Wednesday, 28 November 2012

Usaha untuk terus menangi hati dan jiwa rakyat


… yang akan dilipatgandakan, kata Menteri Besar

PAHANG SEBAGAI PERINTIS... Dengan termeterainya MoU ini, PKNP sebagai agensi pelaksana perlu 'turun padang' bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan khususnya bagi membantu golongan B40 yang berpendapatan bulanan isi rumah RM2,300 ke bawah. 
  

PACIFIC BALLROOM, HOTEL SRI PACIFIC, KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Negeri akan terus mempertingkatkan usaha untuk memenangi hati dan jiwa rakyat terhadapnya, kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, usaha memenangi hati dan jiwa rakyat memang telah dilakukan selama ini maka ia akan digiatkan lagi khususnya dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 kelak

“Kita bukan baharu dalam permainan ini. Sudah 12 kali pilihanraya umum. Kita tidak bersikap takbur tapi kita mesti patuh kepada nasihat, pandangan Perdana Menteri bahawa kita tidak boleh bekerja cara lama.

“Walaupun 12 kali pilihanraya umum kita hadapi (dan menang), tetapi pilihanraya umum kali ke-13 ini pendekatannya mesti berbeza,” katanya pada persidangan media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Memudahcara Peningkatan Masyarakat (FSU : Facilitating Societal Upliftment) pada tengah hari Rabu, 28 November di sini.

“Walau apapun, asasnya ialah untuk kita mendekati rakyat. Itu yang mustahak. Memenangi hati dan jiwa rakyat,” katanya menjawab soalan pemberita tentang reaksinya terhadap ucapan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pada perjumpaan tertutup dengan para perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2012 semalam, Selasa, 27 November di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersebelahan.

YANG MEMANFAATKAN... Satu lagi foto yang dirakamkan sempena majlis tengah hari Rabu itu.


‘ANTARA HATI DAN MINDA, HATI LEBIH PENTING’

“Dan semalampun,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… dalam ucapan (pada majlis) tertutup itu, Perdana Menteri telahpun memberikan pandangannya iaitu antara hati dan minda, hati lebih penting.

“Oleh sebab itu, kita akan terus turun selepas Perhimpunan Agung UMNO ini (29 November hingga 1 Disember), kita akan mempertingkatkan usaha kita. Selama ini memangpun berjalan, untuk memenangi hati dan jiwa rakyat. Semua kegiatan akan dijuruskan ke arah itu,” katanya lagi.

Beliau menambahkata, “Kalau rakyat kata, ‘Oh, dekat pilihanraya baharu bekerja kuat’. Bukan (begitu)… Kita bekerja sepanjang masa. (Apabila semakin) Dekat pilihanraya, lagi kuat (kita berusaha). Itu sahaja bezanya”.

Kepada soalan mengenai peluang kemenangan BN di Pahang pada pilihanraya umum itu katanya, beliau percaya BN akan dapat memenangi 40 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri, serta 13 daripada 14 kerusi Parlimen.

“Saya cakap terus-teranglah. Saya tak suka berselindung. Dewan Undangan Negeri mempunyai 42 kerusi. Insya-Allah, kita boleh menang 40 daripada 42. Parlimen kita ada 14 dan KPI yang ditetapkan oleh Perdana Menteri ialah kita mesti menang 14.

BERCAKAP DENGAN MEDIA... Pada persidangan media sebeginilah, selain ditanyakan tentang majlis itu sendiri, Dato' Sri DiRaja Adnan turut diajukan soalan lain termasuklah berkaitan politik dan hal ekonomi yang dipolitikkan seperti projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan. 


‘ANTI-LYNAS PROTEST IS NOT A LIFE AND DEATH ISSUE’

“Hakikatnya, buat masa ini, kita akan menang 13. Insya-Allah, yang satu lagi itu dalam keadaan 50-50 dan kalau kita lebih lagi mendekati rakyat, melipat gandakan usaha, memenangi hati seperti kata Perdana Menteri, Insya-Allah, kita akan mendapat 14,” katanya.

Pada persidangan media yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya tentang kemungkinan puak-puak anti projek pemprosesan logam tanah jarang oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd menghentikan penentangan mereka.

Jawabnya, beliau tidak percaya penentangan itu akan dihentikan dalam jangkamasa terdekat sementelah ia, yang bermula sebagai isu alam sekitar telahpun beralih kepada isu yang sengaja dipolitikkan.

“From what I can see, the protest I think, will continue because this is not a life and death issue. It is more a political issue. First, it is simply an environmental issue, then it becomes political issue,” katanya.

Tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan, “It is never an issue but since they want to create this as an issue, we can’t stop them. Let them go ahead. As far as the government is concerned, we will continue to give explanations to the people, with all the facts and figures. And, it is up to the people to decide (whether the project is safe or otherwise)”.

SUASANA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KEMBALI LAGI... Selepas dirasmikan serentak persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam Selasa, 27 November di PWTC ini, maka bersidanglah secara berasingan ketiga-tiga sayap UMNO ini pada Rabu, 28 November sepertimana yang turut diikuti oleh ahli-ahli Wanita UMNO menerusi layar besar di ruang legar PWTC ini. 

Jika inipun kelihatan meriah, tunggulah apabila Perhimpunan Agung UMNO ke-66 bermula, dengan perasmiannya bakal dilakukan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak pada pagi Khamis, 29 November. 
  

SAMBUT BAIK PAHANG PERINTIS PROGRAM FSU GOLONGAN B40

Mengenai majlis yang dihadirinya itu, beliau menyambut baik keputusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memilih negeri Pahang sebagai perintis kepada program FSU tersebut.

