Tuesday 24 January 2012

Cadangan debat fasal Lynas yang tak ada faedahnya

 IAEA -- LAMBANG KEPAKARAN ANTARABANGSA... Inilah logo Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang ibu pejabatnya terletak di Vienna, Austria. Agensi inilah yang telah membuat keputusan hasil pemeriksaannya ke atas projek Lynas, bahawa projek bernilai RM2,300 juta ini adalah selamat.    


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Kalau diturutkan puak-puak pembangkang, ‘benang yang basahpun boleh ditegakkan’, termasuklah dalam memperkatakan sehingga memberi gambaran buruk tentang projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas bernilai RM2,300 juta di Gebeng, dekat sini.

Disebalik mereka sekadar ‘minoriti lantang’ (vocal minority) yang bermatian-matian berusaha mewujudkan persepsi negatif terhadap projek oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd itu, bagaimanapun berjaya juga mempengaruhi segelintir penduduk Kuantan khususnya masyarakat Cina.

(Minoriti lantang ialah segelintir individu yang sering meluahkan pendapat-pendapat mereka kepada khalayak, bertentangan dengan majoriti senyap yang merupakan sebahagian besar masyarakat namun jarang meluahkan pendapat mereka).

Inilah kejayaan mereka yang hendak dipertahan dan dikekalkan, lalu mereka sentiasa merangkakan aktiviti-aktiviti baharu agar ‘momentum’ yang ada tidak terencat, sebaliknya disemarakkan daripada satu tahap, ke satu tahap lain.

Yang terbaharu ialah dengan mencadangkan agar debat mengenai isu ini dianjurkan, kononnya supaya orangramai dapat membuat penilaian tersendiri tentang projek yang ditohmahkan sebagai amat berbahaya kepada keselamatan dan kesihatan.

TERHIDU STRATEGI TERBAHARU PUAK PENENTANG

Maka, tidak adalah yang lebih menarik perhatian terhadap debat ini daripada ahli parlimen pembangkang dari Kuantan, Puan Fuziah Salleh, menawarkan untuk beradu-debat dengan Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Seperti sudah terhidu dengan strategi terbaharu inilah, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang diminta mengulas tentang gesaan berdebat itu semasa ditemui oleh wartawan pada satu majlis di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), 17 Januari lepas, telah menyahutnya secara positif namun menegaskan;  

“Awak sendiri lihat betapa penentang-penentang projek Lynas ini, kita telahpun berikan kepada mereka segala fakta, segala penerangan yang dilakukan oleh pakar-pakar nuklear, pakar radiasi; tetapi mereka masih tidak dapat terima.

“Ápakah maknanya ini? Mereka ialah golongan yang bersikap tidak peduli apa (ENG : They are ignorant people). Kepada golongan sebegini, kita boleh berikan segala penjelasan tetapi jika mereka terus bersikap tidak peduli apa, ugama saya sarankan agar kita tidak perlu bertikam-lidah, kita tidak perlu untuk memberi sebab-musabab (reason-out) kepada mereka”.


SEKADAR HENDAK MENERBITKAN KEKECOHAN... Foto ini menggambarkan puak-puak penentang projek Lynas dalam aksi berbaring atas jalan. Wajarkah?


Tepat sekali kata-kata Dato’ Sri DiRaja Adnan itu, dan beliau sudah tentu tahu apa yang dikatakannya kerana sebelum inipun – lama sebelum projek pemprosesan logam tanah jarang ini menjadi isu sebagaimana sekarang; beliau juga pernah bertemu dan berbalas-balas khidmat pesanan ringkas (sms) dengan ahli parlimen wanita itu.

IAEA KATA LYNAS SELAMAT, SAMBIL BUAT 11 CADANGAN

Hasil daripada itulah yang turut menyumbang kepada keputusan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), membawa pakar-pakar bebas mahupun yang bernaung di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), untuk melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan ke atas projek bekenaan pada Jun lepas.
  
Akhirnya, pakar-pakar ini memutuskan bahawa projek ini adalah selamat, dan dalam masa yang sama mengemukakan 11 cadangan antaranya termasuklah tentang keperluan Kerajaan untuk meneruskan lagi kerja-kerja perhubungan/perundingan (engagement) agar masyarakat dapat faham tentang selamatnya projek ini.

Jika debat yang dicadangkan pula kini ialah bagi memenuhi kehendak untuk perhubungan/perundingan itu, bagaimanakah dengan begitu banyak sesi-sesi perhubungan/perundingan yang telah dilaksanakan selama ini sejak 2008 lagi?

