Sunday 5 May 2013

Turun mengundi


... sempena hari pengundian bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) 

KAMI SUDAH LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB... Dato' Sri DiRaja Adnan dan Datin Sri DiRaja Junaini menggayakan 'pose' yang diminta oleh jurufoto, dengan menunjukkan jari telunjuk kiri masing-masing yang telah dicalit dakwat kekal. 

LIGHTER SIDE... Sebelum meninggalkan tempat pengundian, Dato' Sri DiRaja Adnan sempat membeli aiskrim yang dijual di situ. Yang turut kelihatan ialah penyokong PAS (yang berpakaian-T hijau) yang teruja dengan kehadiran serta 'sporting'nya Menteri Besar kita.  
  

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BENTONG, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyertai kira-kira 13 juta pengundi berdaftar di seluruh negara, menunaikan tanggungjawab mengundi pada petang ini, Ahad, 5 Mei di sini.

Beliau tiba di perkarangan sekolah ini diiringi isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim – yang punya pusat mengundi yang sama seperti Dato’ Sri DiRaja Adnan di sekolah ini; pada kira-kira 3 petang.

Sambil bersalaman dengan orangramai, Dato’ Sri DiRaja Adnan dan isteri melangkah masuk ke kawasan sekolah, mendaftar diri seterusnya mengundi dengan Dato’ Sri DiRaja Adnan mengundi di saluran 1 manakala Datin Sri DiRaja Junaini di saluran 2.

Setakat 3 petang ini, peratusan keluar mengundi di pusat mengundi di sekolah pinggir bandar Bentong ini ialah kira-kira 70 peratus, yang dijangka meningkat pada penghujung tempoh pengundian pada 5 petang ini.  

Sementara itu, Menteri Kesihatan yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bentong ini, Dato’ Sri Liow Tiong Lai, tiba di pusat mengundi SEKOLAH KEBANGSAAN SULAIMAN di pusat bandar, kira-kira 8.30 pagi tadi untuk turut melaksanakan tanggungjawabnya.

DATO' SRI LIOW DAN ISTERI, MENGUNDI... 

ANAK GADIS, CURI TUMPUAN... Anak gadis Dato' Sri Liow - Cik Liow Jie Hui, kelihatan sedang menanti namanya didaftarkan untuk mengundi. Selain ayah dan ibunya, Dato' Sri Liow dan Datin Sri Lee; yang turut kelihatan ialah Encik Leong (di sebelah kanan Dato' Sri Liow). 
   

ISTERI DAN ANAK PEREMPUAN DATO’ SRI LIOW TURUT MENGUNDI

Selain diiringi isteri, Datin Sri Lee San Loo dan anak perempuan, Cik Liow Jie Hui; calon BN bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Bilut, Encik Leong Kim Soon – yang juga bekas setiausaha politik Dato’ Sri Liow, turut kelihatan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan dan Dato’ Sri Liow dijangka berada di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dekat sini pada malam ini, untuk sama-sama menantikan keputusan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) khususnya bagi Parlimen Bentong serta DUN-DUN di bawahnya. – Khabar