Menerusi MoU yang ditandatangani melibatkan kementeria tersebut dan Kerajaan Negeri serta Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDEC), RM6.1 juta akan disalurkan oleh KPWKM kepada agensi pelaksana – Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

PKNP pula – dengan sokongan syarikat berkemahiran lantikan KPWKM, akan perlu ‘turun padang’ bagi mengemaskinikan maklumat khususnya yang berkenaan dengan golongan dikenali Bottom-40 (B40), yang berpendapatan isi rumah di bawah RM2,300 sebulan.

Daipada maklumat-maklumat inilah pula maka bantuan akan disalurkan secara lebih berkesan dan menepati kehendak dan sasaran, yang dananya ialah daripada sumbangan pihak swasta sebagai melaksanakan amalan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) masing-masing.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Noriah Kasnon; Ketua Setiuasaha kementerian yang sama, Dato’ Dr Noorul Ainur Mohd Nur;

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC, Dato’ Mohd Badlisham Ghazali; serta, Ketua Eksekutif PKNP, Dato’ Lias Mohd Nor. – Khabar       


         

Tuesday, 27 November 2012

Langsailah 'hutang' PKNP lebih RM500 juta akibat krisis ekonomi dunia 1997/98


… dengan pembayaran ansuran (tranche) terakhir kepada pemilik-pemilik Bon Jaminan Kerajaan Negeri (SGGB) bernilai RM238 juta pada tarikh matang, 28 November 2012

SAYU, LEGA DAN RASA TERHORMAT... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan ucapan 31-minitnya yang menyusur-galurkan tentang hutang yang dibebani PKNP serta laluan untuk melangsaikannya. 

Yang turut kelihatan ialah Dato' Lias, yang sebelum itu telah menyampaikan ucapannya dalam nada yang sayu dan sebak, menggambarkan betapa perit tempoh yang disebutnya '10 tahun dalam era bon' yang telah dilalui. 
    

BALLROOM 2, HOTEL HYATT REGENCY, KUANTAN – Sayu, lega dan rasa terhormat!

Itulah perasaan yang dapat dikesan pada Majlis Penebusan Bon Jaminan Kerajaan Negeri (SGGB : State Government Guaranteed Bond) Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) (2002 – 2012) Tranche Terakhir pada pagi Selasa, 27 November di sini.

Yang dengan majlis ini, maka habis berbayarlah ‘hutang’ PKNP sebanyak RM511.9 juta yang dialaminya akibat krisis ekonomi dunia tahun-tahun 1997/1998, hingga ia (PKNP) turut terpalit sama.

Jumlah hutang ini juga adalah selepas ‘haircuts’ (potongan) serta penstrukturan semula, hasil kerjasama Jawatankuasa Penstrukturan semula Hutang Korporat (CDRC : Corporate Debt Restructuring Committee) – badan yang Kerajaan Persekutuan tubuhkan bagi membantu badan-badan korporat di negara ini untuk menyusun semula hutang-hutang yang mereka terbeban akibat krisis kewangan 1997/1998 itu.

“Untuk pengetahuan ramai,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media bagi majlis yang sama pagi Selasa itu, “… disebabkan krisis kewangan, krisis ekonomi yang melanda negara 1997, 1998, 1999, PKNP – agensi Kerajaan Negeri, juga terjejas dan akhirnya kita terpaksa mengambil banyak langkah termasuk menstruktur semula hutang PKNP.

TEBUSLAH SUDAH... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang menunjukkan sijil tiga ansuran (tranches) yang telah dilaksanakan pembayarannya. Yang turut kelihatan selain Dato' Lias ialah Tengku Jamil Iklil, Dato' Norzan dan Dato' Azizan (di belakang Dato' Lias). 


HARI YANG MEMBAWA ERTI BESAR KEPADA PKNP

“Selain daripada itu, kita membuat proses ‘consolidation’ (penyatuan/pengukuhan) termasuk juga membuat ‘assets-stripping’ (menyah/menjual harta, lalu PKNP memperolehi tunai) dan beberapa langkah korporat.

“Kesan daripada itu ialah, kita dapat menyelesaikan semua komitmen kita (terhadap pemberi-pemberi hutang) tetapi kita ber‘hutang’ melalui (penawaran) bon (SGGB) sebanyak RM511.9 juta,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi PKNP.  

Menurutnya, bon-bon berkenaan perlu ditebus atau pembayaran sebenar dilakukan kepada pemilik-pemilik bon berkenaan dalam tiga (3) ansuran (tranches) iaitu, ansuran partama bernilai RM119 juta pada tarikh matang 28 November 2007;

Ansuran kedua bernilai RM160 juta pada tarikh matang 26 November 2010; dan, ansuran ketiga dan yang terakhir bernilai RM238 juta ialah pada tarikh matang 28 November ini (2012).

“Maknanya, hari ini adalah satu hari yang membawa erti kepada PKNP kerana PKNP telah menyelesaikan hutang-piutangnya ekoran daripada krisis ekonomi yang melanda dunia, Malaysia dan juga terbabit, terpalit juga PKNP,” kata Dato’ Sr DiRaja Adnan lagi.

MESTI YANG AKAN DILAKUKAN, TIDAK MERUGIKAN

“Insya-Allah pada masa hadapan,” katanya, “PKNP akan dapat bergerak dengan lebih pantas dan lebih maju lagi,” sambil mengingatkan betapa, “Kita akan mengkaji secara terperinci setiap langkah korporat yang kita akan ambil.

“Dan kita akan pastikan segala yang kita lakukan, mestilah tidak merugikan bahkan akan menguntungkan PKNP dan secara tidak langsung nanti, Kerajaan Negeri”.

Sepanjang 13 tahun yang lepas katanya, keuntungan tahunan yang PKNP raih antara RM20 juta dan RM30 juta terpaksa disalurkan bagi membiayai pembayaran untuk ansuran-ansuran bon berkenaan.

