Tuesday 27 November 2012

Langsailah 'hutang' PKNP lebih RM500 juta akibat krisis ekonomi dunia 1997/98


… dengan pembayaran ansuran (tranche) terakhir kepada pemilik-pemilik Bon Jaminan Kerajaan Negeri (SGGB) bernilai RM238 juta pada tarikh matang, 28 November 2012

SAYU, LEGA DAN RASA TERHORMAT... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan ucapan 31-minitnya yang menyusur-galurkan tentang hutang yang dibebani PKNP serta laluan untuk melangsaikannya. 

Yang turut kelihatan ialah Dato' Lias, yang sebelum itu telah menyampaikan ucapannya dalam nada yang sayu dan sebak, menggambarkan betapa perit tempoh yang disebutnya '10 tahun dalam era bon' yang telah dilalui. 
    

BALLROOM 2, HOTEL HYATT REGENCY, KUANTAN – Sayu, lega dan rasa terhormat!

Itulah perasaan yang dapat dikesan pada Majlis Penebusan Bon Jaminan Kerajaan Negeri (SGGB : State Government Guaranteed Bond) Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) (2002 – 2012) Tranche Terakhir pada pagi Selasa, 27 November di sini.

Yang dengan majlis ini, maka habis berbayarlah ‘hutang’ PKNP sebanyak RM511.9 juta yang dialaminya akibat krisis ekonomi dunia tahun-tahun 1997/1998, hingga ia (PKNP) turut terpalit sama.

Jumlah hutang ini juga adalah selepas ‘haircuts’ (potongan) serta penstrukturan semula, hasil kerjasama Jawatankuasa Penstrukturan semula Hutang Korporat (CDRC : Corporate Debt Restructuring Committee) – badan yang Kerajaan Persekutuan tubuhkan bagi membantu badan-badan korporat di negara ini untuk menyusun semula hutang-hutang yang mereka terbeban akibat krisis kewangan 1997/1998 itu.

“Untuk pengetahuan ramai,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media bagi majlis yang sama pagi Selasa itu, “… disebabkan krisis kewangan, krisis ekonomi yang melanda negara 1997, 1998, 1999, PKNP – agensi Kerajaan Negeri, juga terjejas dan akhirnya kita terpaksa mengambil banyak langkah termasuk menstruktur semula hutang PKNP.

TEBUSLAH SUDAH... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang menunjukkan sijil tiga ansuran (tranches) yang telah dilaksanakan pembayarannya. Yang turut kelihatan selain Dato' Lias ialah Tengku Jamil Iklil, Dato' Norzan dan Dato' Azizan (di belakang Dato' Lias). 


HARI YANG MEMBAWA ERTI BESAR KEPADA PKNP

“Selain daripada itu, kita membuat proses ‘consolidation’ (penyatuan/pengukuhan) termasuk juga membuat ‘assets-stripping’ (menyah/menjual harta, lalu PKNP memperolehi tunai) dan beberapa langkah korporat.

“Kesan daripada itu ialah, kita dapat menyelesaikan semua komitmen kita (terhadap pemberi-pemberi hutang) tetapi kita ber‘hutang’ melalui (penawaran) bon (SGGB) sebanyak RM511.9 juta,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi PKNP.  

Menurutnya, bon-bon berkenaan perlu ditebus atau pembayaran sebenar dilakukan kepada pemilik-pemilik bon berkenaan dalam tiga (3) ansuran (tranches) iaitu, ansuran partama bernilai RM119 juta pada tarikh matang 28 November 2007;

Ansuran kedua bernilai RM160 juta pada tarikh matang 26 November 2010; dan, ansuran ketiga dan yang terakhir bernilai RM238 juta ialah pada tarikh matang 28 November ini (2012).

“Maknanya, hari ini adalah satu hari yang membawa erti kepada PKNP kerana PKNP telah menyelesaikan hutang-piutangnya ekoran daripada krisis ekonomi yang melanda dunia, Malaysia dan juga terbabit, terpalit juga PKNP,” kata Dato’ Sr DiRaja Adnan lagi.

MESTI YANG AKAN DILAKUKAN, TIDAK MERUGIKAN

“Insya-Allah pada masa hadapan,” katanya, “PKNP akan dapat bergerak dengan lebih pantas dan lebih maju lagi,” sambil mengingatkan betapa, “Kita akan mengkaji secara terperinci setiap langkah korporat yang kita akan ambil.

