Thursday 26 January 2012

Lakukan apa yang betul untuk rakyat, kata Menteri Besar


… dan serahkan kepada rakyat untuk tentukan sokongan atau sebaliknya pada pilihanraya umum kelak  


  
MESRA-RAKYAT DENGAN PELBAGAI KAUM... Kemesraan Dato' Sri DiRaja Adnan dengan rakyat tanpa mengira kaum, memang sudah lama jadi amalan. 

Foto ini dirakam ketika beliau meluangkan masa berziarah ke rumah seorang penduduk Cina, menanyakan khabar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penduduk Kampung Baharu Manchis, Bentong pada petang Khamis, 19 Januari lepas. 

  
DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HAJI AHMAD SHAH, KUANTAN“Yang paling mustahak ialah untuk kita (Kerajaan pimpinan Barisan Nasional) lakukan perkara-perkara yang betul untuk rakyat.

“Dan terpulang kepada rakyatlah untuk memutuskan (sokongan atau sebaliknya kepada BN, pada pilihanraya umum kelak),” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Inilah reaksi beliau tentang sokongan rakyat khususnya kaum Cina terhadap Kerajaan, pada persidangan media ketika menghadiri Jamuan Tahun Baharu Cina 2012 anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Tionghua Kuantan pada tengah hari Khamis, 26 Januari di sini.

“Saya tak nampak ramai (dalam kalangan rakyat kaum Cina khususnya di Pahang) yang benci kepada Kerajaan,” katanya lagi.

Pada amnya kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, mentaliti masyarakat Cina khususnya dalam  kalangan peniaga, tidak mahu dibebani dengan kerenah birokrasi hingga menyusahkan mereka hendak menjalankan perniagaan.

TAHU MENTALITI KAUM CINA

Sebaliknya, mereka (masyarakat Cina khususnya para peniaga) mahu agar Kerajaan kelihatan membantu serta benar-benar membantu mempermudahkannya pula.

“I have relationship with so many Chinese. (Even) my late mother-in-law a 100 percent Chinese. So is my daughter-in-law. So I know the (Chinese) mentality. They try to do business, they are very hardworking but then, at the end of the day; they want to see that the Government be seen to be facilitating their businesses.

“So, that is why we (the BN-led Government) are talking about the delivery system. That is why we want to do away with the so-called bureaucracy,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.     


SUMBANGAN KERAJAAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan berkata sesuatu kepada seorang daripada penerima pada majlis di Kampung Baharu Manchis itu. 

Antara yang turut hadir dan kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Liow, Dato' Hoh serta Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Dato' Hamdan Hussein (kanan sekali).  


Beliau seterusnya mengumumkan usaha Kerajaan Negeri untuk menganjurkan konvensyen ekonomi negeri pada minggu terakhir Februari ini, yang mana soal konsep, format dan kandungannya telahpun diperhalusinya semalam.

Konvensyen ini katanya, dijangka dihadiri oleh 500 orang dalam kalangan ahli-ahli korporat dan bukan korporat, serta wakil-wakil dewan-dewan perniagaan Melayu, Cina dan India.

‘EMPTY DRUM MAKES MORE NOISE’

“(Matlamat penganjuran konvensyen ini ialah) untuk kita menilai semula, apakah yang telah kita lakukan dan apakah langkah-langkah seterusnya yang patut kita lakukan, untuk terus menjana kegiatan ekonomi di negeri Pahang ini,” katanya.

Beliau juga menegaskan betapa, “Kita tak nak lepas konvensyen, konvensyen. Lepas resolusi, resolusi (tanpa apa-apa tindakan) . Kita nak minta ianya dijadikan sebagai landasan untuk kita maju ekonomi terus ke depan”.

Berhubung dengan publisiti tentang pembangunan negeri yang Pahang dikatakan agak terkebelakang katanya, ia ekoran kepercayaan Kerajaan Negeri sendiri betapa ‘empty drum makes more noise’.

“Ayam ni, bertelur sebiji, dia punya berketuk sekampung terdengar. Kita di Pahang ini, boleh dikatakan setiap tahun sehingga ke hari ini, purata RM1.5 bilion (nilai pelaburan baharu yang diterima),” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut diminta reaksinya kepada cadangan PAS Pahang yang menjanjikan setiap penduduk negeri ini akan diberikan satu lot tanah jika ia dapat mengambil-alih pemerintahan negeri pada pilihanraya umum kelak.

SIJAHIL MENIPU YANG JAHIL   

“Kalau setiap orang dapat satu lot, Gunung Tahanpun tak cukup. Cakap senang…,” katanya.

Keluasan negeri Pahang ialah 3.6 juta hektar tetapi tanah yang boleh dibangunkan katanya, hanyalah tiga (3) peratus manakala selebihnya telah diwartakan sebagai rizab hutan, sungai dan hidupan liar selain kawasan tasik yang luas.

“Tiga (3) ‘percent’ daripada 3.6 juta hektar hanya 108,000 hektar. Nak bagi satu hektar seorang? Rakyat negeri Pahang (ada seramai) 1.5 juta (maka tentu tidak mencukupi).

“Orang macam ini (yang mencadangkan pemberian lot-lot tanah tersebut), orang jahil. Dia hanya boleh menipu orang yang jahil. Kalau kita tidak jahil, kita tidak boleh ditipu dengan (janji) ini,” katanya.

Yang turut hadir pada Jamuan Tahun Baharu Cina 2012 ini ialah Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Liow Tiong Lai; Presiden, Gabungan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong), Tan Sri Pheng Yin Huah; serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Hoh Khai Mun, Dato’ Shafik Fauzan Sharif, dan Dato’ Mohd Sahfri Ab.Aziz. – Khabar


MATA KE MATA;

*** Tak ramai dalam kalangan rakyat kaum Cina yang benci Kerajaan pimpinan BN.

*** Kerajaan mahu dilihat dan benar-benar laksanakan usaha bagi mempermudahkan para peniaga kaum Cina, menjalankan perniagaan mereka.

*** Konvensyen Ekonomi Negeri akan dianjurkan pada akhir bulan depan, bagi berbincang, mencari jalan untuk menjanakan lagi ekonomi negeri.

*** Hanya yang jahil akan percaya janji diberikan lot tanah setiap orang.