Maka kini, tidak lagi lalu beliau menyatakan kebanggaannya sementelah ketika mula-mula menjadi Pengerusi PKNP – pada 1999, sama tahun dengan pelantikannya sebagai Menteri Besar; matlamatnya ialah untuk menjayakan perbadanan tersebut termasuk menyelesaikan masalah hutangnya.

“Mungkin (ada) orang kata, apa bangganya menyelesaikan hutang? Menyelesaikan hutang ini daripada segi Islam (adalah) wajib. Itu sebab kita selalu berdoa, doa lazim yang kita baca, kita minta Allah Ta‘ala lepaskan kita daripada beban hutang.

LANGSAIKAN HUTANG ADALAH SESUATU YANG ‘HONOURABLE’

“Dan, melangsaikan hutang ini sesuatu yang ‘honourable’. Suatu yang terhormat. Sebab, ramai orang tidak suka bayar hutang. Bagi sesetengah syarikat, ada yang ambil langkah lebih baik dia ‘gulung tikar’ daripada menyelesaikan hutang.

“Tapi kita tidak. Kita hadapi hutang ini dan kita selesaikan hutang dengan kemampuan yang ada pada diri kita,” tegasnya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah banyak membantu, khususnya Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang juga Menteri Kewangan.

Begitulah juga kepada Pengerusi PKNP yang terdahulu seperti Dato’ Sri Mohd Najib sendiri dan Tun Mohd Khalil Yaakob, serta Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. “Yang lain telahpun meninggal dunia, kita berdoa semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang-orang beriman dan bertaqwa,” katanya.

Kepada soalan wartawan sama ada kini, Kerajaan Negeri perlu mengeluarkan garis panduan khusus bagi mengelak agensi-agensi Kerajaan Negeri termasuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terjebak dengan hutang yang besar, beliau menjawabnya tidak.    

MESTI ADA ‘FLEXIBILITY’ DAN ‘LEEWAY’

“Kalau adapun garis panduan itu ianya mungkin tidak boleh dipakai untuk sesetengah bentuk pelaburan yang akan datang. Contohnya, kita banyak menerima sekarang ini cadangan dari Negara China.

“Kalau kita adakan garis panduan yang terlampau ketat, mungkin tidak ada pelaburan yang akan datang ke negeri Pahang. Mungkin tidak akan ada pihak yang akan datang berjumpa PKNP untuk melabur bersama.

“Mesti ada sedikit-sebanyak ‘flexibility’ (keanjalan) ataupun ‘leeway’ (kebebasan) tetapi jangan sampai kita (PKNP) hilang pertimbangan sampai kita tidak nampak mana pelaburan yang boleh menguntungkan, mana pelaburan yang boleh merugikan,” katanya.

Yang perlu dipastikan katanya ialah, pelaburan yang ingin disertai mesti nyata dan konkrit (kukuh); produk yang dihasilkan mestilah ada permintaan di pasaran; dan, pemilikan ekuiti yang sewajarnya dalam pelaburan bersama tersebut.

“Kalau misalannya kita mempunyai tanah, ada pelabur datang untuk bekerjasama dengan kita. Kalau kita ada tanah, kita perlu keluarkan tanah, (tetapi) kita (masih) perlu keluar tunai untuk mendapat ekuiti; yang ini satu perkara yang tidak bijak.

WAKIL CIMB TRUSTEE TURUT HADIR

“Sebagaimana orang lain buat, biasanya kita ‘capitalised’ tanah tersebut, (menjadikan tanah berkenaan) sebagai  modal kita dalam ekuiti dalam syarikat. Contohlah,” kata Menteri Besar itu lagi.

Selain tuanrumah, Ketua Eksekutif PKNP, Dato’ Lias Mohd Nor dan Timbalannya, Dato’ Rahim Ali; yang turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Norzan Ahmad; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Azizan Ahmad; dan, wakil CIMB Trustee, Tengku Jamil Iklil Tengku Hussain; serta, kakitangan atasan dan menengah PKNP. – Khabar   

Saturday, 24 November 2012

Tahniah Polis Pahang!!!


… ekoran kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah berat, lalu beri keyakinan rakyat terhadap kecekapannya – Menteri Besar

TEMUI MEDIA... Dengan di sebelah kanannya, Encik Mohd Sukarno, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bercakap pada persidangan media bagi mengulas lanjut ucapan perasmiannya.


DATARAN PELANGAI, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengucapkan tahniah kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang, atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah berat di negeri ini.

Yang ekoran itu, telah memberi keyakinan kepada rakyat tentang kecekapan pasukan keselamatan tersebut.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada Polis DiRaja Malaysia Kontnjen Pahang yang diketuai oleh Ketua Polis Negeri, Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani, kerana dapat menyelesaikan kes-kes ini.

“Saya tahu sendiri iatu kes-kes ini dapat diselesaikan kerana adanya perhatian berat, perhatian peribadi, secara serius daripada Ketua Polis Negeri sendiri. Beliau bertindak mengendalikan kaedah-kaedah untuk menangani masalah atau menyelesaikan kes-kes ini.

“Dan boleh dikatakan semua kes-kes dapat diselesaikan. Ini memberi keyakinan  kepada orangramai bahawa Polis DiRaja Malaysia, insyaAllah, cekap. Dan mereka tidak lagi ketakutan,” katanya.

HADIRIN DAN HADIRAT, DALAM KALANGAN PELBAGAI KAUM... Inilah sebahagian daripada penduduk Pelangai, yang turun beramai-ramai bagi turut menjayakan program petang Jumaat itu. Apatah pula yang hadir ialah wakil rakyat kesayangan mereka, yang juga Menteri Besar yang terkenal dengan amalan mesra-rakyatnya. 