“Dan kita akan pastikan segala yang kita lakukan, mestilah tidak merugikan bahkan akan menguntungkan PKNP dan secara tidak langsung nanti, Kerajaan Negeri”.

Sepanjang 13 tahun yang lepas katanya, keuntungan tahunan yang PKNP raih antara RM20 juta dan RM30 juta terpaksa disalurkan bagi membiayai pembayaran untuk ansuran-ansuran bon berkenaan.

Maka kini, tidak lagi lalu beliau menyatakan kebanggaannya sementelah ketika mula-mula menjadi Pengerusi PKNP – pada 1999, sama tahun dengan pelantikannya sebagai Menteri Besar; matlamatnya ialah untuk menjayakan perbadanan tersebut termasuk menyelesaikan masalah hutangnya.

“Mungkin (ada) orang kata, apa bangganya menyelesaikan hutang? Menyelesaikan hutang ini daripada segi Islam (adalah) wajib. Itu sebab kita selalu berdoa, doa lazim yang kita baca, kita minta Allah Ta‘ala lepaskan kita daripada beban hutang.

LANGSAIKAN HUTANG ADALAH SESUATU YANG ‘HONOURABLE’

“Dan, melangsaikan hutang ini sesuatu yang ‘honourable’. Suatu yang terhormat. Sebab, ramai orang tidak suka bayar hutang. Bagi sesetengah syarikat, ada yang ambil langkah lebih baik dia ‘gulung tikar’ daripada menyelesaikan hutang.

“Tapi kita tidak. Kita hadapi hutang ini dan kita selesaikan hutang dengan kemampuan yang ada pada diri kita,” tegasnya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah banyak membantu, khususnya Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang juga Menteri Kewangan.

Begitulah juga kepada Pengerusi PKNP yang terdahulu seperti Dato’ Sri Mohd Najib sendiri dan Tun Mohd Khalil Yaakob, serta Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. “Yang lain telahpun meninggal dunia, kita berdoa semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang-orang beriman dan bertaqwa,” katanya.

Kepada soalan wartawan sama ada kini, Kerajaan Negeri perlu mengeluarkan garis panduan khusus bagi mengelak agensi-agensi Kerajaan Negeri termasuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terjebak dengan hutang yang besar, beliau menjawabnya tidak.    

MESTI ADA ‘FLEXIBILITY’ DAN ‘LEEWAY’

“Kalau adapun garis panduan itu ianya mungkin tidak boleh dipakai untuk sesetengah bentuk pelaburan yang akan datang. Contohnya, kita banyak menerima sekarang ini cadangan dari Negara China.

“Kalau kita adakan garis panduan yang terlampau ketat, mungkin tidak ada pelaburan yang akan datang ke negeri Pahang. Mungkin tidak akan ada pihak yang akan datang berjumpa PKNP untuk melabur bersama.

“Mesti ada sedikit-sebanyak ‘flexibility’ (keanjalan) ataupun ‘leeway’ (kebebasan) tetapi jangan sampai kita (PKNP) hilang pertimbangan sampai kita tidak nampak mana pelaburan yang boleh menguntungkan, mana pelaburan yang boleh merugikan,” katanya.

Yang perlu dipastikan katanya ialah, pelaburan yang ingin disertai mesti nyata dan konkrit (kukuh); produk yang dihasilkan mestilah ada permintaan di pasaran; dan, pemilikan ekuiti yang sewajarnya dalam pelaburan bersama tersebut.

“Kalau misalannya kita mempunyai tanah, ada pelabur datang untuk bekerjasama dengan kita. Kalau kita ada tanah, kita perlu keluarkan tanah, (tetapi) kita (masih) perlu keluar tunai untuk mendapat ekuiti; yang ini satu perkara yang tidak bijak.

WAKIL CIMB TRUSTEE TURUT HADIR

“Sebagaimana orang lain buat, biasanya kita ‘capitalised’ tanah tersebut, (menjadikan tanah berkenaan) sebagai  modal kita dalam ekuiti dalam syarikat. Contohlah,” kata Menteri Besar itu lagi.

Selain tuanrumah, Ketua Eksekutif PKNP, Dato’ Lias Mohd Nor dan Timbalannya, Dato’ Rahim Ali; yang turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Norzan Ahmad; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Azizan Ahmad; dan, wakil CIMB Trustee, Tengku Jamil Iklil Tengku Hussain; serta, kakitangan atasan dan menengah PKNP. – Khabar