Monday, 18 July 2016

Perkembangan hebat koperasi di Pahang!



… dengan lebih 1,000 koperasi berdaftar, lebih 300,000 keahlian, lebih RM250 juta yuran/saham, lebih RM900 juta nilai aset.

RASMILAH, BANGUNAN ANGKASA NEGERI PAHANG ZON 2... 


BANGUNAN ANGKASA NEGERI PAHANG ZON 2, TEMERLOH – Hebat! Inilah yang boleh dikatakan tentang perkembangan sektor koperasi di negeri ini, berdasarkan statistik terbaru, setakat Mei lepas;

Terdapat 1,002 koperasi, dengan keahlian seramai 302,129 orang, nilai yuran/saham sebanyak sebanyak RM258.62 juta, nilai aset kira-kira RM931.03 juta, dan, perolehan RM 685.71juta.

(Berbanding di seluruh negara - jumlah koperasi 12,796, keahlian kira-kira 8 juta orang, nilai yuran/saham RM13,810 juta, nilai aset RM123,280 juta, dan, perolehan sebanyak RM33,550 juta).

Statistik ini diperolehi sempena majlis 3-dalam-1 – perasmian-perasmian Bangunan Angkasa Negeri Pahang Zon 2 ini dan Pusat Dialisis MyAngkasa, serta, Sambutan Hari Raya yang disempurnakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pagi Isnin, 18 Julai.

Antara yang turut hadir ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Sharkar Shamsuddin dan Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad; Timbalan Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Mohamad Jaafar;

ZIARAHI PESAKIT... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menanyakan sesuatu kepada seorang daripada mereka yang mendapat rawatan di pusat dialisis ini.
 

PUSAT MYANGKASA DIALISIS

Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Fadzli Mohd Kenali; Presiden Angkasa, Dato’ Abdul Fatah Abdulah; dan, Timbalan Presiden Angkasa, Encik Muthado Bahri yang juga Pengerusi, MyAngkasa Dialisis.

Bangunan Angkasa Negeri Pahang Zon 2 ini merupakan satu (1) daripada tiga (3) bangunan Angkasa yang terdapat di negeri ini sahaja, daripada 16 bangunan Angkasa Negeri yang terdapat di seluruh Negara.

Selain Temerloh di Jalan Pak Sako 2 ini, dua (2) bangunan Angkasa lain ialah Bangunan Angkasa Negeri Pahang Zon 1 di Kuantan, dan, Bangunan Angkasa Negeri Pahang Zon 3 di Bentong.

Dengan adanya Bangunan Angkasa Negeri Pahang Zon 2 ini, akan memudahkan aktiviti berkoperasi dan para koperator dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan oleh Angkasa untuk menjalankan aktiviti koperasi dari semasa ke semasa.

Kini pula, Angkasa telah mengembangkan aktivitinya dengan turut menceburi bidang perubatan khususnya dalam pembukaan pusat dialisis pertamanya – Pusat MyAngkasa Dialisis, di sini.

CERIA, DALAM MENYAMPAIKAN UCAPAN LUAR TEKS 18-MINITNYA...


PENGANGKUTAN PERCUMA

Pusat bernilai RM1 juta ini yang mula beroperasi sejak 11 Disember 2012, dilengkapi sembilan (9) mesin dialisis dan dibantu oleh tujuh (7) orang kakitangan yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang ini.
.
Kadar bayaran yang dikenakan ke atas pengguna dalam kalangan pesakit buah pinggang, adalah berpatutan mengikut kadar semasa iaitu antara RM200 dan RM280, bergantung kepada perkhidmatan yang diterima.

Setakat ini, pesakit yang dirawat ialah seramai 35 orang dan mereka disediakan pengangkutan pergi/balik secara percuma setiap kali berkunjung ke pusat ini bagi mendapat bagi mendapat rawatan. 

PARA HADIRIN PAGI ISNIN... Ini merupakan sebahagian daripada mereka yang hadir pada majlis pagi Isnin ini. – Khabar

Sunday, 10 July 2016

‘Functional’; Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit Muadzam Shah dimanfaati para musafir



… ekoran lokasinya yang strategik, jadi seperti pintu masuk utama ke bandar baharu ini

KDYTM TENGKU MAHKOTA TURUNKAN TANDATANGAN BAGINDA KE PLAK PERASMIAN... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Betapa ‘functional’nya Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Satelit Muadzam Shah, Rompin yang kerana kedudukan strategiknya di pinggir laluan sibuk Kuantan-Segamat, menjadi pilihan ramai musafir untuk singgah menunaikan solat di dalamnya.

