Wednesday, 6 July 2016

Petanda baik – hubungan rapat Keluarga DiRaja, pemimpin; dengan rakyat



… ekoran sambutan menggalakkan rakyat kepada majlis-majlis Istana Terbuka oleh KDYMM Sultan Pahang dan KDYTM Tengku Mahkota Pahang; serta Rumah Terbuka Menteri Besar

LAMBAIAN MESRA... Wajah keceriaan di meja utama. KDYTM Tengku Mahkota dengan KDYTM Tengku Puan di sisi; sedang melambaikan tangan ke arah jurukamera yang sedang merakamkan foto berkumpulan ini yang turut disertai oleh Dato' Sri DiRaja Adnan.
 

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Petanda baik tentang kewujudan hubungan rapat yang berterusan antara Keluarga DiRaja Pahang dan pemimpin negeri; dengan rakyat-jelata.

Inilah yang dinyatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ketika diminta mengulas mengenai sambutan menggalakkan terhadap majlis-majlis Istana Terbuka dan Rumah Terbuka pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri, hari ini, Rabu, 6 Julai.

KDYMM Sultan Pahang berkenan menganjurkan Istana Terbuka di Istana Abu Bakar, Pekan manakala KDYTM Tengku Mahkota Pahang berkenaan menganjurkan yang sama di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota dekat sini.

Menteri Besar sendiri menganjurkan Rumah Terbuka di sini yang turut menerima kunjungan KDYTM Tengku Mahkota Pahang diiringi KDYTM Tengku Puan Pahang; serta, anakanda-anakanda Baginda pada sebelah petang Rabu ini.

Pada sebelah pagi, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama KDYTM Tengku Mahkota Pahang di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dekat sini; beliau hadir ke Istana Terbuka KDYMM Sultan Pahang; disusuli ke Istana Terbuka KDYTM Tengku Mahkota Pahang.

SUMBANGAN DUIT RAYA... KDYTM Tengku Mahkota - diiringi Puteri Baginda (kanan sekali); turut berkenan menyampaikan sumbangan duit Raya kepada anak-anak ini.


TERAPKAN KEPADA RAKYAT NILAI-NILAI BERSATU-PADU

“Ini petanda baik bahawa hubungan pemimpin dengan masyarakat itu rapat. Dan kita lihat di Istana Abu Bakar, di Istana Abdulaziz; hubungan antara Raja dengan rakyat juga sangat rapat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Ini satu keadaan yang boleh kita kekalkan, kita pupuk supaya kita boleh menerapkan ke dalam masyarakat nilai-nilai untuk bersatu-padu (yang) dengan ini kita boleh mengelakkan perkara-perkara (negatif) yang berlaku seperti kekerasan, ‘violence’, dan sebagainya,” katanya lagi.

Kata-kata Menteri Besar ini turut merujuk kepada kejadian pengeboman berani mati yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Daesh, yang berlaku Selasa, 5 Julai di tiga tempat di Arab Saudi termasuk berhampiran Masjid Nabawi, Madinah.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan rakyat dan pihak-pihak berkenaan, supaya bertindak secara bijaksana agar apa juga isu keselamatan yang timbul di negara ini, dapat ditangani dengan berkesan.

“Saya nak ingatkan – kalau kita menangani masalah isu keselamatan ini, mestilah secara bijaksana. Bukannya cara kita; orang ini bercakap, orang itu bercakap…

SAMBUTAN BUAT KELUARGA DIRAJA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyembah-sambut keberangkatan KDYTM Tengku Mahkota yang diiringi KDYTM Tengku Puan serta putera - YAM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. 

Yang turut kelihatan ialah anak sulung Dato' Sri DiRaja Adnan, Encik Awang Osman yang sedang menyembah-salam dengan YAM Tengku Hassanal.    


POLIS MESTI TUNJUK MEREKA KUASAI KEADAAN

“Kita kena fikir, kita kena timbang bahawa pihak pengganas berkenaan, mereka juga mungkin mengambil tindakan yang lebih teruk lagi. Mungkin mereka balas dendam.

“Tetapi, pihak polis mesti menunjukkan bahawa mereka menguasai keadaan, itu mustahak. Polis mesti menunjukkan mereka menguasai keadaan. Tapi, apapun situasinya, mestilah dilaksanakan dengan bijak. Kebijaksanaan,” katanya.

Pun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan apa yang berlaku khususnya di kawasan yang dikatakan berhampiran Masjid Nabawi, merupakan ‘satu cara propaganda pihak-pihak tertentu’.

Ini kerana apa yang beliau difahamkan, tempat berlakunya letupan tersebut dengan masjid berkenaan adalah jauh tetapi kelihatan berhampiran akibat cara pengambilan video dari sudut-sudut yang tertentu.

“Saya difahamkan, tempat kejadian dengan Masjid Nabawi tu jauh. Tapi, ‘angle’ camera itu diambil sedemikian rupa seolah-olah hampir sangat dengan Masjid Nabawi,” katanya.

“Saya ingin menasihatkan kita berhati-hati, kita jangan ‘provoke’, menyakiti hati sesiapa dan kita ambil tindakan yang wajar dengan cara bijak. Saya ingat, lebih sikit kita bercakap, lebih baik,” tegasnya. 

SEMASA SOLAT SUNAT AIDILFITRI... Foto ini dirakam semasa solat sunat Aidilfitri pada sebelah paginya di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1. Selain KDYTM Tengku Mahkota serta putera-putera Baginda; yang turut kelihatan ialah Dato' Sri DiRaja Adnan dan Mufti Negeri, Dato' Sri Abdul Rahman Osman.  

MENEMUI MEDIA PETANG RAYA... Dalam pada melayani kehadiran ribuan tetamu ke Rumah Terbukanya - kira-kira 15,000 orang; Dato' Sri DiRaja Adnan masih sudi melayani para wartawan dari pelbagai organisasi berita. – Khabar