... kepada rakyat Pahang terputus mata pencarian akibat PKP 3.0/PKPD
LAGI BANTUAN, TANDA EHSAN DAN AMBIL BERAT KERAJAAN NEGERI KE ATAS RAKYATNYA...
KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG
Lagi RM9.3 juta Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 kepada rakyat Pahang terputus mata pencarian akibat PKP 3.0/PKPD
Sukacita saya umumkan peruntukan lagi RM9.3 juta bagi pelaksanaan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2, kepada rakyat negeri Pahang terutamanya yang terputus mata pencarian ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Dengan ini, RM17.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan BPP COVID-19 Secara Bersasar di bawah kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2.
Di bawah Fasa 1 yang saya umumkan 24 Mei lepas, nilai peruntukannya ialah RM7.8 juta, ada yang telah pun diagih-agihkan manakala bagi golongan miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU), dan warga emas melebihi 80 tahun yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), akan diagihkan bermula minggu depan.
Peruntukan besar yang Kerajaan Negeri sediakan ini tentunya bukti dan tanda mengambil kisah dan mengambil berat Kerajaan Negeri ke atas kemaslahatan rakyat, apatah lagi dalam menghadapi tempoh yang sukar sekarang.
Ia juga disediakan adalah menurut kemampuan kewangan Kerajaan Negeri ketika ini.
Sepertimana inisiatif-inisiatif bantuan yang Kerajaan Negeri berikan sebelum ini, BPP COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 ini, masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan menerusi penyerahan bakul makanan.
Bak kata orang tua-tua – ‘Sedikit tanda ingat, banyak tanda ada’. Begitulah juga saya harapkan pemahaman oleh para penerima kepada bantuan dan sumbangan yang diberi menerusi peruntukan ini.
Antara golongan yang akan memanfaatkannya di bawah Fasa 2 ini ialah pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin harian sekolah dan pekerjanya, penyedia perkhidmatan penghantaran, pemandu e-hailing, serta sukarelawan di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Begitu juga kepada masyarakat Orang Asli menerusi Batin mereka, serta penduduk di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB), ahli-ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta para penggiat seni.
Saya telah meminta agar pengagihan sebenar BPP COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 ini dapat dilaksanakan sesegera mungkin agar bakal-bakal penerima dapat memanfaatkannya dalam kadar segera juga, In Sya Allah.
DATO’ SRI HJ WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
4
Jun 2021 - Khabar