Monday 27 May 2013

KDYMM Sultan Pahang rasmi Kompleks Mahkamah Kuantan bernilai RM159 juta


… satu lagi mercutanda menarik dan terbaharu Kuantan, khususnya di Bandar Indera Mahkota

MENGAMATI MODEL... KDYMM Sultan Pahang sedang memerhatikan model Kompleks Mahkamah Kuantan. Di sisi kanan Baginda ialah Tun Ariffin.   


BANDAR INDERA MAHKOTA, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang telah berkenan berangkat mencemar duli, merasmikan Kompleks Mahkamah Kuantan bernilai RM159 juta pada pagi Isnin, 27 Mei di Indera Mahkota 14 di bandar baharu ini.

Terletak di atas tanah lereng bukit berkeluasan 9.4 hektar, kompleks mahkamah ini menempatkan 23 bilik perbicaraan bagi meliputi ketiga-tiga mahkamah – Tinggi, Sesyen dan Majistret.

Beroperasi sejak 23 Julai 2012, kompleks mahkamah yang luas dengan keupayaan tempat letak kereta 800 petak; ia turut dilengkapi kemudahan sokongan seperti ruang pejabat, perpustakaan, bilik fail dan bilik mesyuarat.

Dalam titah ucapan perasmian, KDYMM Sultan Pahang antara lain menitah-sebut tentang kesukacitaan Baginda melihat kejayaan pelaksanaan satu lagi, apa yang Baginda sebut, ‘projek kemakmuran’ di negeri ini.

“Saya amat sukacita melihat pelaksanaan satu lagi projek kemakmuran di negeri Pahang yang mana dapat memperluas kemudahan kepada rakyat dalam sistem kehakiman,” titah Baginda.

MESRA, SEORANG RAJA... Tentu ada sesuatu yang menarik hingga kelihatan KDYMM Sultan Pahang gembira dengan Dato' Sri DiRaja Adnan turut sama di sisi Baginda. Foto ini dirakam ketika KDYMM Sultan Pahang bersemayam di pentas utama sempena perasmian Kompleks Mahkamah Kuantan ini.  

 
PUAN NANCY – MENTERI DI JPM YANG BAHARU, TURUT HADIR
  
Sehubungan itu, Baginda menitahkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana dapat memastikan kelancaran dan kejayaan dalam pelaksanaan projek ini.

Titah tahniah juga Baginda juruskan kepada Kerajaan Pusat khususnya Jabatan Perdana Menteri (JPM) ekoran sikap mengambil beratnya terhadap keperluan rakyat Baginda lalu mengesyorkan pembinaan kompleks ini.

Baginda seterusnya menitah-harap agar kewujudan kompleks ini akan membolehkan rakyat Baginda dapat menikmati ‘penyampaian perkhidmatan kehakiman’ yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.

Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, antara mereka yang turut hadir pada majlis yang bersejarah ini ialah Menteri di JPM, Puan Nancy Shukri serta Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. – Khabar