Inilah yang dapat dirumuskan oleh penulis ketika singgah sebentar di masjid sama bagi mengerjakan solat selepas menghantar semula anak ke Kampus Uniten yang berdekatan pada malam Ahad, 10 Julai.

Semasa tiba di perkarangan masjid, terdapat puluhan kenderaan yang telah sedia diparkir di sekeliling mahupun di bahu-bahu jalan, sebahagian besarnya bernombor pendaftaran negeri ini dan tidak kurang banyaknya dari negeri jiran – Johor, mahupun dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ketika melalui bahagian tandas lelaki, kelihatan ramai yang beratur, menunggu giliran  untuk menggunakannya.

Sebaik-baik mengambil wudhu’, penulis terus ke ruang solat tetapi tidak sempat untuk berjemaah kerana Imam Masjid baharu sahaja menamatkan solat tersebut bersama-sama jemaah dalam barisan dua saf.

MENGAMATI MODELNYA... KDYTM Tengku Mahkota sedang menitah-tanyakan sesuatu mengenai model berkenaan kepada Tengku Dato' Sri Zulkifly. 

Selain KDYTM Tengku Puan dan Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan ialah Ahli Parlimen, Dato' Hasan Ariffin (BN - Rompin) (kiri sekali); wakil rakyat negeri, Dato' Sri Maznah Mazlan (BN - Muadzam Shah); dan, Dato' Mohamad (terlindung, berbaju Melayu biru). 
    

AMAL-JARIAH SYARIKAT BINA MASJID RM4.17 JUTA INI

Mengenai masjid ini, penulis teringat kepada perbualan dengan seorang kakitangan syarikat yang membinanya – Kenchana Bersatu Sdn Bhd, yang juga pemaju tunggal kepada pembangunan seluruh Bandar Satelit Muadzam Shah.

Masjid berkapisiti 850 jemaah pada satu-satu masa dengan nilai RM4.17 juta ini menurutnya, merupakan amal-jariah atau Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat tersebut yang diterajui oleh Tengku Dato’ Sri Zulkifly Tengku Ahmad, dan dibantu oleh Dato’ Mohamad Saib.

Yang lebih menarik ialah, lokasi yang dipilih bagi membina masjid ini.

Syarikat boleh sahaja membinanya di atas tapak di kawasan yang lebih ke dalam dengan nilai tanah yang mungkin lebih rendah tetapi memilihnya di tapak startegik yang lebih tinggi nilai tanahnya ini, dan digalakkan pula oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

“Ini menunjukkan bahawa, syarikat tidak mementingkan keuntungan semata-mata tetapi lebih mengutamakan ‘barakah’ Allah Subhanahu Wata‘ala,” kata kakitangan syarikat itu lagi.

Pada Sabtu, 2 Julai lepas yang bersamaan dengan 27 Ramadan 1437 Hijrah, KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang diiringi KDYTM Tengku Puan Pahang, telah berkenan merasmikannya. 

MASIH ADA YANG BERSOLAT... Foto ini dirakam pada malam Ahad, 10 Julai sejurus sebelum penulis meninggalkan masjid ini.   

PULUHAN KENDERAAN... Kelihatan, puluhan kenderaan termasuk yang berplat nombor bermula J untuk Johor, atau W untuk Wilayah Persekutuan; sedang diparkir di petak tersedia atau di bahu-bahu jalan.  – Khabar

Wednesday, 6 July 2016

Petanda baik – hubungan rapat Keluarga DiRaja, pemimpin; dengan rakyat



… ekoran sambutan menggalakkan rakyat kepada majlis-majlis Istana Terbuka oleh KDYMM Sultan Pahang dan KDYTM Tengku Mahkota Pahang; serta Rumah Terbuka Menteri Besar

LAMBAIAN MESRA... Wajah keceriaan di meja utama. KDYTM Tengku Mahkota dengan KDYTM Tengku Puan di sisi; sedang melambaikan tangan ke arah jurukamera yang sedang merakamkan foto berkumpulan ini yang turut disertai oleh Dato' Sri DiRaja Adnan.
 