BERJAYA IALAH JUGA DENGAN KERJASAMA ORANGRAMAI

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian pada persidangan media ketika diminta mengulas perkara yang sama yang turut disentuh dalam ucapan ringkas lapan (8) minitnya merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) DUN Pelangai ‘Bersama MB Kita@Pelangai’ pada petang Jumaat, 23 November di sini.

“Di Bentong sebagai contoh,” katanya, “Pada kes yang ke-13, orang yang disyaki itu dapat ditangkap. Saya percaya orang Bentong sekarang boleh tidur dengan lenalah, tapi pada ketika yang sama, berjaga-jagalah.”  

Sambil turut menjuruskan kepada kerjasama yang orangramai berikan, Dato’ Sri DiRaja Adnan menegaskan betapa dengan keprihatinan anggota-anggota polis terlibatlah yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.

“Kes yang terakhir saya dapat tahu, kerana polis yang tidak bertugas, prihatin. Kerana keprihatinan beberapa anggota polis yang tidak bertugas itu telah berjaya membolehkan pihak Polis DiRaja Malaysia dari IPD Bentong, menangkap penjenayah berkenaan,” katanya.

Menurut laporan berita yang mengutip Ketua Polis Daerah Bentong ketika itu, Supt Abdul Aziz Salleh sebagai berkata, polis berjaya menahan lelaki berusia 42 tahun yang berasal dari Tambunan, Sabah pada 14 November lepas.

'NYONYA PLANGAI-STYLE'... Yang lebih menarik tentang persembahan ini ialah, mereka yang terlibat dalam kalangan yang agak berusia (mungkin 30-an dan 40-an) namun tetap ligat dan bersahaja menari menurut rentak lagu kegilaan seantero dunia ketika ini, nyanyian penyanyi Korea Selatan, Psy - 'Oppa Gangnam-Style'.   


LEBIH 150 PERWAKILAN PAHANG KE PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

Hasil siasatan ke atas suspek kata Supt Abdul Aziz, polis berjaya menemui beberapa bukti tentang pembabitannya dalam 13 kes yang melibatkan jenayah rogol, bunuh dan samun.

Menurutnya, suspek yang ditahan reman sehingga 27 November, dipercayai terbabit antara lainnya dalam enam (6) kes rogol dan empat (4) kes bunuh melibatkan lima (5) kematian, yang berlaku antara bulan Mac 2009 dan 14 November lepas.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, turut ditanya mengenai persiapan badan perhubungan itu untuk menyertai Perhimpunan Agung UMNO 2012 antara 29 November dan 1 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Selain kira-kira 154 perwakilan daripada 14 Bahagian UMNO seluruh negeri ini akan menyertai perhimpunan agung selama tiga (3) hari itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri katanya, telah melantik tiga (3) jurucakap bagi turut membahaskan usul terima kasih atas ucapan Presiden, usul ugama dan pendidikan, serta, usul ekonomi.

(NOTA : Jurucakap bagi membahaskan usul terima kasih atas ucapan Presiden ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga wakil rakyat (BN - Bukit Ibam), Dato’ Mohd Sahfri Ab.Aiziz; jurucakap bagi usul ugama dan pendidikan ialah wakil rakyat (BN – Kerdau), Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan, jurucakap bagi usul ekonomi ialah wakil rakyat (BN – Kuala Sentul), Dato’ Shahaniza Shamsuddin).  

MASJID SULTAN HAJI AHMAD SHAH, PELANGAI... Inilah ruang dalam yang kemas lagi menyahdukan, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Simpang Pelangai yang sering menjadi singgahan mereka yang ada urusan di kawasan ini. 

Yang turut membanggakan mengenai masjid ini ialah, tandasnya - sungguhpun ada satu-dua yang terkopak pintunya, tetapi tetap bersih dan menyelesakan. Tahniah juga kepada seluruh kariah khususnya para jawatankuasanya. 


JANGAN ‘RHETORIC’, JANGAN SUSAHKAN PIMPINAN PARTI

“Saya telah berpesan kepada semua jurucakap yang saya telah pilih, secara kebetulannya kesemuanya ialah wakil-wakil rakyat; supaya mereka bercakap dengan penuh pengetahuan, buat ‘research’,  kajian.

“Dan dalam perhimpunan agung ini, kita bukan mahu ‘rhetoric’, kita bukan mahu lawak-jenaka menarik perhatian orang – siapa yang boleh menarik perhatian mungkin dengan diselitkan lawak-jenaka, itu kebolehan masing-masing. Tapi kalau boleh Pahang ini, bercakap dengan penuh isi dan tidak menyinggung sesiapa,” katanya.

“Cakap dengan terus-terang dan jangan menyusahkan kepimpinan parti,” Dato’ Sri DiRaja Adnan mengingatkan. “Kalau ada isu-isu kontroversi timbul esok, menyusahkan kepimpinan parti… ini kita tidak mahu timbul,” tegasnya.

Mengenai PMS DUN Pelangai, katanya yang juga wakil rakyat (BN – Pelangai) kawasan ini, program anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini boleh mengeratkan silaturrahim antara sesama rakyat, meningkatkan semangat cintakan seni budaya pelbagai bangsa, serta mampu menyemarakkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.

Selain itu katanya, penganjuran program sebegini dapat turut menjana kegiatan ekonomi setempat.

PROGRAM SENI BUDAYA JUGA BOLEH JANA EKONOMI

“Apabila katalah sebagai contohnya pertandingan gasing diadakan. Mesti ada jersi, mesti ada ‘track-suit’, mesti ada kasut, mesti ada tali gasing, gasing; yang ini semua boleh menjana kegiatan ekonomi.

