Saturday, 13 August 2016

Semua Bahagian UMNO mesti berada dalam ‘election mode’, tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob


“… gerakan untuk memenangi hati, jiwa rakyat – bukan sahaja ahli parti tapi juga orangramai, bukan sahaja orang Melayu tapi untuk semua kaum; mesti diteruskan,” katanya juga.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 41-MINITNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan ucapannya. Yang turut kelihatan ialah Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato' Abdul Rahman Mohamad, dan, Timbalannya, Dato' Ir Mohd Soffi Abdul Razak (kanan sekali) yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri.


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUALA LIPIS – Semua Bahagian UMNO di negeri ini diarah membuat persiapan untuk segera berada dalam ‘election mode’ bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 akan datang.

Ini selain memastikan perpaduan dalam kalangan ahli sentiasa diperkukuhkan.

“… kita sekarang ini yang mustahak, satukan parti,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan luar teks 41-minitnya sementara menanti ketibaan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis pagi Sabtu, 13 Ogos di sini.

Asal jadualnya, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO, menaiki helikopter dari Ibunegara untuk ke sini tetapi terpaksa berpatah balik ekoran kabus tebal di kawasan Banjaran Titiwangsa berhampiran Genting.

Berikutan itu berlaku kelewatan kerana beliau terpaksa mengambil tindakan alternatif dengan menggunakan jalan darat, yang kebiasaannya mengambil masa kira-kira tiga (3) jam untuk sampai ke sini.   

SAMBUTAN BUAT TPM... Dato' Sri Dr Ahmad Zahid sedang diberi sambutan ketibaan di perkarangan Dewan ini. Selain Dato' Abdul Rahman dan Dato' Sri Ir Mohd Soffi; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Naib Ketua UMNO Bahagian, Dato' Mustapa Long yang juga wakil rakyat negeri (BN - Padang Tengku) (kanan sekali). 

Ketibaan Dato' Sri Dr Ahmad Zahid terlewat daripada jadual asal akibat masalah cuaca yang ekoran itu, Dato' Sri DiRaja Adnan telah melakukan acara awal perasmian sebelum terpaksa bergegas ke Bentong atas urusan yang telah lama diaturkan.  



“… BILA ‘PRIIIT’, JALAN”

“Semua Bahagian (UMNO) mesti dalam ‘election mode’. Maknanya, bilik gerakan (perlu dilengkapkan dengan segala maklumat yang diperlukan)…  Tubuhlah jawatankuasanya, bila ‘priiit’ (PRU-14 diumumkan), jalan…,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Beliau yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri sekali lagi mengingatkan kepimpinan dan ahli-ahli parti supaya terus melaksanakan gerakan untuk memenangi hati dan jiwa rakyat.

Gerakan itu pula mestilah tidak kepada ahli-ahli parti atau mereka dalam kalangan Melayu semata-mata, tetapi turut melibatkan rakyat pelbagai latar belakang dan fahaman, serta kaum.     

“… gerakan untuk memenangi hati, jiwa rakyat – bukan sahaja ahli parti tapi juga orangramai, bukan sahaja orang Melayu tapi untuk semua kaum; mesti diteruskan,” katanya.

Dan beliau yang juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri menambah kata betapa; “Hanya cara ini sahajalah, kita boleh mengekalkan kuasa pemerintahan di tangan kita.

PARA PERWAKILAN DAN PEMERHATI SEKELIAN... 


TIDAK ADA DASAR YANG TIDAK BERKAITAN DENGAN RAKYAT

“Kalau rakyat bersama kita, insyaAllah (kita akan terus jadi pilihan dalam pilihanraya kelak). Dan untuk rakyat bersama kita, kita mesti menunjukkan yang kita bersama rakyat”.   

Selama inipun katanya, usaha memenangi hati dan jiwa rakyat banyak sudah dilaksanakan misalnya dengan pengenalan dan pelaksanaan pelbagai dasar dan langkah, demi untuk kesejahteraan rakyat-jelata.

“Kalau kita tengok sejak zaman Dato’ Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, tidak ada satu dasar yang tidak berkait dengan rakyat yang diumumkan.

“Untuk bantu orang susah – BR1M (diperkenalkan). Untuk bantu orang yang kurang pendapatan (lalu ada pilihan untuk) beli barang murah sikit – KR1M, kedai Rakyat 1Malaysia.

