Monday 16 January 2012

Tanah milik peneroka sedia ada tak terjejas!

... berkaitan isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH)


TINJAU 'BOOTH' UiTM... Dato' Sri DiRaja Adnan diiringi Dato' Sri Mohd Khaled (di belakangnya) sedang diberi penerangan mengenai Universiti Teknologi Mara (UiTM) oleh Naib Canselornya, Prof Dato' Dr Ir Sahol Hamid Abu Bakar (berbaju ungu, kanan sekali). 

 
SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia nanti ialah Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) yang antara lain memiliki kepentingan ke atas Felda Plantations Sdn Bhd – pemilik tanah perladangan tanpa peneroka seluas 340,180 hektar di negara ini.

Yang dengan itulah juga, penyenaraian ini tidak akan melibatkan apatah pula menjejaskan apa-apa kepentingan para peneroka sedia ada yang diuruskan oleh Felda keseluruhannya seluas 880,000 hektar, termasuklah soal pemilikan ke atas tanah-tanah mereka.

Sebaliknya, menerusi penyenaraian FGVH kelak akan dapat memberi pulangan hasil yang semakin besar yang akhirnya dapat diagihkan dengan kadar yang lebih besar juga bagi manfaat para peneroka.

Inilah yang Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob jelaskan ketika ditanya mengenai isu penyenaraian FGVH pada persidangan media selepas beliau mewakili Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak merasmikan Karnival Pengajian Tinggi 2012 pada pagi Sabtu, 14 Januari di sini.

“Kita kena tegaskan bahawa tanah hakmilik peneroka yang sedia ada, ianya tak terjejas. Yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia nanti ialah, Felda Plantations iaitu tanah yang diberi oleh Kerajaan Negeri.

PENYENARAIAN FGVH DAPAT TAMBAH-NILAI

“Dan ini (FGVH) kita akan senaraikan untuk kita menambahkan nilai,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan memberikan contoh tentang bagaimana pemberian tanah seluas hingga 180,000 hektar oleh Kerajaan Negeri untuk dibangunkan oleh Felda Plantations Sdn Bhd selama ini, yang daripada aktiviti dan keuntungan yang diperolehinya turut dimanfaati oleh para peneroka.

Dan 180,000 hektar tersebut jika hendak diberikan walaupun seekar seorang bagi meliputi para peneroka termasuk generasi kedua dan ketiga katanya, tidak mungkin mencukupi.

“Dengan kita mengapungkan di Bursa Malaysia maka dapat kita menambah-nilai. Menambah-nilai ni maksudnya kalau tanah pusaka, tinggal hanya sana tiga pokok, sini tiga pokok, kalau awal-awal kita bangunkan untuk perumahan, untuk perkedaian; bukankah ianya menambah nilai?

“Begitu juga FGVH. Kerajaan berpendapat, dengan menyenaraikan Felda Plantations ini melalui FGVH ke Bursa Malaysia, ianya akan menambah-nilai dan akan dapat dinikmati oleh ramai peneroka Felda,” katanya.

PELABUR ASING JUGA PEGANG EKUITI FGVH

Kepada kebimbangan betapa dengan penyenaraian FGVH akan menyebabkan pegangan Koperasi Pemodalan Felda (KPF) – koperasi milik para peneoka, yang sebanyak 51 peratus akan mengecil lalu turut memberikan kepulangan kecil kepada peneroka kata Menteri Besar;

“Ada yang mengatakan, oh nanti bila disenaraikan, KPF tidak lagi pegang 51 peratus. Memanglah. Bila kita senaraikan, kita kena beri juga (ekuiti saham kepada) Kerajaan-kerajaan Negeri.

“Kita kena beri juga (ekuiti kepada) pelabur-pelabur luar negeri untuk kita menarik pelaburan asing supaya apa-apa hal yang berlaku kepada minyak kelapa sawit, pelabur-pelabur asing kita dengan sendirinya boleh membantu memberikan penerangan. Tidak perlu kita menggunakan lobi sana, lobi sini untuk dibayar duit”.

Dan, disebalik pemilikan saham yang mengecil namun ia tetap memberikan pulangan yang lumayan ekoran keuntungan yang lebih besar yang bakal diperolehi daripada penyenaraian FGVH itu.

“Apabila di‘listing’, atau disenaraikan, diapungkan; nilai tu bertambah. Selama ini, KPF dapat 51 peratus dari Felda Plantations (yang) hasilnya bersamaan lebih kurang RM250 juta.

30 – 40 PERATUS DARIPADA HASIL BESAR HINGGA RM5,000 JUTA?

“Dengan penyenaraian nanti , KPF mungkin mendapat 30, 35, 40 peratus tetapi daripada Felda Plantations yang telah diapungkan (yakni FGVH) yang bernilai mungkin RM4, RM5 bilion. 

“Mana kita hendak? 51 peratus daripada 10,000 (berbanding) dengan 30 peratus daripada RM1 juta? Ha itu kita kena faham. Niatnya cukup baik. Saya menyokong 100 peratus dan saya akan turun ke Felda-felda untuk berikan penerangan,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan. 

Beliau seterusnya menempelak puak-puak pencemuh Kerajaan khususnya pembangkang, yang menaburkan janji-janji kosong kononnya akan memberi tanah secara percuma kepada kesemua generasi di dalam rancangan tanah-rancangan tanah Felda.

“Tak logik, tak boleh. Nak beri seekar seorang (kepada) penduduk Pahang ni. (Kawasan tanah sehingga ke) Gunung Tahanpun tak cukup. Begitu juga tanah (di rancangan tanah-rancangan tanah) Felda,” katanya. 

Kepada soalan tentang tindakan Kerajaan jika pihak tersebut mengambi tindakan injunksi  bagi menghalang penyenaraian FGVH tersebut katanya, ia adalah hak mereka tetapi Kerajaan juga berhak mengambil tindakan untuk mengetepikannya pula.

JANGAN DATANG DENGAN ‘PRE-JUDGED MIND’

“Dulu dah ‘file’ (memfailkan injunksi tersebut) sekali, (tetapi di)tolak... banyak discrepancies (kecacatan) dalam afidavit semua tu,” katanya. 

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya menyatakan keterbukaannya untuk menemui mereka yang menentang penyenaraian FGVH ini tetapi mengingatkan agar mereka yang datang hendaklah tidak dengan fikiran yang ‘pre-judged’ (telah ditetapkan pendirian mereka).

Selain Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Sri Mohd Khaled Nordin sebagai tuanrumah Karnival Pengajian Tinggi ini, yang turut hadir ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail. – Khabar   


MATA KE MATA; 

***  Felda Plantations Sdn Bhd ialah syarikat perladangan milik Felda yang Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri sumbangkan tanah kepadanya, tetapi dibangunkan tanpa melibatkan peneroka sebaliknya yang berstatus pekerja sahaja.

***  Penyenaraian FGVH dapat menambahkan nilai, maka akan turut memberikan faedah kewangan lebih besar kepada para peneroka Felda juga.  

***  Dengan pelabur asing turut memiliki ekuiti dalam FGVH, ia dapat membantu dalam memberi penerangan lebih berkesan dan meluas jika berlaku perkara-perkara negatif misalnya mengenai tanaman dan buah kelapa sawit di luar negara. 

***  Peratus pemilikan yang kecil tidak memudaratkan apabila mengambil kira peratusan kecil yang sama tersebut berbanding pulangan yang lebih besar.