Monday 4 July 2016

Azamlah untuk kukuhkan lagi silaturrahim sesama kita, saran Menteri Besar dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.

“Maka marilah kita bersama-sama berazam dalam diri masing-masing untuk kita mengukuhkan lagi tali silatrurrahim antara kita sesama kita supaya kita menjadi umat yang bersatu untuk terus kita membangunkan masyarakat Islam di negeri Pahang khususnya dan di Malaysia amnya”.

DALAM MENYAMPAIKAN PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRINYA... 


NOTA EDITOR;

Berikut disiarkan sepenuhnya, perutusan Hari Raya Aidilfitri oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang rakamannya dilakukan pada petang Rabu, 29 Jun sebaik-baik selepas beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri di Tingkat 6, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Bersama-sama menyertai beliau dalam rakaman ini ialah Ahli-Ahli MMK yang termasuklah para ‘ex-officio’ – Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Roslan Harun; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Shamsulbahri Ibrahim; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Nazri Abu Bakar; dan, Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Mohd Paiz Kamaruzaman.

Sepertimana kebiasaan, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar pada tahun ini ialah pada Hari Raya pertama, 1 Syawal antara 10 pagi dan 3.30 petang bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan.


FOYER, TINGKAT 6, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Allahu-akbar, Allahu-akbar, Allahu-akbar, Allahu-akbar, Allahu-akbar, Allahu-akbar, Allahu-akbar, Walillah-ilham.

Saya bagi pihak Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, Ketua-ketua Jabatan; mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin kepada semua umat Islam di negeri Pahang Darul Makmur.

Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan segala amal baik kita dalam bulan Ramadan Al-Mubarak yang barakah ini, akan diterima oleh Allah SWT dan Allah SWT akan anugerahkan ganjaran yang sebaiknya untuk kita di dunia dan akhirat.

Saya mengajak saudara-saudara, Muslimin Muslimat sekelian, untuk kita memperbaharui tekad dan azam untuk kita bekerja lebih lebih kuat lagi, berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan keluarga, masyarakat khususnya masyarakat Islam.

Kita mesti berazam untuk mengukuhkan lagi tali silaturrahim antara kita sesama kita umat Islam di negeri Pahang Darul Makmur ini, dalam keadaan dunia yang semakin, dalam keadaan dunia yang tidak tenteram dan tidak aman. Kita lihat di sana-sini, persengketaan, perselisehan, perbalahan berlaku…

BERSAMA-SAMA AHLI-AHLI  MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN (MMK) NEGERI PIMPINANNYA... 
 

TERUS KITA BANGUNKAN MASYARAKAT ISLAM PAHANG

Maka marilah kita bersama-sama berazam dalam diri masing-masing untuk kita mengukuhkan lagi tali silatrurrahim antara kita sama kita supaya kita menjadi umat yang bersatu untuk terus kita membangunkan masyarakat Islam di negeri Pahang khususnya dan di Malaysia amnya.

Sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin. Mudah-mudahan Allah Taala memberkati kita semua.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

– Khabar