“Yang tidak sanggup pergi ke hospital beratur ramai-ramai kemudian itu tak ada duit nak pergi ke klinik swasta – ada Klinik 1Malaysia, KL1M,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan menamakan antara dasar-dasar dan langkah-langkah pro-rakyat yang telah diumum dan dilaksanakan.

BANTUAN HENDAKLAH SECARA BERKALA

Dan menerusi dasar-dasar dan langkah-langkah sebeginilah menurutnya, ia menunjukkan bahawa kepimpinan dan ahli parti sentiasa ‘menghayati’ segala kemiskinan atau kesusahan yang rakyat-jelata hadapi.

Sehubungan itu, beliau memuji apa yang telah dan sedang dilakukan oleh wakil rakyat-wakil rakyat seterusnya ahli-ahli dalam Bahagian-bahagian UMNO serta ketiga-tiga sayapnya – Wanita, Pemuda dan Puteri; kerana sering melakukan ziarah ke atas golongan yang memerlukan, sambil menghulurkan bantuan.

Zirahan dan bantuan yang diberi beliau berharap, tidaklah secara ‘one-off’ sebaliknya dilakukan secara susulan dari masa ke semasa. “Saya harap, dalam usaha memenangi hati, jiwa rakyat ini, jangan sekali, ‘one-off’ (tetapi) mesti berkala.

“Maknanya, kalau kita beri orang (yang memerlukan) itu ‘pampers’ (pada ziarahan kali pertama); dua minggu, tiga minggu (kemudian) kita (hendaklah) hantar lagi ‘pampers’,” katanya lagi.   – Khabar

Thursday, 11 August 2016

“Fokus fikiran kita kepada PRU-14,” pesan Dato’ Sri DiRaja Adnan

“Maknanya, kita kena bersiap daripada sekarang.

“Malam tadi kita ada Mesyuarat Perhubungan (UMNO) di Kuala Lumpur – kita juga telah meminta supaya setiap Bahagian menyiapkan gerak-kerja untuk pilihanraya,” tegasnya lagi.

MEMBERI KEPADA YANG MEMERLUKAN... Selain menyampaikan Notis 5A kepada hampir 100 orang penduduk di Desa Baru Purun ini; 

Lagi 128 orang dalam kalangan mereka yang memerlukan dari kawasan persekitaran, turut disampaikan sumbangan kewangan RM1,000 seorang seperti yang diserahkan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan dalam foto ini. 

Mengiringinya ialah Dato' Syed Ibrahim.   


DESA BARU PURUN, KERDAU, TEMERLOH  Kepimpinan dan Ahli-ahli UMNO di negeri ini diingatkan supaya memberi tumpuan serta fokus, sambil mengatur dan menjayakan gerak-kerja ke arah menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

“… saya selalu memesankan kepada mereka supaya memulakan kerja dengan menumpukan, fokus fikiran kita kepada PRU-14,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada tengah hari Khamis, 11 Ogos.

“Maknanya, kita kena bersiap daripada sekarang,” katanya ketika ditemui wartawan selepas hadir pada Majlis Silaturrahim dan Ramah Mesra serta Penyampaian Notis 5A bagi Rancangan Pembesaran Kampung (RPK) Desa Baru Purun ini.

“Malam tadi kita ada Mesyuarat Perhubungan (UMNO) di Kuala Lumpur – kita juga telah meminta supaya setiap Bahagian menyiapkan gerak-kerja untuk pilihanraya.

“Dan pada ketika yang sama, gerakan daftar pengundi sebagainya, berjalan untuk kita membantu SPR,” katanya lagi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

BELAS IHSAN TERHADAP YANG KURANG UPAYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menanyakan sesuatu kepada seorang daripada yang turut menerima sumbangan pada hari Khamis ini. 

Selain Dato' Syed Ibrahim; antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Mohd Fadzli (kiri sekali) dan Dato' Sri Mohamad (dua dari kanan). 


MESYUARAT PERWAKILAN ERATKAN KESEPAKATAN PEMIMPIN/AHLI
    
Mengenai Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang bermula sejak akhir minggu lepas di seluruh negara termasuk Pahang katanya, Alhamdulillah, ia berjalan dengan baik.  

Yang menambah-sukacitakannya ialah, selain membincangkan perkara-perkara penting tentang agenda parti demi membela rakyat, pada Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan inilah silaturrahim sesama kepimpinan dan ahli-ahli semakin erat.

“… terutama sekali apabila Presiden, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden - Dato’ Sri Dr Zahid Hamidi datang (merasmikan Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan berkenaan); nampak ada keceriaan,” katanya.

