Saturday 24 November 2012

Tahniah Polis Pahang!!!


… ekoran kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah berat, lalu beri keyakinan rakyat terhadap kecekapannya – Menteri Besar

TEMUI MEDIA... Dengan di sebelah kanannya, Encik Mohd Sukarno, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bercakap pada persidangan media bagi mengulas lanjut ucapan perasmiannya.


DATARAN PELANGAI, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengucapkan tahniah kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang, atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah berat di negeri ini.

Yang ekoran itu, telah memberi keyakinan kepada rakyat tentang kecekapan pasukan keselamatan tersebut.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada Polis DiRaja Malaysia Kontnjen Pahang yang diketuai oleh Ketua Polis Negeri, Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani, kerana dapat menyelesaikan kes-kes ini.

“Saya tahu sendiri iatu kes-kes ini dapat diselesaikan kerana adanya perhatian berat, perhatian peribadi, secara serius daripada Ketua Polis Negeri sendiri. Beliau bertindak mengendalikan kaedah-kaedah untuk menangani masalah atau menyelesaikan kes-kes ini.

“Dan boleh dikatakan semua kes-kes dapat diselesaikan. Ini memberi keyakinan  kepada orangramai bahawa Polis DiRaja Malaysia, insyaAllah, cekap. Dan mereka tidak lagi ketakutan,” katanya.

HADIRIN DAN HADIRAT, DALAM KALANGAN PELBAGAI KAUM... Inilah sebahagian daripada penduduk Pelangai, yang turun beramai-ramai bagi turut menjayakan program petang Jumaat itu. Apatah pula yang hadir ialah wakil rakyat kesayangan mereka, yang juga Menteri Besar yang terkenal dengan amalan mesra-rakyatnya. 


BERJAYA IALAH JUGA DENGAN KERJASAMA ORANGRAMAI

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian pada persidangan media ketika diminta mengulas perkara yang sama yang turut disentuh dalam ucapan ringkas lapan (8) minitnya merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) DUN Pelangai ‘Bersama MB Kita@Pelangai’ pada petang Jumaat, 23 November di sini.

“Di Bentong sebagai contoh,” katanya, “Pada kes yang ke-13, orang yang disyaki itu dapat ditangkap. Saya percaya orang Bentong sekarang boleh tidur dengan lenalah, tapi pada ketika yang sama, berjaga-jagalah.”  

Sambil turut menjuruskan kepada kerjasama yang orangramai berikan, Dato’ Sri DiRaja Adnan menegaskan betapa dengan keprihatinan anggota-anggota polis terlibatlah yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.

“Kes yang terakhir saya dapat tahu, kerana polis yang tidak bertugas, prihatin. Kerana keprihatinan beberapa anggota polis yang tidak bertugas itu telah berjaya membolehkan pihak Polis DiRaja Malaysia dari IPD Bentong, menangkap penjenayah berkenaan,” katanya.

Menurut laporan berita yang mengutip Ketua Polis Daerah Bentong ketika itu, Supt Abdul Aziz Salleh sebagai berkata, polis berjaya menahan lelaki berusia 42 tahun yang berasal dari Tambunan, Sabah pada 14 November lepas.

'NYONYA PLANGAI-STYLE'... Yang lebih menarik tentang persembahan ini ialah, mereka yang terlibat dalam kalangan yang agak berusia (mungkin 30-an dan 40-an) namun tetap ligat dan bersahaja menari menurut rentak lagu kegilaan seantero dunia ketika ini, nyanyian penyanyi Korea Selatan, Psy - 'Oppa Gangnam-Style'.   


LEBIH 150 PERWAKILAN PAHANG KE PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

Hasil siasatan ke atas suspek kata Supt Abdul Aziz, polis berjaya menemui beberapa bukti tentang pembabitannya dalam 13 kes yang melibatkan jenayah rogol, bunuh dan samun.