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Petanda baik tentang kewujudan hubungan rapat yang berterusan antara Keluarga DiRaja Pahang dan pemimpin negeri; dengan rakyat-jelata.

Inilah yang dinyatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ketika diminta mengulas mengenai sambutan menggalakkan terhadap majlis-majlis Istana Terbuka dan Rumah Terbuka pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri, hari ini, Rabu, 6 Julai.

KDYMM Sultan Pahang berkenan menganjurkan Istana Terbuka di Istana Abu Bakar, Pekan manakala KDYTM Tengku Mahkota Pahang berkenaan menganjurkan yang sama di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota dekat sini.

Menteri Besar sendiri menganjurkan Rumah Terbuka di sini yang turut menerima kunjungan KDYTM Tengku Mahkota Pahang diiringi KDYTM Tengku Puan Pahang; serta, anakanda-anakanda Baginda pada sebelah petang Rabu ini.

Pada sebelah pagi, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama KDYTM Tengku Mahkota Pahang di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dekat sini; beliau hadir ke Istana Terbuka KDYMM Sultan Pahang; disusuli ke Istana Terbuka KDYTM Tengku Mahkota Pahang.

SUMBANGAN DUIT RAYA... KDYTM Tengku Mahkota - diiringi Puteri Baginda (kanan sekali); turut berkenan menyampaikan sumbangan duit Raya kepada anak-anak ini.


TERAPKAN KEPADA RAKYAT NILAI-NILAI BERSATU-PADU

“Ini petanda baik bahawa hubungan pemimpin dengan masyarakat itu rapat. Dan kita lihat di Istana Abu Bakar, di Istana Abdulaziz; hubungan antara Raja dengan rakyat juga sangat rapat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Ini satu keadaan yang boleh kita kekalkan, kita pupuk supaya kita boleh menerapkan ke dalam masyarakat nilai-nilai untuk bersatu-padu (yang) dengan ini kita boleh mengelakkan perkara-perkara (negatif) yang berlaku seperti kekerasan, ‘violence’, dan sebagainya,” katanya lagi.

Kata-kata Menteri Besar ini turut merujuk kepada kejadian pengeboman berani mati yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Daesh, yang berlaku Selasa, 5 Julai di tiga tempat di Arab Saudi termasuk berhampiran Masjid Nabawi, Madinah.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan rakyat dan pihak-pihak berkenaan, supaya bertindak secara bijaksana agar apa juga isu keselamatan yang timbul di negara ini, dapat ditangani dengan berkesan.

“Saya nak ingatkan – kalau kita menangani masalah isu keselamatan ini, mestilah secara bijaksana. Bukannya cara kita; orang ini bercakap, orang itu bercakap…

SAMBUTAN BUAT KELUARGA DIRAJA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyembah-sambut keberangkatan KDYTM Tengku Mahkota yang diiringi KDYTM Tengku Puan serta putera - YAM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. 

Yang turut kelihatan ialah anak sulung Dato' Sri DiRaja Adnan, Encik Awang Osman yang sedang menyembah-salam dengan YAM Tengku Hassanal.    


POLIS MESTI TUNJUK MEREKA KUASAI KEADAAN

“Kita kena fikir, kita kena timbang bahawa pihak pengganas berkenaan, mereka juga mungkin mengambil tindakan yang lebih teruk lagi. Mungkin mereka balas dendam.

“Tetapi, pihak polis mesti menunjukkan bahawa mereka menguasai keadaan, itu mustahak. Polis mesti menunjukkan mereka menguasai keadaan. Tapi, apapun situasinya, mestilah dilaksanakan dengan bijak. Kebijaksanaan,” katanya.

Pun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan apa yang berlaku khususnya di kawasan yang dikatakan berhampiran Masjid Nabawi, merupakan ‘satu cara propaganda pihak-pihak tertentu’.

Ini kerana apa yang beliau difahamkan, tempat berlakunya letupan tersebut dengan masjid berkenaan adalah jauh tetapi kelihatan berhampiran akibat cara pengambilan video dari sudut-sudut yang tertentu.

