah, hasil sebenar dikutip mencecah angka RM800 juta pada tahun-tahun 2019 dan 2020 dan Bajet Negeri 2019 ialah bajet negeri pertama dibentangkan pada 19 November 2018 oleh Dato’ Sri Wan Rosdy selaku Menteri Besar, sejak pelantikan beliau ke jawatan itu pada 15 Mei 2018.

HASIL NEGERI CECAH RM800 JUTA AKHIR TAHUN-TAHUN 2019, 2020

Akhir tahun 2019, kutipan hasil sebenar ialah RM847.7 juta berbanding anggaran asal, RM703.8 juta atau lebihan/’surplus’ RM143.9 juta, dengan prestasi pencapaian 120.5 peratus.

Hujung tahun 2020 – disebalik kekangan wabak pandemik COVID-19 dengan langkah tegas membendunginya bermula Mac 2020, kutipan hasil sebenar masih tinggi, RM850 juta berbanding anggaran asal, RM744.02 juta atau lebihan/‘surplus’ RM106 juta dengan prestasi pencapaian 114.2 peratus.

Dengan sasaran hasil negeri RM1 bilion, ia dijangka dapat dicapai lebih awal, mungkin pada akhir tahun depan (2022) berdasarkan purata pencapaian hasil, 117.4 peratus bagi tahun-tahun 2019 dan 2020 itu.  

Kutipan hasil negeri yang mantap ini ialah susulan semakan semula kepada beberapa jenis cukai misalnya cukai balak – yang terkesan cuma golongan tertentu yang mampu menerima/menyerap kenaikan tersebut, bukan rakyat terbanyak.

Ia juga mantap sebab usaha-usaha mengelak ketirisan yang Kerajaan Negeri perhebatkan. Penubuhan Unit Ketirisan Hasil, Unit Pasukan Khas dan Unit Penguatkuasaan Bersepadu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri banyak membantu.    

ELAK KETIRISAN JUGA SUMBANG KEPADA PENINGKATAN HASIL NEGERI

Misalnya, menerusi operasi penguatkuasaan tanah di Kampung Pamah Lebar, Daerah Raub melibatkan kawasan seluas 198.53 ekar, berjaya mengekang kerugian hasil negeri kira-kira RM3.15 juta.

Menerusi Unit Pasukan Khas pula, usaha dan tindakannya telah membolehkan Kerajaan Negeri mengutip RM31 juta tunggakan hasil tanah di seluruh negeri, susulan kerjasama jitu kesemua 11 Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di negeri ini.

Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang baik ini juga turut ter‘jangkit’ dan terpancar pada prestasi Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) yang juga menjadi tumpuan khusus oleh Dato’ Sri Wan Rosdy.

Misalnya, nilai aset-aset tetap untuk kira-kira 40 S-GLC ini meningkat kepada RM9.24 bilion pada akhir tahun 2019, daripada RM8.98 bilion pada tahun 2018.

Keuntungan keseluruhan juga meningkat daripada hanya RM226.7 juta pada tahun 2018, kepada RM329.95 juta akhir tahun 2019.

Dengan penubuhan sebuah perbadanan dan lima (5) S-GLC terbaharu – Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, Pahang Corporation, Pengurusan Pasir Pahang Bhd, Pahang Go, Pahang Water and Energy Resources dan Pahang Mining Corporation; prestasi keseluruhan S-GLC dijangka akan terus meningkat.

KEWANGAN S-GLC MAKIN KUKUH

Dan sudahpun menjadi ketetapan Kerajaan Negeri bahawa, sebahagian tertentu daripada keuntungan yang diperolehi oleh S-GLC ini hendaklah disumbangkan kembali kepadanya, lalu menjadi sebahagian daripada sumber hasil tahunannya.

Sudah pastilah yang turut menjadi kebanggaan ialah apabila Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan hutang/pinjamannya dengan Kerajaan Persekutuan daripada asal, RM3.229 bilion kepada hanya RM931 juta atau pengurangan sehingga lebih 70 peratus!

Sebahagian besarnya ekoran kejayaan rundingan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negeri Pahang yang tertunggak hampir lapan (8) tahun; lalu termeterainya perjanjian mengenainya pada 23 Disember 2020.

Melalui perjanjian ini, pinjaman bekalan air luar bandar bernilai RM2.074 bilion oleh Kerajaan Negeri diselesaikan menerusi – RM1.001 bilion dihapus kira dan RM1.073 bilion lagi dinovasikan, lalu ditangung oleh agensi persekutuan – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Selebihnya, RM224 juta meliputi pinjaman bagi penganjuran SUKMA tahun 2012 sebanyak RM169 juta, dan lagi RM55 juta berupa pinjaman bagi membiayai bantuan kepada rakyat terkesan banjir besar tahun-tahun 2014/2015, telah ditukar kepada bentuk geran hasil rundingan dan diplomasi Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

KESTABILAN POLITIK – UMNO/BN TERUS MENANG SEJAK PRU-1 LAGI

Segala kejayaan yang dikecapi sehingga kini kepada Dato’ Sri Wan Rosdy, ialah juga sebab adanya kestabilan politik, yang mana Pahang tidak pernah terputus pemerintahannya di bawah UMNO/BN sejak Pilihanraya Umum (PRU) pertama lagi, tahun 1955.

Dan kestabilan itu turut disumbangkan kini oleh kerjasama erat UMNO/BN dengan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN) dengan majoriti 33 kerusi daripada 42 kerusi Dewan Negeri, hasil sumbangan UMNO/BN, 25 kerusi dan PAS, lapan (8) kerusi.

Menerusi perjanjian UMNO dan PAS Negeri petang 28 April lepas bagi mengukuhkan lagi kerjasama MN demi mengelak pertembungan 3-penjuru dalam PRU ke-15 kelak, kejayaan dijangka dapat diraih seterusnya mengekalkan kestabilan politik demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Pahang juga. – Khabar