“Kita bukan pula memandang setiap benda itu daripada sudut duit sahaja tetapi hakikatnya memang, segala kegiatan ini boleh mewujudkan peluang-peluang ekonomi sedikit-sebanyak.

“Jadi kita dapat merakyatkan seni – rakyat tahu apa dia seni budaya masing-masing. Mengeratkan perpaduan, kemudian itu menyemaikan nilai-nilai murni dan tak kurang pentingnya ialah boleh mewujudkan peluang ekonomi,” katanya.

Antara yang turut hadir pada program petang Jumaat itu ialah Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; Ketua Polis Daerah Bentong yang baharu, Supt Mansor; dan penganjur, Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Encik Mohd Sukarno Abdul Wahab. – Khabar






Thursday, 22 November 2012

Carilah persamaan daripada menyumpah-seranah, kata-mengata, caci-mencaci, atau maki-hamun sesama Islam, gesa Menteri Besar


sambil menegaskan betapa Nabi Muhamad SAW tidak pernah menyumpah-seranah apatah lagi mendoakan pihak lain ditimpa musibah

BERSAMA-SAMA DEMI PERPADUAN ISLAM... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang berada di atas pentas bagi memenuhi permintaan para 'bikers' IMQ untuk bergambar bersama-sama. Di sebelah kanannya ialah Dato' Che Mat. 


DATARAN SRI KETUMBIT, KERDAU, TEMERLOH – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menggesa umat Islam agar melebihkan usaha mencari persamaan sesama mereka daripada terbabit dalam gejala menyumpah-seranah, kata-mengata, caci-mencaci atau maki-hamun;

Apatah lagi mendoakan saudara sesama Islam mereka sendiri supaya ditimpa musibah atau kehancuran.   

“Itu sebab kita, sesama kita (umat Islam di negara dan negeri) ini kurangkan sumpah-seranah, kata-mengata, caci-mencaci, maki-hamun… Elok kita cari persamaan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Beliau berkata demikian pada persidangan media semasa hadir pada Program Rehlah Dakwah dan Ramah Mesra Kampung Tradisi Mukim Kerdau pada tengah hari Khamis, 22 November di sini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Perhubungan UMNO Negeri antara lain diminta mengulas mengenai gelagat parti pembangkang PAS memohon doa agar UMNO dihancurkan pada satu perhimpunan mereka di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

KEUTUHAN DAN KEKUATAN UMNO YANG HENDAK DIHANCURKAN?... Ini merupakan suasana melambangkan keutuhan dan kekuatan UMNO. Foto ini merakamkan detik sebelum Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak menyampaikan Ucapan Presidennya pada hari pertama Perhimpunan Agung UMNO ke-62 pada 1 Disember tahun lepas (2011).  


TAK PATUT DOA TIDAK BAIK KE ATAS SESAMA ISLAM

“Kita tidak sepatutnya mendoakan saudara-saudara Islam kita sesuatu yang tidak baik. Kita boleh sebut apa yang dilakukan oleh Nabi-nabi lain, Rasul-rasul lain yang kita tahu dalam Quran sebagainya.

“Tapi, ikutan kita yang paling sempurna ialah Rasulullah, Nabi Muhamad SAW. Rasulullah tidak pernah mendoakan seseorang tu ditimpa musibah ataupun menyumpah-seranah. Itu yang penting,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Menurutnya, pihak pembangkang ada yang cuba merasionalkan doa agar UMNO dihancurkan itu dengan memberikan contoh bagaimana Nabi Musa A.S turut melakukan perkara yang sama terhadap penentangnya. 
“Nabi Musa cerita lain. Kalau kita kira (daripada aspek) kekananan, kehebatan; Rasulullah lebih hebat daripada Nabi Musa. Kerana Rasulullah Nabi Muhamad SAW, ialah penghulu segala Rasul, ‘Qatimul Ambiya’. Penutup segala Nabi-nabi.

“Maknanya, kita ikut Rasulullah. Nabi-nabi lain kita tengok, (ambil) contoh-teladan. Tapi, ikutan kita untuk perkara-perkara kehidupan, amal ibadat… yang paling baik ialah (meneladani) Nabi Muhamad SAW,” katanya lagi.

MENDOAKAN KEPADA YANG TIDAK BAIK... Inilah foto yang dipaparkan secara meluas dalam media-massa tempatan ekoran doa oleh puak-puak pembangkang agar UMNO dan BN dihancurkan. Wajarkah?


NABI MUHAMAD LEBIH UTAMAKAN UMATNYA

Beliau seterusnya mengisahkan betapa mulianya Baginda Rasulullah yang amat mengambil berat terhadap umat Islam sehinggakan ketika saat-saat menghadapi kewafatanpun, Baginda masih memikirkan tentangnya.

“Yang saya tahu daripada guru-guru, tok guru-tok guru, ulama-ulama; ada menceritakan pada saat Rasulullah menghadapi kewafatanpun, Rasulullah meleleh air mata. Bila ditanya kenapa? Baginda mengenangkan umat. 

“Rasulullah tak kira fasal Baginda. Tak kira fasal keluarga Baginda. Baginda kirakan fasal umat Baginda. Baginda Rasullullah tahu dah, wafat sahaja Rasulullah, ha siap… Ha itu macam-macam berlaku, (sejak) zaman Khulafa-U-Rasyidin, sampai zaman sekarang.

“(Pada zaman keagungan) Islam (ia) boleh memerintah (sehingga meliputi keluasan) tiga suku dunia. Akhirnya tinggal berapa sekarang?” tempelak Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam nada kesal.

Menurutnya lagi, jika PAS boleh berdoa agar UMNO dihancurkan, begitulah juga yang boleh dilakukan oleh UMNO terhadap PAS yang kesannya kelak tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada politik Melayu-Islam di negara ini.