“Saya difahamkan, tempat kejadian dengan Masjid Nabawi tu jauh. Tapi, ‘angle’ camera itu diambil sedemikian rupa seolah-olah hampir sangat dengan Masjid Nabawi,” katanya.

“Saya ingin menasihatkan kita berhati-hati, kita jangan ‘provoke’, menyakiti hati sesiapa dan kita ambil tindakan yang wajar dengan cara bijak. Saya ingat, lebih sikit kita bercakap, lebih baik,” tegasnya. 

SEMASA SOLAT SUNAT AIDILFITRI... Foto ini dirakam semasa solat sunat Aidilfitri pada sebelah paginya di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1. Selain KDYTM Tengku Mahkota serta putera-putera Baginda; yang turut kelihatan ialah Dato' Sri DiRaja Adnan dan Mufti Negeri, Dato' Sri Abdul Rahman Osman.  

MENEMUI MEDIA PETANG RAYA... Dalam pada melayani kehadiran ribuan tetamu ke Rumah Terbukanya - kira-kira 15,000 orang; Dato' Sri DiRaja Adnan masih sudi melayani para wartawan dari pelbagai organisasi berita. – Khabar



Monday, 4 July 2016

Azamlah untuk kukuhkan lagi silaturrahim sesama kita, saran Menteri Besar dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.

“Maka marilah kita bersama-sama berazam dalam diri masing-masing untuk kita mengukuhkan lagi tali silatrurrahim antara kita sesama kita supaya kita menjadi umat yang bersatu untuk terus kita membangunkan masyarakat Islam di negeri Pahang khususnya dan di Malaysia amnya”.

DALAM MENYAMPAIKAN PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRINYA... 


NOTA EDITOR;

Berikut disiarkan sepenuhnya, perutusan Hari Raya Aidilfitri oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang rakamannya dilakukan pada petang Rabu, 29 Jun sebaik-baik selepas beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri di Tingkat 6, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Bersama-sama menyertai beliau dalam rakaman ini ialah Ahli-Ahli MMK yang termasuklah para ‘ex-officio’ – Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Roslan Harun; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Shamsulbahri Ibrahim; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Nazri Abu Bakar; dan, Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Mohd Paiz Kamaruzaman.

Sepertimana kebiasaan, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar pada tahun ini ialah pada Hari Raya pertama, 1 Syawal antara 10 pagi dan 3.30 petang bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan.


FOYER, TINGKAT 6, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Allahu-akbar, Allahu-akbar, Allahu-akbar, Allahu-akbar, Allahu-akbar, Allahu-akbar, Allahu-akbar, Walillah-ilham.

Saya bagi pihak Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, Ketua-ketua Jabatan; mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin kepada semua umat Islam di negeri Pahang Darul Makmur.

Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan segala amal baik kita dalam bulan Ramadan Al-Mubarak yang barakah ini, akan diterima oleh Allah SWT dan Allah SWT akan anugerahkan ganjaran yang sebaiknya untuk kita di dunia dan akhirat.

Saya mengajak saudara-saudara, Muslimin Muslimat sekelian, untuk kita memperbaharui tekad dan azam untuk kita bekerja lebih lebih kuat lagi, berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan keluarga, masyarakat khususnya masyarakat Islam.

Kita mesti berazam untuk mengukuhkan lagi tali silaturrahim antara kita sesama kita umat Islam di negeri Pahang Darul Makmur ini, dalam keadaan dunia yang semakin, dalam keadaan dunia yang tidak tenteram dan tidak aman. Kita lihat di sana-sini, persengketaan, perselisehan, perbalahan berlaku…

BERSAMA-SAMA AHLI-AHLI  MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN (MMK) NEGERI PIMPINANNYA... 
 

TERUS KITA BANGUNKAN MASYARAKAT ISLAM PAHANG

Maka marilah kita bersama-sama berazam dalam diri masing-masing untuk kita mengukuhkan lagi tali silatrurrahim antara kita sama kita supaya kita menjadi umat yang bersatu untuk terus kita membangunkan masyarakat Islam di negeri Pahang khususnya dan di Malaysia amnya.

Sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin. Mudah-mudahan Allah Taala memberkati kita semua.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

– Khabar