Antara sesi tersebut, termasuklah pada Julai 2009 lagi, apabila taklimat dianjurkan kepada ahli-ahli parlimen dan wakil-wakil rakyat termasuk kepada Puan Fuziah, tetapi beliau tidak hadir sebaliknya menghantar seseorang sebagai wakilnya.

(Dan projek ini hanya menjadi isu selepas akhbar asing – New York Times menyiarkan laporan negatif yang berunsur fitnah terhadapnya pada 8 Mac lepas (2011), dikutip dan disiarkan sepenuhnya dua hari kemudian pada 10 Mac oleh akhbar tempatan, the Star; dan diburukkan dengan kejadian kebocoran yang berlaku ke atas reaktor nuklear di Fukushima, Jepun hanya sehari selepas itu, pada 11 Mac!).

KENAPA PEMBANGKANG JUGA TIDAK BOLEH AKUR KEPADA DAPATAN IAEA BAHAWA LYNAS SELAMAT?

Jika pembangkang asyik melalak tentang keperluan untuk semua pihak mematuhi cadangan IAEA tentang keperluan untuk terus menganjurkan perhubungan/perundingan tersebut, kenapakah pula puak-puak pembangkang juga sendiri tidak mahu menerima dan patuh kepada dapatan IAEA yang sama tentang selamatnya projek ini?

Sebenarnya, debat yang dicadangkan kali ini ialah alternatif puak pembangkang sendiri kepada majlis perjumpaan ala ‘town-hall’ yang pernah dianjurkan menerusi perantara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Kompleks Dagangan Mahkota dekat sini, pada April lepas lagi.

Hanya sempat bertahan selama tiga (3) kali penganjuran, Kerajaan Negeri memutuskan untuk menangguh kemudian membatalkannya terus, berikutan kekecohan yang ditimbulkan oleh mereka yang hadir secara bebas, kebanyakannya pula dengan ‘pre-judged mind’ lalu tidak mahu terima apa juga penjelasan yang diberikan.

Belajar daripada insiden pahit tersebutlah, bermula sebaik-baik selepas IAEA membuat pengumumannya pada 30 Jun lepas, sesi-sesi perhubungan/perundingan kemudian diadakan secara kelompok ke kelompok khusus tertentu dengan yang pertama, melibatkan anggota-anggota komponen Barisan Nasional (BN).

Pada perjumpaan yang diadakan di Dewan, Kediaman Rasmi Menteri Besar dekat sini, puak-puak pembangkang ini tetap datang tanpa diundang, dengan matlamat tentunya untuk mengecohkan keadaan sepertimana di Kompleks Dagangan Mahkota.

SEKADAR DIAM MENIKUS

Namun, sesudah menyedari betapa mereka sekadar membentuk sekumpulan kecil hadirin dalam kalangan anggota-anggota BN yang sudah tentunya lebih ramai, yang boleh puak-puak pembangkang ini lakukan ialah sekadar diam menikus!

Penulis melihat cadangan puak-puak pembangkang kepada cadangan debat kali ini ialah kerana mereka ternampak wujud kelemahan di pihak Kerajaan yang dilihat terlalu ‘accomodative’ terhadap apa juga yang mereka berkehendakkan selama ini.

Sedangkan, apa yang telah dilakukan adalah lebih daripada memadai sungguhpun pada setiap kalilah juga, Kerajaan tentunya sedar tentang taktik licik puak-puak pembangkang ini yang sering gemar ‘mengubah tiang gol’ (shifting the goalpost).

Maka, haruskah karenah mereka perlu dilayani lagi termasuklah dalam memenuhi gesaan mereka terhadap Dato' Sri DiRaja Adnan untuk mengadakan debat, yang pasti tidak akan mendatangkan apa-apa faedah itu? – Khabar


MATA KE MATA;

*** Minoriti lantang sahaja yang memburuk-burukkan projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas bernilai RM2,300 juta ini.

*** Cadangan debat ialah satu lagi usaha puak pembangkang untuk kekalkan ‘momentum’ penentangan mereka.

*** Usahlah layani golongan yang tak peduli apa, disebalik penjelasan diberikan dan IAEA sendiri putuskan projek Lynas selamat.

*** Cadangan debat ialah alternatif kepada majlis perjumpaan ala ‘town-hall’ yang dikecohkan oleh mereka yang bersikap ‘pre-judged’.