JIKA HANCUR, DI MANA LAGI WADAH POLITIK UMAT ISLAM?

“Dia (PAS) minta UMNO hancur. Kalau dia (PAS) minta UMNO hancur, kita (UMNO) boleh juga doa minta PAS hancur. Jadi, kalau dah PAS hancur, UMNO hancur, manalah wadah politik orang Islam?

“Kita tak nak doakan PAS supaya hancur sebab takut kalau PAS hancur, UMNO hancur, mana orang Melayu nak mengadu daripada segi politik?” persoalan-persoalan yang Dato’ Sri DiRaja Adnan ajukan.

Menteri Besar turut ditanyakan tentang kemungkinan puak-puak pembangkang memerintah negara khususnya dengan kebarangkalian DAP menuntut untuk bertanding lebih banyak kerusi parlimen di seluruh negara.

“Saya dapat tahu DAP telah ‘demand’, tuntut untuk bertanding 90 kerusi. Untuk memerintah, kita perlu 120 kerusi. Maknanya, kalau dia menang macam Barisan menang sekarang; dia 90, orang lain 30 - 40 sahaja, siapa (akan) ‘control’?

“Mesti 90 ‘control’… Jadi macam Peraklah. (Dato’ Sri) Nizar jadi Menteri Besar tapi yang menguasai dia, Ngeh (Koo Kam) dan Nga (Kor Ming, kedua-duanya dari DAP),” katanya lagi.

BANYAK AKTIVITI DAKWAH DIANJURKAN

Selain tuanrumah, Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN – Kerdau), antara yang turut hadir pada program anjuran bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Yayasan Taqwanya, dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ialah;
  
Wakil rakyat, Dato’ Mohamad Jaafar (BN – Jenderak), serta Pengarah JAWI, Dato’ Che Mat Che Ali yang juga Setiausaha MAIWP. Yang turut memeriahkan ialah kehadiran lebih 40 penunggang motorskal berkuasa tinggi yang dalam kalangan Imam Muda Qariah (IMQ) di bawah kelolaan JAWI.

Antara program yang dianjurkan selama tiga (3) hari ini ialah ceramah pemurniaan jiwa di lima (5) masjid dan sebuah (1) surau dalam mukim Kerdau ini; solat berjemaah disusuli kuliah/tazkirah Subuh; gotong-royong membersihkan tanah perkuburan di tiga (3) kampong; jejak asnaf dan ziarah dakwah; kursus pengurusan jenazah; sukaneka rakyat, serta forum perdana. – Khabar



Saturday, 17 November 2012

Menenangkan


… inilah ungkapan tepat bagi membayangkan suasana pagi di Teluk Tongkang dan Taman Gelora, Kuantan   

PANTAI TELUK TONGKANG... Bangunan yang kelihatan di hujung sana ialah Hotel Hyatt Regency. Yang membolehkan seseorang ke bahagian sini pantai ialah 'boardwalk' sepanjang kira-kira 300 meter menyambungkan pantai ini dengan pantai yang lebih ternama di sebelah sana, Teluk Chempedak. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Apakah lagi perkataan yang boleh diungkapkan tentang perasaan ketika berada pada awal pagi di pantai Teluk Tongkang dan Taman Gelora dekat sini, melainkan ketenangan.

Jika ketenangan dapat dikecapi di Teluk Tongkang dek kerana luas pantainya yang melandai lagi bersih, air jernih daripada terjahan ombaknya yang ‘membelai-belai’ serta berlatar-belakangkan bukit menghijau;

Ketenangan di Taman Gelora (disebalik namanya, berGelora) pula ialah daripada keteduhan yang dimungkinkan oleh pohon-pohon rhunya yang tinggi dan menghijau, dengan tasik meminggirinya ke sebelah darat dan Laut China Selatan ke sebelah laut.

Semoga ketenangan ini dapat terus dikecapi untuk masa-masa mendatang, dengan kita bersama-sama pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), bekerjasama bagi memastikannya, Insya-Allah. 

MENDAMAIKAN... Dengan kebersihan air dan pantainya, sudah pasti ia akan terus menggamit kehadiran pengunjung. 

'FEATURE' TERBAHARU... Ini merupakan bangunan surau di Teluk Chempedak yang dibina semula serta ditambah-luaskan oleh MPK untuk kemudahan beribadah bagi pengunjung ke pantai tersebut serta ke pantai Teluk Tongkang bersebelahan.   

HILANGLAH GELORA DI JIWA... Inilah suasana yang mendamai dan menenangkan yang terdapat di Taman Gelora.   

'A BRISK-WALKER, DOING HIS BRISK-WALKING'... Bagi seorang 'brisk-walker', masa yang diambil untuk berjalan-santai mengelilingi taman ini untuk satu pusingan ialah kira-kira 15-minit yang bagi seorang 'jogger' masanya ialah separuh daripadanya.

Apapun, dengan hanya berjalan/berlari menerusi laluan di celah-celah pohon-pohon rhu ini telah mendatangkan ketenangan dan kedamaian di dalam jiwa (campur dapat menyihatkan tubuh-badan)– Khabar 

Wednesday, 14 November 2012

SEMPENA 1 MUHARRAM 1434 HIJRAH @ MAGHRIB, RABU, 14 NOVEMBER 2012... Bersempena dengannya, majlis membacakan doa akhir tahun 1433 Hijrah dan awal tahun 1434 Hijrah telah diadakan pada petang Rabu, 14 November di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan. 

Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob turut menghadiri, begitulah juga dengan kenamaan lain seperti Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Sahfri Ab. Aziz. 

Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato' Abdul Rahman Osman telah bertindak selaku pembaca doa akhir tahun sebelum masuk waktu Maghrib, dan doa awal tahun pada selepasnya dengan solat tiga rakaat tersebut diimamkan oleh Imam 1, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Encik Mohd Khalil Mohd Zari.


 - Khabar 

     

Monday, 12 November 2012

Bahana ke atas peneroka jual dan pajak hakmilik tanah!!!


… hingga ada yang hidup susah, tinggal di bawah jambatan di Kuala Lumpur. Maka, Menteri Besar tidak jemu-jemu nasihat agar peneroka tidak menjual atau memajak hakmilik tanah yang telah mereka perolehi.

PERSIDANGAN MEDIA DI TEMENTI... Dato' Sri Diraja Adnan diminta mengulas lanjut kepada ucapan luar teks 37-minitnya pada persidangan media ini. Yang turut diminta ulas ialah mengenai isu-isu semasa berkaitan Felda serta politik yang dijawabnya secara positif. 


BALAIRAYA, RANCANGAN TANAH FELDA TEMENTI, BERA – Sambil mengingatkan para peneroka rancangan tanah Felda supaya bersyukur serta mengenang jasa bekas perdana menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang memperkenalkan rancangan pembangunan tanah ini;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut mengingatkan mereka supaya tidak mudah-mudah menjual atau memajak tanah-tanah yang telah mereka terima suratan hakmilik, setelah selesai membuat segala pembayaran yang diperlukan.

Menjual atau memajak tanah-tanah tersebut katanya, hanya akan menyebabkan para peneroka berkemungkinan mengalami kesusahan serta kesukaran hidup harian pada masa depan.

“Dengan adanya Felda, kita sekurang-kurangnya ada tanah. Maka, jangan jual (selepas menerima hakmilik tanah),” katanya dalam ucapan luar teks 37-minit pada majlis penyampaian suratan hakmilik tanah kepada 86 peneroka peringkat kedua, tengah hari Isnin, 12 November di rancangan tanah Felda ini .

Beliau seterusnya menceritakan apa yang telah dimaklumkan kepadanya oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, mengenai nasib malang lebih 200 orang yang hidup dalam gelandangan di Kuala Lumpur, yang ada antaranya merupakan golongan peneroka.

JUAL TANAH, DUDUK BAWAH JAMBATAN

Puncanya, ekoran peneroka berkenaan telah menjual tanah-tanah Felda yang diberikan suratan hakmilik, lalu terpaksa ke ibunegara mencari pekerjaan yang termampu, untuk meneruskan kehidupan.

“Saya dapat tahu, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini beritahu saya, ada dibanci lebih-kurang 200 orang yang tidak ada rumah, duduk di bawah jambatan, di bawah terowong, di Kuala Lumpur.

“Bila pergi siasat, ada diantara mereka ini ialah peneroka Felda. Kerja jadi jaga, tak mampu sewa rumah, dia tidur bawah jambatan sahaja. Kain-selimut, tikar-bantal, dia boleh lipat, boleh semua tu. Mandi di masjid. 200 lebih.

“Perdana Menteri Dato’ Sr Mohd Najib Tun Abdul Razak beritahu, dan (sungguhpun begitu) beliau akan mencari jalan untuk membantu golongan ini,” katanya.

“Kalau kita siasat balik,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan; “Tak patutnya peneroka Felda tu dalam keadaan sekarang, duduk di Kuala Lumpur. Kita tengok balik, dia duduk di Kuala Lumpur, tak ada rumah, tak ada apa, kerja jadi jaga, (dapat gaji) RM1,000, RM800 sebulan; latar belakangnya apa? Semuanya menjual tanah!”

YANG LAIN BERTAMBAH TAPI TANAH BERKURANGAN

Ada juga peneroka menurutnya, yang memajak suratan hakimilik tanah mereka demi mendapakan punca kewangan bagi kononnya menampung pelbagai keperluan termasuklah untuk membiayai pendidikan tinggi anak-anak.  

“Saya ingat nak tolonglah (dengan membuat bayaran tertentu bagi menebus kembali tanah yang telah dipajak). Rupanya bukan sekali pajak, (tetapi) tiga (3) kali pajak. Makna lepas mati esok, dah pajak dah, dah pajak dah (tanah yang ditinggalkan masih dalam tempoh pajakan),” katanya.  

Pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri DiRaja Adnan diminta mengulas lanjut mengenai perkara yang sama, yang sering diulang-sarankan pada setiap kali beliau berada pada majlis penyampaian suratan hakmilik di negeri ini.

“Kerana kita harus ingat, harta kekayaan lain boleh bertambah, boleh berkurang. Tetapi tanah, ia tidak akan bertambah. Menjadi kurang ada… Oleh sebab itu, sayangilah harta terutama tanah dikurniakan oleh Kerajaan, dan jangan sekali-kali dijual.

“Sekurang-kurangnya anak-cucu pada masa akan datang, ada tempat mereka bertapak. Kalau dijual langsung, apabila kita tiada lagi, anak-cucu juga akan hadapi kesukaran menguruskan kehidupan,” katanya lagi.

PINDAH MILIK ANAK-BERANAK, ADIK-BERADIK BOLEH

Dalam pada itu beliau mengingatkan betapa pemindahan hakmilik tanah-tanah berkenaan tidak lagi dibenarkan oleh Menteri Besar bagi pihak ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan Kerajaan Negeri, kecuali kepada yang mempunyai hubungan waris ‘qodib’ atau rapat.

“Maknanya, (pemindahan hakmilik kepada) adik-beradik, anak-beranak, boleh. Tapi setakat kawan, sahabat-handai, minta maaf. Kalau untuk cagar (suratan hakmilik tersebut) ke bank, kita tengok juga kertas kerja. Kita tengok ‘projection’ kertas kerja.