Menurutnya, suspek yang ditahan reman sehingga 27 November, dipercayai terbabit antara lainnya dalam enam (6) kes rogol dan empat (4) kes bunuh melibatkan lima (5) kematian, yang berlaku antara bulan Mac 2009 dan 14 November lepas.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, turut ditanya mengenai persiapan badan perhubungan itu untuk menyertai Perhimpunan Agung UMNO 2012 antara 29 November dan 1 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Selain kira-kira 154 perwakilan daripada 14 Bahagian UMNO seluruh negeri ini akan menyertai perhimpunan agung selama tiga (3) hari itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri katanya, telah melantik tiga (3) jurucakap bagi turut membahaskan usul terima kasih atas ucapan Presiden, usul ugama dan pendidikan, serta, usul ekonomi.

(NOTA : Jurucakap bagi membahaskan usul terima kasih atas ucapan Presiden ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga wakil rakyat (BN - Bukit Ibam), Dato’ Mohd Sahfri Ab.Aiziz; jurucakap bagi usul ugama dan pendidikan ialah wakil rakyat (BN – Kerdau), Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan, jurucakap bagi usul ekonomi ialah wakil rakyat (BN – Kuala Sentul), Dato’ Shahaniza Shamsuddin).  

MASJID SULTAN HAJI AHMAD SHAH, PELANGAI... Inilah ruang dalam yang kemas lagi menyahdukan, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Simpang Pelangai yang sering menjadi singgahan mereka yang ada urusan di kawasan ini. 

Yang turut membanggakan mengenai masjid ini ialah, tandasnya - sungguhpun ada satu-dua yang terkopak pintunya, tetapi tetap bersih dan menyelesakan. Tahniah juga kepada seluruh kariah khususnya para jawatankuasanya. 


JANGAN ‘RHETORIC’, JANGAN SUSAHKAN PIMPINAN PARTI

“Saya telah berpesan kepada semua jurucakap yang saya telah pilih, secara kebetulannya kesemuanya ialah wakil-wakil rakyat; supaya mereka bercakap dengan penuh pengetahuan, buat ‘research’,  kajian.

“Dan dalam perhimpunan agung ini, kita bukan mahu ‘rhetoric’, kita bukan mahu lawak-jenaka menarik perhatian orang – siapa yang boleh menarik perhatian mungkin dengan diselitkan lawak-jenaka, itu kebolehan masing-masing. Tapi kalau boleh Pahang ini, bercakap dengan penuh isi dan tidak menyinggung sesiapa,” katanya.

“Cakap dengan terus-terang dan jangan menyusahkan kepimpinan parti,” Dato’ Sri DiRaja Adnan mengingatkan. “Kalau ada isu-isu kontroversi timbul esok, menyusahkan kepimpinan parti… ini kita tidak mahu timbul,” tegasnya.

Mengenai PMS DUN Pelangai, katanya yang juga wakil rakyat (BN – Pelangai) kawasan ini, program anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini boleh mengeratkan silaturrahim antara sesama rakyat, meningkatkan semangat cintakan seni budaya pelbagai bangsa, serta mampu menyemarakkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.

Selain itu katanya, penganjuran program sebegini dapat turut menjana kegiatan ekonomi setempat.

PROGRAM SENI BUDAYA JUGA BOLEH JANA EKONOMI

“Apabila katalah sebagai contohnya pertandingan gasing diadakan. Mesti ada jersi, mesti ada ‘track-suit’, mesti ada kasut, mesti ada tali gasing, gasing; yang ini semua boleh menjana kegiatan ekonomi.

“Kita bukan pula memandang setiap benda itu daripada sudut duit sahaja tetapi hakikatnya memang, segala kegiatan ini boleh mewujudkan peluang-peluang ekonomi sedikit-sebanyak.

“Jadi kita dapat merakyatkan seni – rakyat tahu apa dia seni budaya masing-masing. Mengeratkan perpaduan, kemudian itu menyemaikan nilai-nilai murni dan tak kurang pentingnya ialah boleh mewujudkan peluang ekonomi,” katanya.

Antara yang turut hadir pada program petang Jumaat itu ialah Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; Ketua Polis Daerah Bentong yang baharu, Supt Mansor; dan penganjur, Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Encik Mohd Sukarno Abdul Wahab. – Khabar