Ditanya tentang usul yang dibawa dan diluluskan menurutnya, ia adalah sekata –
Bahagian-bahagian menzahirkan sokongan penuh kepada kepimpinan Presiden, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, dan kepada Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid.   

“Nampak ada kesatuanlah, ada keutuhan, semuanya ‘solid’lah (berkenaan dengan sokongan Bahagian-bahagian UMNO pada Mesyuarat-mesyuarat Perwakilan terhadap kepimpinan tertinggi UMNO itu),” tegasnya.

KEMESRAAN PEMIMPIN DAN RAKYAT, YANG SENTIASA TERSERLAH... Oleh kerana kemesraan yang sebeginilah maka Kerajaan yang ada ditunjangi UMNO, sentiasa mendapat tempat di hati rakyat lalu sokongan terhadapnya. 


RAKYAT AKAN TERUS BERI SOKONGAN

Sebagai sebuah parti politik menurutnya, UMNO di Pahang khususnya, tidak menghadapi apa-apa masalah sehingga membolehkan gerak-kerja dijalankan secara berterusan, tertumpu kepada usaha untuk terus ‘menawan hati dan minda rakyat’.

“Dan saya perhatikan di Pahang ini, InsyaAllah, rakyat kita sebenarnya mereka memahami kaedah-kaedah bagaimana Kerajaan, parti berjalan. Mereka akan terus memberikan sokongan.

“Hari ini, majlis kita menyampaikan Notis 5A untuk (membolehkan) mereka mendapatkan suratan hakmilik tak beberapa lama lagi. Ini akan berjalan daripada masa ke samasa,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan  lagi.

Beliau juga ditanya mengenai sistem e-LPS (Lesen Pendudukan Sementara) yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) yang beliau sendiri menerimanya secara simbolik daripada Timbalan Perdana Menteri beberapa hari lepas.  

Sistem tersebut katanya, merupakan projek perintis yang dimulakan dahulu di daerah Cameron Highlands, dan akan diperluaskan ke daerah-daerah lain di seluruh negara termasuk di negeri ini.

INILAH NOTIS 5A KAMI... Tiga orang sahabat ini sedang memperagakan sampul surat yang terkandung Notis 5A di dalamnya. Masing-masing penerima ini layak untuk tanah berkeluasan 1/4 ekar atau bersamaan 1,011.71 meter persegi. 

Kadar premium yang Kerajaan Negeri kenakan cukup rendah sekali, cuma RM2 bagi setiap meter persegi maka setiap penerima perlu membayar hanya RM2,023.42 (RM2 X 1,011.71 meter persegi). Selepas pembayaran maka barulah proses untuk mengeluarkan geran tanah dapat diuruskan. 


MESTI ADA ‘WILL POWER’

Adakah sistem terbaru – e-LPS ini, merupakan jawapan kepada pelbagai masalah mengenai tanah yang sering menjadi isu di daerah-daerah khususnya di kawasan-kawasan sensitive seperti tanahtinggi Cameron Highlands?     

“Yang sebenarnya,” jawab Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… menangani masalah ini apa carapun boleh. Yang pentingnya, kita kalau orang politik, mesti ada ‘the political will power’, kita (rakyat) biasa, ada ‘will power’.

“Kalau semua pegawai kerajaan, rakyat bekerjasama, apa sistempun boleh… Kalau kita tidak menjalankan tugas dengan baik, atas kepada e-LPSpun kena tipu. Ha itulah maksud…

“Yang mustahak sekarang ini, kita mesti ikhlas menjalankan tugas. Kalau misalannya, katalah tugas seorang Pegawai Petempatan (SO) – pelan tanah tu, mesti disimpan dengan baik. Dan setiap kali permohonan tanah, mesti dicating di atas pelan.

“Maknanya, sianu tiu dia minta nombor fail dia, tulis di atas pelan tu. Jadi, kalau orang lain minta tapak yang sama, tahu dah - sebelum ini dah ada satu-dua permohonan (ke atas tapak yang sama). Dan bila di bawa ke mesyuarat, bawa sekali semua sekali.

KHALAYAK PAGI KHAMIS... 
 

PENTINGNYA PERANAN DAN TUGAS SO

“Tapi, kalau kita tak buat kerja dengan jujur, kita bawa ke mesyuarat, rupa-rupanya tanah itu dah lulus kepada orang lain. Rupanya tanah itu dah ada orang lain minta,” katanya lagi.