“Kalau munasabah, kita akan luluskan untuk cagaran. Tapi tak banyak. Yang pindah-milik sama anak-beranak, ramai. Tapi untuk kebenaran mencagar tak ramai.

“Yang terlepas daripada peneroka Felda ke bukan waris, ada terlepas (atas) sebab-sebab tertentu. Contoh, terbukti berhutang. Ada satu kes kita luluskan. Dia berhutang, ambil duit orang (hingga perlu jual tanah berkenaan untuk langsaikan hutang),” katanya lagi.

Dalam ucapan luar teksnya itu juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengulangi saranan dan pesanan yang acapkali diluahkannya, agar rakyat termasuk para peneroka, tidak terpengaruh dengan gesaan oleh pembangkang untuk menukarkan Kerajaan.

YANG MENGGANTI TAK AKAN SEBAIK YANG DIGANTI

“Ada orang kata, ‘Ohh… cukuplah lima (5) tahun, (maka perlu) tukar (Kerajaan, daripada yang ditunjangi oleh Barisan Nasional dengan yang lain). Jangan... Bukan senang menukar ni,” tegasnya.

Beliau lalu memberikan analogi menarik mengenainya, yang sungguhpun penuh kelucuan tetapi menepati maksud yang hendak disampaikan tentang betapa yang diganti tetap lebih baik daripada yang mengganti.   

“Perhatilah keadaan… Yang mengganti, jarang lebih elok daripada yang kena ganti. Tamsillah kepada yang lain-lain. Mati laki (suami), tukar (kepada suami) yang lain. Boleh (pula) cakap dengan jiran-jiran, anak-anak saudara ‘Oh… Tak adalah laki baru Mak Long’. ‘Ha, ngapa?’ ‘Tak serupa Pak Long awak dulu’,” yang disambut gelak ketawa oleh para hadirin.

“Mati pula bini (isteri), cari pula bini (isteri) baru,” Dato’ Sri DiRaja Adnan meneruskan tamsilannya. “‘Macam mana Bang, bini baru?’ ‘Emmm, tak lawan kakak awak dululah…’”, yang menyebabkan hadirin tertawa lagi.  

“Ini betul ni. Saya, masa saya kecil-kecil main bola, 12, 13 tahun. Kita hormat orang tua. Nampak nenek saya turun dari bas, dia nak balik melintas padang, saya pergi ‘Ha, datang mana Wan?’. ‘Datang Bentong’.

JANGAN TUKAR-TUKAR TAK TENTU ARAH

“‘Wan, Wan baru ni kahwinkan?’ ‘Ha yalah. Kenapa pula awak nak tahu?’, dia macam marah-marah sukalah, dia kahwin. ‘Macam mana Aki baru Wan?’ ‘Huh! Panaskan badan bolehlah…’,” yang disambut ketawa lebih besar oleh hadirin sekelian.

“Begitu jugalah, esok (menjelang pilihanraya umum nanti),” kata Dato’ Sr DiRaja Adnan, “(Jika) undi pembangkang, pembangkang jadi Kerajaan baharu kita menyesal. ‘Oh, Barisan juga bagus…’ Kita ni… JKKK, wakil rakyat, kerja kita menjaga kawasan.

“Ingat ya. Benda yang mengganti tak sama dengan yang diganti. Janganlah tukar-tukar tak tentu arah. Benda lain boleh, boleh cuba. Yang ini (mengenai cubaan menukarkan Kerajaan) jangan cuba-cuba,” tegas Menteri Besar itu lagi.      

Antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Isnin itu ialah wakil-wakil rakyat , Encik Fadil Osman (BN – Kamayan) dan Enck Norol Azali Sulaiman (BN – Guai), serta Pegawai Daerah, Dato’ A.Rahman Hamzah;

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Azizan Omar; Pengurus Besar, Felda Wilayah Mempaga, Encik Jahya Janal; dan tuanrumah, Pengerusi, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Tementi, Encik Ahmad Wok.

Pada majlis yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan meluluskan perutukan RM5,000 bagi maksud tempahan  pakaian seragam untuk anggota-anggota kumpulan dikir barat yang telah membuat persembahan mereka pada awal majlis tersebut. – Khabar



“Saya ucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut ugama Hindu.

“Oleh sebab perayaan Deepavali ini merupakan satu kepercayaan iaitu perbuatan baik mengatasi perbuatan jahat, maka kita berharap semua orang India berugama Hindu akan menghayatinya supaya mereka semua akan terus mempamerkan dan menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk faedah masyarakat 1Malaysia di Malaysia ini.

“Kita percaya masyarakat lain juga akan – bukan merayakan secara ugama, mungkin mengambil peluang untuk berjumpa dengan kawan kita (dalam kalangan) orang India yang berugama Hindu,” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Deepavali atau Pesta Cahaya akan disambut pada Selasa, 13 November, yang turut diisytiharkan sebagai cuti umum di negara dan negeri ini.

Perkataan Deepavali terbentuk daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘Dipa’ yang bermaksud cahaya, dan ‘Gavali’, bermaksud satu barisan. Sebarisan Cahaya. Memandangkan cahaya menyahkan kegelapan, perayaan Deepavali melambangkan kemenangan pihak yang baik ke atas yang jahat. 

RAIKAN DEEPAVALI DI TELEMONG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang berucap pada majlis Deepavali yang diadakan di Telemong pada petang Jumaat, 9 November atau awal empat (4) hari daripada hari perayaan sebenar. 

KEHADIRAN BERAMAI-RAMAI... Pada petang Jumaat itu, sempena meraikan Hari Deepavali dengan tetamu utama ialah wakil rakyat (BN - Pelangai) mereka sendiri yang juga ialah Menteri Besar. – Khabar