Thursday 19 January 2012

Lynas; Tak perlu debat dengan pihak yang tak peduli apa!

PEMIMPIN MESRA-RAKYAT KITA, BERSAMA-SAMA GENERASI 'Y'... Jelas tergambar keriangan pada muka pelajar-pelajar POLISAS ini setelah menerima baucar buku masing-masing daripada Dato' Sri DiRaja Adnan.

Yang turut kelihatan dalam foto ini, mengapit di sebelah kiri dan kanan Dato Sri DiRaja Adnan ialah Dato' Mohlis dan Mej (K) Dato' Abu Bakar (bersongkok).  




DEWAN MAKMUR, POLITEKNIK SULTAN HJ AHMAD SHAH (POLISAS), SEMAMBU, KUANTAN – Dalam pada menyatakan ketidak-gentarannya diajak berdebat, berforum atau berbincang tentang isu yang dibangkitkan oleh segelintir penduduk Kuantan mengenai projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menegaskan betapa, tidak akan ada apa-apa hasil atau faedah jika kaedah-kaedah komunikasi tersebut turut melibatkan pihak yang bersikap tidak peduli apa.

“Awak sendiri lihat betapa penentang-penentang projek Lynas ini, kita telahpun berikan kepada mereka segala fakta, segala penerangan yang dilakukan oleh pakar-pakar -pakar nuklear, pakar radiasi; tetapi mereka masih tidak dapat terima.

“Apakah maknanya ini? Mereka ialah golongan yang bersikap tidak peduli apa (ENG [actual quotes]: They are ignorant people). Kepada golongan sebegini, kita boleh berikan segala penjelasan tetapi jika mereka terus bersikap tidak peduli apa, ugama saya sarankan agar kita tidak perlu bertikam-lidah, kita tidak perlu untuk beri sebab-musabab (reason-out) kepada mereka,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian pada persidangan media selepas beliau menyampaikan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM200 setiap satu, kepada pelajar-pelajar politeknik ini, pada pagi Selasa, 17 Januari lepas.

JUMPA DAHULU SEBELUM CADANG BERDEBAT

Kata-katanya itu bagi menjawab soalan wartawan tentang reaksinya kepada kenyataan kononnya datang daripada ahli parlimen Kuantan mewakili parti pembangkang, yang bersedia untuk berdebat dengannya mengenai isu projek RM2,300 juta itu.

Sungguhpun begitu, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengajak ahli parlimen wanita tersebut supaya berjumpa dengannya terlebih dahulu bagi beliau mendapatkan gambaran jelas tentang ajakan untuk berdebat tersebut.

“Biarlah dia (ahli parlimen berkenaan) datang berjumpa saya kerana sebelum inipun dia ada berjumpa saya. Dan, dia juga ada sms (menghantar khidmat pesanan ringkas) kepada saya beberapa kali tentang Lynas sebelum ia menjadi isu sepertimana sekarang.

“Malah saya (semasa berjumpa dan berbalas-balas sms) ada cadangkan agar kita dapatkan pandangan badan antarabangsa, pakar-pakar antarabangsa tetapi daripada apa yang saya lihat, sungguhpun selepas pandangan tersebut diberikan, mereka masih tidak dapat menerima fakta bahawa Lynas bukanlah projek amat merbahaya,” katanya.

Menerusi perjumpaan itu kelak kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, bolehlah beliau mendapat gambaran sama ada debat yang dicadangkan akan bersandarkan kepada fakta atau semata-mata untuk menunjukkan kehebatan seseorang sebagai pendebat.

JIKA BN TIPU, TAKKAN HILANG NEGERI DAN KERUSI
                                         
Menurutnya, memanglah baik untuk menganjurkan debat tetapi beliau ada dinasihatkan betapa berdebat dengan mereka dalam kalangan pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) – daripada kepemimpinan tertinggi hinggalah ke bawah, tidak akan menghasilkan natijah yang berguna.

“Sebabnya ialah, mereka tidak pernah mahu menerima hakikat. Dalam laman Youtube semalam saya lihat, Dato’ Sri Anwar (Ibrahim) bercakap tentang cara-cara menipu dalam memenangi pilihanraya.

“Jika kita (Barisan Nasional) guna cara-cara penipuan, bagaimana pula kita boleh kehilangan empat negeri, (dan) dinafikan majoriti dua-pertiga (dalam parlimen)? Jika kita menipu, kita sepatutnya menang semua kerusi,” katanya.

“Jadi,” Dato’ Sri Raja Adnan menambah, “Biar Fuziah datang berjumpa saya dahulu dan lihat sama ada saya boleh terima atau tidak (ajakan untuk berdebat). Kalau dia hendak berbahas, dia hendak berdebat atau apa-apa, oh… saya tak akan mengalah. Saya bukan pengecut, ok…

“Tetapi, kalau dia hendak menggunakan debat itu sebagai propaganda maka saya fikir ia tidak bermakna apa-apa. Semuanya bergantung kepada keadaan. Biar dia datang jumpa saya dahulu”.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Jabatan Pengajian Politeknik, Dato’ Mohlis Jaafar dan Pengarah, POLISAS, Mej (K) Dato’ Abu Bakar Ahmad, lebih 150 orang mewaklili lebih 6,000 pelajar POLISAS (dengan nilaian baucar keseluruhannya kira-kira RM1.25 juta), menerima baucar berkenaan. – Khabar


MATA KE MATA;

***  Disebalik penerangan dan penjelasan termasuk oleh pakar-pakar antarabangsa, pihak penentang projek Lynas masih tidak mahu menerimanya.

*** Sudah ‘engage’pun selama ini termasuk menerusi sms, mencadangkan penglibatan pakar antarabangsa tetapi kemudian, tidak pula mahu terima ulasan positif pakar antarabangsa ini tentang Lynas.

*** Menteri Besar dinasihatkan betapa berdebat dengan mereka tidak akan menghasilkan apa-apa keputusan yang berfaedah.   

*** Jika BN menipu, tak mungkin ada negeri jatuh kepada pembangkang, dan BN hilang majority 2/3 dalam parlimen