“Ini e-LPS ini begitu juga. Ia bergantng kepada SO juga. Yang menjalankan kerja (input) itu orang. Bukannya benda tu masuk, berjalan sendiri, tidak… semua kena diprogramkan,” katanya lagi.

Selain tuanrumah, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN – Kerdau), antara yang turut hadir pada majlis yang menyaksikan hampir 100 orang menerima Notis 5A berkenaan ialah;

Timbalan Yang Dipertua, Dewan Rakyat, Dato’ Ismail Mohd Said yang juga Ahli Parlimen (BN – Kuala Krau); Timbalan Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Mohamad Jaafar yang juga wakil rakyat negeri (BN – Jenderak); 

Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Roslan Harun; dan, Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Mohd Fadzli Mohd Kenali. 

ANUGERAH BUAT YANG CEMERLANG... Pada kira-kira 3 petang Khamis yang sama juga, Dato' Sri DiRaja Adnan berada pula di Maahad Tahfiz As-Sultan Ahmad Shah Addini, Bandar Tun Razak, Jengka, Maran kerana menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang. 

Beliau kelihatan, sedang menyampaikan sijil serta cenderamata lain termasuk beg, kepada para penerima. Mengiringi beliau selain Dato' Syed Ibrahim yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri; ialah Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato' Mohd Nor Abdul Rani (di sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan).


LAGI PENERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PENDIDIKAN SMA KITA... 

TABAH MENUNGGU GILIRAN... Ini ialah sebahagian lagi pelajar SMA yang sabar menunggu giliran untuk berbaris ke pentas bagi menerima anugerah masing-masing pada majlis petang Khamis ini. – Khabar       

Sunday, 7 August 2016

Hindari budaya terlalu selesa dengan kuasa, kata Timbalan Perdana Menteri


“Masalah kita adalah budaya terlalu selesa apabila kita pegang kuasa. Maka kita rasa kuasa itu kita punya sampai bila-bila.

“Macam di Pahang, ini negeri yang kita hormat kerana masih dapat mengekalkan majoriti undi dua pertiga,” katanya

DALAM UCAPANNYA... 

KOMPLEKS RAKAN MUDA, BERA – Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak terlalu selesa dengan kuasa yang ada sehingga menganggapnya sebagai milik mereka selama-lamanya.

“Masalah kita adalah budaya terlalu selesa apabila kita pegang kuasa. Maka kita rasa kuasa itu kita punya sampai bila-bila,” katanya sepertimana dilaporkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Laporan berita yang sama juga menyebut beliau memberikan contoh negeri ini yang kepemimpinan negeri yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN), terus kukuh dengan berkata;

“Macam di Pahang, ini negeri yang kita hormat kerana masih dapat mengekalkan majoriti undi dua pertiga”.

Laporan berita BERNAMA ini berdasarkan ucapan Dato’ Sri Ahmad Zahid – yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera pagi Ahad, 7 Ogos di sini.

MESRA SESAMA PEMIMPIN KITA... Dato' Sri Ahmad Zahid sedang berjenaka-mesra dengan Dato' Sri DiRaja Adnan sambil yang lain tertawa menyaksikan. 

Selain tuan rumah, Dato' Sri Ismail Sabri (kanan sekali); yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Mohd Sharkar serta Ahli-ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bera. 


‘… BERGADUH BAGAI NAK RAK’

Selain Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi, BN Negeri dan tuan rumah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ketua UMNO Bahagian;

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Ahad ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga Timbalan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.     

Laporan berita yang sama juga menyebut Dato’ Sri Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO, memberikan contoh sebuah negeri jiran yang disebalik memperolehi kemenangan tipis pada pilihanraya umum lepas tetapi terbabit dengan masalah.

“Terengganu yang dapat undi majoriti nipis itupun bergaduh bagai nak rak. Pemimpin yang lama dan baharu bergaduh. Selesaikanlah masalah itu... nak bergaduh tunggu selepas pilihan raya umum.

“Semua ini nak menempah kejatuhan. Masalah dalaman selesaikanlah. Kalau dah jadi (hilang kuasa) barulah padan muka engkau, padan muka aku,” katanya penuh sinis.

MEMENUHI ACARA DI LUAR DEWAN... Selain Dato' Sri Ahmad Zahid, Dato' Sri DiRaja Adnan, Dato' Sri Ismail Sabri dan Dato' Sri Mohd Sharkar; yang turut kelihatan ialah kepimpinan UMNO Bahagian - Dato' Norol Azali Sulaiman, yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri (dua dari kanan), dan, Dato' Mohd Fadil Osman yang juga wakil rakyat negeri (BN - Kemayan). 

