Saturday 10 November 2012

Bincang bagi manfaatkan wang ihsan RM100 juta setahun, demi makmurkan negeri, sejahterakan rakyat


… sambil itu, Menteri Besar ingatkan agar tidak ghairah persoalkan sama ada wang ihsan atau royalti yang patut diterima.

UCAPAN OLEH KETUA EKSEKUTIF NEGERI KITA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan ucapan luar teks 19-minitnya, yang turut menyentuh tentang penemuan rizab  minyak di luar perairan negeri Pahang.    


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HAJI AHMAD SHAH, KUANTAN – Terimalah hakikat bahawa penemuan telaga minyak dengan  kandungan berjumlah 64 juta tong kira-kira 160 km bersamaan 86.393 batu nautika dari Kuantan, ialah di luar daripada 5.556 km atau tiga (3) batu nautika perairan negeri.    

Lanjutan itu, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob tidak mahu rakyat terjebak dalam perbincangan tentang sama ada Pahang lebih layak mendapat royalti berbanding wang ihsan daripadanya.

“Baru-baru ini, telaga minyak telah dijumpai di perairan antarabangsa tetapi bersetentang terus dengan Kuantan. Dengan ihsan YAB Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan wang ihsan, bukan royalti, wang ihsan.

“Kegunaan wang ihsan ini nanti akan Kerajaan bincangkan, diantara ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dengan Raja Pemerintah, KDYMM Sultan Pahang; bagaimanakah caranya wang ihsan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk negeri dan rakyat Pahang.

“Kita tak perlulah berghairah dan berbincang sama ada royalti atau wang ihsan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang menyentuh tentang perkara ini dalam ucapan 19-minitnya merasmikan Majlis Konvokesyen 2012 Kolej Antarabngsa IKIP pada pagi Sabtu, 10 November di sini.  

SAMPAIKAN SKROL KEPADA GRADUAN... 


PENGELUARAN BERMULA HUJUNG TAHUN 2014

“Saya yang sedikit-sebanyak diberitahu oleh rakan-rakan yang mahir dengan undang-undang, ini bukan royalti,” katanya lagi, sekaligus menempelak dakwaan seorang pemimpin pembangkang betapa Pahang kononnya, lebih layak mendapat royalti daripada sekadar menerima wang ihsan.

Berita baik mengenai penemuan minyak ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pada Selasa, 30 Oktober. Ia ditemui kira-kira 160 km atau 86.393 batu nautika dari Kuantan di Blok PM307 dalam  telaga minyak Bertam, menerusi usahasama Petronas Carigali Sdn Bhd dengan syarikat minyak berpangkalan di Sweden – Lundin Oil.

Serentak itu juga Dato’ Sri Mohd Najib menyebut tentang Pahang bakal menerima wang ihsan RM100 juta setahun, apabila pengeluaran bermula dijangkakan pada suku ketiga tahun 2014 dengan anggaran antara 17,500 dan 20,000 tong sehari.

(Akta Pembangunan Petroleum (PDA : Petroleum Develoment Act) menetapkan bahawa, negeri-negeri hanya akan berhak menerima royalti lima (5) peratus daripada pendapatan minyak, jika minyak dan gas ditemui dalam hak wilayah kira-kira tiga (3) batu nautika dari pantainya.

(Minyak dan gas yang ditemui jauh dari itu (3 batu nautika atau 5.556 km ke atas), tetapi dalam kawasan zon ekonomi eksklusif negara ini serta kawasan-kawasan yang bertindih dengan perairan negara Thai dan Vietnam; adalah milik Kerajaan Persekutuan).

DUDUK-LETAKNYA BLOK PM307 DI PERAIRAN PERSEKUTUAN... Yang lokasinya kira-kira 160 km bersamaan 86.393 batu nautika, atau kira-kira 29 kali ganda melampaui jarak 5.556 km bersamaan tiga (3) batu nautika yang diiktiraf sebagai perairan negeri Pahang. 


LIHAT KEMUNGKINAN CEBURI BIDANG ‘OIL AND GAS’

“Oleh sebab itu, kita kena lihat (kemungkinan Kolej Antarabangsa IKIP memperkenalkan pengajian) tentang ‘oil and gas’ ini,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dan menambah; “InsyaAllah, dengan minyak yang dikurniakan oleh Allah SWT, banyak lagi yang dapat diadakan kegiatannya”.  

Beliau turut mengisahkan betapa semalam, beliau telah ditaklimatkan oleh pelabur dari Amerika Syarikat tentang usaha pengeluaran sejenis bahan ‘fibre’ untuk pembuatan menara telekomunikasi dan paip.

Bahan ‘fibre’ ini pula katanya, seberat kira-kira 10 peratus sahaja daripada keberatan besi-waja, tetapi boleh bertahan 10 kali ganda daripada bahan besi-waja berkenaan.

“Yang menariknya, bahan mentah untuk ‘fibre material’ ini datangnya daripada ‘oil and gas’. Maknanya, kalau ada kegiatan ‘oil and gas’ ini, maka banyak kegiatan hiliran yang dapat dimanfaatkan daripada industri ini.

“Saya berharap para graduan yang berkaitan dengan ‘engineering’ boleh berikan perhatian terhadap apa yang saya cakapkan ini,” katanya lagi.

PELANTAR MINYAK MILIK PETRONAS... 


SAMPAIKAN SKROL KEPADA 546 GRADUAN

Selesai berucap, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyampaikan skrol ijazah dan diploma kepada  546 graduan iaitu, 27 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan; 19 graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan kepujian;

Seramai 30 graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam); 12 graduan Diploma Sains Komputer; 23 graduan Diploma Kewartawanan; 10 graduan Diploma Pemasaran;

Seramai 27 graduan Diploma Kesetiausahaan Eksekutif; lima (5) graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa); 13 graduan Diploma Kewangan Islam; 23 Diploma Pengurusan Institusi Islam;

Seramai 53 graduan Diploma Kejuruteraan Awam; 25 graduan Diploma Sains Komputer (Teknologi Maklumat); 16 graduan Diploma Sains Komputer (Multimedia); empat (4) graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik;

Seramai 56 graduan Diploma Pengurusan Teknologi; 43 graduan Diploma Pengurusan Teknologi (Perakaunan); 50 graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal; 26 graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa);

SEGAK, CANTIK DAN MENARIK DALAM JUBAH MASING-MASING

Seramai 23 graduan Diploma Pengajian Perniagaan; 31 graduan Diploma Perakaunan; 20 graduan Diploma Grafik dan Media Digital; serta, 10 graduan Diploma Seni Halus.

Yang turut hadir pada majlis konvokesyen ini yang kelihatan segak, cantik dan menarik dalam jubah masing-masing ialah Yang Dpertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin;

Pengerusi, Lembaga Pengarah, IKIP Education Sdn Bhd, Dato’ Dr Abdul Monir Yaakob; Pengurus Besar, Yayasan Pahang yang juga Pengarah Urusan, IKIP Education Sdn Bhd, Dato’ Saariah Saad; serta,

Ahli-ahli Lembaga Penasihat Akademik, IKIP Education Sdn Bhd iaitu Prof Dato’ Dr Ahmad Zainuddin selaku Pengerusi; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), Prof Emeritus Dato’ Osman Bakar;

Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dato’ Dr Muhamad Muda; Rektor, Unversiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dato’ Sri Dr Zaleha Kamaruddin; dan, Profesor, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Nagendralingan Ratnavadivel. – Khabar