TAK MAMPU RAMPAS KEMBALI KELANTAN HINGGA KINI

Beliau turut dilaporkan menyebut Kelantan yang kini sudah 23 tahun di bawah pemerintahan PAS yang semasa di bawah kepimpinan BN sebelumnya, masalah dalaman partilah yang menyebabkan kejatuhannya.

“Dahulu, Kelantan kita (BN) punya. Namun disebabkan masalah dalaman, orang UMNO kononnya banyak kelemahan dan kononnya nak ajar satu penggal sahaja; akhirnya sampai sekarang kita tidak mampu rampas kembali negeri itu,” katanya.

Beliau juga berkata betapa usaha untuk mempertahankan kuasa bukan hanya perlu melibatkan kepimpinan negeri sebaliknya perlu bermula dari bawahan lagi iaitu peringkat cawangan, pusat daerah mengundi (PDM), bahagian dan perhubungan negeri.

“Kalau ketua cawanganpun bergaduh dengan timbalan, ketua pemudapun bergaduh dengan ketua puteri kemudian risau, takut tempat kita diambil alih orang… PDM dengan PDM bergaduh, macam mana nak terus kekal berkuasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan agar kepimpinan UMNO di setiap peringkat supaya menyelesaikan sebarang masalah dalaman yang dialami jika mahu parti kekal memerintah negara pada masa akan datang.

PARA PERWAKILAN SERTA TETAMU SEKELIAN...


‘CUKUP-CUKUPLAH’

Ahli-ahli UMNO menurutnya, perlu mengambil iktibar daripada sejarah dunia dan negara sendiri yang menyaksikan banyak kuasa besar seperti Rusia, Belanda, Perancis dan Empayar Kesultanan Melayu Melaka, akhirnya jatuh disebabkan masalah dalaman.

Malah UMNO dan BN sendiri katanya, pernah kehilangan kuasa di Perak, Terengganu dan Kelantan hanya disebabkan pergolakan dalaman akibat rasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan.

“Cukup-cukuplah... belajarlah daripada pengalaman dunia. Selesaikanlah masalah dalaman. Jangan layan rasa marah dan kecewa dalam kalangan kita. Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku.

“Kita tidak mahu ia berlaku lagi di dalam politik UMNO dan BN sebab terlalu mahal harganya yang terpaksa kita tanggung apabila hilang kuasa. Pemimpin ada kelemahan kerana mereka bukan maksum jadi kita terima dan bertolak ansur,” katanya lagi. – Khabar
 

Tuesday, 2 August 2016

Kisah benar, 1MDB

… terus daripada ‘the horse’s mouth’

ENCIK ARUL KANDA... Dalam bahasa yang mudah dan tersusun, Encik Arul Kanda sedang  menerangkan sesuatu kepada para hadirin. Yang turut kelihatan ialah Puan 'Moderator', Dato' Shahaniza. 
 

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Kira-kira 1,000 orang dalam kalangan penjawat awam dan orangramai telah menghadiri Majlis Taklimat Khas Isu-isu Semasa pada pagi Selasa, 2 Ogos di sini.

Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar telah mengundang Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Encik Arul Kanda Kandasamy sebagai penceramah.

Sesuai dengan jawatannya, tajuk utama ceramah Encik Arul Kanda yang disusuli sesi soal-jawab dengan para hadirin ialah berkenaan 1MDB khususnya ekoran perkembangan terbaharu melibatkan tindakan Jabatan Keadilan (DoJ), Amerika Syarikat.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hadir pada majlis ini; begitu juga – antara lain, Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; serta beberapa Ahli Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Jabatan-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Seorang lagi Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin telah bertindak sebagai ‘moderator’. Majlis yang bermula kira-kira 10.30 pagi, berakhir hampir dua jam kemudian yang disusuli makan tengah hari.  

PUAN 'MODERATOR'...
 
SERIUS... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang mengambil nota tertentu daripada ceramah yang sedang Encik Arul Kanda sampaikan. 

Selain Dato' Sri Ishak, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Roslan Harun; dan, Panel Pemikir JASA, Tun Faisal Ismail Aziz (duduk, kanan sekali). 
 
CENDERAMATA BUAT TETAMU KITA... 
 
PARA HADIRIN PAGI SELASA... 

– Khabar